Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 9

...1998...

 

Cuti pertengahan semester masuk hari ketiga minggu kedua. Bosannya hanya Allah sahaja yang tahu. Aku sejak pagi ke hulur hilir dengan novel yang baru dibeli oleh kak Zara, dari bilik ke dapur, dapur ke ruang tamu, ruang tamu ke ruang rehat kemudian duduk di ruang makan namun mukasurat yang kubaca tidak juga bergerak-gerak.


Hendak keluar tiada kawan kerana Dania dan Afira masing-masing sudah balik ke kampung manakala Am terikat dengan jadual pengambaran filem pertamanya dan ini sekaligus telah menyekat lebih banyak masanya untukku. Hakimi pula sibuk membantu ayahandanya menyelesaikan tugasan di pejabat.

            

“Aiii...tak keluar ke?” Soalan abang Zafri, abang keduaku, aku sambut dengan jelingan.

            

“Sibuk aje! Tak pergi kelas ke?”


Cawan berisi Nescafe yang baru ingin kubawa rapat kemulutku, dicapainya. Dengan sekali teguk, cawan yang tadinya penuh berisi menjadi kosong. Aku merengus geram.

           

“Tak bosan ke duduk rumah? Pergilah bawa-bawa diri tu berjalan ke, jogging ke, keluarkan peluh kat luar. Tengok muka tu, dah makin kembang, macam apam!”


Beberapa biji bantal empat segi di atas sofa, kubaling kearahnya tetapi sempat ditepis dengan pelbagai aksi, membuatkan aku bertambah geram.

            

“Ya, Allah, budak-budak ni, apa saja la kerjanya ni. Mengemas tak mau menolong, buat sepah aje kerjanya...” aku berlari mendapatkan mama.

            

“Ma, tengoklah abang ni...dia kata muka Lisa dah kembang...” mama tergelak.

            

“Benda betul, kenapa nak marah?” Terjerit aku mendengarkan kata-kata mama yang secara terang-terangan menyebelahi abang Zafri. “Dah-dah...kutip balik bantal ni. Macam budak-budak!”


Serentak itu juga telefon berbunyi. Malas untuk mengemas, aku terus berlari ke bawah tangga untuk menjawab panggilan sambil sempat menunjukkan isyarat padan muka kepada abang Zafri.

            

“Hello...”

            

“Assalamualaikum...Lisa,”

            

“Akim! Kat mana ni?”


Mendengarkan nama Hakimi disebut, abang Zafri menghadiahkan aku sebuah senyum mengejek.

            

“Kat office ayahanda. Jom keluar.Aaa...pergi Kinokuniya, nak tak?”

            

“Kata hari tu cuti ni kena tolong ayahanda kat office.”

            

“Dah siap dah. Ayahanda dah balik Sudan pun. Macam mana? Nak tak?”

            

“Lisa kena tanya mama dulu...kejap ye?”


Aku mencari mama di dapur.

            

“Nak keluarlah tu!”


Belum sempat aku bersuara, abang Zafri yang sedang memotong sayur sudah memanjangkan hajatku. Aku menarik muncung kemudian menoleh ke arah mama yang sibuk membasuh ikan di sinki.

            

“Boleh tak, ma? Cuti ni Lisa tak keluar pun langsung...” aku melembutkan suara, menagih simpati mama.

            

“Sebab tu makin tembam!” Abang Zafri menyampuk. Sakit hatiku melihat dia terkekeh menyambut lawaknya sendiri.

            

“Boleh tak ma? Lisa nak keluar dengan Hakimi pergi KLCC.”

            

“Jangan balik lambat sangat!” Akumelompat kesukaan. Dengan keizinan itu, aku kembali mencapai gagang.


Di dalam kepala sudah merangka baju dan tudung warna apa yang hendak dipakai. Nasib baik jeans tidak perlu digosok. Buku cerita Kak Zara pun terus terdampar di atas meja di ruang makan dan aku tahu, aku sudah tidak punya minat untuk meneruskan pembacaan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.