Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 49

...1999...

 

Minggu terakhir praktikal - Isnin datang, Isnin pergi. Begitu juga Selasa hingga Jumaat. Namun cerita tentang baju terus hilang. Cerita lanjutan dari ayat-ayat manis yang diterima-beri juga tidak bersambung. Aku tidak pasti; patut atau tidak untuk aku bertanya kepada Hakimi kerana dia terus-terusan selamba, berbual, bergurau, bergelak-ketawa seperti biasa. Mungkin pada dia bicara itu tidak bermakna dan aku seorang yang terlebih dibuai rasa. Akhirnya aku senyapkan sahaja.

           

Majlis makan malam syarikat tiba juga. Aku yang mula bersiap sejak selesai Mahgrib, berpusing-pusing di hadapan cermin. Terasa sangat sempurna tubuhku dipeluk baju pemberian Hakimi.


Ketukan dipintu mengejutkan aku. Kak Zara menjenguk ke dalam dengan senyum lebar diwajahnya. Dia yang sedari tadi sibuk ingin melihat aku di dalam pakaian tersebut kini sudah duduk di birai katil. Lagaknya seperti sedang menghakimi penampilanku.

            

“Ok tak kak?” Tanyaku, mengiring sekejap ke kiri – sekejap ke kanan. Kak Zara tergelak melihatkan tingkahku.

            

“Cantik...” ringkas komentarnya, namun matanya masih lagi menilai setiap sudut pada baju.

            

“Mestilah cantik...dekat empat ratus, kalau tak cantik jugak, tak taulah.” Balasku sambil tangan menggagau kotak kasut dari bawah katil.

            

“Kalau dah sayang, kan? Empat ratus macam empat puluh aje...”


Aku tidak jadi menyarung kasut. Biasan kak Zara di dalam cermin aku renung dalam-dalam.

            

“Apa akak cakap ni?” Soalanku membuatkan kak Zara tersenyum semakin lebar.


Dia bingkas, berdiri di belakangku sambil kedua tangan memegang bahuku. 


“Lisa, orang buta hati je yang tak nampak, tak rasa...” bisiknya rapat di telingaku.


Mukaku serentakitu jadi merah.

“Jangan sampai jadi macam akak...” aku mengetap bibir. Kiranya kak Zara masih diikat kenangan lalu.


Cerita cinta kak Zara bukan dongeng Cinderella. Bukan juga hikayat Bawang Putih Bawang Merah. Cerita cinta kak Zara bukan dongeng 'happily ever after'. Lelaki yang selama ini selalu di sisinya sejak zaman belajar, rupanya dalam diam memendam rasa.


Kak Zara tidak sedar, tidak peka dengan cinta yang hadir dalam diam. Dia hanya menyedari yang hatinya selama ini disimpan orang ketika dimaklumkan yang Abang Syafik menerima jodoh pilihan keluarganya setelah berkali mesej cinta yang cuba disampaikan kepada kak Zara tidak diterima.


Sudahnya sehingga kini kak Zara masih sendiri, menyibukkan diri dengan kerjayanya sebagai pereka fesyen. Menyesali kesilapan dahulu. Menolak kehadiran mana-mana lelaki ke dalam hidupnya. Mungkin hatinya masih disimpan oleh abang Syafik yang kini bahagia bersama isteri dan empat orang anaknya.


“Dah, jom turun. Ma dengan abah nak tengok anak dara dia...” khayalanku putus di situ.


Hakimi tiba tidak lama kemudian. Penampilannya setema denganku. Kami seakan melengkapi satu sama lain.


Dia dengan ringan mulut memujiku beberapa kali dan mengucapkan terima kasih kerana aku sudi memenuhi permintaannya. Aku hanya sambut dengan senyuman, dalam diam mengakui yang dia nampak tampan yang luar biasa malam ini.

 

Melangkah ke dalam dewan, kami disambut suasana yang meriah. Teman-teman sepejabat hadir dengan pakaian menepati tema. Setiap seorangnya kelihatan berbeza apatah lagi setelah disolek dan didandan.


Aku dan Hakimi mengambil tempat di salah sebuah meja berhampiran pentas. Majlis akan bermula lagi lima belas minit. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Hakimi yang sangat kacak dalam tuxedo hitam dan kemeja putih gading. Rambutnya diikat kejap tinggi-tinggi. Sekali imbas, seakan-akan Anuar Zain!


“Sorry lambat”


Aku tertoleh mendengarkan suara Putri, seakan berbisik. Dia terus mengambil tempat di sebelahku. Aku menjenguk ke sisinya, mencari bayang teman yang dijanji bawa bersama untuk diperkenalkan kepada kami.


“Mana dia?” Tanyaku, tidak sabar.


“Siapa?” Soalnya kembali, dalam senyum. Aku tahu dia faham soalanku. “Kejap, dia pergi toilet.”


Tidak pun sampai lima minit, aku dengar satu suara yang agak biasa menyapa dari belakang. Sepantas itu aku dan Hakimi serentak tertoleh.


“Abang!”


