Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 77

...2008...

 

Tamat waktu kerja hari itu, aku tidak menunggu walau lebih seminit pun. Bergegas-gegas aku menyimpan barang, mencapai tas tangan dan mengetip kad keluar. Aku tiba di tempat yang dijanjikan lima minit awal dan kelibat pemuda itu masih tidak kelihatan.


Aku melabuh punggung ke bangku berdekatan. Telefon genggam yang baru kuterima aku keluarkan daripada beg, aku tilik-tilik dan kemudiannya tersenyum sendiri. Hakimi masih menjadi Hakimi, yang aku kenali tiga belas tahun yang lepas. Masih suka menghabiskan wang, memanjakan aku dengan hadiah-hadiah mahal.


Aku menjeling jam di tangan – tepat pukul lima setengah. Belum sempat aku menekan nombor Hakimi, telefon itu berbunyi terlebih dahulu.


“Akim dah sampai, tunggu dekat tepi jambatan.” Aku bingkas, menjenguk ke arah jambatan tetapi hampa, tiada susuk yang kukenali di situ, namun aku tetap melangkah.


Mataku merayap ke segenap kawasan. Tiada juga bayang Hakimi. Berguraukah dia?


“Assalamualaikum...” perlahan satu suara menyapa dari arah belakangku. Debar hatiku merusuh semula. Bergendang, bercaklempong – gemuruhnya hingar-bingar memukul rasa tenang. Aku pusing perlahan-lahan sambil menahan nafas.


Dan setelah lima tahun, kini dia berdiri di hadapanku. Dengan gaya yang agak berbeza, gaya yang lebih dewasa. Kiranya penampilannya kini lebih menepati usia – segak dan kemas.


Rambutnya tidak sepanjang dulu, kemas berpotongan bertingkat, cantik jatuhnya di atas bahu.Kulitnya yang dulu putih kemerah-merahan sudah agak gelap dan yang paling menarik perhatianku - susuk tubuhnya yang dulu kurus sekarang agak berisi. Di depanku bukan lagi seorang pemuda, tetapi seorang lelaki!


Tiba-tiba detik itu hadir – detik senyap – detik kehilangan kata. Dia merenung aku, dan aku merenung dia dan sudahnya kami sama-sama ketawa.


“Lisa macam dulu jugak...” konklusinya setelah gelak kami beransur reda. Aku hanya tersenyum.


“Lisa tak pernah berubah, Akim.”


Sambil mengambil tempat di bangku berdekatan, aku seakan berbisik. Aku sempat curi pandang sejuring senyum terukir di bibirnya.


“Cantik Lisa hari ni. Pandai Akim pilih kain, kan?”


Aku tersenyum –pertama kerana dia memujiku, kedua kerana dia turut memuji dirinya sendiri. Hakimi duduk di sisiku. Suam lengannya singgah ke kulitku biarpun berlapik.


“So...Lisa apa khabar?”


“Alhamdulillah...Akim?”


“Ok je...so far so good.”


“Baguslah...ni...mana hilang 5 tahun? Telefon tidak, sms pun tidak...hilang lesap macam tu aje.” Hakimi tergelak.


Aku mencuri pandang lagi ke arahnya. Gelak itu, ah, masih gelak yang sama.


“Ada, tak pergi jauh pun...Akim kat Sudan setahun aje. Lepas tu Akim kerja kat Singapore dua tahun. Lepas tu balik sini –“


“Maknanya selama ni ada kat sinilah?” Aku memintas kata-kata Hakimi dengan sedikit rasa kecil hati. “Kenapa tak contact Lisa langsung?”


“Akim nak bagi masa kat Lisa...Akim takut Lisa masih marahkan Akim...”


“5 tahun tu...” di luar sedar, aku  menumbuk bahunya dan Hakimi menangkap tanganku.


“Tangan ni...cepat macam dulu juga, ya?”


Hangat tangan Hakimi menggenggam tanganku membuat aku kehilangan kata-kata.


Aku dibuai bahagia sebelum kemudiannya tersedar yang kami bukan lagi Lisa - Hakimi yang dahulu dan aku tiba-tiba diserbu rasa malu. Aku perlahan menarik tangan dan Hakimi perlahan melepaskan.


“Kenapa? Takut boyfriend nampak?” Tanya Hakimi, nadanya agak berlainan. Aku menggeleng.


“Takde lagi...”


“Urmmmm...Lisa...single?”


Pantas aku tertoleh mendengarkan soalan terus-tuju Hakimi. Wajahnya nampak redup dan matanya memandang terus ke dalam mataku, seolah benar-benar menanti jawapan.


“Single...and available...” balasku perlahan sambil melarikan pandangan.


“Sorry sebab Lisa dengan Am...”


“Tau?” Hakimi angguk. Pastilah Hakimi tahu. Bonda Engku berada di tempat kejadian ketika peristiwa itu berlaku.


“Sorry...”


“Takpe...bukan jodoh Lisa dengan dia. Eh, tanya-tanya orang, Akim apa cerita? Dah ada girlfriend ke?”


Hakimi tiba-tiba berkalih duduk, menghadapku dan aku lihat ada riak luar biasa diwajahnya. Riak yang tidak pernah aku lihat selama ini. Riak yang penuh cahaya, penuh bunga-bunga bahagia.


“Akim nak kahwin!” 



Previous: Bab 76
Next: Bab 78

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.