Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Aimie Izzati
3/4/2015 11:37:04
80,783
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 31

Malam itu kelihatan Aqief sedang termenung di bangku di halaman rumah Aiman. Dia masih memikirkan tentang perpisahannya dengan Zulaikha sebentar tadi. Apakah dia sedang bermimpi? Tak mungkin. Kedua-dua pipinya hampir menjadi lebam akibat ditampar oleh diri sendiri. Untuk pastikan ini semua bukan mimpi. Aqief meraup mukanya yang kusut itu sambil mendengus kasar. Seperti badak sumbu pun ada bunyinya.

Dari jauh kedengaran bunyi enjin kereta Aiman yang sedang menuju ke halaman rumahnya. Aqief hanya buat muka selamba badaknya sahaja tanpa menghiraukan kereta sahabatnya itu. Kelihatan Hana dan Aiman keluar dari perut kereta sambil ketawa mengekek. Mereka tidak sedar akan kewujudan Aqief di situ. Entah kenapa lampu yang menyinari tempat tersebut menjadi malap dan kelam seperti kelamnya perasaan Aqief ketika itu.

Sedang mereka rancak berborak dan melangkah menuju ke rumah masing-masing, tiba-tiba Hana dan Aiman terkejut melihat akan kewujudan satu lembaga yang sedang duduk berteleku di halaman rumah Aiman.

Omo!! Aiman, apa tu?,” soal Hana terkejut. Sambil itu dengan perlahan-lahan dia menyembunyikan dirinya di belakang badan Aiman. Tangannya cuba menarik baju Aiman. Kelihatan Aiman agak terketar-ketar mendekati lembaga tersebut.

“En..entah, kejap. Macam kenal. Tengok baju macam kenal. Aqief ke tu?,” balas Aiman setelah menggamati bentuk fizikal lembaga tersebut.

“Ye ke Aqief. Macam tak je. Dah kenapa Aqief duduk sorang-sorang dekat situ. Buang tebiat apa,” bisik Hana. Sambil itu dia masih menggenggam erat baju Aiman. Aiman pula masih terketar-ketar memandang lembaga tersebut. Dasar sama-sama penakut!

“Tapi bentuk dia macam Aqief. Haish, lampu ni pun satu. Time-time macam nilah dia nak nyawa-nyawa ikan,” bisik Aiman pula.

“Hoi korang! Ni akulah. Aku dengar apa yang korang bisik-bisik tu,” ujar Aqief sambil mempamerkan wajahnya yang agak cengkung itu. Kelihatan matanya pula agak merah dan cengkung.

“Astagfirullahalzim! Aqief ke tu?,” soal Aiman agak lantang. Takut-takut bukan Aqief, tetapi jelmaannya. Hana yang berada di belakang Aiman makin kuat digenggamnya baju Aiman.

“Ye, akulah. Apesal penakut sangat korang ni,” balas Aqief sambil memandang dua orang rakan baiknya itu. Aiman dan Hana saling berpandangan. Kemudian, dengan perlahan-lahan mereka berdua melangkah mendekati Aqief.

Aiman dari jauh cuba-cuba mencucuk muka Aqief dengan jari telunjuknya. Aqief hanya membiarkan sahaja dirinya diperlakukan seperti itu. Dia tahu benar bahawa Aiman dengan Hana ni sama-sama penakut. Sejak dari dulu lagi.

“Eh, betullah Aqief,” ujar Aiman sambil memandang Hana. Hana melepaskan baju Aiman sambil menarik nafas lega.

“Qief, apesal kau duduk sini sorang-sorang? Buang tebiat apa kau ni?,” soal Aiman lalu melabuhkan punggungnya di bangku bersebelahan Aqief. Begitu juga Hana. Aqief hanya mendiamkan dirinya sahaja dan membiarkan soalan Aiman tanpa dijawab. Aiman dan Hana saling berpandangan tatkala melihat perubahan diri Aqief itu. Muka cengkung, mata merah, rambut serabai, tali leher senget. Dah macam mat tiga suku!

“Kau dah kenapa Qief? Kau ada masalah ke? macam orang mati bini je aku tengok,” ujar Hana pula sambil memandang wajah kusut Aqief itu. Sah ini bukan Aqief. Aqief yang kacak lagi bergaya entah lesap ke mana. Yang ada di hadapannya sekarang adalah laki yang mati bini. Laki yang mati bini pun tak de seteruk macam ni.

Aqief memandang Hana sambil mengeluh kecil. Entah ingin diberitahunya mengenai perpisahan dia kepada mereka ataupun tidak. Aqief rasa berbelah bahagi. Tapi, kalau dipendamnya sorang-sorang, boleh makan diri. Hana dan Aiman hanya menunggu jawapan akan dikeluarkan dari mulut rakannya itu. Ini mesti masalah besar. Kalau tidak, tak mungkin Aqief seselebet seperti ini.

