Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Aimie Izzati
3/4/2015 11:37:04
80,785
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 41

Hana merenggang-rengangkan pinggangnya sambil tangannya menyiram pokok-pokok bunga Nek Yam di hadapan rumah. Sesekali kelihatan Hana menguap sambil sebelah lagi tangannya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Tidak senonoh betul anak dara sorang ni. Hari ni cuti, tapi Hana tiada apa-apa perancangan sepanjang hari ini. Bosan betul!

Hana mengeluh kecil sambil matanya memandang setiap pokok-pokok bunga neneknya itu. Alangkah bestnya jadi pokok bunga. Sentiasa dibelai, diberi perhatian, disayangi, dijaga. Hana mengumam sendirian.

“Nah!,”

Tiba-tiba muncul tangan menghulurkan sebuah topi kelendar basikal. Hana yang sedang terkejut itu memandang empunya tangan tersebut. Kelihatan Aqief sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum manis.

“Apa ni?,” soal Hana sambil berkerut-kerut mukanya.

“Helmet basikal,”

“Untuk?,” soal Hana lagi sambil memandang Aqief yang masih tersenyum.

“Pakai. Jom kita lumba basikal nak?,” ajak Aqief tiba-tiba. Buntang biji mata Hana tatkala mendengar ajakan Aqief itu.

‘Lumba basikal? Ngingau apa Aqief ni,’ detiknya. Setahu Hana, Aqief sejak dari kecil lagi tak pernah naik basikal. Kalau diajak pun, mesti dia menolak.

“Kau reti tunggang basikal ke?,” soal Hana agak ragu-ragu. Kedengaran Aqief ketawa kecil tatkala mendengar soalan daripada Hana itu. Hana mengerutkan dahinya tatkala melihat Aqief tiba-tiba ketawa mendengar soalannya itu.

‘Kelakar sangat ke soalan aku?,’ desisnya sambil berkerut-kerut dahinya melihat Aqief.

“Hahaha, apa punya soalanlah. Mestilah reti. Sebab tu aku berani ajak kau berlumba,” balas Aqief yang masih bersisa ketawanya.

“Betul ni? jangan menyesal nanti,” cabar Hana sambil merenung tajam wajah Aqief.

“Sepatutnya aku yang cakap macam tu,” balas Aqief sambil menjungkit sebelah keningnya itu. Hana mencebikkan mukanya tatkala melihat respon daripada Aqief. Poyo sungguh respon dia.

“Kau tunggu sini. Aku nak bersiap-siap kejap,” pinta Hana lalu melangkah pergi meninggalkan Aqief. Aqief hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Tiba-tiba langkahan Hana terhenti dan dia berpaling semula memandang Aqief. Aqief mengerutkan sedikit dahinya tatkala melihat Hana.

“Err.. Aqief. Sebenarnya, aku nak minta maaf pasal sebelum-sebelum ni. Pasal malam hari tu…,”

“Tak pe.. aku dah lupakan pun. Aku faham. Dah, cepatlah siap-siap. Tak sabar nak racing ni,” gesa Aqief. Hana tergelak kecil tatkala mendengar jawapan daripada Aqief itu. Pada masa yang sama, dia lega kerana Aqief sudah memaafkannya dan melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Amboi, tak sabar nampak. Tunggu kejap,” ujar Hana sambil tersenyum. Aqief membalas senyuman Hana itu dengan manis. Lega hatinya tatkala melihat Hana sudah mampu tersenyum semula.

“Aqief…,” panggil Hana.

“Terima kasih!,” ucap Hana sambil menghadiahkan senyuman paling manis kepada Aqief. Kemudian, Hana berpaling dan melangkah pergi meninggalkan Aqief. Aqief tersentak kecil tatkala memandang senyuman yang dihadiahkan oleh Hana tadi. Tanpa disedari kedua-dua pipi Aqief bertukar menjadi merah padam. Begitu juga kedua-dua telinganya. Nasib baik Hana tidak nampak wajah Aqief ketika itu. Kalau Hana nampak, mesti lagi malu dibuatnya. Bertambah-tambah merah pipi dan telinganya itu. Aqief tersengih sendirian sambil menggosok-gosok tengkuknya itu. Terasa bahang malu itu menular di segenap tubuhnya.

