Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 8

...1998...

 

Seminggu yang dijanjikan dalam usaha untuk membantu Hakimi menyelesaikan art work yang terbengkalai akhirnya melarat-larat membawa ke dua minggu.


Setelah semua kerja Hakimi betul-betul selesai, kami sama-sama mengemaskan studio, membuang kertas suratkhabar yang bersepahan, membasuh pallete, membersihkan berus lukisan dan mengutip tin-tin minuman kosong serta bungkusan makanan ringan yang telah kami kumpul dalam suasana penuh gelak ketawa.

           

“Haii...siap jugak akhirnya.”


Ucap Hakimi bersama helaan nafas yang panjang. Ketika itu kami sama-sama duduk di koridor studio, kepenatan.

            

“Itulah..hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.” Sindirku dengan gelak-gelak kecil.

            

“Tapi tu’lah, mungkin sebab ada teman, kot. Anyway, thanks Lisa. Thanks a lot for everything. Akim takkan lupa sampai bila-bila, ” kata-katanya yang lirih menyentuh hatiku.

            

“Apa yang Lisa buat ni takkan sama dengan apa yang Akim dah buat untuk Lisa sepanjang enam tahun persahabatan kita ni...” balasku dengan suara yang mula tertahan-tahan.

            

“Jangan diungkit. Kita kan bestfriend!”


Ayat itu seakan memukul emosiku. Aku tidak suka bunyinya. Aku tidak mahu terus-terusan untuk menjadi kawan baiknya. Aku mahu lebih dari ini! Tetapi semua itu hanya sekadar bersiponggang di dalam hatiku. Pertama, kerana aku sudah punya Am dan kedua, Hakimi tidak pernah menganggap aku lebih daripada seorang adik dan kawan baiknya. Kesunyian yang mengambil tempat antara kami melontarkan aku kembali ke peristiwa enam tahun dahulu.

 

...1995...

 

Pulang dari janji temu yang penuh dengan tanda tanya dan kesedihan dalam diam itu, aku terus memanjat katil tanpa menukar baju. Menyembamkan muka ke atas bantal, aku menangis di situ sepuas hati. Sedang asyik aku melepaskan rasa yang kusimpan sejak tengah hari tadi, kurasa bahuku disentuh. Perlahan-lahan aku mengangkat muka.

            

“Lisa...kenapa ni?” Aku peluk mama kuat-kuat dan menyambung tangis di bahunya.


Aku tahu mama pasti merasa pelik kerana sewaktu aku meminta izin untuk keluar dengan Hakimi pagi tadi, aku kelihatan gembira. Namun begitu mama tidak lagi bertanya sehinggalah emosiku menjadi sedikit stabil.


Dengan rambut yang sudah separuh terlerai dari getah ikatannya dan muka bersememeh dengan campuran airmata yang sudah kering dan masih mengalir, aku duduk menghadap mama.

            

“Kenapa ni? Cuba cerita kat mama...”aku capai tangan mama.

            

“Akim, ma.” Aduku.


Mama terus diam. Memberi ruang untuk aku mengumpul kekuatan menyambung cerita.


“Lisa ingat dia ajak keluar sebab nak bagitau yang yang dia suka kat Lisa...”


Suaraku kembali serak, mengimbangi rasa sebak yang memukul-mukul di dalam dada.


“Rupa-rupanya...”


Air hangat kembali berlumba-lumba keluar dari mata. Hidungku pula terasa sebu.


“Rupa-rupanya dia nak bagitau kawan dia yang minat kat Lisa, ma...sampai hati dia...” mama mengesat wajahku kemudiannya menarikku lebih dekat kepadanya.

            

“Mama nak tanya sikitlah, Hakimi tu...pernah ke dia janji apa-apa dengan Lisa sebelum ni? Pernah dia bagitau dia sayang kat Lisa? Anggap Lisa lebih daripada apa yang sepatutnya? Pernah?”


Ngongoiku surut mendengarkan soalan-soalan yang terlontar dari mulut mama. Aku mula menghakimi hubungan aku dan Hakimi dalam senyap.Memang selama ini kami pernah berjanji untuk menjadi kawan baik, berjanji untuk menjadi akrab seperti abang dan adik malahan turut pernah mengaku yang kami adalah sepupu tetapi tidak pernah pun sekali sejak peristiwa aku pitam di dewan Hakimi berjanji untuk mencintai aku atau menganggap aku lebih daripada apa yangsepatutnya.

           

“Lisa suka Hakimi, ya?”


Soalan mama terasa seperti masuk ke salur telinga,melalui salur jantung dan terus mencucuk ke tangkai hati. Wajahku terasa panas. Aku mendongak perlahan-lahan, kemudian mengangguk.


“Lisa nak persahabatan Lisa dengan Hakimi habis macam tu aje?”


Aku menggeleng, dalam diam berdoa sangat-sangat yang perkara tersebut tidak kan berlaku.


“Jadi anggap saja yang Hakimi tak ada niat langsung nak buat Lisa sedih. Lagipun, tak semestinya Lisa kena terima kawan dia tu jadi boyfriend Lisa. Mungkin boleh kawan-kawan dulu dengan dia. Sekarang yang penting Lisa concentrate kat study. Soal jodoh, cinta ni semua, satu hari akan datang jugak, tapi bukan sekarang.”

            

“Habis tu... Lisa nak buat apa sekarang ni,ma?”

            

“Kawan dengan Hakimi macam biasa...dengan kawan dia...siapa nama budak tu?”

            

“Ikhwan, ma...”

            

“Hah, dengar Ikhwan pun kawan juga. Lisa muda lagi, apa salahnya kumpul kawan banyak-banyak dulu. Nanti dah sampai masa, baru buka katalog buat pilihan, okay?” Gurauan mama membuatkan aku sedikit terhibur.


Dan nasihat mama itu kuikuti. Hubungan aku dan Hakimi berjalan seperti biasa manakala persahabatan antara aku dan Ikhwan pula semakin erat.

           

...1998...

 

Tiba-tiba Hakimi bangun, membawa aku kembali ke realiti, mengesat punggung jeansnya yang berpasir dan kemudian menghulurkan tangan kepadaku.

            “Jom...Akim belanja Lisa makan aiskrim.” Aku sambut hulurannya dengan perasaan hebat bertarung. Ah, Hakimi, kalaulah...
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham