Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Aimie Izzati
3/4/2015 11:37:04
80,815
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 29

Pagi ini Hana bekerja seperti biasa. Sebelum pergi kerja, Hana sempat menjengah Aiman. Nampaknya demam Aiman sudah kebah. Cuma Aiman masih lagi tidak bermaya untuk bangun. Kesian Aiman. Hana juga sempat memberikan Aiman ubat sebelum dia bergerak pergi ke kerja. Cuma Hana meminta bantuan neneknya itu untuk tengok-tengokkan Aiman. Nek Yam tidak kisah setakat tengok-tengokkan Aiman. Aiman sudah ibarat seperti cucunya sendiri. Tambahan lagi, mak bapaknya tiada di rumah. Jadi tiada siapa yang dapat menjaga Aiman ketika itu.

Kelihatan Hana sibuk menaip sesuatu di papan kekunci komputernya. Sesekali matanya tercatuk di depan skrin komputernya itu. Sungguh tekun dia menghadap kerjanya itu. Nak tak nak kenalah hadap, kalau tidak siapa yang nak buat kerja tu. Kerja makan gaji kan. Sedang khusyuk Hana menghadap komputernya itu tiba-tiba datang si Imla mengejutkan Hana.

“Hana! Amboi, khusyuk buat kerja. Relakslah, customer tak ada,” sergah Imla sambil mendagu menghadap Hana. Hana mengerling rakannya itu. Sambil itu dia menghela nafasnya dengan perlahan.

“Memanglah sekarang tak ada customer. Tapi kerja aku tengah banyak ni. Banyak lagi nak key in dalam sistem. Yang kau tu tercongok dekat sini, kau tak ada kerja ke Im?,” soal Hana sambil tangannya masih lincah menari di papan kekunci. Imla mengeluh kecil sambil mmengubah posisi mendagu kepada posisi menyandar di meja reception tersebut.

“Sebab aku tak ada kerjalah aku tercongok dekat sini. Na, apesal Aiman tak datang kerja hari ni? dia sakit ke?,” duga Imla sambil memandang wajah rakannya itu. Kelihatan pandangan Imla begitu serius. Hana memandang Imla lalu memandang skrin komputernya semula.

A’ah, dia demam. Sebab tu dia tak datang hari ni,” jawab Hana ringkas. Imla menundukkan mukanya seperti memikirkan sesuatu.

“Aku nak jenguk dialah nanti,” ujar Imla tiba-tiba. Jari-jemari Hana terhenti dari menaip lantas memandang wajah bujur Imla.

“Apa? Aku tak dengar? Tiba-tiba telinga aku pekak pula. Cuba cakap lagi sekali,” ujar Hana sambil memegang cuping telinganya itu.

E’eh kau ni. Tetiba pekak pula. Aku cakap aku nak jenguk dia nanti!,” ujar Imla sekali lagi. Kali ini dia sengaja menguatkan suaranya itu. Kasi Hana dengar dengan terang dan jelas.

“Ohh, nak pergi jenguk dia. Aku ingat salah dengar tadi. Dah kenapa tetiba nak pergi jenguk dia. Bukan kau dengan dia tak okay ke?,” soal Hana pelik. Imla memandang Hana dengan pandangan yang sinis.

“Siapa kata? Aku dengan dia okaylah. Lagipun dia kawan aku juga kan. Apa salahnya kalau aku nak pergi jenguk dia,” balas Imla sambil menyilangkan kedua-dua belah tangannya itu. ‘Hmm, ada betulnya juga. Imla dengan Aiman kan dah lama kawan. So, apa yang peliknya,’ desis Hana.

“Kau nak datang, datang jelah. Tapi dia ada dekat rumah aku,” balas Hana lalu meneruskan semula kerjanya itu. Imla terkejut lalu memandang Hana sambil mengerutkan keningnya itu.

“Dekat rumah kau? Kenapa dia dekat rumah kau pula?,” soal Imla sedikit terkejut.

“Malam tadi dia demam teruk. Lagipun, mak bapak dia tak ada dekat rumah. Pergi rumah kakak dia. Tak tahu sampai bila dekat sana. So, akulah yang jaga Aiman,” balas Hana. Imla merenung Hana dengan mata yang serius. ‘Hana jaga Aiman malam tadi?,’ desis Imla cemburu.

“Kenapa kau tenung aku macam tu. Aku nampak kau tenung aku,” tegur Hana. Imla tersentak dengan teguran Hana itu lantas memalingkan mukanya.

“Jadi, sepanjang malam tadi kau jaga dialah,” soal Imla. Nadanya kedengaran sedikit dingin.

“Yep, aku jaga dia,” jawab Hana selamba. Imla tersentak lalu mempamerkan wajahnya yang cemburu.

