Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 19

...1999...

 

Baru sekarang aku dapat menangkap bahawa ‘pakwe’ yang sepupu-sepupuku maksudkan adalah Hakimi, bukannya Am. Patutlah Mak Uda beria-ria mengatakan bahawa Hakimi itu teman lelakiku. Pasti ada di antara sepupu-sepupuku telah menjadi penyampai laporan kepadanya.

            

Tetapi itu bukan isu yang harus aku fikirkan pada waktu ini kerana wajah Am yang seakan memendam rasa geram dan marah lebih merisaukan aku. Aku yakin yang dia sudah mendengar pengakuan Hakimi tentang perhubungan kami dan mengetahui yang aku dan Hakimi bukanlah adik-beradik sepupu seperti yang telah dimaklumkan kepadanya selama ini.

            

“Apa lagi yang awak tipu saya?”


Soalnya dengan nada tertekan sewaktu aku menghantarnya ke kereta yang terletak agak jauh dari rumahku.


“Kenapa awak buat macam tu?”

            

“Saya takde niat langsung nak tipu awak, percayalah. Saya rasa sama ada kitorang sepupu atau kawan, takde kena mengena langsung dengan perhubungan kita.” Balasku, tersekat-sekat.

            

“Selama ni saya ingat perhubungan kita ni berlandaskan rasa jujur dan percaya antara satu sama lain. Awak buat syarat macam-macam untuk saya tapi diri awak sendiri?” Am mendengus geram.

            

“Kalau pun saya bukan sepupu Hakimi, benda tu takkan ubah perhubungan ni! Kenapa awak nak besar-besarkan perkara ni?”

            

“Sebab saya tak suka awak rapat dengan Hakimi!” Kata-kata Am yang keras membuatkan jantungku seakan berhenti berdegup.

            

“A-apa awak cakap ni?


Air mata mula bergenang di pelupuk mataku.


“Saya tak suka - saya cemburu! Setiap kali keluar awak tak pernah tak cerita pasal Hakimi. Hakimi itu, Hakimi ini...saya bosan! Tapi saya pendamkan saja sebab fikirkan yang korang ni sepupu, konon!” Aku usap muka dengan tapak tangan.


Rupanya Am juga banyak memendam rasa di dalam perhubungan kami dan ini membuatkan aku berasa bersalah. Tetapi aku memang tidak perasan tentang kekerapan aku menyebut tentang Hakimi ketika kami keluar bersama. Mungkin aku yang tidak prihatin.


“Malam ni juga buat saya terfikir balik pasal keprihatinan Hakimi terhadap awak. Buat saya tertanya, betul ke awak dengan dia kawan aje?”


“Awak...janganlah macam ni.” Aku dengar Am mendengus lagi.


“Bukan sebab itu saja, awak. Baru-baru ni ada orang cerita pada saya nampak awak jalan pegang tangan dengan Hakimi kat KLCC. Tapi saya tak percaya sebab percaya dengan awak dan tau yang awak dengan Hakimi sepupu. Tapi bila malam ni, saya dapat tau tentang...” Am memegang kepalanya, seakan menahan beban yang amat. “Saya dah hilang rasa percaya, pada awak,Lisa...”


“Am...memang saya salah sebab tak jujur dengan awak.Tapi, saya dengan Hakimi memang tak ada apa-apa. Saya minta maaf, okay?”


Aku rasa pipiku mula basah. Tanpa memandangku, Am bersuara perlahan.


“Entah-entah, yang awak cakap awak sayang kat saya selama ni pun awak tipu...” kata-kata Am ibarat menjerut leherku. Nafasku jadi berat.


Am masuk ke kereta, menghidupkan enjin dan terus berlalu,meninggalkan aku memandang dengan mata berbalam dek air sehinggalah bayang keretanya hilang di selekoh.


Hampir sepuluh minit juga aku di situ, menangis, dan ketika berpaling, Hakimi sedang berdiri tidak sampai beberapa meter di belakangku. Aku tidak pasti berapa lama dia sudah terpacak di situ tapi daripada air mukanya aku dapat mengagak yang dia telah menyaksi dan mendengar semuanya.


“Lisa, Akim balik dulu.” Aku hanya mampu mengangguk dan kemudiannya terus meninggalkannya untuk masuk ke rumah.


Tiba di depan pagar, aku menoleh ke arah Kembara Hakimi. Di dalamnya, aku lihat Hakimi sedang tersandar pada kerusi. Matanya dipejamkan. Dan buat kali keduanya aku rasa bersalah pada malam ini kerana tidak menghantarnya ke kereta seperti mana yang selalu aku lakukan apabila setiap kali dia datang ke rumahku. Fikiranku agak serabut waktu ini. Belum sempat aku mengubah fikiran, kereta Hakimi sudah pun menderu pergi, meninggalkan aku dengan rasa sedih yang semakin memuncak.

