Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 29

...1999...

 

Sewaktu kami tiba di hadapan rumah Hakimi, keberanian yang aku kumpul sejak dari petang kelmarin beransur hilang, jatuh ke sifar peratus. Yang tinggal sekarang hanyalah rasa risau yang bertimpa-timpa.


“Turunlah! Tunggu apa lagi?” Soalan kak Zara membuatkan aku tertoleh, merenungnya dengan pandangan yang tidak berkedip.


“Tak turun tak boleh ke? Lisa jumpa dia esok –“


Renungan tajam kak Zara membuatkan kata-kataku terhenti. Jadi mahu tidak mahu, aku melangkah turun dari Satria kak Zara. Sebaik sahaja pintu kereta kututup, kereta kak Zara pun menderu pergi.


Berdiri di hadapan pagar rumah banglo tiga tingkat itu membuatkan hatiku semakin tercerut. Dengan lafaz selawat berulang kali, aku picit punat loceng pada tembok. Sekali, dua kali dan masuk kali ketiga barulah aku lihat pintu dibuka. Dari jauh aku lihat Bonda Engku berjalan ke arahku dengan senyum manis terukir di bibirnya.


“Eh, Lisa! Kenapa tak telefon dulu kata nak datang? Dah sihat dah ke?”


Aku hanya tersengih mendengarkan soalan Bonda Engku.Sebaik sahaja pagar dibuka, aku terus menyalami dan mencium tangannya.


“Kak Zara lalu area ni so Lisa minta dia tolong hantar Lisa kat sini. Lagipun dah lama Lisa tak jumpa Bonda Engku.”


“Laaahhh...terbalik pulak dah ni. Orang sakit datang melawat orang sihat.”


Gurauan Bonda Engku aku jawab dengan senyum nipis. Dia mengiringi aku masuk ke dalam rumah. Sambil melangkah ke ruang tamu, mata kuliar mencari Hakimi namun tidak bayangnya tidak kelihatan.


“Kimi ada kat atas, nanti bonda panggilkan. Lisa duduklah dulu.” Kata-kata Bonda Engku membuatkan aku tersipu sendiri. Mungkin Bonda Engku menyedari mataku sedang mengelintar ke segenap ruang.


Sambil menanti Hakimi turun, aku menyelak beberapa buah buku bacaan ilmiah yang terdapat di atas meja kaca di tengah ruang. Pasti buku-buku tersebut milik Bonda Engku untuk dijadikan rujukan dalam bidang penulisannya.


Demi mendengarkan bunyi derap kaki menuruni anak-anak tangga, buku tersebut cepat-cepat aku letak kembali ke atas meja. Namun kehadiran Bonda Engku tanpa Hakimi membuatkan hatiku sedikit merasa hampa. Mungkin Hakimi tidak mahu bertemu denganku lagi, hatiku mula berspekulasi sendiri.


“Kimi tengah solat. Kejap lagi dia turun.”


Aku paksa bibir untuk mengukir senyum setelah mendengar penjelasan ringkas daripada Bonda Engku. Masih dalam perasaan penuh spekulasi, aku mula mengagak yang bukan-bukan.


“Bonda nak ke dapur, Lisa...jom, teman bonda masak.” Ajakan Bonda Engku membuatkan aku mengetap bibir seketika, menimbang-nimbang.


Menunggu sendirian di ruang tamu sebesar dua kali ganda dari ruang tamu di rumahku  pastinya bukan pilihan. Aku rela duduk di ceruk dapur daripada menanti orang yang tidak tentu lagi mahu bertemu denganku. Dengan keputusan itu aku pun melangkah longlai mengekori lengang Bonda Engku.


Tiba di dapur, Bonda Engku kembali tenggelam di dalam dunia masakannya. Sekali-sekala ada juga dia bersembang ringkas, bertanyakan tentang kesihatanku dan berita terbaru mengenai mama, abah serta abang Zafri yang masih berada di Mekah. Aku menjawab semua soalannya dengan ayat serba ringkas sambil menjenguk ke dalam salah satu periuk bersaiz agak besar yang berasap di atas dapur empat tungku – bubur kacang!


