Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 18

...1999...

 

Aku agak tertekan sejak akhir-akhir ini. Dua minggu lagi peperiksaan akhir tahun akan bermula. Petang Jumaat ini pula abang sulungku, Zamil akan tiba dari Kuching bersama Kak Syam dan dua orang anak buahku manakala hujung minggunya pula akan diadakan kenduri doa selamat di rumah sempena pemergian kedua orang tuaku dan abang Zafri menunaikan umrah.

            

Seperti yang kujangka, Hakimi tidak menolak apabila dijemput manakala Am pula tidak dapat memberi kata pasti tetapi tetap berjanji untuk cuba hadir. Aku malas untuk memaksa kerana hubungan kami baru sahaja berada di peringkat pemulihan. Dania dan Afira turut tidur di rumahku sejak malam Jumaat lagi bagi membantu apa yang patut.

           

Selepas Asar Sabtu itu, rumahku mula dipenuhi dengan saudara-mara yang datang dari dekat dan jauh. Rumah teres berkembar itu jadi riuh dengan hilaian tawa ibu-ibu saudara, bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupuku. Maklumlah sesekali berkumpul.

            

Aku turun selesai solat Maghrib.Ketika itu kaum lelaki masih belum selesai berjemaah di ruang tamu. Dalam sekali imbas aku mengerling ke arah saf, aku ternampak Hakimi di situ, memakai baju melayu bewarna coklat tanah, sedondon dengan baju kurung polosku seakan telah berjanji. Itu juga adalah kali pertama aku melihat dia di berkain pelekat. Diluar kawalanku, ada semacam perasaan yang sejuk dan mendamaikan menyerap masukke dalam hatiku melihatkan Hakimi berpenampilan begitu.

           

“Gila ke senyum sorang-sorang?” Sergahan Dania, walaupun seakan berbisik tetap membuat aku terkejut.

            

“Nampak Am tak?”


Sambil mata mengelintar ke arah ruang tamu yang sudah mula penuh dengan jiran-jiran dan orang dari surau berdekatan, aku mengharapkan yang aku dapat menemui Am, tetapi hampa.

            

“Tadi aku nampak dia masuk. Duduk kat ruang rehat kot?”


Hatiku merasa lega. Sekurang-kurangnya dia hadir, kalaupun bukan untuk diriku, tetapi untuk keluargaku. Bila lagi masanya untuk dia mengambil hati kedua ibu bapaku?

            

Sejurus selepas Ustaz Firdaus tiba, majlis doa selamat pun dimulakan. Aku, Dania dan Afira dan beberapa orang sepupuku duduk di bahagian dapur, menjaga lauk-pauk dan kuih-muih yang sudah tersedia disusun di dalam dulang.

            

“Lisa, hensem ya, pakwe kau?”

            

“Iye ke? Bolehlah...” jawabku dalam diam aku berdoa yang amat sangat agar tidak ada seorang pun daripada sepupu-sepupuku perasan bahawa Am adalah seorang artis.

            

“Macam orang nak bertunang aje dressing kak Lisa dengan pakwe kak Lisa.” Sampuk anak Mak Su’ku, baru tingkatan tiga tetapi celotehnya mengalahkan orang yang sudah berkeluarga.

           

“Hish...mulutttt!”

            

“Iyelah...siap pakai baju warna sama lagi! Macam dah berjanji!”


Aku tepuk paha dia sebagai arahan supaya diam lebih-lebih lagi gelak kecilnya sudah menarik perhatian mama yang duduk di antara dapur dan ruang makan.

Namun begitu, di dalam hati aku tetap merasa lucu. Bagaimana agaknya reaksi Am apabila terserempak dengan Hakimi kelak dalam keadaan memakai baju bewarna serupa. Pasti kelihatan seperti sebuah kumpulan boria, dan aku jadi penyanyinya!

            

Sesudah Ustaz Firdaus meng‘amin’kan doa, kami mula mengagihkan dulang ke depan. Kaum lelaki bergilir menyambutnya dari ruang makan. Ketika aku menghulur dulang, Hakimi datang menerima. Dalam pada itu sempat lagi Hakimi menghadiahkan aku dengan senyuman, membuatkan aku sedikit tersipu.