“Kau jaga siapa malam tadi Hana?,” soal Aqief tiba-tiba. Hana dan Imla tersentak tatkala mendengar suara Aqief itu. Entah dari ceruk mana dia datang. Tiba-tiba terpancul batang hidungnya di hadapan mereka.

“A..a..aku pergi buat kerja dulu,” ujar Imla agak tergagap lalu berlari anak meninggalkan Hana dan Aqief berdua. Hana yang terpinga-pinga dengan tindakan Imla itu cuba memanggil Imla tetapi suaranya tidak mahu keluar.

“Hana?,” panggil Aqief. Kelihatan mata Aqief begitu serius. Hana tersentak lalu memandang Aqief.

“Ye?,” jawab Hana sambil matanya terkebil-kebil.

“Aku tanya kau tadi. Kau jaga siapa malam tadi? Nek Yam sakit ke? ke Husna?,” soal Aqief ingin tahu .

“Bukan nenek, Husna pun bukan,” balas Hana perlahan. Aqief mengerutkan dahinya. Kalau bukan Nek Yam atau Husna, siapa lagi. Takkan jaga diri sendiri. Aqief berteka-teki.

“Habis tu siapa?,” soal Aqief agak ragu-ragu.

“Aiman,” jawab Hana. Sambil itu matanya mengerling ke tempat lain. Aqief terkejut lalu memandang muka Hana setepat yang mungkin. Seperti anak panah yang mahu mencucuk mangsanya. Hana menelan air liurnya sambil matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Tak sanggup dia memandang mata Aqief yang runcing itu.

“Kau jaga Aiman sepanjang malam tadi? Berdua?,” soal Aqief lagi tidak puas hati. Kali ini Hana cuba menentang mata Aqief itu. ‘Dah kenapa si Aqief ni? macam tak puas hati je,’ desis Hana.

“Ye, lagipun Nek Yam dan Husna ada. Apa masalahnya?,” balas Hana mempertahankan diri.

“Nek Yam dan Husna tidur kan. Lagipun tak elok anak dara jaga seorang budak lelaki. Masa malam tu pun kau buat juga. Main game sampai tengah malam dengan dia. Tak elok kalau orang lain nampak,” Dushh!!... seperti ada satu tumbukan hinggap di jantung Hana. Hana memandang Aqief sambil mengerutkan keningnya. Amboi, tak pernah Aqief selaser macam ni.

“Aku minta maaf pasal yang game tu. Memang aku salah. Tapi ada Mak Icah dengan Pak Amir kan. Bukan aku berdua je dengan Aiman. Budak lelaki yang kau kata tu Aiman. Aiman tu kawan kita. Takkan aku nak biarkan dia tertonggeng sorang-sorang menahan sakit dekat rumah dia. Itu tak menjadi satu kesalahan pun,” ambik kau sebijik. Nak lawan mulut siapa paling laser nampak. Kelihatan Aqief terkedu. Sambil itu matanya tidak lepas memandang wajah bujur sirih Hana itu. ‘Haa, terkedu. Tak boleh lawanlah tu,’ desis hati Hana.

“Tapi kau boleh suruh aku jaga dia kan,” balas Aqief perlahan tetapi dingin.

“Tapi kau sibuk kan. Aku tak nak menyusahkan kau,” balas Hana.

“Apa yang sibuknya. Aku takkan sibuk sampai malamlah. Daripada aku tengok kau berduaan dengan lelaki lain, lebih baik aku yang jaga Aiman,” tengkis Aqief lagi.

“Lelaki lain? Lelaki tu Aimanlah! Yang kau nak risau sangat pasal diri aku kenapa? Suka hati akulah nak tunggang terbalik ke apa. Lebih baik kau risau pasal Zulaikha. Zulaikha tu lagi penting untuk kau!,” balas Hana agak marah. Marah dan geram dengan percakapan Aqief itu. Apa kena dengan Aqief pun tak tahu. Tak pernah tengok Aqief sebegini rupa.

“Zulaikha Wardah tu hal aku. Jangan masukkan dia dalam hal ini,” balas Aqief dengan mata yang sangat serius. Kelihatan Hana tersenyum sinis memandang Aqief. Jangan masukkan Zulaikha dalam hal ini. Tapi yang kau nak complain pasal aku pehal pulak! Getus Hana. Kelihatan Hana menelan air liurnya. Pahit.

“Dahlah Aqief. Lebih baik kau pergi buat kerja kau. Ada customer datang,” ujar Hana cuba menamatkan pergaduhan mereka. Aqief memandang Hana lalu memandang customer yang berupakan Singaporean sedang melangkah menuju ke arah mereka. Aqief menghadiahkan sebuah senyuman manis terhadap pelanggan tersebut begitu juga Hana. Kemudian Aqief memandang Hana dan terus melangkah meninggalkan Hana. Hana memandang Aqief dengan pandangan yang serius. Seriously, Aqief betul-betul berubah.