“Banyaknya Bonda Engku masak bubur...ada orang order ke?” Soalku yang memaklumi minat Bonda Engku yang kadangkala mengambil tempahan masakan sekadar untuk mengisi masa dan minat.


Bonda Engku yang ketika itu sedang sibuk membersihkan Tupperware tersenyum lebar memandangku sehinggakan aku berasa pelik.


“Bonda nak sedekah ke surau malam nanti...ni Kimi’lah punya cerita...” aku mengerutkan kening. “Kimi pasang niat, bila Lisa sihat, dia nak bersedekah...tu yang sibuk dari petang semalam suruh bonda masak itulah, masak inilah...haiiii...macam-macam!”


Aku rasa sangat terpukul setelah mendengarkan kata-kata Bonda Engku. Butir demi butir yang keluar bagaikan memakan setiap inci ruang di dalam jasadku. Masakan tidaknya! Setelah apa yang aku lakukan kepada Hakimi semalam, dia masih lagi sudi untuk meneruskan niat yang telah dibuatnya untukku.


“Ehem!”


Aku dan Bonda Engku sama-sama tertoleh ke arah pintu dapur. Kelihatan di situ Hakimi sedang berdiri bersilangan tangan di dada sambil menyandar sebelah bahu kanan ke dinding. Walaupun hanya memakai t-shirt putih kolar bulat dan jeans lusuh bewarna biru, dia tetap kelihatan segak.Rambutnya diikat kejap-kejap belakang, mengemaskan lagi penampilannya.


“Hah, dah berapa lama kamu jadi mandur kat situ? Kenapa tak bagitau, kesian si Lisa ni hah, menunggu dari tadi.”


Aku sambut usikan Bonda Engku dengan senyum terpaksa sedang Hakimi hanya mengangkat kening.


“Ajaklah Lisa borak kat depan. Pergilah Lisa...bonda nak siapkan sikit aje lagi ni.”


Tanpa meluahkan sepatah pun ayat, Hakimi terus berpaling, melangkah lambat-lambat ke ruang tamu. Aku tidak tahu mengapa, hatiku yang serba-salah pada awalnya, tiba-tiba menjadi begitu sebal dengan kelakuan yang dipamerkan oleh Hakimi.


“Lisa ke depan dulu ye, Bonda Engku...” pintaku, sekadar berbahasa.

Mukaku terasa berbahang apabila melihat perubahan pada wajah Bonda Engku. Mungkin wanita itu juga turut merasa kelainan pada kelakuan anak tunggalnya itu. Takut untuk menerima apa-apa soalan daripada Bonda Engku, aku cepat-cepat berlalu ke ruang tamu.

 

Desah dari bilah-bilah kipas yang ligat berputar,memenuhi kesunyian yang beraja antara aku dan Hakimi. Dari posisi duduk selang dua buah kerusi, aku dapat lihat riak kosong pada wajah Hakimi. Aku meneguk liur, membasahkan tekak yang terasa kesat. Bagaimana harus aku memulakannya?


Lima minit berlalu namun antara aku dan Hakimi masih lagi belum ada tanda-tanda untuk mula berkomunikasi. Aku yang semakin resah, mencapai majalah dari rak dan pura-pura membaca namun konsentrasiku memang langsung tidak di situ.


Dari ekor mata, aku lihat Hakimi mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Memilih siaran National Geography, Hakimi, aku lihat mula leka dengan tontonannya. Sedar tak sedar, aku merasa kelopak mataku basah. Aku cuba untuk mengawal emosi, sedaya-upaya untuk tidak menangis di hadapan Hakimi. Tidak lagi tahan untuk terus berada di dalam situasi tersebut, aku bingkas dari sofa dan menjatuhkan majalah kuat-kuat ke atas meja kaca.


“Nak balik!” Luahku, agak keras intonasinya. Aku sudah tidak kisah.


Hatiku semakin tersayat apabila melihatkan Hakimi langsung tidak memberi tindak balas terhadap kelakuan dan kata-kataku itu. Dia masih terus selamba menatap televisyen. Mataku tambah berkaca.


