Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 58

...2001...

 

Selesai majlis minum petang yang ringkas, kami bergegas-gegas pulang untuk persiapan majlis resepsi sebelah perempuan yang akan diadakan malam nanti di rumah Uncle Muiz.


Memandangkan waktu antara majlis yang agak singkat, abah mencadangkan agar semuanya berkumpul dan bersiap di rumah kami. Makanya bilik air yang tiga itu jadi sesak dengan saudara-mara dan sepupu-sepupuku bergilir keluar-masuk. Aku yang sudah malas menantikan giliran, keluar ke halaman rumah, berbuai sendirian.


“Boleh join?” Suara Hakimi pecah di tepiku.


Tanpa menantikan jawapan, dia sudah pun menyongsong badan ke atas buaian.


Kami duduk menghadap satu sama lain. Dia – Hakimi, masih dalam baju melayu – tidak bersamping, tidak juga bersongkok – namun masih kelihatan sangat segak di mataku. Aku ketika itu juga kebetulannya masih berbaju kurung dalam warna tema yang sama untuk majlis akad nikah sebentar tadi.


“Alhamdulillah. Selamat dah kan?”


Aku dengar suara Hakimi, perlahan. Dia ketika itu sedang memandangku dengan pandangan yang sangat aku sukai. Lembut dan dalam. Bibirnya tersungging sehiris senyum.


“Lisa bila pulak?” Soalan Hakimi menyentak hatiku. Mendugakah dia?


“Takde calon lagi.” Balasku, acuh tak acuh. Ketika itu mataku sudah kularikan ke atas jalan besar yang penuh dengan kereta.


“Masalah problem tu.” Dia tergelak dengan kata-katanya sendiri.


Entah mengapa, gelak itu mencuit perasaanku. Nampak sangat dia tidak serius dalam soal hati.


“Ada tunggu orang?”


Pandanganku beralih semula kepadanya. Namun kali ini emosiku tidak dapat ditahan. Keruhnya terpancar di muka membuatkan senyuman di wajah Hakimi menghilang.


“Tunggu Akim, kot.”


Antara sedar dengan tidak aku meluahkan. Walaupun aku memaksudkan kata-kata itu, tetapi niatku lebih kepada ingin tahu reaksinya terhadap ayat tersebut. Lama kami bertatapan.


“Kalau nak tunggu Akim, lama lagi la jawabnya.”


Akhirnya dia bersuara dalam tawa yang dibuat-buat. Aku mengetap bibir. Berilah satu tempoh, wahai Tengku Hazqeel Hakimi. Lisa sanggup tunggu.


“Insya Allah, ada jodoh, tak ke mana...” ayat itu, walaupun sekadar bisikan, tetap tertangkap di telingaku, tetap menyentuh sekeping hatiku. Aku mengulum senyum. Pura-pura memandang ke tempat lain.


Tiba-tiba Hakimi bangun. Aku tersentak dengan kelakuannya sebelum mataku menangkap beberapa susuk tubuh makcik dan pakcik saudaraku sedang beriringan keluar dari muka pintu. Pastilah dia tidak mahu cerita ini berpanjangan. Aku, tidak mahu kelihatan ketara kerana turut terasa panik, terus berbuai seperti tidak ada apa yang berlaku.


“Lisa, tunggu Akim, tau.” Sambil mengerjip mata, sempat dia melontar kata sebelum berpaling, meninggalkan aku tertanya-tanya. Menunggu dia sehingga saat jodoh itu tiba atau menunggu dia untuk pergi bersama-sama ke majlis malam nanti?


Ah, sukarnya memahami siratan kata-katamu, Tengku Hazqeel Hakimi!

Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.