Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Aimie Izzati
3/4/2015 11:37:04
80,443
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB SPECIAL : KENAKALAN YANG MEMUNCAK! II

“Lari! Wak Seman mengamuk!,” jerit Aiman sambil berlari dengan laju sekali. Begitu juga Hana. Kelihatan Hana termengah-mengah berlari meninggalkan dusun Wak Seman itu. Kalau ditangkap Wak Seman nanti, matilah jawabnya.

Aqief yang sedang khusyuk membaca buku tersentak tatkala terdengar jeritan daripada rakannya itu. Dengan serta-merta Aqief berdiri sambil menunggu kedatangan kedua rakannya itu. Kelihatan Aiman dan Hana lantas berlari menuju ke arahnya. Kemudian, dengan laju, mereka berdua terus berlari meninggalkan Aqief. Kelihatan Aqief terpinga-pinga tatkala melihat Aiman dan Hana meninggalkannya.

“Woi! Tunggu! Jangan lari!,” jerit Wak Seman lagi. Aqief terkejut mendengar suara tersebut. Itu suara Wak Seman, fikirnya. Seraya dengan itu, matanya memandang ke dalam dusun Wak Seman.Kelihatan orang tua itu sedang berlari menuju ke arahnya sambil tangannya tersisip kemas parang yang panjang. Terbeliak mata Aqief memandang Wak Seman. Kalau dia tunggu dekat sini, memang maut menjemputlah jawabnya. Tanpa membuang masa, dengan pantas Aqief pun turut mengambil langkah seribu sambil memegang bukunya.

“Tulah korang! Aku dah cakap tak nak percaya!,” ngomel Aqief sambil kakinya laju berlari mengejar kedua-dua rakannya itu. Dalam hatinya jangan cakaplah. Sudah menangis dan berlagu.

Tanpa membuang masa, Aqief mengambil jalan lain untuk sampai ke rumahnya. Jika dia melalui jalan yang sama dengan jalan yang dilalui oleh Aiman dan Hana, conform dia kena perembat sekali dengan Wak Seman. Aqief lari dengan lebih laju lagi lalu membelok ke satu selekoh. Manakala Aiman dan Hana pula tetap berlari menuju ke rumah mereka.

“Aiman! tunggulah aku!,” jerit Hana. Kali ini jantungnya bagai ingin tercabut.

“Cepatlah Hana! Nanti kita kena perembat dengan Wak Seman!,” jerit Aiman. Sambil itu dia cuba memperlahankan lariannya lalu menarik tangan Hana. Mereka berdua berlari bersama sambil berpimpinan tangan.

Kelihatan dari jauh Wak Seman sudah menghampiri mereka berdua. Boleh tahan juga Wak Seman berlari. Walaupun usia agak tua, tetapi tenaganya tak ubah seperti orang muda. Tanpa disedari, tiba-tiba tangan Wak Seman mencapai tangan Aiman. Parang yang berada di tangan kirinya disisip di pinggangnya. Kemudian, tangan kirinya itu memegang tangan Hana pula. Meronta-ronta mereka berdua tatkala Wak Seman memegang tangan mereka berdua.

“Kamu nak lari mana hah? Kamu ni anak Amir kan? Dan kamu pula anak Firdaus kan? Meh aku bawakan korang jumpa dengan bapak korang. Kamu ingat aku tak kenal bapak kamu. Hari-hari aku nampak korang main-main dekat dusun aku. Aku perhati je. Aku halau, korang datang lagi. Memang tambeng betullah!,” ujar Wak Seman lalu mengheret mereka berdua pergi berjumpa dengan kedua orang tua mereka.

Kelihatan Aiman dan Hana meronta-ronta minta dilepaskan. Naya kalau ibu bapa mereka tahu akan kenakalan mereka berdua itu. Hana sudah menangis tatkala membayangkan hukuman yang bakal menimpa dirinya nanti.

“Lepaskan kitaoranglah Wak Seman! Kitaorang minta maaf!,” jerit Aiman. Tetapi Wak Seman hanya membiarkan sahaja dua orang kanak-kanak itu meronta dan merayu. Kali ini dia mesti memberi pengajaran kepada kedua orang kanak-kanak itu. Kalau tidak, esok lusa diaorang buat lagi. Tak serik-serik.

