Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 6

...1998...

 

Balik dari kelas petang itu aku terus menghumban badan ke atas katil Afira. Bantal kepala kubawa menutupi muka. Dania yang sedang bermain permainan komputer, menoleh.


“Kenapa ni? Kau ada problem dengan Am lagi ke? Hari tu kan dah okay?”

           

“Takdelah...aku dengan Am so far so good. Setakat ni dia ikut janji yang dia buat hari tu. Memang takde problem.”

            

“Habis tu? Monyok kenapa lagi?”


Aku menghela nafas berat. Malas untuk menjawab soalan Dania, aku panjat tangga untuk ke katil atas. Tahu yang aku tidak berminat untuk melanjutkan perbualan, Dania kembali khusyuk menyambung permainannya.

            

Di atas katil, sendirian, petang Selasa, aku menelentang memandang siling. Memang fikiranku agak berkecamuk akhir-akhir ini. Bukan kerana kerja atau tugasan kuliah yang bertimbun menagih untuk disiapkan, bukan juga kerana nota-nota yang minta untuk dibaca sebelum peperiksaan pertengahan semester pada bulan hadapan, jauh sekali kerana Am kerana sejak pertemuan kami di Alam Sentral sebulan lepas, rekodnya kembali bersih.


Paling tidak dalam seminggu dua kali dia akan datang menemuiku, kalau tidak di fakulti, dia akan singgah menghantar makanan ke asrama. Tetapi untuk kembali menonton wayang, berjalan berpimpinan di sekitar KLCC sambil makan aiskrim atau sekadar duduk-duduk memberi itik dan angsa makan di tepi tasik Shah Alam hanya dapat aku realisasikan di dalam mimpi-mimpiku dan aku juga sedang belajar untuk tidak terlalu berharap.

            

Sekarang yang betul-betul membuatkan otakku bercelaru adalah Tengku Hazqeel Hakimi. Hakimi yang tinggi lampai, yang suka tersenyum, yang akan muncul di saat aku bersedih untuk menceria serta sekaligus menenangkan aku dan Hakimi yang kebelakangan ini sering berwajah murung.

            

Aku tidak tahu apa sebabnya, sejak akhir-akhir ini, Hakimi, aku lihat banyak mengelamun. Walaupun matanya memandangku ketika aku bercerita tetapi renungan seakan tembus dan terbang entah ke mana. Apabila kutanya, dia akan pura-pura tergelak, menambahkan lagi rasa runsing dalam diriku. Dan akhirnya kesabaranku pecah tengah hari tadi.

           

Usai kelas pagi aku turun ke studio mencari Hakimi. Hari ini aku bercadang ingin menebus janji untuk keluar makan bersamanya. Tiba di situ aku nampak dari celah bilah tingkap Hakimi berdiri dengan kepala tunduk memandang lantai. Di hadapannya Encik Johan kelihatan seperti sedang marah-marah. Tangan pensyarah senior itu tergawang-gawang di udara.

            

“Hei, cari Hakimi, ya?”


Satu suara separuh berbisik menyapaku dari belakang. Aku berpaling. Kak Aiman, teman sekelas Hakimi, menjenguk ke dalam studio.


“Hakimi ada problem ke? Work dia akhir-akhir ni selalu kena reject. Kerja yang Mr. J bagi pun asyik ada yang tak kena.”


Aku kerut dahi, kembali memandang ke arah Hakimi yang duduk menongkat kepala dengan kedua belah tangannya di meja studio. Wajahnya jelas kelihatan keruh. Encik Johan pula sudah menghilang ke dalam pejabat.

            

“Takde pula dia cerita apa-apa katsaya, kak Aiman. Dah lama ke dia macam ni?”

            

“Ada la dalam dua tiga minggu kebelakangan ni. Turun studio pun dah jarang. Lisa tanya la apa problem dia.Work Mr. J tu, dia kena hantar sebelum mid-term break ni tau.”


Apa lagi yang harus aku lakukan selain daripada mengeluh. Agaknya inilah salah satu daripada punca mengapa Hakimi tidak menjadi dirinya sejak seminggu dua ini. Sambil berjanji untuk membantu Hakimi, aku meninggalkan kak Aiman dan melangkah perlahan masuk ke studio.

            

“Assalamualaikum...” Bisikku di hujung telinga Hakimi.


Dia terdongak dan sedikit terkejut melihatkan kehadiranku. Raut wajahnya yang mendung cepat sahaja disapa senyum.


“Kenapa ni?” Aku tarik bangku tinggi dan duduk disebelahnya.

            

“Takde apa-apa...cuma penat sikit. Dari mana ni?”


Daripada gaya Hakimi bercakap, aku amat pasti yang dia menyangka aku tidak melihat apa yang telah berlaku sebelum ini.

            

“Baru turun dari auditorium. Akim ada problem ke?”

