Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 32

...1999...

 

Suasana dingin. Jam pula tujuh minit lagi tepat satu pagi tetapi aku masih terlentang di atas katil, mengelamun dan melayan jiwa serta perasaan yang masih kacau. Lenguh telentang, aku mengiring pula, dan kemudiannya terus sahaja berkalih baring dari kiri ke kanan, meniarap ke menelentang namun mata masih juga tidak mahu lelap.


Akhirnya aku bingkas dari pembaringan, bersila di atas katil, memeluk bantal busukku, sambil merenung tapak tangan kanan yang kemas berplaster. Di luar sedar aku tersenyum sendiri.


Pertama sebab Hakimi yang melekatkan plaster tersebut ke tanganku dan kedua kerana mengenangkan kelakuan bodohku petang tadi. Haiii...entahlah, aku sendiri tidak tahu hantu mana yang merasuk fikiranku sehinggakan aku terlupa untuk berfikir dengan waras. Nasib baiklah Hakimi tekad menampar bahuku. Kalau tidak, entah berapa jarum jahitan yang akan kuterima.


Mengenangkan itu aku tersenyum lagi. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan reaksi Hakimi ketika melihatkan darah di telapak tanganku.

 

“Akim bersihkan luka Lisa...” dan dengan itu dia mencapai tanganku.


Aku yang sudah tenang ketika itu hanya diam. Mengangguk tidak, menggeleng jauh sekali. Pijar akibat tamparan Hakimi masih berdenyut di bahu. Perlahan-lahan aku usap dengan tangan kiri. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu bagaimana harus aku menghakimi perbuatan Hakimi itu. Harus marahkah aku? Atau harus berterima kasih?


“Sakit ke Akim tampar? Sorry Lisa...Akim terlepas. Sorry.” Nada suara Hakimi jelas menggambarkan kekesalannya.


Tanganku dibahu dikalihkan lembut, diganti dengan usap dari tangannya sendiri. Saat itu aku rasakan segala keperitan yang kualami terbang. Kalaulah boleh aku hentikan waktu...oh, kalaulah!


Tidak sampai sepuluh minit tanganku selesai dibersihkan dan ditampal dengan plaster. Namun begitu, Hakimi tidak terus melepaskan jariku dari genggamannya malah dipegangnya lebih erat.


“Jangan buat macam tu lagi. Promise?”


Aku tertunduk, namun begitu sempat juga mengangguk perlahan-lahan.


“Kalau nak nangis, nangis aje. Akim temankan. Kalau nak cerita apa-apa, cerita aje pada Akim, call anytime, Insya Allah Akim sedia nak dengar...ok? Tapi jangan sesekali sakiti diri sendiri lagi, ok?”


Angguk lagi dan lagi.


“Terima kasih,Akim...” itu sahaja yang mampu aku luahkan. 


“Untuk apa?”

Aku mendongak,merenung wajah Hakimi yang mula disapa senyum. Serentak itu juga hatiku dipagut rasa tenang dan damai.


“Lisa ucap thanks tadi tu untuk apa? Untuk yang kena tampar ke, atau untuk ceramah percuma ni?”


Dalam sebak yang masih berlingkar, aku tergelak juga dibeli gurau Hakimi. Itulah Hakimi yang kukenali. Yang sentiasa ada di sisi waktu aku memerlukan, menceriakan dikala aku kesedihan dan menemani di saat aku memerlukan sokongan.


“Dah, pergilah masuk sebelum tazkirah Akim makin panjang. Nanti kalau apa-apa, call Akim, ok?” Hakimi melepaskan tanganku dan menolak daun pintu yang sememangnya sudah renggang sedari tadi.


“Terima kasih...” ucapku lagi dan kali ini Hakimi membalasnya dengan anggukan kecil. Sebaik sahaja aku menutup pintu keretanya, dari celah cermin yang separuh terbuka aku dengar dia memanggil namaku.


“Akim sayangLisa, ingat tu!”  Aku terpana mendengarkan kata-katanya.


Enam tahun bersahabat dengan Hakimi, ini kali pertama aku terima perkataan sayang dari mulutnya. Tersalah dengarkah aku?

“Ok, take care!” dan dengan itu, Kembara Hakimi pun menderu pergi, meninggalkan aku dengan perasaan keliru dan bahagia bertindih-timpa.

 

Satu keluhan berat dan padat aku lepaskan sungguh-sungguh dari mulutku. Manis peristiwa petang tadi sehingga kini masih terasa madunya. Senyum di bibirku terus membunga. Ah, kalaulah dapat kurakamkan kata-kata ajaib yang keluar dari mulut Hakimi tadi, pastilah sampai sekarang kuulang dengar.


Masih dalam emosi yang hangat terapung, aku baringkan diri semula ke atas tilam. Tapak tangan yang berplaster kuletakkan di bawah pelipis kanan. Mata serentak itu terasa mengantuk. Dalam pada itu sempat juga aku memasang harap agar Hakimi singgah bertamu dalam mimpiku nanti!

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.