 

Masuk hari ini cukup satu minggu Am tidak menghubungiku. Nampaknya peristiwa yang berlaku pada hari Sabtu lepas benar-benar meninggalkan kesan terhadap perhubungan kami. Aku sendiri tidak tahu apa yang harus lakukan kerana setiap panggilan yang aku buat kepadanya tidak pernah berjawab.


Malam Ahad itu, aku cuba sekali lagi untuk menghubungi talian Am yang asyik padam sedari semalam. Setelah peratus semangatku hampir-hampir jatuh mendatar, aku terdengar suara yang amat aku rindui menyapa dengan tona tidak bermaya.


“Awak marah saya lagi?”


Soalku, takut-takut. Am diam tidak menjawab.


“Janganlah buat saya macam ni. Kalau awak nak marah, awak marahlah. Tapi jangan bagi saya silent treatment macam ni, saya tak suka.”


“Entahlah...” ringkas sahaja ayat Am membalas.


Aku jadi bingung, tidak tahu bagaimana lagi ayat yang harus aku bina untuk mengurangkan marah di hatinya.


“Saya nak periksa minggu depan. Awak buat saya macam ni,saya tak boleh study.” Luahku jujur.


Memang sejak peristiwa tersebut berlaku, konsentrasi kuterhadap pembelajaran menjadi berkurangan.


“Awak, awak dengar sini. Saya tak nak awak campur adukkan study dengan masalah peribadi. Saya dah tak marahkan awak, cuma saya rasa buat masa ni, hubungan kita perlu rest buat sementara waktu. Saya nak masa untuk berfikir.”


“Awak nak fikir apa?” 


“Awak study hard ok?”


Soalanku dibiar tanpa jawapan.


“Am, saya tak pernah tipu bila saya kata yang saya sayang kat awak...saya memang sayang kat awak.” Akuku, dengan nada hiba.


Aku mahu Am tahu yang apabila setiap kali aku memberitahu tentang perasaanku terhadapnya, aku tidak pernah berpura-pura. Sememangnya aku menyayangi Am.


“Saya pun sayang awak, Lisa. Sekarang ni, awak focus pada study. Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya selalu doakan awak.”


Kata-kata Am membuatkan air mata yang kutahan-tahan luruh. Aku mula teresak-esak di atas katil.


“Saya tak boleh lama, ada kerja nak buat. Nanti saya call awak, ya?”


“Okay. Saya minta maaf sekali lagi. Awak take care, tau!”


“You too. Assalamualaikum.”


Perbualan tamat.


Aku renung telefon genggam di tangan. Saat itu aku betul-betul memerlukan tempat untuk melepaskan perasaan dan bahu untuk menangis sedangkan kedua orang teman sebilikku tiada, masing-masing balik ke kampung dan hanya akan pulang ke asrama pada petang esok. Jadi, pada siapa harus aku curahkan kesedihan ini? Telefon genggam di tangan masih lagi kurenung. Di luar sedar, satu demi satu nombor kutekan.


“Lisa?”


Suara Hakimi menyapa telingaku.


“Ok ke ni?”


Soalnya apabila aku terus-terusan senyap. Mendengarkan soalan itu tangisku terus menjadi.


“Lisa, kenapa ni? Shh...jangan nangis...”


Pujukan Hakimi hanya membuatkan esakanku semakin tinggi. Nafasku terputus-putus mengimbangi rasa sedih yang amat sangat sehinggakan tiada sepatah pun perkataan yang dapat aku luahkan.


Akhirnya malam itu, aku menangis sehingga bengkak kedua biji mata dan serak-serak suara di telefon, ditemani Hakimi, sehinggakan aku sendiri tidak sedar bila masanya aku terlena. Sedar-sedar sahaja, azan Subuh sedang berkumandang. Ketika itu baru aku tahu yang aku tidur tanpa menutup lampu, tingkap dan tidak juga mengunci pintu!

 

Selepas sarapan pagi sendirian di dewan makan pagi itu dengan perasaan yang masih terapung kosong, aku terima panggilan daripada Hakimi yang akan datang menjemputku di dalam masa satu jam. Aku tidak menolak kerana pada waktu-waktu begini, dengan emosi yang tidak stabil, aku rasa untuk duduk bersendirian di bilik melayan perasaan hanya akan membuatkan fikiranku semakin kacau.


Aku hanya mendiamkan diri ketika kereta Hakimi membelok ke arah tempat letak kereta Taman Tasik Shah Alam. Dari situ, kami sama-sama mula menyusuri laluan jogging, mengelilingi tasik yang tenang tanpa berbual sepatah kata pun.


Aku tidak tahu mengapa Hakimi hanya mendiamkan diri tetapi bagi pihak aku pula, aku agak buntu untuk memulakan kata-kata. Otakku kosong tanpa sebarang pembinaan ayat yang bersesuaian.


“Kita duduk sini...”


Ajak Hakimi sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Masjid Negeri jelas tersergam di depan kami. Aku mengambil tempat agak jauh sikit daripadanya.


