Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 67

...2002...

 

Petang Sabtu itu rumah hingar dengan tetamu. Suara Auntie Arifah merancang itu-ini begitu ketara sekali keterujaannya. Mama dan abah pula tidak putus senyum memberi dan menerima cadangan. Aku yang sepatutnya diraikan terasa begitu terasing – sunyi dalam keriuhan. Tubuhku di sini, tetapi hatiku di tempat lain.


Aku renung cincin belah rotan yang tersarung di jari manis. Hakimi tidak mengotakan janjinya. Telah hadir cincin daripada orang lain terlebih dahulu dan dia, hilang tanpa berita.


Mengingati Hakimi, hatiku jadi libang-libu. Hakimi memang benar-benar berpatah arang, berkerat rotan denganku. Tiga bulan lebih telah berlalu dan tiada langsung panggilan telefon mahupun pesanan ringkas daripadanya. Dia mengukir satu ruang kosong dalam hatiku dan serasa seperti separuh dari hidupku telah hilang.


Aku mengelintar sekeliling, mencuri pandang ke arah ahli keluarga, saudara-mara dan bakal mertuaku dengan perasaan yang aku sendiri tidak kenali. Sebahagian jiwa meronta untuk menarik diri manakala sebahagiannya pula lagi menimbang logik akal.


“Eh,Lisa...kenapa senyap je ni?” Tiba-tiba aku disapa Auntie Arifah, menarik perhatian beberapa pasang mata ke arahku, termasuk milik mama dan abah. Aku terkulat-kulat mencari sebab.


“Lisa...macam tak sedap badan.”

Apa alasan yang lebih relevan pada ketika ini? Ah, jahatnya aku kerana menipu.


“Pergilah rehat..muka pun nampak pucat tu...” arah mama, serentak menyelamatkan aku.


Walaupun aku sudah nampak ruang untuk aku meloloskan diri, namun aku masih rasa tidak senang meninggalkan tetamu yang datang untuk berbincang mengenai tarikh pertunangan antara aku dan Am.


“Pergilah rehat, Lisa, takpe...pergilah...” desakan Auntie Arifah aku sambut dengan senyum nipis. Perlahan-lahan aku bingkas, meminta diri dan berlalu ke bilik.


Di bilik, aku baring menelentang menghadap siling. Tangan kiri kurapatkan ke muka, meneliti cincin di jari manis. Kilaunya bagai memanah ke jantung, membuat luka yang tidak terubat. Aku telah dirisik. Aku pasak hakikat itu dalam diri. Aku - sebelah kaki kini menjadi milik orang dan orang itu bukan Hakimi.


Aku bangkit dari katil, menuju ke tingkap dan membuka bidai luas-luas. Matahari pukul tiga petang masih lagi terik. Aku mengeluh sungguh-sungguh, dalam-dalam. Kenapa raut pemuda itu juga yang masih berbayang di dalam kepala? Lagi aku cuba lupakan, lagi banyak kenangan yang singgah.


Lapan tahun bukan satu tempoh masa yang pendek. Banyak pahit-manis telah kami kumpul atas ikatan yang tanpa nama ini. Aku tahu, akan tiba hari aku dapat melepaskan semua ingatan yang berkaitan dengan Hakimi. Mungkin esok, mungkin lusa. Mungkin juga hari itu tidak akan datang sampai bila-bila.


Entahlah, kadang-kadang hati sering mengambil masa untuk memahami sesuatu yang minda sudah sedia maklum. Di luar sedar, aku tersedu.

 

 

Aku tidak pasti bila aku terlelap. Ketukan bertalu dan suara mama memanggil berulang-kali mengejutkan aku. Aku menjeling jam di dinding, sepuluh minit pukul enam.

“Tidur ke? Dah Asar?” Soal mama pintu sejurus pintu dibuka. Aku geleng. “Ok dah ke?”

