Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 31

...1999...

 

Ruang Kembara sepanjang perjalanan merentasi jalan raya menuju ke rumahku sunyi tanpa komunikasi. Yang menjadi halwa telinga hanyalah nyanyian Westlife ‘Flying Without Wings’ dari corong radio. Desahan dari pendingin udara membuatkan mataku mula terasa berat.


Di selekoh terakhir sebelum tiba di lorong kawasan perumahanku, di hadapan sebuah tasik buatan, Hakimi memberhentikan keretanya. Aku yang serentak itu juga dipagut kehairanan, segera tertoleh.


“Kenapa berhenti?” Spontan ayat tersebut keluar.


Seperti tidak berminat untuk menjawab soalanku, Hakimi memegang stering kejap-kejap sambil merenung kosong ke hadapan. Pada waktu-waktu sebegini, aku ingin sekali untuk hidup di dalam ruang lingkup sereberum otaknya supaya mudah kubaca apa yang terselirat di dalam pemikirannya.


“Akim...”panggilanku membuatkan Hakimi menoleh lambat-lambat, sebelum menghela nafasberat.


Dia merenungi wajahku dengan pandangan tidak berkelip sehingga membuatkan aku menjadi resah dan berdebar.


“Kenapa? Kenapa pandang Lisa macam tu?”


Aku semakin tidak mengerti. Hairan, bingung dan risau mula bercampur-baur. Pelik sungguh berhadapan dengan emosi Hakimi hari ini. Bermula dari sikapnya yang dingin, kemudian menjadi nakal mengusik, setelah itu panik apabila melihatkan aku menangis dan kini, di dalam kereta ini dia sedang tersenyum menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya.


“Apa kena dengan kita ni?” Masih dalam senyuman yang sama, Hakimi melontarkan pertanyaan.


Aku mengerutkan dahi. Kurang faham bagaimana untuk menjawab soalan tersebut.


“Kenapa dengan kita?” Tanyaku semula.


“Lisa...come on...Jangan buat tak faham...Akim tau Lisa faham maksud Akim, kan?” Serkapan Hakimi membuatkan aku tertunduk tersipu.


Debar jantungku semakin gila berdegup sehingga aku dapat dengar hingarnya di hujung cupingku sendiri.


“Lisa -” ayat kuputus apabila Hakimi meletakkan jari telunjuknya ke atas bibirku.


“Dengar sini,Izara Marleesa, dah lama Akim simpan ayat ni, this three magical words dan hari ni Akim nak luahkan, Lisa, I love you...”


Aku jadi terkedu, bercelaru dan sekaligus terharu dengan pengakuan luhur Hakimi.


Hakimi membetulkan kedudukannya, menghadap wajahku dalam posisi yang lebih rapat membuatkan kata-kataku yang seterusnya jatuh terus ke lubuk perut. Namun begitu aku cepat-cepat mengumpul semula semangat yang hilang. Inilah peluang yang kutunggu selama ini, yang akhirnya terbuka di hadapanku. Aku tidak akan membiarkan saat ini berlalu begitu sahaja.


“I love you,too...”


Balasku dan Hakimi memegang lenganku dengan wajah yang teramat gembira. Namun begitu pegangan itu akhirnya bertukar menjadi goncangan-goncangan lembut.


“Lisa! Lisa!”


Wajah Hakimi dengan senyuman penuh mula menghilang. Aku terasa seperti tergawang di awangan.


“Lisa,bangun...dah sampai!”


Ayat terakhir Hakimi membuatkan aku tersentak dari tidur. Tidur? Aduh, bermimpi rupanya aku!


Perlahan-lahanaku membuka kelopak mata dengan rasa malu yang membahang. Harap-harapnya, apayang aku tuturkan sepanjang di dalam mimipiku tidak satu pun terdengar di telinga Hakimi.


“Mimpi apa?”


Aku geleng kepala laju-laju. Tiba-tiba, entah mengapa, aku merasa janggal untuk menatap wajah Hakimi.


“Sudahlah, jangan fikir sangat. Memang semuanya ni akan ambil masa. Tapi Insya Allah, benda ni akan berlalu, okay?”


Di luar jangkau fikirku, rupanya Hakimi menyangka yang aku bermimpi mengenai Am. Aku terkeluh halus. Sehingga kini aku tidak pernah dapat betul-betul membaca fikiran Hakimi.


