Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 33

...1999...

 

Petang itu kami sekeluarga berkumpul. Rumah teres dua tingkat itu jadi riuh dengan jerit-pekik dan gelak-tawa Fatin dan Iklil, anak-anak buahku. Di ruang tamu mama dan abah sibuk mengeluarkan ole-ole untuk kami yang sempat dibeli ketika di sana manakala Abang Zafri sedang sibuk menghabiskan pengat durian di meja makan ditemani Abang Zamil dan adikku Zairy sambil tidak putus-putus menyatakan betapa rindunya dia pada makanan di Malaysia.


“Kenapa tak jemput Hakimi datang rumah, Lisa?“ Aku yang sedang sibuk membantu Iklil membuka plastik kurma, tiba-tiba menjadi kaku.


“Ha’ah, sejak ma balik ni, ma tak jumpa lagi dengan dia. Jemputlah dia datang, hmmm...hah,ajak dia makan kat rumah malam ni. Ma pun ada barang sikit nak bagi kat Mak Engku.” Aku ketap bibir dalam perasaan penuh serba-salah.


Sejak kejadian di dalam Kembara minggu lepas, aku dan Hakimi bagaikan terputus hubungan. Baik aku mahupun Hakimi, saling tidak menghubungi.


“Lisa, dengar tak ni?” Sergah mama bila menangkap reaksi kosong dariku.


“Gaduh dengan Hakimi ke?” Serkapan abah membuatkan aku cepat-cepat menggeleng.


“Takdelah, mana ada kitorang gaduh. Abah ni...” bidasku.


“Hah, kalau macam tu, jadi ajelah Hakimi makan kat rumah malam ni. Suruh dia ajak Mak Engku sekali.” Ayat mama mematikan segalanya.


Perbincangan ringkas kami tamat di situ dengan keputusan yang membuatkan aku sedikit lemah; Hakimi akan makan malam di rumah!


Menoleh ke arah kedua orang tuaku yang sudah kembali leka melayan kerenah cucu-cucu, aku tidak jadi untuk membantah. Maka dengan langkah yang bagai diseret-seret, aku capai telefon genggam dari atas meja makan dan membawa diri menuju ke bilik.


Di dalam bilik, di atas katil – aku merenung telefon genggam yang terletak cantik di atas bantal busukku. Peristiwa dalam Kembara bersilih ulang dalam ruang kepala.

 

Aku tidak tahu mengapa hubungan antara aku dan Hakimi tiba-tiba menjadi dingin. Seingat aku,petang itu kami akhiri dengan baik. Malah aku turut menerima ucapan sayang buat pertama kalinya daripada Hakimi.


Namun begitu,sejak dari petang itu, sehinggalah ke petang ini, aku tidak lagi menerima sebarang panggilan telefon mahupun pesanan ringkas daripada Hakimi dan ini membuatkan aku sedikit bingung.


Agaknya mungkin Hakimi merasa menyesal kerana terlepas cakap yang dia sayangkan aku. Atau mungkin dia menuturkan ayat tersebut petang itu semata-mata untuk memujuk perasaanku yang bercelaru dan hanya menyedari yang perkataan tersebut mungkin boleh mengubah haluan persahabatan kami dalam perjalanan dia pulang ke rumah. Aduh, mungkin-mungkin dan mungkin!


Belum sempat aku menjatuhkan diri ke atas tilam, tiba-tiba telefom genggamku menjerit minta diangkat. Aku kerling nombor yang tertera pada skrin dan serentak itu jugalah terasa bagaikan bebuli darah mengembang di mukaku. Hakimi! Angkat-tidak? Angkat-tidak? Angkat-tidak?


“Assalamualaikum...” dan akhirnya telefon itu sudah melekap ke telingaku. Aku dengar Hakimi batuk-batuk kecil di sebelah sana dan segegas itu juga aku menjadi risau. “Akim...hello? Ok ke?”


“Lisa...sorryla lama tak call. Akim demam la.”


Kata-kata Hakimi membuatkan aku bagai terhantuk. Aduh, jahatnya aku membuat andaian yang bukan-bukan sedangkan pemuda itu terlantar tidak sihat di sebelah sana.


“Dah ok ke? Kenapa tak bagitau?”


“Ala...demam sikit aje. Dah ok dah pun.”


Seperti biasa, Hakimi yang satu ini tidak akan menceritakan sebarang kesusahannya padaku. Semua yang berlaku pada dirinya akan jadi serba ‘sikit aje’, ‘mudah’ dan ‘tak apa-apa’.


“Sikit apanya kalau sampai seminggu? Dah jumpa doktor ke?”


“Dah.Betullah...sikit aje. Dah makan ubat. Ok pun dah ni.”


“Tu, batuk lagitu?” Aku yang masih lagi tidak puas hati dengan sikap perahsianya, terus mengasak.


“Laaa...ni batuk sebab tersedak. Ada orang asyik sebut-sebut nama Akim kot?”


Ayat terakhir Hakimi membuatkan aku tersipu sendiri.


“Lisa?”


“Tak – ni –mmm...Akim...aaa...mmm...Sorry ye sebab dah lama tak call... Lisa -”


“Takpe. Faham. Mesti sibuk dengan family. Diorang kan baru balik dari umrah. Akim faham.” Kata-kata Hakimi yang kedengaran cukup luhur membuatkan aku jadi tersentuh.


Serentak itu juga aku teringatkan jemputan Ma dan Abah dan sesegera itu juga aku memanjangkannya kepada Hakimi dan tanpa perlu berlapik-alasan dengan banyak, Hakimi berjanji untuk datang ke rumah malam nanti bersama Bonda Engku. Lega,selesai tugasku petang itu!

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.