Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 71

...2002...

 

Akan ada satu hari dalam seumur hidup, kita berharap, apabila bangun dari tidur, segala apa kepahitan yang pernah kita lalui, hilang lesap dibawa angin. Ya. Begitulah apa yang kurasakan saat ini. Mungkin sudah sampai masa untuk aku benar-benar melupakan. Mampukah aku?


Majlis pertunangan antara aku dan Am akan mengambil tempat lagi seminggu. Bilik tidurku sudah berubah wajah. Dulang-dulang hantaran cantik tersusun di tepi almari. Tapi, kenapa aku tidak merasa suasananya?


Menghempas diri ke atas katil, otakku yang sedia serabut, semakin bertambah serabut. Semenjak tiga hari kebelakangan ini, aku sering diganggu panggilan telefon daripada seorang lelaki. Meminta untuk aku membatalkan majlis. Apabila kutanya mengapa, dia memutuskan talian. Ya, Allah, dugaan apakah ini?


Mahu bertanyakan kepada Am pasti banyak alasannya. Silap-silap, akan membawa kepada pertengkaran sedangkan itu adalah perkara terakhir yang aku mahukan pada waktu-waktu segenting ini.


Sedang aku memungkinkan itu-memungkinkan ini, telefon genggamku memberi isyarat panggilan masuk.


“Kak Hana ni, Lisa, free tak hari ni? Boleh kita jumpa kejap?”


Aku jadi pelik. Ini kali pertama Kak Hana menghubungiku dan membuatkan aku bertambah pelik, dia mahu berjumpa.


“Free..tapi, kenapa ye?”


“Tak boleh cakap kat phone. Kita jumpa ye?”


Tanpa menanti aku memberikan jawapan, Kak Hana memberi tempat dan masa.


“Jangan bagitau siapa-siapa yang kita nak jumpa ni tau.” Sebelum memutuskan talian, kak Hana sempat memberikan peringatan.


Aku bersiap ala kadar. Setelah meminta izin mama dengan alasan mahu membeli sedikit barang, aku menuju ke tempat yang dijanjikan.

 

 

“Sorry, terpaksa suruh Lisa jumpa akak sorok-sorok macam ni...” kak Hana menyambutku di kafe dengan senyuman.


Aku memesan secawan mocha latte sambil merenung kak Hana yang santai menghirup kopi americanonya. Dalam fikiranku dipenuhi persoalan-persoalan yang aku kira hanya kak Hana punya jawapannya.


“Akak straight to the point ajelah, ye?” Dia memulakan bicara sebaik pesananku tiba.


Aku tidak jadi menyua mug ke bibir. Dengan rasa sangat ingin tahu, aku letak semula mug ke atas meja.


“Akak nak Lisa batalkan majlis pertunangan tu.”


Tegas dan jelas kak Hana meluahkan. Bulat mataku mendengarkan permintaannya yang di luar jangkaan. Permintaan yang sama kuterima sejak tiga hari yang lepas!


“Jadi, akak lahyang suruh orang telefon Lisa, kacau Lisa, mintak Lisa cancel majlis tu? Kenapa kak?”


Aku lihat kak Hana terkejut. Dia menggeleng beberapa kali.


“Jangan tuduh akak macam tu, Lisa. Akak, kalau nak cakap, akak lebih suka face to face macam ni. Akak takkan buang masa upah orang untuk benda-benda macam ni. Tapi, ada orang call Lisa? Apa dia cakap? Lelaki?”


“Ha’ah..lelaki..dia suruh Lisa cancel majlis. Bila Lisa tanya kenapa, dia letak.”


Kak Hana menggeleng lagi. Ada senyum sinis tersungging di bibir nipisnya.


“Dah berani dah dia. Am tau?”


Buat seketika aku terlupa tujuan sebenar kak Hana mahu berjumpa denganku. Sememangnya aku sangat memerlukan orang untuk meluahkan kerisauanku terhadap panggilan misteri yang kuterima.


“Tak...rasa macam tak payahlah bagitau dia. Kak, Am ada perempuan lain ke? Sebab tu akak pun mintak Lisa batalkan majlis? Am yang suruh akak cakap ke?”


Kak Hana kulihat serba-salah. Dia mencapai mug, meneguk kopi beberapa kali, kemudiannya menyandar sambil merenung ke arahku.


“Akak suka Lisa sejak first time kita jumpa dulu. Akak suka kalau korang kahwin...tapi, akak rasa, Lisa boleh dapat lelaki yang lebih baik dari Am.”


“Habis tu? Kenapa mintak kitorang putus? Am kan yang suruh akak cakap? Dia dah ada pilihan lain ke?”


Aku mendesak lagi apabila jawapan yang kuterima tidak menepati seperti apa yang kumahu.


“Susah akak nak cakap, Lisa...tapi, Am, dia tak tau pun yang akak jumpa dengan Lisa.”


“Kak, bagitau aje, plaese, Lisa boleh terima, Am ada perempuan lain ke? Ni masa depan Lisa ni, kak Hana.” Dari mendesak, kini nadaku sudah mula merayu. Kak Hana mengetap bibir, kelihatan teragak-agak untuk meneruskan kata.


“Akak tak boleh cakap lebih-lebih. Akak mintak maaf. Akak buat semua ni sebab akak sayangkan Lisa. Sebab tu akak nak Lisa –“


“Kenapa baru sekarang? Lagi seminggu, kak. Barang-barang semua dah beli. Katering dah tempah. Dah jemput orang. Apa ma dengan abah nak jawab kat orang datang nanti?”


Aku pintas kata-kata kak Hana dengan rasa tidak puas hati. Ada rasa marah tertahan dengan sikap tarik-tali kak Hana. Kalau dia benar-benar ingin membantu, mengapa tidak sedari awal? Mengapa harus menunggu sehingga ke saat-saat terakhir?


“Lisa, akak –“


Panggilan masuk di telefon bimbit kak Hana membantutkan perbualan kami. Dari riak wajahnya, aku dapat agak yang panggilan itu agak penting.


“Lisa, mintak maaf sangat-sangat. Ada masalah kat salon. Akak kena pergi sekarang. Akak tak tau bila lagi kita boleh jumpa. Lisa fikirlah apa yang akak mintak tu.”


“Kak, jangan macam ni. Jangan tinggalkan Lisa tertanya-tanya macam ni.”


Aku memaut lengannya. Kelopak mataku sudah mula bergenang. Kak Hana menyentuh pipiku, tanpa ada perlanjutan kata-kata, dia mencapai tas tangan dan menderu keluar.


Aku terduduk di kerusi. Aku tahu, ada penonton yang menyaksikan drama kami sebentar tadi tetapi aku jadi tidak peduli. Ya, Allah, apa yang harus aku lakukan?



Previous: Bab 70
Next: Bab 72

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.