Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 56

...2001...

 

Aku bersimpuh di sisi Putri yang manis berbaju kurung moden dari kain lace putih gading. Berhampiran mimbar, abang Zafri bersila di kelilingi ahli keluarga yang lain. Hakimi juga ada di situ. Lengkap berbaju melayu hijau muda, bersamping dan bersongkok. Kacaknya dia, tidak seperti hari biasa.


Putri yang selalunya keletah, hanya tunduk merenung jari-jarinya yang merah berinai. Pasti dia sedang berkongsi debar dengan abang Zafri. Beberapa ketika lagi, mereka akan diijabkabulkan. Maknanya Putri akan naik status daripada teman ke kakak ipar.


Aku teringat rentetan peristiwa di majlis makan malam syarikat ketika Putri mengumumkan tentang hubungannya dengan abang Zafri. Segala kemudiannya datang sangat mendadak.


Lebih enam bulan selepas itu, keluarga kami dikejutkan dengan hasrat abang Zafri melangsungkan pertunangan dengan Putri. Aku pasti daripada reaksi yang dipamerkan oleh mama, abah dan ahli keluargaku yang lain, memang tidak akan ada apa-apa bantahan daripada pihak kami.


Rancangan pertunangan itu disambut baik oleh Uncle Muiz yang rupanya dalam diam telah merancang untuk menghantar Putri melanjutkan pelajarannya ke Australia. Kiranya abang Zafri mendapat durian runtuh apabila Uncle Muiz menawarkan untuk membiayai pengajiannya sekali.

 

 

Hari Rabu, beberapa bulan sebelum itu. Aku tiba lewat lima belas minit ke tempat yang dijanjikan. Ketika melangkah masuk ke dalam restoran bercirikan masakan tradisional Negeri Sembilan itu, Putri sudah pun menunggu. Dia melambaiku dengan senyum yang sangat manis.


“Sorry, lambat. Takde cab tadi. Lama ke dah sampai?” Soalku sambil menarik kerusi di depannya.


“Baru je. Tak order apa pun lagi. Eh, kita order minum dulu ek?”


Putri menggamit pelayan yang sememangnya sedari tadi sudah sedia berdiri berhampiran.


“Nescafe o ais, nescafe kasi lebih, gula kurang, ye.”


“Teh o ais satu, limau suam satu. Makan nanti kemudian.”


“Eh, ada orang lain ke join kita lunch ni?” Soalku setelah pelayan tersebut berlalu bersama pesanan kami.


“Ha’ah...Lisa tak kisah kan?”


“Siapa?” Putri seakan membiarkan soalanku tergantung apabila dia membuka menu dan mula meneliti pilihan makanan.


“Kita ambil set lunch untuk 3 orang nak? Ada udang masak lemak cili api, kangkung belacan...atau Lisa nak ikan? Ayam masak lemak?”


Aku yang sememangnya masih belum menjamah makanan sejak pagi, tiba-tiba turut teruja apabila mendengarkan pilihan set yang dicadangkan oleh Putri.


Buku menu di atas meja aku capai dan kuselak satu-persatu. Persoalan mengenai orang ketiga yang akan menyertai sesi makan tengah hari kami tenggelam sehinggalah pesanan kami tiba memenuhi ruang meja.


“Lambatnya dia ni...” aku dengar Putri mengeluh sambil mengacau air yang tinggal separuh.“Kejap ye, Lisa. Putri try call dia.”


Aku menggangguk. Wap nasi yang mengapung di depan mukaku membuatkan perut kosongku bertambah berkeroncong. Laparnya!


“Sorry lambat...sorry...sorry sangat. Cab takde tadi.”


Aku terpaling manakala Putri tergelak.


“Adik-beradik! Alasan pun sama!” Ujar Putri, masih dalam gelak. Aku dan abang Zafri turut tertawa.


Abang Zafri duduk bersebelahan Putri. Mereka berpandangan seketika, bertukar senyum dan aku otakku terus sahaja dipacu mengingati Hakimi. Alangkah bagusnya kalau Hakimi seyakin abang Zafri dalam memberikan perasaan. Persahabatan aku dan Hakimi sudah bertahun mendahului Putri dan abang Zafri tetapi sehingga kini aku masih kabur tentang status sebenar hubungan kami.


“Oiiii...sampai mana dah?”


Aku tersentak. Di depanku dua pasang mata sedang memandangku dengan tanda tanya. Aku hanya jungkit bahu sambil tersenyum.


Selesai makan, ketika kami sedang menikmati pencuci mulut, Putri mencapai tanganku. Suapanku terhenti. Aku meletakkan kembali sudu ke dalam mangkuk yang masih penuh berisi bubur kacang.


“Lisa, kitorang ada benda nak bagitau Lisa ni...” itu permulaannya. Aku secepat itu dapat mengesan bentuk berita yang bakal disampaikan.


Putri berpalingke arah Abang Zafri, yang kemudiannya mengangguk seakan memberi keizinan untuk dia meneruskan.


“Kitorang...urmmmm...nak kahwin!”


Walaupun berita itu sudah dapat kuagak namun kejutannya tetap menghambat laju degup jantungku. Aku cepat-cepat berdiri, memeluk Putri yang ketika itu sudah merah mukanya. Dan tidak tahu mengapa, kami sama-sama menangis. Aku tumpang gembira, tetapi ada satu perasaan lain yang sedang berpusing dalam diri. Cemburukah aku dengan cerita cinta Putri yang laluannya sangat sempurna?


“Abang memang nak bagitau mama dengan abah, tapi Putri ni hah, sibuk nak Lisa tau dulu.” Ringkas penerangan abang Zafri setelah emosi kami berdua kembali reda.


“Congrats...bila nak bagitau yang lain?” Putri mengetap bibir. Sepasang matanya menjeling abang Zafri.


“Insya Allah,hujung minggu ni.”

 

 

Tidak sampai setahun selepas majlis pertunangan, kami sudah pun di sini. Duduk ramai-ramai berkumpul di ruang masjid, menjadi saksi dua hati yang bakal menjadi satu. Di luar sedar, mulutku mengukir senyum.


Lamunanku terputus apabila Putri mengenggam tanganku. Dia mengerjipkan matanya sambil memberi isyarat yang majlis akad nikah akan bermula. Hanya dengan sekali lafaz, Putri sudahpun selamat menjadi isteri abang Zafri.


Kami menadah tangan, mengucap syukur kerana segalanya dipermudahkan. Mama, seperti selalu, tenggelam dalam babak airmata ketika abang Zafri dan Putri menyalaminya. Auntie Syahira, mami Putri juga begitu.


“Salam kakak tu...” arah mama dengan hidung sebu apabila melihatkan aku selamba merangkul bahu Putri – seperti kebiasaan.


“Tak payah’lah panggil kakak.” Rungut Putri. Aku mengangguk menyetujui.


“Mana boleh...Lisa, salam kakak.”


Arahan kali kedua mama dengan nada yang sedikit menekan aku akurkan. Aku tarik kedua tangan Putri, aku salami kemudiannya aku cium. Terjerit Putri melihatkan tingkahku.


“Tuanya rasa!” Kami tergelak, kemudiannya terdiam. Lama aku renung wajah putih bersihnya sebelum aku peluk dia.


“Welcome to the family, ‘kak’ Putri.” Ucapku ikhlas. Putri membalas pelukanku erat dan rapat.



Previous: Bab 55
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.