Aqief menarik nafas panjang sebelum memulakan perbicaraannya. Harap-harap beban yang berada di hatinya itu berkurang setelah dia menceritakan masalah dihadapinya itu kepada Aiman dan Hana.

“Sebenarnya…,” Aqief terhenti dan menelan air liurnya. Aiman dan Hana mendepankan muka mereka agar dapat mendengar dengan jelas apa masalah teruk yang dihadapi oleh Aqief itu.

“Sebenarnya…,” Aqief memulakan bicara lagi.

“Sebenarnya?,” Aiman dan Hana mengikuti kata-kata Aqief sambil mendengar tekun apa yang ingin dibicarakan oleh kawannya itu.

“Sebenarnya…,” ujar Aqief terberhenti-henti. Aiman dan Hana membesarkan mata mereka sambil menunggu dengan penuh debar.

“Sebenarnya…,”

“Hei! Berapa banyak kali nak sebenarnya ni Qief? Sebenarnya apa?,” teriak Aiman yang sudah tidak sabar dengan kata-kata yang ingin dikeluarkan dari mulut Aqief itu. Hana yang terkejut dengan tindakan Aiman memandang Aiman sambil mengerutkan dahinya.

“Uish kau ni. Bagilah Aqief masa. Yang kau teremosional sangat kenapa?,” sampuk Hana agak marah.

“Tak delah. Dari tadi sebenarnya-sebenarnya. Sebenarnya apa?,” balas Aiman yang agak frust dengan sikap kawannya itu.

“Sebenarnya…aku dah putus dengan Wardah,” ujar Aqief perlahan sambil menekup mukanya itu.

“APA!!,” jerit Hana dan Aiman serentak. Mereka agak terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Aqief itu. Tak mungkin! Bisik hati mereka berdua.

“Macam mana korang boleh putus pula ni?,” soal Hana sambil memandang wajah Aqief. Aiman turut sama memandang wajah Aqief yang tak serupa orang itu.

“Aku tak tahu kenapa dia nak putuskan hubungan ni. Reason yang dia bagi, dia nak sambung master dekat England. Dia tak nak hubungan jarak jauh. Tu je,” luah Aqief sambil meraup mukanya yang agak kusut itu. Aiman dan Hana terlopong tatkala mendengar jawapan daripada Aqief itu.

“Dia tak sayang kau ke Qief? Maksud aku. Dia tak serius ke dengan hubungan ni?,” soal Hana lagi. Aiman yang berada di sebelah Hana mengerling wajah Hana. ‘Sibuknye lahai kau ni,’ desis Aiman.

“Dia lebih sayangkan karier dia Na,” balas Aqief sambil memandang Hana dengan mata bengkaknya itu. Hana membalas pandangan Aqief dengan wajah sayunya itu. ‘Kesian Aqief. Teruk bebeno aku tengok muka dia ni,’ desis Hana.

“Sabarlah Qief. Anggap je dia bukan jodoh kau. Dia ada alasan tersendiri memutuskan hubungan korang ni. Dia bukan saja-saja. Zulaikha bukan macam tu,” pujuk Hana. Aiman berdehem sambil memandang Hana. Kemudian dia memandang wajah Aqief yang kusut masai itu pula.

“Relaks bro, pada aku, kau ni kacak lagi bergaya. Sekali petik, kau boleh dapat sepuluh macam Zulaikha tu tau. Tak semua cinta pertama berjaya. Yang penting kau jangan putus mengharap. Pasti ada yang menanti kau. Sekarang, perempuan pandang duit bro! kacak tu dah satu bonus. Lebih baik kau kumpul harta untuk diri kau dan keluarga kau. Senang di kemudian hari. Bila dah berkepuk kocek kau tu, berduyun-duyun datang nak melamar kau,” kali ini giliran Aiman pula memberi nasihat. Hana memandang muka Aiman sambil berkerut-kerut dahinya.

“Kau bagi nasihat ke menghasut ni?,” sindir Hana.

“Betullah apa aku cakap. Sekarang zaman materialistik. Perempuan zaman sekarang macam piranha kau tahu tak,” balas Aiman. Kelihatan Aqief tersenyum tawar memandang Aiman.

“Betul juga cakap kau tu. Daripada aku membazir membuang air mata aku ni, lebih baik aku kumpul harta aku. Bila aku dah kaya, berduyun-duyun datang melamar aku. Aku tinggal pilih je,” ujar Aqief menyokong kata-kata Aiman. Hana memandang Aqief sambil mulutnya terlopong. ‘Biar betul,’ desisnya.

“Haish, tengok! Ni sebab kau menghasut dia lah tu. Aqief, kau jangan dengar cakap dia ni. Nanti kau jadi tak betul,” sampuk Hana beriya-iya sambil memandang Aqief.