Malam itu, selepas pulang dari kerja, Hana dengan pantas berlari anak menuju ke rumahnya. Dia ingin melihat keadaan Aiman. Sudah baik ke dia? Hari ini Hana pulang agak lewat kerana banyak kerja perlu disiapkan memandangkan Aiman tiada hari ini. Hana tercunga-cungap sambil kepalanya terjegil di hadapan pintu rumahnya.

“Huff..Huff…Aiman?,” panggil Hana tercungap-cungap. Kelihatan Aiman tiada di ruang tamu seperti semalam. Terkebil-kebil mata Hana tatkala melihat Aiman tiada di situ.

“Aiman? Nek! Ohh, nek!,” Hana memanggil cuba memanggil neneknya itu. Kelihatan Nek Yam terkocoh-kocoh keluar dari dapurnya. Husna turut mengikuti Nek Yam.

“Kenapa ni Hana? Jerit-jerit macam kena sampuk jembalang je,” ujar Nek Yam sambil menghampiri cucunya itu.

“Nekk, Aiman mana? Tak ada pun dia,” soal Hana sambil memandang neneknya itu.

“Laa, ingatkan kenapa tadi. Cari Aiman rupanya. Aiman dah balik rumah dia. Tengah hari tadi dia balik. Dia kata dia dah sihat. Tu yang dia nak balik,” ujar Nek Yam sambil memeluk bahu Husna.

“Ohh, kalau macam tu, Hana nak pergi jenguk dia dululah nek,” ujar Hana dan terus berlalu meninggalkan Nek Yam dan Husna.

“Laa, tak nak mandi dulu ke budak ni?,” ujar Nek Yam sendirian. Husna memandang Nek Yam sambil menjungkitkan bahunya itu.

Sementara itu, kelihatan Hana bergegas meluru ke arah rumah Aiman.

“Aiman dah sihat ke belum ek?,” ujarnya sendirian. Sesampai sahaja di hadapan rumah Aiman, kelihatan pintu rumah Aiman terkuak sedikit. Hana dengan perlahan menjengukkan kepalanya di sebalik pintu yang terkuak tersebut.

Zass!! Dupp!!…dupp dupp… dupp dupp!... jantung Hana berdegup laju. Hana membesarkan matanya sambil mulutnya ditutup dengan tangan.

‘A..a…pa mereka bu…at tu?!,’ bisiknya di dalam hati. Hana seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kelihatan Imla sedang bercumbu dengan Aiman! Tak mungkin! Hana menahan dirinya lalu dia berlari pergi meninggalkan Aiman dan Imla. Hana berlari selaju yang mungkin. Sambil itu kelihatan air jernih merembes keluar dari matanya.

Imla tersentak lalu memandang belakangnya. Dia merasakan seperti ada seseorang melihatnya dari arah belakang tadi. Dia sangat pasti ada seseorang memerhatikannya sebentar tadi.

Hana dengan terkocoh-kocoh membuka seliparnya lalu berlari masuk ke dalam biliknya. Husna dan Nek Yam ketika itu sedang menonton televisyen terkejut dengan kelakuan Hana itu. Husna dan Nek Yam saling berpandangan dan terpinga-pinga melihat kelakuan aneh Hana itu.

Hana menghempas pintu biliknya lalu menangis membelakangi pintu biliknya itu. Entah kenapa begitu mudah air matanya merembes keluar. Sementara itu, jantungnya berdegup dengan laju seperti bunyi gegendang cina gamaknya. Sambil itu, dia menekan dadanya. Terasa hatinya begitu hancur sekali melihat mereka berdua tadi. Tak sangka Aiman sanggup melakukan perkara itu.

“Aiman… Imla… a…pa me…re…ka buat tadi?,” bisik Hana sendirian. Kali ini hati Hana benar-benar hancur. Hancur seperti kaca yang jatuh berderai.

“Im, dapat tak?,” soal Aiman.

“Haa? Dapat ni. Ni kumbangnya. Macam mana kau boleh tak perasan ada kumbang dekat kolar baju kau?,” balas Imla lalu membuang kumbang sebesar ibu jari itu.

“Entahlah Im. Dia minat dekat akulah tu. Sebab tu dia melekat dekat aku tu,” balas Aiman.

“Hmm, dahlah, aku balik dulu. Dah malam dah ni,” ujar Imla meminta diri.

“Okay, jangan lupa tutup pintu,” pesan Aiman. Imla hanya mendengus kecil sambil menjeling Aiman. Amboi, menghalau nampak. Tanpa membuang masa, Imla menyarungkan kasutnya lalu menutup pintu rumah Aiman. Sambil itu dia memandang rumah Hana dengan mengerutkan keningnya.

“Tadi macam ada orang tengok. Siapa ek?,” ujar Imla sendirian. Imla menghelakan nafasnya dengan lembut lalu berlalu meninggalkan rumah Aiman.

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.