Kemudian, Aqief merenung rumah Hana. Kerana Hanalah, Aqief berusaha untuk belajar menunggang basikal. Kerana ingin melihat senyuman Hanalah, Aqief ketepikan ketakutannya untuk menunggang basikal. Ya, Aqief takut untuk menunggang basikal. Oleh sebab itulah dia tidak pernah berbasikal ketika kecil. Tapi, demi Hana. Aqief sanggup belajar menunggang basikal. Itupun selama dua hari dia belajar menunggang.

Kelihatan Aqief tersenyum manis sambil menunggu Hana. Aqief berharap, usahanya ini dapat menceriakan Hana semula.

                                                              *******

Di satu persimpangan traffic light, kelihatan beberapa buah kereta berhenti menunggu lampu merah bertukar hijau. Antaranya adalah kereta Imla. Sedang Imla menunggu lampu merah bertukar hijau, tiba-tiba matanya tertacap memandang kereta sebelahnya.

Jantungnya bagai nak tercabut tatkala memandang figura yang berada di dalam kereta tersebut. Imla mengosok-gosok matanya itu berulang kali.

“Aiman!,” bibirnya menyebut nama Aiman dengan nada yang terkejut. Imla membesarkan matanya lagi sambil memandang figura yang berada di sebelah keretanya itu.

“Sah! itu Aiman. Kenapa dia ada dekat sini? bukan dia pergi Amsterdam ke?,” Imla mengumam sendirian. Matanya masih lagi menatap Aiman yang berada di dalam kereta tersebut. Tanpa disedari, kereta dinaiki oleh Aiman bergerak laju meninggalkan Imla yang masih tercengang.

“Eh, Eh,” Imla termangu-mangu memandang kereta yang dinaiki oleh Aiman meninggalkannya. Tiba-tiba hon dari kereta yang berada di belakang keretanya berbunyi kuat. Imla dengan tergopoh-gapah menurunkan handbreaknya lalu meluncur laju menuju ke destinasinya. Sesekali dia memandang cermin pandang belakang. Takut-takut kereta yang berada di belakangnya itu naik marah akibat tindakan cuainya itu. Kemudian, dia memandang jalan raya yang berada di hadapannya itu.

“Macam mana Aiman boleh ada dekat sini? tak mungkin. Takkanlah aku berhalunisasi pula. Memang betul tu Aiman. Hmm, tak boleh jadi ni. Daripada pening buat kesimpulan sendiri, lebih baik aku pergi rumah dia. Mana tahu dia terus balik ke rumah,” Imla membuat kesimpulannya sendiri.

Tanpa membuang masa, Imla menekan minyak lalu keretanya meluncur laju menuju ke rumah Aiman. Mana tahu di sana nanti dia dapat bertemu dengan Aiman.

Sementara itu, kelihatan Hana dan Aqief tersenyum riang sambil mengayuh basikal menikmati angin petang. Sesekali terdengar tawa riang daripada mereka berdua. Kedengaran juga hilaian ketawa Hana tatkala Aqief cuba mengejarnya. Nampak gembira sungguh mereka berdua.

Mereka berdua berlumba sambil menikmati angin petang. Sungguh indah petang ini. Dengan langit yang membiru dan awan memutih, dapat menyamankan sesiapa sahaja yang menikmatinya.

Sesekali kelihatan Hana berpaling memandang Aqief dengan senyumannya yang manis. Aqief hanya membalas senyuman daripada Hana. Sesekali matanya memandang handle basikal. Kelihatan tangannya menggigil memegang handle basikal tersebut.

‘Aqief, bukan sekarang. Malulah nanti kalau kau jatuh depan Hana,’ bisik hatinya sambil menstabilkan kembali tangannya yang menggigil itu. Sesekali matanya memandang Hana yang berada di hadapannya itu. Malulah kalau lelaki jatuh basikal depan perempuan. Jatuh saham nanti. Hatinya mengumam.

“Aqief, cepatlah! Kita dah nak naik bukit dah ni,” ujar Hana sambil memandang Aqief.

“Ye!,” balas Aqief sambil tersenyum memandang Hana. Hana hanya membalas senyuman Aqief lalu berpaling memandang hadapan. Kelihatan Hana sedikit berdiri sambil kakinya berusaha kuat mengayuh basikal.

