Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 75

...2003...

 

Aku duduk memegang lutut di tepi tingkap. Sudah lebih tiga bulan peristiwa itu berlalu namun hatiku belum lagi sembuh. Airmata masih lagi murah. Aku jadi sangat-sangat sensitif dan beremosi. Aku mudah marah tanpa sebab dan sudahnya aku hanya mengurung diri di dalam bilik untuk mengelakkan ada hati yang terluka dengan sikapku.


Majlis pertunangan yang sepatutnya berlangsung akhirnya bertukar menjadi majlis doa selamat. Abah memujukku agar menerima hikmah di atas kejadian yang berlaku. Kata abah, jika majlis diteruskan juga, kemudiannya perkahwinan kami dilangsungkan dan hanya selepas itu aku tahu tentang siapa Am sebenarnya, pasti keadaan akan jadi lebih teruk.


Sekarang aku sudah tahu siapa lelaki yang kerap menghubungi dan mengugutku untuk membatalkan majlis. Dia kekasih gelap Am!  Aku mengusap muka berkali-kali, di dalam hati bersyukur kerana Allah SWT melindungi aku.


Putri dan abang Zafri sudah pulang Australia. Ini juga bermakna aku sekali lagi kehilangan tempat bercerita. Bukan tidak boleh untuk aku berkongsi kisah dengan kak Zara cuma perbezaan umur yang agak jauh menyebabkan penerimaannya tidak seperti Putri.


Aku bingkas, menarik nafas, cuba mencari aku yang dulu. Aku ikat rambut yang sudah menghampiri pinggang tinggi-tinggi. Sudah sampai masanya aku meneruskan kehidupan. Aku tahu Am tidak menyesali apa yang telah berlaku. Jadi, mengapa aku?


Barang-barang hantaran di hujung penjuru bilik aku masukkan ke dalam plastik. Dulang-dulangnya kususun baik-baik ke dalam kotak. Baju-baju kotor aku kumpulkan setempat. Cadar katil aku ganti dengan yang baru. Sekejap sahaja bilikku sudah bertukar aura. Aku tersenyum sendiri.


Selesai solat Zohor aku menyambung membersihkan bilik. Aku sapu habuk-habuk pada meja bacaan dan meja solek. Aku punggah isi setiap laci yang ada, membuang kertas-kertas dan resit-resit lama yang kebanyakkan sudah pudar tidak berdakwat sebelum kemudiannya sesuatu jatuh dari bungkusan tisu, berputar laju ke hujung kakiku.


Cincin manik tiga warna – ‘cincin ikat’ pemberian Hakimi!


Ah, dan semua kenangan itu hadir lagi. Hanya yang manis-manis tentang Hakimi.


Sejak dia ke Sudan, aku tidak lagi menerima apa-apa khabar berita daripadanya. Tiada pesanan ringkas, panggilan mahupun e-mail. Dia telah betul-betul melupakan aku agaknya.

 

 


Aku masih ingat, pagi sehari selepas selesai majlis kesyukuran, Bonda Engku datang menghampiriku. Aku paksa diri untuk tersenyum apabila melihatkan dia yang sudah pun bersiap. Beberapa buah beg sudah sedia di depan pintu.


“Lisa, bonda nak berangkat dah...” lembut dia memulakan sambil menarik jari-jariku ke dalam genggamannya. “Insya Allah, semua akan pulih macam dulu. Cuma ambil masa. Bonda tau, Lisa kuat.”


Dan ketika itulah aku teringatkan Hakimi. Ketika itu jugalah aku menyedari yang Hakimi itulah sebenarnya antara sumber kekuatan aku. Kisah cinta yang tidak manis dengan Am, kisah cinta separuh jalan dengan Ikhwan semuanya aku berjaya lalui kerana adanya dia di sisi.


Sekarang dia sudah pergi. Betapa beratnya aku terpaksa keseorangan menanggung semua ini. Tubir mataku mula terasa hangat.


“Auntie Arifah yang bagitau Kimi.”


Aku terdongak,mencari kebenaran dalam mata Bonda Engku. Dia meyakinkan aku dengan satu anggukan.


“Pasal dia masuk merisik. Dia suruh Kimi pujuk Lisa untuk terima Am.”