“Tak nak cerita apa-apa ke?”


“Cerita apa?” Balasku, kurang pasti sebenarnya dengan apa yang keluar dari mulutku sendiri.


Aku dengar Hakimi mengeluh perlahan.


“Semalam kenapa?”


Aku bingkas, berjalan perlahan-lahan ke arah tepi tasik, mengutip beberapa biji batu kecil dan mula melontar satu demi satu ke dalam tasik. Kocak yang terbit daripada lontaran batu-batu tersebut adalah gambaran hatiku ketika ini.


“Pasal Am, kan?”


Dalam posisi membelakangkan Hakimi, aku mengetap bibir menahan hiba. Namun begitu kepalaku perlahan-lahan juga mengiyakan tekaannya dengan anggukan.


“Lisa, Akim tahu apa yang jadi malam tu. Akim dengar semua.”


Jadi benarlah telahanku pada malam kejadian.


“Am marah lagi?”


“Entah...” itu sahaja yang mampu kujawab kerana berdasarkan cara percakapannya di telefon malam tadi aku memang tidak tahu sama ada Am betul-betul sudah tidak marah kepadaku.


“Tak cuba pujuk dia?”


“Dah...” aku jawab lagi sepatah, kali ini dengan suara yang agak serak kerana waktu itu air mataku yang sudah kering, kembali bergenang. Perasaan sebak akibat mengingatkan kondisi perhubungan antara aku dan Am yang goyah menjadikan aku agak emosional.


“Lisa...” suara Hakimi yang kedengaran agak dekat membuatkan aku tertoleh. Hakimi memang sedang berdiri agak hampir denganku.“Lisa nak Akim cakap dengan Am?”


“Untuk apa? Nak cakap apa?” Dengan belakang tangan aku menyeka pipi.


“Biar Akim terangkan kat dia. Ni semua salah Akim. Akim tak pernah betulkan bila dia kata Lisa ‘adik’ Akim. Lagipun Akim sendiri yang mengaku Lisa ni sepupu Akim. Semua ni salah Akim.”


Mendengarkan Hakimi mula menyalahkan dirinya membuatkan aku jadi semakin hiba kerana aku rasa Hakimi telah banyak membantu perhubungan aku dan Am selama ini.


“Tak, Akim tak salah. Ini hubungan Lisa. Am tu pakwe Lisa. Lisa yang patut bagitau dia. Tapi tak...sebab Lisa ingat benda tu tak penting.” Luahku tersangkut-sangkut, tenggelam-timbul dalam sedu-sedan yang tidak terkawal.


“Kalau macam tu biar Akim jumpa dia, Akim terangkan pasal kita. Pasal hubungan kita. Akim beritahu dia yang kita ni cuma kawan baik, tak lebih daripada tu.”


“Tak payahlah...” Hakimi mengeluh mendengarkan jawapanku.


Sebenarnya aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan menghantar Hakimi untuk membelaku. Dalam keadaan Am yang diselubungi rasa marah dan cemburu, kehadiran Hakimi hanya akan mengeruhkan lagi situasi dan aku tidak mahu itu berlaku.


“Habis tu? Macam mana?” Pertanyaan Hakimi membuatkan aku semakin merasa buntu.


Fikiranku mula terpesong, bersimpang-siur, bertebaran dan menerawang entah ke mana. Hal-hal negatif mula singgah di benakku. Kemungkinan-kemungkinan buruk yang mungkin berlaku dalam perhubungan antara aku dan Am. Ini membuatkan tangisku semakin berat.


“Lisa...” pujuk Hakimi sepatah dan sepatah itu juga seakan tidak kedengaran di telingaku kerana ngongoiku semakin menjadi. Hakimi menarik bahuku, rapat kepadanya.


“Lisa tak nak hubungan ni tamat macam ni aje. Lisa sayangkan dia...Lisa sayangkan dia sangat-sangat...Akim...macam mana ni?” Ucapku terputus-putus.


Hakimi pula hanya mendiamkan diri tanpa sebarang kata. Yang sekali-sekala keluar dari mulutnya hanyalah ‘Shhh...”. Mungkin dia sengaja memberikan ruang untuk aku melepaskan rasa sebak yang masih terpendam di dalam dadaku.


“Lisa, percayalah, takde yang buruk akan jadi kat hubungan korang berdua. Akim yakin sebab Am pun sayangkan Lisa macam Lisa sayangkan dia. Mungkin dia cuma perlukan masa. Lisa jangan fikir yang bukan-bukan, ok? Sekarang ni, yang penting, fokus pada study. Exam kan dah dekat ni”


Panjang lebar nasihat Hakimi ketika menghantar kupulang ke asrama. Aku amat berharap agar mulutnya masin. Kata-kata Hakimi itu turut membuatkan hatiku sedikit sedikit lega. Matahari pagi itu pun semakin meninggi.

 

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.