Tidak lama kemudian, mereka bertiga sudah tiba di hadapan rumah Hana dan Aiman. Rengekkan mereka berdua telah menyebabkan semua penghuni dalam rumah keluar. Kelihatan Mak Icah dan Pak Amir keluar dengan muka yang berkerut. Puan Safiyyah iaitu ibu kepada Hana dan Nek Yam turut keluar sama dari rumah mereka. Encik Firdaus iaitu bapa Hana tiada di rumah kerana kerja.Berkerut-kerut dahi mereka berempat tatkala melihat anak mereka berada dalam tangan Wak Seman. Apa dah jadi ni? Fikir masing-masing.

“Seman, kenapa kau tambat budak dua orang ni? apa diaorang dah buat? Kau pula kenapa marah-marah ni?,” soal Nek Yam sambil memandang Wak Seman yang sedang menggila itu.

“Ni Kak Yam, mana saya tak marah. Cucu Kak Yam dengan kawannya ni pergi ke dusun saya. Berkali-kali saya halau, tetap datang juga. Bukan apa, dekat dusun saya itu ada binatang buas. Elak-elak nanti diaorang ni jadi santapan Si Belang dan seangkatan dengannya. Itu saya tak kisahlah. Kali ini, diaorang datang lagi ke dusun saya. Lepas tu dia boleh lastik pula punggung saya. Mana saya tak terkejut. Saya sergahlah, terus berlari diaorang,” terang Wak Seman.

Kelihatan Pak Amir sudah merenung Aiman. Manakala Mak Icah pula telah mencekak pinggangnya sambil terjenggil matanya memandang anaknya. Begitu juga Puan Safiyyah. Nek Yam pula hanya beristigfar sahaja.

“Betul ke ni Seman?,” soal Pak Amir.

“Kalau tak betulnya takkan aku mengamuk macam ni sekali,” balas Wak Seman. Memang betul apa yang dikatakan Wak Seman itu. Dusunnya memang pernah dikunjung oleh Si Belang. Wak Seman sendiri yang nampak. Sebab itu dia berkali-kali menghalau Aiman dan Hana dari bermain di situ.

“Aiman! masuk dalam!,” laung Mak Icah. Kelihatan Mak Icah merenung anaknya itu sambil mengetap giginya. Ibarat haiwan karnivor sedang menunggu mangsanya. Dengan terketar-ketar Aiman melangkah masuk ke dalam rumah seperti dipinta. Dia hanya menundukkan mukanya. Takut untuk menatap wajah mak serta abahnya itu. Seraya dengan itu Mak Icah turut mengikuti langkah Aiman.

“Macam nilah Seman. Aku minta maaf banyak-banyak dekat kau atas apa anak aku dah buat dekat kau. Aku harap kau dah tak marah lagi pasal hal ini,” ujar Pak Amir meredakan keadaan.

“Betul tu Seman. Akak pun nak minta maaf bagi pihak cucu akak tu. Harap kau tak simpanlah dalam hati,” tambah Nek Yam pula.

“Takpelah Kak Yam, Amir. Aku tak kisah pun. Benda ni pun benda kecil je. Cuma aku harap anak kau dan cucu Kak Yam tak datang lagi ke dusun aku tu,” balas Wak Seman.

“Yelah Seman. Nanti aku nasihat dekat anak aku tu. Aku minta maaf banyak-banyak Seman,” ujar Pak Amir. Nek Yam hanya mengangguk.

“Takpelah Amir. Aku balik dulu. Kak Yam,” ujar Wak Seman meminta diri.

“Ye, terima kasih Seman,” balas Nek Yam. Kelihatan Wak Seman menganggukkan kepalanya lalu melangkah pergi meninggalkan perkarangan rumah Nek Yam. Pak Amir menggeleng-gelengkan kepalanya lalu melangkah masuk ke dalam. Jadi, tinggallah Hana di halaman rumahnya. Nek Yam menghelakan nafasnya dengan perlahan lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia meninggalkan Puan Safiyyah dan Hana. Biar ibu yang mengajar anaknya itu. Fikir Nek Yam.