Aku terkesima mendengarkan penjelasan Bonda Engku. Sampai begitu sekali tindakan Auntie Arifah.


“Kimi bagitau bonda pun waktu hari dia nak pergi, kat airport. Dia tak bagi bonda bagitau Lisa. Dia ingat Lisa memang suka kat Am lagi.”


“Lisa ingat, dia yang benci kat Lisa.” Perlahan aku membetulkan pandangan Bonda Engku.


Kesenyapan yang seketika, membolehkan aku menghakimi diri. Kiranya aku juga bersalah. Aku menerima Am juga atas sebab yang tidak sepatutnya. Aku menerima lamaran Auntie Arifah kerana Hakimi telah menolak aku. Ya, hubungan yang akan terjalin dulu antara aku dan Am sememangnya berpaksi atas sebab-sebab yang tidak betul. Patutlah Allah SWT tidak membenarkan hubungan ini berlangsung.


“Kimi tak pernah benci Lisa.”


Aku telan ayat Bonda Engku dengan sebak yang mula pecah. Bonda Engku bingkas apabila melihatkan kelibat abah datang menghampiri. Aku turut berdiri.


Belum sempat aku melangkah ke pintu, Bonda Engku menyambar tubuhku. Memelukku erat-erat. Aku tahu dia menangis. Tetapi aku tidak tahu kenapa.


“Kalau boleh, sekarang jugak bonda nak Lisa jadi menantu bonda. Tapi, Kimi...”


Jantungku berdegup sangat kencang mendengarkan kata-kata yang terluah dari mulut Bonda Engku.


Jika aku tidak silap agak, dia sedang menyampaikan hajat. Namun aku cepat-cepat mengingatkan diri. Peristiwa aku dan Am masih terlalu baru dan aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kalau Hakimi mahukan aku, biarlah dia sendiri yang memulakan dulu. Bukan berwakilkan bondanya atau siapa-siapa. Namun aku tahu, semuanya itu adalah mustahil kerana Hakimi telahpun menokhtahkan hubungan tidak bernama kami.


“Akim dah benci kat Lisa, bonda...” lemah aku mengingatkan. Sakit tetapi itulah kenyataannya.


Bonda melepaskan pelukan. Dia kini mememegang kedua bahuku sambil matanya yang basah memandang aku dalam-dalam. Ah, mata itu, sama seperti mata Hakimi!


“Lisa tau tak, Kimi sebenarnya tak mau ikut bonda.” Bisik Bonda Engku sambil mengelus pipiku. Degup jantungku semakin berkecamuk rentaknya.


“Kenapa?” Lurus-lurus aku bertanya.


“Macam mana dia nak pergi kalau hati dia dah tertinggal kat sini. Tapi, lepas dapat tau Lisa terima Am, Kimi ubah keputusan. Jadi...”


“Bonda Engku, boleh kita pergi sekarang? Takut jem nanti.”


Kehadiran abang Zamil sekaligus mematikan kata-kata Bonda Engku.


“Bonda mintak diri dulu. Insya Allah, panjang umur, kita jumpa lagi.”


Aku mengangguk sambil menghantar Bonda Engku ke kereta. Di situ, dia mendakapku sekali lagi, juga agak lama. Aku nampak mama pura-pura tidak melihat sambil mengesat mata.


Dalam kabur airmata, aku menyaksikan pemergian Bonda Engku. Sejak itu aku terputus hubungan dengan Bonda Engku. Dengan Hakimi apatah lagi. Kemudiannya baru aku tersedar, Bonda Engku tidak menghabiskan ceritanya. Hati Hakimi ada di Malaysia, tetapi siapa pemiliknya?

 

 

Cincin manik itu aku sarung ke jari. Perlahan-lahan aku tersenyum sendiri. Ya, kini aku benar-benar pasti, hati Hakimi ada di sini, mengganti hatiku yang sudah terbang ke Sudan.


Biarlah cincin ini menjadi tanda. Aku akan mengikat diri dengan cincin manik yang sebentuk ini sehinggalah Hakimi pulang memberikan keputusan sama ada dia mahu terus menyimpan hatiku ataupun mengembalikannya agar aku dapat memberikan kepada orang lain. Hakimi, Lisa tunggu saat itu! 



Previous: Bab 74
Next: Bab 76

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.