Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 46

...1999...

 

Itu semua cerita beberapa bulan yang lepas. Aku malas untuk memanjangkan kisahnya lagi memandangkan hubungan aku dan Hakimi berlangsung dengan baik. Cuma aku tidak tahu bagaimana status aku di hatinya; adakah masih hanya sebagai seorang sahabat baik dan ‘adik’ ataupun sudah diangkat martabatnya lebih tinggi dari itu. Untuk aku pula tidak perlu ditanya kerana Hakimi sememangnya telah mendiami sebuah tempat yang istimewa dalam hatiku sejak dahulu lagi.

            

“Lisa, tak nak keluar makan ke?”


Aku dikejutkan oleh suara Hakimi dari belakang petisyen. Jam ditangan pun aku kerling sekilas– lima minit melepasi pukul dua belas. Cepat-cepat aku mengemas sketch book dan pen-pen lukisan yang berselerakan di atas meja.

            

“Putri mana?” Hakimi yang sudah menunggu di sisiku hanya jungkit bahu.

            

Sememangnya isu Putri mula menjadi salah satu topik perbualan aku dan Hakimi akhir-akhir ini. Bukan baru sekali dua Putri menghilangkan dirinya sebaik sahaja tiba waktu makan.


Kadang-kadang,pada waktu pejabat pun dia sanggup menyusup keluar. Ke mana? Entah, aku dan Hakimi pun tidak pernah diberitahu sedangkan sebelum-sebelum ini, setiap kali Putri mahu keluar, baik untuk berjumpa dengan client, mesyuarat hatta ke bank sekalipun, aku atau Hakimi pasti akan dimaklumkan.


Tetapi kebelakangan ini Putri kulihat agak berubah. Putri yang peramah, aku lihat lebih banyak mengelamun. Kadangkala yang lainnya pula, dia akan tersenyum sendirian. Telefon bimbitnya yang tidak pernah lekang dari tangan pula kerap berbunyi. Apa agaknya yang disorokkan oleh Putri daripada aku dan Hakimi?


Memandangkan waktu makan tengah hari ketika kami tiba di bawah bangunan pejabat hanya berbaki lagi lebih kurang empat puluh minit, aku dan Hakimi memilih untuk menjamu selera di salah sebuah restoran terdekat sahaja.


Selesai makan,aku singgah di 7-Eleven mencari suratkhabar dan ketika aku menolak pintu untuk keluar, aku ternampak kelibat Putri sedang berbual dengan seorang lelaki.


Daripada lagak dan jarak yang wujud antara mereka berdua, aku mengesyaki bahawa hubungan mereka lebih daripada ‘hanya kawan’. Tetapi yang membuatkan aku sedikit tidak puas hati adalah kedudukan lelaki tersebut yang membelakangi aku dan agak terlindung. Aku ingin sekali melihat wajahnya.


“Lamanya beli paper...” sergahan Hakimi membuatkan aku sedikit tersentak.


Cepat-cepat aku cekup tangannya dan bersembunyi di belakang salah sebuah tiang berhampiran.


“Kenapa?” Relevan dengan tindakanku, Hakimi bersuara dalam keadaan separuh berbisik.


“Tu...” tundingku ke arah Putri dan, eh, ke mana menghilangnya dia?

Hakimi mengerutkan dahinya, memandangku dengan pandangan penuh dengan persoalan. Ketika itu, jarak antara kami berdua memang agak dekat, membuatkan tiba-tiba mukaku terasa bahang. Melihatkan perubahan pada air wajahku, Hakimi berundur sedikit.


“Lisa nampak apa?” Aku yang ketika itu masih merasa malu, hilang dalam kata-kata. Cerita Putri terbang dari kepalaku. Akhirnya aku hanya menggeleng.


“Salah orang kot...” dan aku terus melangkah naik ke pejabat, membiarkan Hakimi tertanya-tanya, mengekori dari belakang.

 

Kesempatan melihat Putri sendirian di dalam pejabat  pagi esoknya memberikan aku peluang untuk bertanya sendiri tentang apa yang telah kulihat semalam. Dia yang sedang sibuk menulis sesuatu, mendongak apabila terdengar pintu biliknya kuketuk. Serentak itu juga sejalur senyum pecah di bibirnya.


“Sibuk ke?” Soalku apabila melihat Putri terburu-buru menutup buku dan mengemas kertas-kertas di sekeliling dan menolaknya ke dalam laci.


“Takdelah...duduklah, Lisa. Apa cerita?” Aku merenung Putri dengan mulut yang teragak-agak untuk bertanya. Takut-takut kalau soalanku nanti dianggap seperti ingin menjaga tepi kainnya pula. Tetapi aku tidak dapat membendung perasaan ingin tahuku.


“Semalam...aaa...lunch kat mana?” Aku lihat muka Putri berubah warna. Namun begitu cepat-cepat ditutupnya dengan senyuman.


“Ooohh...semalam...lunch dekat sini-sini je...dengan umm...client...” jawapan Putri yang tidak berapa lancar menguatkan lagi andaianku yang dia tidak bercakap benar.


“Putri...umm...”aku telan liur lambat-lambat. “Putri ada sorok apa-apa dari Lisa ke?”


“Sorok? Sorok apa?”


Dalam gelak yang nampak sangat dibuat-buat, Putri membalas soalanku dengan soalan – salah satu cara untuk mengelak daripada memberikan jawapan.


“Takdelah,Lisa. Apalah Lisa ni...mana ada sorok apa-apa...” gelak lagi. “Eh, sorry la Lisa...Putri nak keluar ni...ada janji nak jumpa orang...” dan Putri terus mengelak.


Melihatkan dia sudah bangun, aku juga turut berbuat demikian. Aku mengiringi Putri sehingga kepintu utama dan di situ aku pegang lengannya.


“Kalau ada apa-apa yang Putri nak cerita kat Lisa, Putri boleh cerita anytime, ok?”

Putri menyentuh pipiku sambil mengerdipkan matanya. Cerita Putri dan rahsianya pun berakhir disitu.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.