Puan Safiyyah merenung Hana seperti mahu makan anaknya itu. Hana hanya menundukkan mukanya memandang rumput. Takut dia menatap mata runcing ibunya itu.

“Hana! Masuk bilik sekarang!,” arah Puan Safiyyah. Tersentak Hana tatkala menerima arahan ibunya itu. Tanpa membuang masa dia terus melangkah menuju ke biliknya seperti disuruh. Selepas Hana masuk ke dalam biliknya, dengan lantas Puan Safiyyah mengunci pintu bilik Hana dari luar.

“Duduk dalam ni sampai esok pagi. Inilah hukumannya kalau nakal sangat. Tak dengar cakap ibu kan,” ujar Puan Safiyyah sambil mengunci pintu bilik Hana. Hana dengan serta-merta membuka pintu biliknya. Tetapi tak berjaya.

“Ibu, maafkan Hana. Hana janji tak buat lagi lepas ni. Ibu! Huaaa!,” rintih Hana sambil mengetuk-ngetuk pintu biliknya itu. Tetapi sia-sia. Puan Safiyyah sudah meninggalkan Hana menangis keseorangan. Bukan sekali je Hana berperangai seperti ini. Sudah berkali-kali Hana buat perangai seperti ini. Kali ini Puan Safiyyah benar-benar memberi pengajaran kepada anaknya itu.

Manakala di rumah Aiman pula, Aiman pun turut menerima nasib yang sama. Aiman turut dikurung Mak Icah di dalam biliknya itu. Nak tak nak terpaksalah Aiman menerima hukumannya itu. Tetapi Aiman tidak seperti Hana. Dia hanya mendiamkan dirinya sahaja. Dia tahu akan kesalahannya. Jadi, redha jelah.

Petang berganti malam. Kelihatan malam ini sangat terang diterangi oleh cik bulan mengambang. Dan tidak lupa juga si peneman setia iaitu cik bintang-bintang. Tangisan Hana sudah berhenti. Tidak seperti siang tadi. Hana menghela nafasnya lalu membuka jendela biliknya. Biar angin masuk ke dalam biliknya. Sejuk sikit. Kemudian, dia duduk di meja belajarnya sambil termangu memandang cik bulan mengambang. Sangat cantik bulan malam ini. Dengan angin malam yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan Hana sedikit tenang.

Sedang Hana khusyuk memandang bulan, tiba-tiba jendela di bilik Aiman dibuka. Kelihatan Aiman sedang membuka jendela biliknya itu. Aiman agak tersentak tatkala memandang Hana sedang tercongok di jendela biliknya itu. Hana yang perasan akan Aiman lantas cuba menutup jendela biliknya. Benci dia tatkala melihat muka Aiman ketika ini. Gara-gara dialah Hana terheret sekali dalam hukuman ini. Ini semua sebab Aiman dan lastik sengal dialah Hana menjadi macam ini.

“Hana! Tunggu dulu. Jangan tutup tingkap tu!,” ujar Aiman. Kelihatan Hana memberi jelingan maut kepada Aiman.

“Kau nak apa? Sebab kaulah aku kena marah dengan mak aku tau. Dan sebab lastik sengal kau tulah aku kena kurung dengan mak aku. Senjata terhebat abad terkini konon. Phui!,” balas Hana lantas menutup jendela biliknya itu.

“Aku minta maaf!,” ujar Aiman. Kelihatan Hana membuka semula jendela biliknya.

“Dah terlambat. Aku dah kena kurung dekat dalam bilik ni,” balas Hana sambil memuncungkan bibirnya itu. Kelihatan Aiman mendiamkan dirinya. Sepertinya dia sedang memikirkan sesuatu.

“Tapi aku boleh buat sesuatu,” ujar Aiman tiba-tiba. Bebola mata Hana tertacap memandang wajah comel Aiman itu.