Sabar, Lisa! Sabar! Aku takkan menangis! Aku takkan menangis! Tapi entah mengapa kudrat urat mataku tidak setabah kudrat saraf otakku. Motivasi diri hancur. Ya, memang aku cenbeng. Air mata pun berlinangan.


Cepat-cepat aku melintasi Hakimi untuk ke pintu – dalam otakku hanya ada satu – mahu segera keluar dari rumah tersebut. Mahu pulang bagaimana? Itu perkara kedua. Aku rela menapak turun dari kawasan perumahan di atas bukit ini untuk menahan teksi di jalan besar. Perkara pertama – aku mahu pulang!


Melepasi susuk Hakimi, satu langkah ke depan, aku rasa lenganku dicapai, hangat dan lembut. Dengan mimik wajah tidak percaya dan kelopak mata yang semakin sarat dengan air, aku memandang ke arah Hakimi yang matanya masih menatap peti telivisyen.


“Satu sama...” ucapnya sambil mengangkat muka ke arahku perlahan-lahan. Di luar jangkaanku, di bibirnya menguntum seulas senyuman.Senyuman yang sudah beberapa hari aku rindukan. Aku jadi bingung.


Tiba-tiba aku teresak di luar kawal. Hakimi berdiri,memegang kedua belah lenganku dan membawaku duduk di sisinya.


“Kenapa buat macam ni?”


Tanyaku, tenggelam timbul dalam esak-sendu.

“Lisa datang nak minta maaf...kenapa buat macam ni?”


Sedu lagi.


“Lisa tahu Lisa salah. Tapi janganlah buat macam ni...”


Sedu lagi.


“Kalau nak marah, marah aje la...tapi kenapa buat macam ni? Lisa tak suka...” dan sedu berterusan.


Aku sendiri tidak pasti tentang susunan ayat yang terluah dari mulutku. Teks kemaafan yang aku rangka-rangkakan sejak dari semalam hilang begitu sahaja.


“Adoiii...Lisa...syyyhhhh...janganlah menangis...”


Hakimi menghulurkan kotak tisu kepadaku dan aku capai dua helai untuk menyapu hidung yang sebu.


“Syyy...” pujuknya lagi sambil mata merayap ke ruang dapur.


Hakimi meletakkan telunjuknya ke bibir, mengarahkan dengan isyarat supaya aku berhenti menangis. Aku cuba kawal sebak.


“Akim minta maaf ok? Akim cuma main-main...takde niat pun nak buat Lisa nangis...”


Tangisku ketika itu sudah pun reda.


“Sorry ok? Tapi, kira satu sama la...hari tu Lisa buat Akim sakit hati...hari ni Akim buat Lisa sakit hati pulak...” aku tarik muka empat belas sambil menyapu saki-baki airmata yang selekeh di pipi.


Dalam diam aku tetap bersyukur kerana nampaknya rajukku berhasil. Hakimi tersenyum melihat lagakku yang keanak-anakkan.


Di kala itu juga aku baru tersedar bahawa jari-jariku berada di dalam genggaman Hakimi. Darahku tiba-tiba menyerbu ke muka. Ada semacam satu kehalusan rasa yang menjalar perlahan ke segenap relung jantungku. Satu rasa yang amat tenang dan nyaman, rasa yang aku tidak pernah alami selama ini baik sewaktu aku bersama Ikhwan mahupun Am. Aduhai...perasaan apakah ini?


“Lisa...” aku angkat muka perlahan-lahan serentak mendengarkan namaku dipanggil lembut. Di luar sedar, aku membalas pandangan Hakimi. “Boleh Akim tanya sikit?”


“Tanyalah...apa dia?”


Mendengarkan jawapanku, Hakimi mendekatkan lagi kedudukan tubuhnya. Genggaman tangannya juga terasa semakin ketat.


“Apa jadi hari tu?”


Bibirku terasa kaku. Hiba yang masih berlegar didalam diri, kembali mengasak. Yang aku tahu, kelopak mataku yang sudah kering kembali basah.
Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.