“Nant ibila-bila Lisa dah sedia, Lisa cerita lagi ok?”


Tanpa memberi sebarang tindak balas terhadap soalannya, aku menolak pintu kereta.


“Eh, tunggu kejap Lisa!” Langkahanku terbantut. Daun pintu kubiarkan ternganga.


Dari ekor mata, aku lihat Hakimi menyeluk kocek jeansnya dan mengeluarkan sesuatu yang berbungkus kemas dalam lipatan tisu. Aku terdongak, menatap wajahnya, meminta pemahaman.


“Hari tu, waktu Lisa pengsan, Akim jumpa benda ni kat tepi Lisa. Akim terlupa nak bagi kat Kak Zara. Nah...sorry sebab simpan lama.”


Aku masuk semula ke kereta.Bungkusan bertukar tangan. Aku membuka lipatan tisu tersebut dengan perasaan penuh tanda tanya. Ya, Allah! Tiba-tiba air mataku bergenang demi melihatkan isi kandungannya. Sebakku bagi dipalu-palu. Rantai emas putih pemberian Am di hari dia memutuskan hubungan kami kini berada di atas tapak tanganku.


“Lisa, are you okey?”


Okey? Aku okeykah? Dengan airmata yang berlinangan meluruti kedua belah pipiku, masihkah aku kelihatan ‘okey’ di matanya?


“Am yang bagi...” itu sahaja yang terluah dari mulutku dan aku terdengar decitan kesal dari Hakimi.


“Sorry...Akim ingatkan...” berdecit lagi, “sorry...” aku geleng. Tidak tahu apa yang aku gelengkan.


Rantai emas putih berbentuk hati dengan namaku terukir di atasnya aku genggam kuat-kuat dalam tangan. Hujung tajam anak panah yang merentangi bahagian tengah hati serta bucu bahagian bawahnya mencucuk ke kulit namun aku hanya merasa kebas. Perasaan yang hebat bercampur hanya membuatkan genggamanku semakin ketat.


“Lisa...hei...Lisa...lepaskan...buka tangan ni...Lisa...” dalam genang air mata yang berbalam aku nampak Hakimi bersungguh-sungguh cuba membuka tapak tanganku. “Lisa! Lisa! Hish! Jangan la macam ni, Lisa...”


Semakin kuat Hakimi menarik, semakin kuat jugalah genggamku.


“LISA!!”Genggaman pun terlerai serentak dengan tamparan Hakimi hinggap ke bahuku.


Tindakan luar jangka daripada Hakimi menyebabkan aku terpingga, separuh ternganga. Rantai putih tersebut melorot jatuh. Aku meraba bahu yang mula terasa pijar.


“Jangan buat kerja gila, Lisa!”


Buat pertama kalinya sepanjang hubungan kami, aku dijerkah oleh Hakimi sebegitu rupa. Dan ini juga kali pertama sepanjang perkenalan kami, Hakimi menjatuhkan tangannya ke atas diriku.


“Lisa ingat kalau Lisa buat macam ni, Am datang melutut depan Lisa? Hubungan korang akan sambung balik?” Kata-kata Hakimi bergema ke segenap Kembara.


Aku ingin berfikir tetapi aku tidak mampu untuk berfikir. Apa yang terluah dari mulut Hakimi memang benar namun begitu aku cuba untuk menidakkan kebenarannya. Untuk apa dan kenapa? Itu aku tidak tahu.


“Ya, Allah, Lisaaaa...” aku dengar Hakimi menuturkan kalimah itu dengan dalam keluh berat sambil mencapai tapak tangan kananku yang terluka.


Ada kulit yang tersoyak di situ. Juga ada darah. Paling mudah untuk aku tafsirkan; itulah gambaran hatiku kala ini; luka, tersoyak dan berdarah.


Sedikit demi sedikit aku mula kembali pada diri. Ya, Allah! Apa yang aku cuba lakukan? Kenapa semangat aku selemah ini? Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Soalan-soalan yang kubina sendiri mula menyesakkan ruang otakku yang berserabut. Akhirnya aku menangis kuat-kuat di hadapan Hakimi.

Perpisahanmemang menyakitkan, tetapi paling sakit adalah untuk menjadi orang yang ditinggalkan!

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.