“Apa yang kau boleh buat? nak keluarkan aku dalam bilik ni ke? mustahil,” balas Hana seperti memandang rendah terhadap Aiman.

“Hmm, nak keluarkan kau dalam bilik tu memang aku tak boleh nak buat. Tapi aku ada sesuatu yang boleh gembirakan kau. Tanda maaf aku,” ujar Aiman sambil memandang Hana.

“Hehh, nak gembirakan aku konon. Aku hanya gembira bila aku dapat keluar dari bilik ni dan duduk dekat luar sambil menikmati cik bulan mengambang. Tu je. Kau boleh buat ke?,” soal Hana sambil tersenyum sinis. Kelihatan Aiman memandang cik bulan mengambang di langit. Sangat cantik.

“Kau tunggu kejap,” ujar Aiman lantas meninggalkan jendela biliknya. Kelihatan Hana tersenyum sinis. ‘Apa kau boleh buat Aiman?,’ desisnya.

Tidak lama kemudian, muncul Aiman di hadapan jendela biliknya. Seraya dengan itu, ada sebotol air sabun di tangan kirinya. Hana mengerutkan dahinya melihat Aiman membawa botol air sabun tersebut. Nak buat apa botol tu? nak main tiup belon ke malam-malam macam ni? fikirnya.

“Hana, kau tengok ni,” panggil Aiman. Kemudian, dia mula meniup belon sabun tersebut. Kelihatan banyak belon sabun yang keluar dari lubang peniup itu. Belon sabun mula berterbangan di langit.Dan ada sesetengahnya terbang menuju ke arah Hana. Belon sabun tersebut kelihatan bercahaya dengan limpahan cahaya cik bulan mengambang. Sangat cantik. Seperti kristal yang berterbangan.

Belon sabun terus menari-nari di antara Aiman dan Hana. Hana yang tadinya cemerut mula menampakkan senyuman manisnya. Aiman pula tidak henti-henti meniup belon sabun. Semakin banyak belon sabun yang berterbangan di antara mereka.

Kelihatan juga ada kelip-kelip bewarna biru datang menghampiri belon sabun tersebut. Kelip-kelip tersebut mula menari-nari serentak dengan belon sabun. Senyuman Hana semakin lebar. Wahh! Ini kali pertama dia melihat permandangan secantik ini. Tak sangka Aiman ada idea sebijak ini.

“Hana!,” panggil Aiman. Hana tersentak lalu memandang Aiman yang masih bersisa senyumannya.

“Walaupun kau dalam kesunyian, aku tetap ada untuk menceriakan kau! ingat tu! aku minta maaf pasal hal tadi!,” ujar Aiman dengan ikhlas. Hana hanya tersenyum memandang Aiman.

“Terima kasih Aiman!,” balas Hana sambil menghadiahkan senyuman yang sangat manis kepada Aiman. Semanis dan secantik cik bulan mengambang. Kelihatan Aiman terkedu memandang senyuman Hana itu. Kedua-dua telinganya bertukar merah. Di samping itu, dia pun turut tersenyum memandang Hana yang sedang gembira itu.

Tanpa membuang masa, Aiman meniup lagi belon sabun tersebut. Kali ini dia benar-benar bersemangat meniup belon sabun setelah melihat kegembiraan yang terpancar di wajah Hana. Mereka berdua menikmati suasana tersebut dengan gembira. Perasaan sedih dan takut sudah hilang dalam diri Hana. Kini dia sangat gembira menikmati suasana sekarang.

Belon sabun dan kelip-kelip biru masih menari-nari di antara mereka berdua. Cik bulan mengambang dan cik bintang turut menemani mereka berdua. Kini, mereka berdua tidak rasa sunyi dan takut lagi. Kerana masih ada lagi yang menemani malam-malam mereka berdua.

                                                              TAMAT

P/S:  Terima kasih kepada pembaca yang setia membaca hingga ke saat ini.  Saya amat hargai masa yang diluangkan oleh anda semua membaca karya saya yang tidak seberapa ini.  Jangan lupa ikuti karya saya yang seterusnya "My Beautiful Husband".  Terima kasih! ^___^

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.