Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 55

...1999...

 

Percutian singkat ke Colmar Tropicale telah melembutkan hati kak Zara. Permintaan maaf dan air mata penyesalan kak Zara kiranya menjadi mengubat luka di hati mama dan Abah. Situasi di rumah tidak lagi setegang dulu. Kisah cinta kak Zara dan abang Syafiq juga terus hilang tidak terungkit.

            

Sehinggalah hampir sebulan selepas itu, di suatu petang Sabtu yang lembab, kami dikejutkan dengan kehadiran abang Syafiq yang basah lencun di depan pagar – merayu kepada abah untuk bertemu dengan kak Zara – mahu menyelesaikan apa yang tergantung.

            

Kami pun berkumpul di ruang tamu. Abah, mama, aku dan juga kak Zara – duduk menghadap seorang lelaki bernama Syafiq bersama seteko air kopi yang masih panas berwap.

            

“Pakcik, saya mintak maaf sangat-sangat. Saya dah cuba...tapi saya memang tak boleh lupakan Zara.”


Itu pembuka bicaranya. Abah, aku lihat menggeleng beberapa kali. Kak Zara pula hanya merenung jauh dengan pandangan yang kosong. Aku tidak dapat meneka apa yang sedang dia fikirkan kerana riak wajahnya tidak berekspresi. Sedihkan dia? Gembirakah dia?

            

“Tolonglah, Syafiq, lupakan Zara. Kesian kat isteri kamu tu.” Tanpa menunggu apa-apa lanjutan kata daripada abah,aku dengar mama bersuara, lembut, separuh memujuk.

            

“Makcik, saya nak kahwin dengan Zara, saya nak jadikan dia isteri saya - ”

            

“Isteri kamu dah sedar dari koma? Dia dah tau?”


Pintas abah dalam nada sangat bersahaja tetapi cukup untuk membuatkan abang Syafiq terdiam. Lama juga dia termanggu, mencari kata.


“Belum lagi.Pakcik, doktor bagitau yang keadaan dia sekarang 50/50. Kalau dia survive pun, mungkin lumpuh. Jadi saya rasa tak salah kalau saya nak cari bahagia saya sendiri. Sebab tu saya nak kahwin dengan Zara.”


Aku terasa bagai hendak termuntah mendengarkan setiap bait ayat yang terluah dari mulut abang Syafiq - jelas sangat tidak berperasaan, sangat mementingkan diri sendiri. Aku tahu mama dan abah turut panas telinga saat ini.


“Kamu sanggup tinggalkan isteri kamu yang mungkin lumpuh tu untuk Zara?” Soal abah, nadanya sedikit sakarstik.


“Saya sanggup, pakcik, demi Allah - ”

            

“Kamu jangan pandai-pandai nak kaitkan Allah dalam hal-hal macam ni!”


Kiranya kata-kata abang Syafiq mula memancing amarah abah kerana dia sudah bingkas dari kerusinya.


“Hari ni, kamu sanggup tinggalkan isteri kamu yang sakit tu untuk Zara. Kalau satu hari nanti Zara jadi macam tu, kamu mesti akan buat yang sama, kan?”


Bahasa abah sudah tiada kompromi – jelas menunjukkan betapa dia tidak bersetuju dengan semua ini. Aku menjeling kak Zara dengan ekor mata. Dia masih senyap, dalam posisi yang sama seperti tadi.


“Tapi pakcik, saya cintakan Zara. Saya tau yang Zara pun cintakan saya. Zara...cakaplah, bagitau your parent perasaan you pada I. Apa yang kita dah rancang...Zara.”


Diam. Kak Zara terus membatukan diri.


“Tolonglah...sekarang ni, pakcik rasa, baik kamu tumpukan perhatian pada family kamu, jaga isteri kamu tu. Doa banyak-banyak biar dia cepat sembuh. Patutnya masa ni kamu ada dengan isteri kamu, anak-anak kamu. Bukannya datang rumah orang, mintak anak dara orang macam ni.”


Abang Syafiq mengetap gigi. Rahangnya kelihatan bergerak-gerak seakan menahan rasa tidak puas hati. Aku sudah bersedia dengan telefon genggam. Nombor talian kecemasan berada cuma di hujung jariku. Orang gila cinta pasti sanggup melakukan apa sahaja, dan aku tidak mahu keluargaku diapa-apakan.


“Pakcik jangan nak pandai-pandai bagitau apa yang saya patut buat dengan hidup saya. Kalau pakcik kat tempat saya, saya rasa pakcik pun buat yang sama. Siapa yang nak hidup dengan perempuan yang macam tu? Dia tak dapat nak penuhkan keinginan zahir dan batin saya lagi, pakcik.”


Bulat mataku memandang abang Syafiq yang sedang melontar kata. Gayanya sangat yakin.


“Ok, perbincangan kita dah tamat. Nak Maghrib dah pun. Tolong keluar dari rumah kami dan jangan cari Zara lagi.”


Itu akhirnya keputusan abah.


“Saya takkan keluar selagi Zara tak cakap apa-apa. Saya nak dengar keputusan dari mulut Zara sebab saya nak kahwin dengan dia, bukan dengan pakcik!”


“Kurang ajar! Macam ni ke awak mintak anak dara orang? Kamu ingat Zara ni apa?”


Suara abah dan abang Syafiq mula bertingkah dalam nada yang agak tinggi. Mama menarik aku ke dalam pelukannya. Mujur Zairy belum pulang dari kelas tambahan.


“Pakcik yang paksa saya sampai jadi macam ni-”


“DIAMMMM!!!!!”


Abang Syafiq terdiam. Abah pun. Aku dan mama terlongo, memandang ke arah kak Zara dengan mata tidak berkelip. Di sisi kami dia sedang berdiri dengan hela nafas yang tertahan –tahan.


“Syafiq, go home. Auni perlukan you lebih dari I. Anak-anak you pun. Kita dua,” kak Zara berhenti di situ, menyeka airmata sebelum menyambung, “sampai bila pun takkan jadi apa.”


“Zara...no...please. Jangan buat I macam ni. You kata you cinta I.”


“Please, stop.You baliklah. I dah takde apa-apa rasa untuk you lagi. You baliklah, Syafiq.”


Sayu suara kak Zara meluahkan rasanya. Sesekali dia menyapu mata. Mama bingkas dan merangkul kak Zara erat-erat. Kemudiannya aku turut berbuat yang sama. Aku mahu kak Zara tahu, yang dia masih ada kami menyokongnya dalam menghadapi semua ini.

“Kamu dah dengar, kan? Sekarang, tolong keluar sebelum pakcik panggil polis.” Kesempatan itu abah ambil dengan memberikan arahan sekali lagi namun abang Syafiq masih tidak berganjak.


“Zara, I cinta you...please,”


“Sorry, but I don’t anymore. Sorry Syafiq. Kita habis kat sini.”


Dengan ayat itu, kak Zara melonggarkan pelukan mama, berpaling dan terus naik ke bilik. Kiranya itu keputusan paling sukar untuk kak Zara lakukan dalam seumur hidupnya.


Tanpa perlu arahan baru dari abah, abang Syafiq melangkah keluar dari rumah. Menyarung kasut dan berlalu pergi tanpa berpaling sedikit pun lagi. Drama cinta sebabak petang itu berakhir dengan deru hujan yang mencurah ke bumi serentak dengan berkumandangnya azan Maghrib dari surau berdekatan.



Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.