            

“Takdelah. Kan Akim dah cakap, Akim penat. Lisa jangan risau ok. Kenapa turun sini...nak minta tolong ke?”


Aku pandang wajah Hakimi yang bersih dengan rasa bercampur-baur antara simpati dan geram. Simpati kerana dia baru sahaja dimarahi dan geram kerana dia tidak pernah mahu berkongsi masalahnya denganku.

            

“Tak, bukan nak minta, tapi nak ‘bagi’ tolong...” Dahi Hakimi berkerut mendengarkan jawapanku.

            

“Bagi tolong? Kat siapa?”

            

“Kat Akim’lah..mana tahu ada kerja-kerja Akim yang tak siap lagi, boleh Lisa tolong.”


Aku berkias kerana aku tahu, Hakimi tidak akan menceritakan masalah kerja-kerjanya yang terbengkalai kepadaku.

            

“No, thanks, Lisa. Kerja Akim, biar Akim yang siapkan, okay? Lisa pergi baca buku, kan tak lama lagi exam mid-term dah nak start.”


Aku mendengus, tidak senang dengan sikap Hakimi yang satu ini.

            

“Kenapa pulak? Kalau kerja Lisa, Akim boleh aje tolong...kenapa kerja Akim, Lisa tak boleh tolong? Kenapa? Tak percaya dengan skill Lisa?”

            

“Bukan, bukan macam tu, Lisa. Akim tak nak menyusahkan Lisa. Lagipun -”

            

“Ah, bosanlah kalau macam ni! Lisa tau Akim ada masalah...kenapa tak nak cerita kat Lisa...kenapa tak nak bagi Lisa peluang untuk balas semua yang dah Akim buat untuk Lisa selama ni? Huh, best friend konon! Tapi masalah simpan sendiri!”


Aku memintas kata-kata Hakimi dengan nada sedikit tinggi. Biar dia tahu yang aku tersinggung dengan sikap pemendamnya. Aku melompat  turun dari kerusi dan berdiri di depan ruang koridor, menghadap hutan. Beberapa ketika kemudiannya, aku terdengar keluhan dari mulut Hakimi.

            

“Lisa, kerja Akim banyak tak siap...work asyik kena reject...Banyak benda yang berserabut dalam otak Akim...kalau Akim cerita pun, apa yang Lisa boleh buat?”


Lemah sekali suara Hakimi dan ini membuatkan aku berpusing semula menghadapnya.

            

“Apa masalahnya, Akim?” Suaraku mula kendur.


Tidak sampai hati rasanya untuk terus menekan apabila melihat wajahnya yang berserabut. Satu ekspresi yang amat jarang sekali aku temui pada diri seorang manusia bernama Hakimi.


“Betul ke work Akim banyak tertangguh? Yang kena hantar before mid-term break pun asyik kena reject, betul ke? Kenapa jadi macam tu?”

            

“Entahlah...” Hakimi mengusap muka.“Rasa stress sikit lately...mungkin banyak kerja bertangguh plus lagi exam midterm pun dah dekat.”

            

“Lisa tolong Akim, okay? Please?...”


Aku mengerdipkan mata berkali-kali. Senyuman Hakimi kembali berbunga, nipis, tapi cukup untuk membuat hatiku sedikit lega.


“Macam ni’lah, kalau tak nak bagi Lisa tolong, at least bagi Lisa teman Akim siapkan kerja-kerja tu. Jadi, minggu ni, bila dah habis kelas aje, Lisa turun studio. Sambil tu Lisa boleh baca buku, macam mana?”


Hakimi merenungku dengan pandangan tidak berkelip seakan menimbang cadangan spontan yang baru sahaja aku usulkan.

            

“Takpe ke? Am? Dia tak kisah ke?”


Aku tersenyum mendengarkan soalan bertalu daripada Hakimi.

            

“Mestilah takpe. Pasal Am, Akim jangan risau’lah. Nanti Lisa bagitau dia. Dia mesti tak kisah punya. So, jadi ya?”

            

“Aaa..bila nak mula?”

            

“Petang ni, lepas Asar, boleh?”

            

“Kalau macam tu, lepas Asar nanti Akim jemput Lisa kat kolej, ok?”


Aku mengangguk laju-laju. Selepas berbual seketika mengenai tugasan-tugasan Hakimi yang terbengkalai, aku meminta diri untuk pulang ke asrama.

 

Sepanjang perjalanan sehinggalah tiba di asrama, otakku masih berselirat memikirkan masalah sebenar Hakimi. Aku tahu, masalah kerja yang tertangguh dan peperiksaan pertengahan semester yang semakin hampir hanyalah sub kepada problem Hakimi lebih-lebih lagi Hakimi merupakan pelajar terbaik di jabatannya dan sentiasa berada di dalam senarai Anugerah Dekan. Jadi apa punca utama kepada masalah-masalahnya itu? 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.