            

“Amboi!!! Kalau orang tak tahu kenduri ni kenduri apa, mesti orang ingat kamu nak bertunang, Lisa...sedondon!”


Suara Mak Uda pecah dari arah belakangku dalam pitch yang agak tinggi. Beberapa orang ibu saudaraku turut tertoleh, setiap seorangnya dengan senyuman yang agak lebar. Aku lihat wajah Hakimi merona merah dan mungkin merasa kurang selesa, dia cepat-cepat berlalu ke ruang tamu.

            

“Apa Mak Uda ni...kan Akim tu kawanLisa!”


Dengan kata-kata itu, aku pula mengambil giliran untuk melarikan diri, malas untuk menunggu lama kerana yakin akan lebih banyak disoal siasat.

            

Tetamu mula beransur ketika jam di dinding menghampiri sepuluh malam. Yang tinggal hanya saudara-maraku dan kenalan rapat. Dania dan Afira sibuk membantu mama dan sepupu-sepupuku membungkus lauk ke dalam plastik untuk dibawa pulang.

            

Kesempatan itu kuambil untuk mencari Am yang sedari tadi langsung tidak kutemui kerana sibuk di dapur. Di ruang makan, aku terserempak dengan Hakimi yang ketika itu sedang membawa dulang berisi pinggan dan gelas kotor ke dapur. Belum sempat kami berpapasan, tiba-tiba aku terdengar telefon bimbitnya menjerit nyaring minta diangkat.Hakimi kelihatan gelisah, ingin menjawab tetapi dulang di tangan yang agak berat menghalangnya dari berbuat demikian.

            

“Mana telefonnya?” Simpati melihatkan situasi tersebut, aku menawarkan bantuan.

            

“Dalam poket baju sebelah kiri.”


Aku menyeluk poket baju melayu cekak musangnya, mengeluarkan telefon, menekan punat answer dan meletakkannya ke telinga Hakimi. Sambil menjawab panggilan daripada bondanya, mata Hakimi tidak lepas-lepas daripada merenung wajahku, membuatkan aku jadi tidak menentu.


Setelah berbual seringkas yang mungkin, Hakimi menamatkan perbualan dan kemudiannya memberikan isyarat supaya aku meletakkan kembali telefon genggam tersebut ke dalam poket bajunya. Aku turuti kemahuannya dengan cebikan.


“Amboi...tak habis lagi?” Entah dari mana Mak Uda’ku muncul semula.


“Apa ni Mak Uda...” aku mula diasak rasa tidak sedap hati. Aku tidak senang dengan cara Mak Uda menafsir hubungan aku dan Hakimi.


“Nak malu apa? Boleh tahan apa si Akim ni Lisa. Pakwekamu, kan? Handsome!” Ayat terakhir Mak Uda membuatkan Hakimi tergelak.


“Saya bukan pakwe Lisa, Mak Uda.”


“Aikkkk...punya lama berkawan, punyalah rapat, kalau bukan pakwe, apa?”


“Saya kawan Lisa...kawan aje, tak ada apa-apa. Kalau nak jumpa dengan pakwe Lisa, dia ada kat luar. Maaf ya, saya nak hantar dulang ke belakang.”


Hakimi mengenyitkan matanya dan berlalu ke dapur. Kulihat Mak Uda mengaru kepala, keliru.


“Lisa...sebenarnya berapa orang pakwe yang kamu ada?” Tergelak aku mendengarkan soalan tidak puas hati daripada Mak Uda. “Hish! Tak faham aku dengan budak-budak sekarang ni!”


Sambil menarik muka, terasa seperti dipermain-mainkan, Mak Uda melangkah ke ruang tamu. Di belakangnya, kulihat Am tegak berdiri,dalam t-shirt tiga suku lengan bewarna biru dengan riak wajah yang amat sukar untuk ditafsirkan.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.