Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 66

...2001...

 

Sebaik sahaja keluar dari stesen LRT, aku menangkap bayang Hakimi di ruang parkir terbuka. Pasti Kak Zara atau mama yang memberitahu Hakimi bahawa aku pulang menaiki kenderaan awam. Aku melangkah lemah menghampiri dia yang ketika itu masih membelakangi aku.

            

“Assalamualaikum...” aku menegur perlahan.


Dia cepat-cepat berpusing. Dalam samar balam lampu jalan, aku dapat tangkap raut wajahnya yang agak keruh. Tiada senyuman pada wajah itu. Aku tahu, pasti berita itu akhirnya sudah sampai ke pengetahuannya. Daripada siapa sudah tidak penting lagi. Pokok utamanya, Hakimi sudah tahu. Aku menelan liur.

            

“Wa’alaikumsalam...” balasnya, juga perlahan, hampir tidak bernada. Kami sama-sama masuk ke dalam kereta.

            

Lima minit pertama diisi kebisuan. Aku bungkam, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara. Segalanya terasa canggung.


Tiba-tiba aku terasa hubungan kami semakin jauh, semakin hilang nama dan tiada klasifikasi lagi.


Dalam pada aku berkira-kira, menyusun ayat dan mencari alasan, Hakimi memberhentikan kereta berhampiran medan selera.

            

“Kita ni apa?” Soalan Hakimi membuatkan hatiku digendang gemuruh. Dia bertanyakan soalan yang mana jawapannya hanya dia yang tahu.

            

“Ntah...” jawabku sepatah – jujur.


Aku memang tidak tahu.


Peristiwa manis di Kuching terimbau dalam kotak fikir, namun, dia masih belum pernah lagi mendefinasikan status sebenar hubungan kami. Sekadar memberi 'cincin ikat', itupun tanpa ada formalitinya.

            

“Sampai bila Lisa nak sorok berita tu?”


Akhirnya dia membuka isu sebenar.

            

“Lisa...” aku telan liur, “tak tau macam mana nak bagitau...” aku dengar dia mendengus.

            

“Kenapa? Susah sangat ke nak bagitau Akim yang Lisa dah kena risik, dah nak jadi tunang orang?”

Suaranya yang agak keras membuatkan dadaku dihambat sebak. Airmataku tiba-tiba bergenang.

            

“Lisa...” ayatku mati di situ apabila dia keluar dari kereta, menghempas pintu dengan tenaga agak luar biasa.


Aku perlahan-lahan menuruti, memberanikan diri berdiri berhadapan dengannya. Lama kami begitu – dalam keadaan yang beku. Aku ingin sekali menatap wajahnya, mentafsir riaknya tetapi Hakimi hanya tunduk dengan rambut menutupi sebahagian daripada muka.

            

“Lisa mintak maaf...” itulah ayat paling luhur yang mampu aku karang ketika ini. Memang salah aku, merahsiakan tentang rombongan yang datang merisik dua minggu lepas.

            

“Untuk apa?” Dan dia mengeluh.


Anehnya, bait keluhan itu turut singgah jauh ke dalam hatiku. Beratnya seakan terasa.


“Mungkin Akim ni takde nilai dalam hidup Lisa...tak penting langsung. Sampai cerita-cerita macam ni pun Akim kena tau dari orang lain.” Diam, kemudiannya mengeluh lagi. “Kita ni siapa Lisa?”

            

Bibirku seakan terkunci mendengarkan kata-kata Hakimi. Apa yang harus aku katakan? Ayat apa yang paling baik untuk aku luahkan pada waktu-waktu begini?

            

“Takpelah Lisa...Akim doakan yang terbaik untuk Lisa.” Tanpa menunggu apa-apa perlanjutan daripadaku, Hakimi menyambung. “Mungkin jodoh Lisa dah tertulis dengan Am. Mungkin kita memang ditakdirkan untuk bermula dan berakhir sebagai kawan aje...mungkin - ” ayatnya mati di situ.


Tiba-tiba aku jadi marah. Begitu sahaja akhirnya? Mengapa begitu mudah dia menyerah kalah dan berputus asa? Seakan langsung tiada niat untuk mempertahankan aku.

            

“Mungkin kita tak patut kenal dari mula...kan?” Dengan wajah yang penuh dengan airmata, aku merenung Hakimi yang terkejut dengan kata-kata yang aku lafazkan.

            

“Mungkin jugak - ” jawapan Hakimi serentak mengaburi kewarasanku dan sedar-sedar tapak tanganku singgah ke pipinya.


Pertama kali dalam seumur hidupku aku menampar orang dan yang lebih mendramatikkan keadaan, orang yang aku tampar itu adalah Hakimi.

            

Hakimi memegang pipinya. Aku hilang rasa. Perasaanku terhadap dia sekarang bercampur-baur antara benci-sayang. Aku genggam kuat-kuat tangan yang mula terasa pijar dan kebas. Kiranya, bukan dia seorang yang menanggung sakit.

            

“Lisa...” itu sahaja yang kudengar terluah dari mulut Hakimi. Selebihnya digambarkan dengan matanya yang berkaca dan wajah yang tidak percaya. Aku tidak lagi mahu menelah makna airmata lelaki di hadapanku ini.       


“I hate you, Tengku Hazqeel Hakimi. Lisa harap sangat-sangat yang kita tak pernah kenal. Lisa harap sangat yang kita tak pernah jumpa. Lisa benci Akim, Lisa benci Akim...” bisikku satu-satu tapi aku tahu bicaraku tetap singgah ke pendengarannya. Hakimi tertunduk.


Kesenyapan Hakimi menyedarkan aku. Dia tidak membela diri – mungkin dia merasakan yang sama. Ah, lapan tahun hubungan tanpa nama yang sia-sia. Beginilah akhirnya, di sinilah garis penamatnya.


Aku mencapai beg sandangku di dalam kereta dan berlalu ke kaki lima. Talian kenderaan yang tidak putus memungkinkan aku untuk mendapatkan teksi, namun di dalam hati aku tetap menunggu Hakimi memanggil dan menahan.


Sebuah teksi kosong berhenti di depanku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Yakin bahawa Hakimi memang sudah tekad menoktahkan segalanya, aku buka pintu teksi dan menghenyak tubuh ke tempat duduk belakang.


Selamat tinggal, Hakimi, selamat tinggal.

 

 

Malam itu, selesai solat, aku berbaring di katil – memeriksa telefon dengan harapan ada pesanan ataupun misscall yang tersesat. Hampir setengah jam aku menatap skrin yang kosong dan akhirnya aku sedar, dia telah memutuskan untuk tidak meneruskan.


Aku mengetap bibir, menahan sebak sambil jari menekan keypad, mencari nombor. Tidak sampai sepuluh saat, panggilanku berjawab.


“Assalamualaikum Auntie, maaf Lisa ganggu malam-malam macam ni. Lisa setuju...” Auntie Arifah menyambut jawapanku dengan jeritan riang, manakala aku di sini, dalam gelap kamar tidak berlampu, mengerjip mata yang makin basah. 


Ya Allah, sakitnya perpisahan, tetapi lebih sakit apabila menjadi orang yang ditinggalkan!



Previous: Bab 65
Next: Bab 67

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.