Aku pandang mama, teragak-agak untuk menjawab kerana sesungguhnya aku tidak apa-apa. Mengangguk bermakna aku menipu mama. Maka aku hanya senyum sahaja.

 

 

Selesai makan malam itu, aku melarikan diri, mengurung diri semula di dalam bilik. Aku mengeluarkan ‘cincin ikat’ pemberian Hakimi dan kuletakkannya sebelah-menyebelah dengan cincin tanda pemberian mummy Am.


Dua cincin yang sangat berbeza, baik dari segi bentuk dan harga. Personaliti pemberinya juga begitu. Aku tahu, aku tidak pernah keliru dengan perasaanku. Aku tahu cincin mana yang lebih aku suka untuk melingkari jari manisku, namun begitu aku turut maklum tentang cincin yang lebih layak.


Perlahan-lahan aku cabut cincin pemberian Am – letak di atas bantal. Aku capai cicin manik tiga warna dan aku gantikannya di situ. Aku angkat tangan tinggi-tinggi di depan cahaya dan tiba-tiba aku rasakan, betapa cantiknya cincin tersebut terletak di jari manisku yang halus ini.


“Lisa,” panggilan mama mengejutkan aku. Cepat-cepat aku cabut cincin tersebut, mencampakkannya ke dalam laci dan menyarung semula cincin yang sepatutnya.


Wajah mama muncul di muka pintu, menapak masuk dan duduk di sebelah aku yang sudah bersila di atas katil.


“Auntie Arifah kirim salam...” aku jawab salam dengan suara antara dengar dengan tidak.


Mama berpaling sambil mencapai tangan kiriku. Dia menilik cincin di jari manis.


“Kitorang dah setuju nak langsungkan majlis dalam minggu kedua cuti sekolah nanti.”


Aku angguk, dalam diam membuat kiraan. Minggu kedua cuti sekolah maknanya lagi tidak sampai dua bulan aku akan jadi tunangan Am. Bersediakah aku?


“Lisa, kenapa mama nampak Lisa macam tak happy je? Lisa tak suka ke?”


Aku angkat muka, memandang mama. Hendak kujawab bagaimana soalan mama sedangkan aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku sendiri.


“Urmmm..mama nak tanya sikit, boleh?” Tanpa menunggu jawapanku, mama menyoal lagi.


“Apa dia, ma? Tanyalah...”


“Apa cerita Hakimi? Dia dah tau ke Lisa nak bertunang ni?”


Sejenak nafasku seakan terhenti. Haruskah aku memberitahu mama apa yang telah berlaku? Mahu mula bercerita dari mana? Tiba-tiba aku jadi sebak. Tubir mataku mula digenangi air. Mama yang perasan perubahanku, menarikku rapat padanya. Di situ aku mula teresak.


“Mama tak kisah siapa pun yang Lisa pilih..mama cuma nak Lisa happy...ni bukan main kawin-kawin Lisa...”


“Akim dah ‘buang’ Lisa, ma...kitorang dah takde apa-apa dah...” aduku dalam sendu tidak menentu. Aku dengar mama mengeluh halus.


“Mama tak nak Lisa terima Am sebab –“ aku tegakkan badan dan ayat mama terhenti di situ.


Aku pejam mata rapat-rapat. Aku tarik dan hela nafas dalam-dalam. Sampai bila aku harus bersedih, mengharap pada orang yang sudah tidak mahu tahu apa-apa tentang diriku? Sampai bila juga aku harus hidup dibuai ingatan-ingatan lapan tahun yang sudah ditamatkan?


“Ma, Lisa dah buat keputusan nak terima Am. Ma tolong doakan Lisa tak salah pilih. Tolong doakan Lisa happy, ok...” mama memelukku erat dan kuat.


Entah mengapa, tiba-tiba airmataku berhenti mengalir. Hatiku jadi keras. 


Hakimi, Lisa tak mahu menangis lagi untuk Akim!



Previous: Bab 66
Next: Bab 68

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.