Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 70

...2002...

 

Hakimi mengeluarkan baju –baju yang masih ada di dalam almari. Satu beg sudah penuh, tinggal pakaian hariannya sahaja yang belum berkemas. Dua hari lagi dia akan berangkat ke Sudan. Dia akan meninggalkan bumi Malaysia dan mungkin tidak akan kembali lagi.

            

Tidak ada apa yang tinggal untuknya di sini. Nampaknya kisah dia dan Lisa sudah menemui jalan penamat. Memang tiada jodoh antara mereka. Walau betapa dia mengingatkan diri untuk redha, namun batinnya tetap merasa sakit.

            

Dalam diam dia mengutuk hati. Memarahi diri kerana tidak cukup kuat untuk meluahkan. Dia terlalu takut untuk memiliki hati Lisa kerana tidak mahu melukakan. Bagaimana dia boleh melukakan sedangkan dia tidak pernah mengambil langkah untuk memaknakan hubungan yang terjalin lapan tahun ini.

            

Berdiri di sisi gadis itu selama ini, dia diberi banyak peluang untuk menyatakan apa yang dia rasa, tetapi entah mengapa setiap kali peluang itu datang, dia akan kehilangan bahasa.

            

“Kimi,” lembut panggilan bonda dari muka pintu.


Hakimi mengusap muka, serentak itu cuba mengukir senyum. Dia kembali lincah menyusun baju. Namun pergerakannya terhenti apabila bonda menyentuh lengannya.


“Betul ke apa yang Kimi buat ni?”


Soalan bonda membuatkan seluruh tubuhnya jadi lemah. Hakimi terduduk ke katil. Dia mengetap rahang, menahan sebak yang memalu dalam diri. Kuatkah dia untuk menerima kenyataan ini? Untuk mengetahui yang Lisa akan dimiliki oleh orang lain?

 

 

Hakimi memegang pipinya. Pijar tamparan Lisa di pipinya seakan masih terasa. Malam itu, dari mata Lisa terpancar satu jenis perasaan yang bercampur-baur antara benci-sayang. Hakimi tahu, tangan Lisa turut terasa pijar dan kebas. Kiranya,bukan dia seorang yang menanggung sakit.

            

“Lisa...” itu sahaja yang mampu dia luahkan.


Selebihnya digambarkan dengan matanya yang berkaca dan wajah yang tidak percaya. Emosi Lisa tidak terusik. Airmata Hakimi saat ini sudah hilang makna di mata seorang manusia bernama Lisa.         


“I hate you,Tengku Hazqeel Hakimi. Lisa harap kita tak pernah jumpa. Lisa harap sangat-sangat yang kita tak pernah kenal. Lisa benci Akim... Lisa benci Akim...”


Walaupun hanya dengan bisikan, bicara Lisa yang singgah ke pendengaran Hakimi betul-betul merentap tangkai hati. Hakimi jadi beku dengan pengakuan Lisa malam itu. Sungguhkah Lisa? Hakimi tertunduk.


Mungkin ini masa yang paling sesuai untuk menamatkan segalanya. Ketika Lisa sedang marah. Biarlah dia ditinggalkan tanpa ada saki-baki rasa yang tidak pasti.

 

 

“Kimi...” usapan bonda menyedarkan Hakimi.


“Bonda, doakan Kimi, bonda, tolong doakan Kimi.”


Hanya itu yang mampu Hakimi luahkan. Saat ini dia kalah juga. Di depan bonda airmata lelakinya sedang turun dengan hebat. Hatinya pecah – berkeping-keping dan dia tidak tahu bagaimana untuk mencantumkannya kembali. Bonda yang mengerti, memeluknya erat-erat.


Izara Marleesa akan menjadi milik Mohd Idham!


Kini dia pasti, dia tidak akan dapat menggenggam hati gadis itu lagi.



Previous: Bab 69
Next: Bab 71

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.