Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 54

...2000...

 

Bonda mengusap belakang Hakimi yang sedang tersedak. Habis tersembur segala inti karipap ke atas meja. Teh o suam yang dihulurkan bonda, disuanya laju-laju ke mulut. Tekak terasa perit manakala matanya pula terasa pedih. Siapalah yang menyebut namanya pagi-pagi sebegini?


“Ini mesti tak Bismillah sebelum makan ni.”


Usik bonda apabila keadaan Hakimi sudah reda. Dia sudah mengunyah karipap yang kedua.


“Siapalah yangmenyebut nama kamu ni?”


“Entah, bakal menantu bonda kot?”


Acah Hakimi kembali, seronok mengusik bonda yang sejak akhir-akhir ini selalu sahaja berkias tentang keinginannya menerima menantu.


Belum sempat bonda membalas, telefon genggam Hakimi di atas piano menyanyi-nyanyi minta dijawab.


“Hah, betul’lah tu kot. Tu bakal menantu bonda dah telefon.”


Bersahaja bonda mengiyakan. Hakimi nyaris tersedak kali kedua. Sambil menghabiskan karipap di tangan, dia melihat ke skrin dan tersenyum. Ya, Allah, masinlah hendaknya mulut bonda!


“Ya Cik Izara Marleesa?” Sapanya apabila yakin yang bonda sudah tiada di situ.


“Iya, wa’alaikumsalam...”


Hakimi sambut jawapan Lisa dengan tawa kerana menyedari yang dia sedang  disindir.

“Tengah buat apa tu?”


“Baru lepas tersedak!” Jujur Hakimi memberitahu.


“Samalah kita!” dan kemudiannya Lisa di sana terdiam.


Hakimi dapat mengagak yang gadis itu pasti sedang menggigit jari dan Hakimi tergelak sendiri.


“Samalah kita...” ulang Hakimi, lembut.


Kata-kata Lisa yang spontan tadi mengukir satu perasaan yang manis di dalam dirinya.


“Kat mana ni? Dah ada kat KL ke?”


Soalnya setelah kehilangan suara di sebelah sana untuk beberapa ketika. Mungkin ayat ulangannya juga turut memberi impak rasa yang sama terhadap Lisa.


“Urmmmm...kat Colmar lagi.”


“Dah selesai ke problem kak Zara?”


“Belum. Eh,tapi - ” nada suara Lisa berubah. Kedengaran sedikit teruja. “Teka, Lisa jumpa siapa kat sini?”


“Siapa?” Ringkas Hakimi menyoal kembali, malas untuk berteka-teki.


“Laaaahhh...tekalah!”


Dia menggaru kepala yang tidak gatal.


“Siti Nurhaliza? KRU? Urmmmm...artis? Pelakon? Urmmm...Anuar Zain?”


Tawa Lisa pecah di corong sebelah sana dan Hakimi sekaligus menjadi terhibur.


“Melalut sangat dah tu...kejap, eh – nah, cakaplah.”


Hakimi tahu yang telefon sedang bertukar tangan.


“Assalamualaikum.”

Satu suara garau menyapanya. Dia menjawab salam dengan dahi berkerut. Suara itu, seperti pernah didengar, tapi –


“Hakimi? Ingat aku lagi tak?”


“Ikhhh...wan?” Dan Ikhwan galak ketawa.


Hakimi dan Ikhwan berbual panjang. Panas telinga mereka berdua apabila saling bertingkah suara mahu mendahului cerita dan berkongsi ingatan yang banyak tercicir. Dia tumpang gembira mendengarkan yang Ikhwan sudahpun berkeluarga.


“Kim, tanya sikit boleh?”


Hakimi seakan tahu soalan apa yang bakal keluar dari mulut Ikhwan namun dia diamkan sahaja. Dia dengar derap tapak seakan menjauh daripada Lisa.

“Sorrylah aku tanya ni, kau dengan Lisa macam mana?”


Hakimi melepas keluh. Bagaimana harus dia menjawab soalan itu?


“Tak tanyaLisa?”


Sengaja dia membalikkan soalan. Dia dengar Ikhwan tergelak di sebelah sana.


“Sampai bila nak tarik tali ni? Aku dah tanya dah Lisa, tapi aku tak suka jawapan dia. Aku rasa kau pun tak suka.” Balas Ikhwan selamba, masih dalam gelak-gelak.


“Susahlah, Ikhwan, aku bukan tak nak bagitau dia, tapi...aku rasa belum masa’lah lagi. Dengan aku takde kerja ni. Sekurang-kurangnya kalau dah stabil sikit, ok kot.”


“Bila agak-agaknya tu, Kim?”


“Entahlah...anak orang tu. Bukan boleh senang-senang je nak bagi harapan.”


Ikhwan di sana gelak lagi. Biarlah, Hakimi memujuk hati sendiri. Mungkin sukar untuk orang lain memahami mengapa dia sangat sukar meluahkan perasaannya yang telah lama terbuku kepada Lisa.


Soal yang melibatkan hati dan perasaan bukannya perkara mudah. Dia tidak mahu memberi kata cinta dan kemudiannya menghancurkan. Dia mahu betul-betul bersedia apabila saat itu tiba walaupun ada ketikanya dia sendiri tidak dapat menahan diri daripada mempamerkan rasa yang sudah lama terpendam di dalam diri.


“Takpelah, Kim, aku mintak maaf. Aku tahu aku takde hak untuk masuk campur cuma aku nak sangat tengok kau dengan Lisa.”


“Takpe, aku faham, Insya Allah, kau doakan aku.”


Perbualan mereka terhenti apabila kedengaran suara Lisa menghampiri sambil mengomel tentang prepaidnya yang semakin berkurangan dan bertanya berapa lama lagi perbualan akan berlangsung.. Hakimi dan Ikhwan sama-sama tergelak.
Previous: Bab 53
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.