Kayuhan Aqief terhenti tatkala memandang jalan yang berbukit di hadapannya itu. Masak! Macam mana dia nak merentasi jalan tersebut. Takkan dia nak sorong pula basikal tu sedangkan Hana mampu merentasinya. Malulah nanti.

Aqief menelan sedikit air liurnya itu sambil kakinya bersedia untuk membuat kayuhan. Matanya pula merenung tajam ke arah jalan berbukit tersebut. ‘Aqief, kau boleh buat!,’ bisik hatinya memberi semangat.

Aqief menghela sedikit nafas lalu mengayuh basikalnya itu sekuat tenaganya. Tangannya masih lagi menggigil memegang handle basikal. Kakinya pula jangan cakaplah. Macam nak kena Parkinson. Sesekali kelihatan basikalnya menghala ke bahu jalan. Aqief dengan cepat-cepat menstabilkan semula basikalnya itu. Kali ini sumpah, Aqief betul-betul tidak dapat mengawal basikalnya. Hana pula sudah jauh meninggalkannya. Nak tak nak, Aqief terpaksa mengejar Hana dengan apa cara sekali pun. Malu betul dia kali ini. Dia yang ajak berlumba, tetapi dia pula yang tidak pandai berlumba.

Aqief menarik nafas lalu dihembuskan semula nafasnya itu. Dia cuba mengawal semula basikalnya. Walaupun keadaan Aqief kelihatan sangat kritikal, tetapi semangat juangnya untuk mengawal basikalnya tetap ada.

Aqief cuba berdiri sambil menekan daya ke kakinya untuk mengayuh. Entah macam mana, tiba-tiba Aqief tidak dapat mengawal basikalnya. Basikalnya kelihatan bergoyang-goyang.

“Eh, eh!,” Aqief tidak dapat mengawal basikalnya lagi lalu dia terjunam ke bahu jalan dengan basikalnya sekali.

Kedengaran Aqief mendengus kecil sambil menepuk basikalnya itu. Tiba-tiba dari jauh kelihatan Hana mengayuh laju basikalnya menuju ke arah Aqief. Aqief memandangnya dengan wajah yang agak kecewa. Malu pun ada sebenarnya.

“Qief, kenapa ni? kau jatuh ea?,” soal Hana sambil memandang Aqief dengan perasaan yang terkejut.

“Taklah. Mana ada,” tungkas Aqief. Hana merenung tajam wajah Aqief. Aqief menunduk malu tanpa membalas pandangan Hana.

“Ye, aku jatuh,” jawab Aqief perlahan. Hana tersenyum lega tatkala Aqief berkata sedemikian. Tanpa membuang masa Hana menghulurkan tangannya. Aqief memandang tangan halus Hana lalu dia beralih memandang wajah Hana pula. Hana hanya tersenyum manis sambil menghulurkan tangannya itu. Aqief tersenyum tawar lalu menyambut tangan Hana.

Aqief kemudian mengibas-ngibas badannya itu tanpa sedikit pun memandang Hana. Hana melentukkan sedikit kepalanya itu sambil memandang wajah Aqief.

“Bila kau belajar naik basikal ni?,” soal Hana sambil merenung wajah malu Aqief. Aqief berpaling tanpa melihat wajah Hana di hadapannya itu.

“Kelmarin,” jawab Aqief pendek. Kelihatan Hana ketawa kecil tatkala mendengar jawapan daripada Aqief. Macam ada yang lawak dengan jawapan yang diberikan oleh Aqief. Aqief mengerutkan dahinya tatkala melihat Hana mengetawakan dirinya.

Apesal kau gelak? Ada yang lawak ke dengan jawapan aku tu?,” soal Aqief sambil memandang Hana yang masih ketawa sambil menekan-nekan perutnya itu. Hana berhenti dari ketawa sambil memandang Aqief yang sedang merah mukanya.