Putri yang sudah bangun, berdiri di sisi abang Zafri sambil tersengih lebar. Abang Zafri pula gelak-gelak kecil menerima reaksi kami.


“Berapa lama dah ni? Serius ke?” Tanya Hakimi dengan kening terangkat.


“Baru aje...tapi, insya Allah, serius.”


Aku bau keyakinan yang tinggi dalam jawapan ringkas abang Zafri.


“Teruk tau. Itupun nak rahsia-rahsia.”


Aku mencubit lengan Putri dan kemudiannya menumbuk bahu abang Zafri. Mereka berdua ketawa sambil berpandangan. Ada rasa bahagia di situ dan aku turut terkesan auranya.


Tanpa dapat aku kawal, aku menoleh ke arah Hakimi dan di luar sedarku, dia juga rupanya sedang merenungku dengan pandangan yang sangat lembut. Bibirnya mengukir satu jenis senyuman, senyuman yang amat jarang dapat aku lihat. Senyuman yang dalam dan penuh makna.


Tapi detik itu tidak lama. Suara pengacara majlis menjemput kami agar duduk di meja masing-masing kerana majlis akan bermula, menoktahkan situasi.

 

“Nanti, Akim ada suprise untuk Lisa, tau...” aku dengar suara Hakimi berbaur antara hingar muzik. Ketika itu, kami baru selesai makan. Sesi cabutan bertuah dan persembahan kakitangan mula mengisi acara.


Aku senyumkan sahaja kata-katanya dengan anggapan yang dia mahu mengusikku. Selesai menghabiskan minumannya, Hakimi meminta diri. Aku yang sedang sibuk berbual dengan Putri, mengorek cerita mengenai hubungannya dengan abang Zafri, hanya mengangguk sambil lewa. Mungkin dia mahu ke tandas.


Tiba-tiba seisi dewan diam. Masuk alunan muzik yang pernah aku dengar disusuli merdu suara seorang lelaki. Aku dan Putri terus mati bicara dan mata kami serentak itu juga pergi ke atas pentas.


Di situ – di tengah pentas – dengan mikrofon di tangan - Hakimi sedang berdiri, sedang menyanyi dan lagu itu – ingatanku dibawa kembali ke dalam Kembara ketika dia menghantarku untuk menemui Am di mana dia menyanyikan lagu itu buat pertama kali dan kali ini, di sini, dia menyanyikannya sekali lagi.


Lagu ‘Gadisku’ nyanyian Amy Search terus memenuhi ruang dewan. Ada siulan-siulan nakal kadangkala mengisi di antaranya. Dan aku, terus terpaku dengan perasaan yang sama sewaktu dia menyanyikannya dahulu. Putri mencuit hujung sikuku.


“Untunglah dia...cik abang romantik malam ni...” usikan Putri aku tangkap sayup-sayup di telinga dan aku tiada minat untuk membalas.


Buat masa ini ruang lingkup pandanganku hanya terfokus pada dia, pada Hakimi yang sedang mengalunkan rangkap terakhir lagu sambil matanya memandang terus ke arahku. Waktu itu aku rasakan gerak jam seakan terhenti. Dewan jadi kosong – hanya ada dia dan aku – saling merenung – menyampai rasa melalui mata.


Tepukan yang bergema memecah momentum yang terbeku sebentar tadi. Aku ditarik semula ke realiti. Putri dan abang Zafri bersungguh-sungguh bertepuk tangan bersama seisi dewan yang lain. Aku sahaja yang terpingga sendiri, dibuai perasaan yang entah bagaimana.


“Alhamdulillah...selesai!”


Hakimi kembali ke kerusinya, mencapai gelas berisi air kosong dan meneguknya sampai habis. Beberapa orang kenalan yang kebetulan lalu berhampiran menepuk-nepuk bahunya serta memuji suara dan keberaniannya. Dia hanya tertawa.


“Kenapa senyap je? Ok tak tadi?” Soal Hakimi.


Tiba-tiba aku jadi malu. Aku hilang kata-kata. Aku rasa kekok.


“Kenapa ni?” Soalnya lagi.


Dia meletakkan gelas, menolak badannya menghadapku dan membongkokkan sedikit kedudukan mulutnya agar dekat dengan telingaku.


“Lagu tu...untuk Lisa.”


Ringkas ayat itu tetapi impaknya memanah jauh ke dalam jantungku sehingga rentak debarnya menjadi tidak tentu arah. Wajahku terasa panas.


Aku menanti seandainya ada perlanjutan kata-kata tersebut tetapi diam – seminit, dua minit, tiga minit dan akhirnya aku memanggung dagu merenung Hakimi yang sedang enak-enak menyisip minuman panas sambil berbual dengan teman di kerusi sebelahnya – seperti dia tidak pernah mengucapkan apa-apa kepadaku sebelum itu.


Akukah yang salah menelah atau dia yang tidak peka dengan makna-makna bicara yang dilafazkannya? Atau mungkin aku ini manusia yang mudah dibuai ayat-ayat manis?


Aduh, susahnya hendak memahami hati seorang manusia yang bernama Hakimi ini.

Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.