“Kenapa kau tak cakap kau baru belajar naik basikal? Mula-mula tu aku pelik juga bila kau ajak aku racing. Sebab kau kan takut naik basikal. Fobia katakan. Mula-mula tunjuk herolah depan aku. Siap potong aku lagi. Last-lastaku tengok kau dah terjunam dekat sini. Hahaha. Aqief-Aqief. Lain kali cakaplah awal-awal kau baru belajar naik basikal,” ujar Hana sambil tersenyum menahan gelak. Aqief hanya mendiamkan diri sambil menggosok-gosok tengkuknya. Malu untuk dia membalas kata-kata Hana itu. Dah memang betul apa yang dikatakan oleh Hana. Tulah, berlagak power sangat. Dapat tergolek dekat tepi jalan. Nasib baik tak ada orang yang nampak.

“Dahlah jom kita balik. Kita sama-sama sorong basikal ni,” ajak Hana sambil tersenyum. Aqief hanya membalas senyuman daripada Hana itu. ‘Takpelah, malu pun malulah. Asalkan dapat kembalikan senyuman kau,’ bisik Aqief sambil curi-curi memandang wajah Hana. Dalam diam, kelihatan Aqief tersenyum sendirian. Lega tatkala melihat senyuman Hana itu.

                                                                ********

“Aiman, kau balik rumah dulu ea. Akak ada hal nak buat. Nanti bila dah settle kerja akak, baru akak balik,” ujar Kak Aina lembut sambil memandang adik bongsunya itu. Aiman memandang Kak Aina sambil mengerutkan keningnya.

“Kerja apa akak nak buat? kita kan baru balik ni. Akak tak penat ke?,” soal Aiman. Kak Aina memandang Aiman sambil tersenyum sinis.

“Adalah. Dah cepat-cepat keluar. Meh akak tolong kau keluarkan beg kau sekali,” ujar Kak Aina sambil menolak Aiman keluar dari perut kereta. Sejurus selepas itu, dia turut turun sama lalu pergi ke bonet kereta. Manakala Aiman pula hanya terkebil-kebil melihat tindakan kakaknya itu. Kak Aina kemudiannya membuka bonet lalu mengeluarkan beg Aiman. Kak Aina menarik beg Aiman dengan segala kudratnya lantas meletakkannya di hadapan Aiman. Aiman yang masih tercengang masih melihat tindakan kakaknya itu.

Okay Aiman, akak pergi dulu. Bye!,” ujar Kak Aina sambil mengusap-usap kasar rambut adiknya itu. Kemudian, dia masuk ke dalam perut kereta lalu melambai-lambaikan tangannya sambil tersenyum ke arah Aiman.

“Bye!,” ucap Kak Aina sambil tersengih dan melambai-lambaikan tangannya. Aiman hanya terkebil-kebil memandang kakaknya itu. Aiman kaku memandang ke arah kereta yang dinaiki kakaknya itu sehingga bayangan kereta tersebut hilang dari pandangan.

Aiman mengeluh kecil sambil memandang bagasi di hadapannya. ‘Hai Kak Aina, bilalah dia nak berubah,’ desisnya lalu menarik bagasinya.

Tiba-tiba langkah Aiman terhenti tatkala melihat dari jauh figura Hana dan Aqief sedang menyorong basikal mereka. Mereka kelihatan gembira sambil beriringan menyorong basikal masing-masing. Kelihatan Hana dan Aqief tidak perasan akan kehadiran Aiman.

Matanya masih tertacap memandang dua figura di hadapannya itu. Jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Kakinya masih kaku memandang mereka berdua.

Tiba-tiba langkah dan ketawa Hana terhenti. Terasa dadanya tiba-tiba berombak naik. Matanya terbuntang besar memandang figura di hadapannya itu. Aqief yang berada di sebelahnya berasa hairan tatkala melihat tingkah laku Hana. Dia mengerutkan dahinya lantas memandang apa yang dipandang oleh Hana. Buntang biji matanya tatkala melihat figura yang berada di hadapannya. Kelihatan tangan Aqief menggenggam erat handle basikalnya. ‘Tak mungkin,’ desisnya.

Manakala mata Hana masih bertentang dengan mata redup Aiman. Kelihatan pandangan Aiman sedikit dingin. Tidak seperti selalu. Tiba-tiba sahaja dada Hana terasa sebak. Matanya pula mula berair.

“Aiman,” ucapnya perlahan.

Previous: SINOPSIS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.