“Apa bendanya jadi tak betul? Kitaorang lelaki. Ini antara lelaki dan lelaki. Kau bukannya faham. Perasaan mendalam sangat. Betul tak Qief?,” balas Aiman cuba mempertahan kata-katanya sebentar tadi. Aqief hanya menggangguk sambil tersenyum. Lega hatinya tatkala dapat meluahkan segala-galanya yang terbuku di dalam hatinya tadi. Kelihatan Hana mengembungkan kedua-dua pipinya itu sambil menahan geram. Kali ini dia kalah. Kalah dengan Aiman. Jika itu mampu melegakan hati Aqief, dia sanggup menurunkan egonya itu.

                                                    ******************************

Tengah hari itu, kelihatan Hana sedang menjamu seleranya bersendirian. Aiman pula katanya ingin pergi ke tandas, tapi sampai sekarang tak nampak-nampak batang hidungnya. Manakala Imla pula tidak nampak batang hidungnya sejak dari pagi tadi. Aqief pula… macam biasa, sibuk dengan meetingnya. Angin Aqief sudah elok sejak pagi tadi. Begitu cepat dia dapat menguruskan emosinya itu. Mungkin disebabkan kata-kata semangat Aiman malam tadi membuatkan Aqief cepat melupakan apa yang sudah berlaku malam tadi. Ada gunanya juga nasihat si Aiman itu.

Sedang Hana menyuakan makanan ke dalam mulutnya, tiba-tiba tangannya disenggul oleh seseorang. Hampir tersedak Hana ketika itu. Hana menumbuk-numbuk dadanya sambil tekaknya cuba menelan nasi goreng yang berada di mulutnya. Sambil itu orang yang menyenggul Hana tadi turut membantu Hana dengan menepuk-nepuk dengan kuat belakang Hana.

“Kau okay tak Hana?,” soal Aiman agak risau. Hana mengerling Aiman. ‘Cis, rupanya mamat ni yang senggol aku tadi. Nak bunuh aku ke?’ geram Hana.

“Na? kau okay tak ni?,” soal Aiman lalu menepuk belakang Hana dengan lagi kuat. Hana menganggukkan kepalanya sambil menunjukkan isyarat okey. Hampir pengsan Hana ditepuk oleh Aiman. Hana mengambil air sirap limau di hadapannya lalu disedutnya dengan rakus. Baru lega tekaknya sekarang. Hana lantas memandang Aiman yang berada di sebelahnya dengan pandangan yang sangat tajam.

“Kau nak bunuh aku ke?,” soal Hana agak dingin. Matanya dikecilkan sambil memandang muka Aiman yang selamba persis katak puru itu.

“Mana ada. Kalau aku bunuh kau pun, bukannya dapat untung,” balas Aiman selamba lalu mengambil sirap limau ais Hana lalu disedutnya. Sungguh bahagia dia tatkala menyedut sirap limau tersebut. Hana agak panas melihat muka bahagia Aiman itu lantas merampas kembali gelas yang mengandungi sirap limau kegemarannya itu.

“Kalau nak, beli sendiri,” ujar Hana sambil menjenggilkan matanya itu.

“Haish, kemutnya!,” balas Aiman lalu mengambil nasi goreng Hana lalu menyuakan nasi tersebut ke dalam mulutnya. Hana memandang gelagat Aiman sambil mulutnya ternganga luas. ‘Amboi, main kasar nampak! Tadi air, ni nasi goreng aku pula! Tak boleh jadi ni,” desis Hana sambil mengerutkan keningnya itu.

Hana dengan nekad merampas kembali pinggan yang berisi nasi gorengnya itu. Aiman yang terkejut dengan tindakan Hana itu lantas menarik semula pinggan yang dirampas Hana tadi. Hana mengetap giginya lalu merampas hartanya kembali. ‘Amboi sesedap rasa kau je nak ambik nasi goreng aku ye!,’ desisnya.

“Na! apesal kau ni kemut sangat,” ujar Aiman sambil memandang muka Hana yang cemberut itu.

“Bukan kemut, kau tu kalau nak makan pergilah beli sendiri. Makan makanan orang lain, tak malu ke?,” balas Hana dengan garang.

“Amboi, garangnya minah ni. Minta sikit pun tak boleh,” ngomel Aiman sambil mencebikkan mukanya yang comel itu.

“Memang tak boleh!,” pantas Hana membalas kata-kata Aiman itu.

Tanpa disedari tiba-tiba muncul sebuah bekal makanan di hadapan mereka berdua. Hana dan Aiman memandang bekal makanan tersebut dengan serentak. Kemudian mata mereka meniti figura yang berada di hadapan mereka itu. IMLA!

“Aiman, ni aku ada bawa bekal untuk kau,” ujar Imla sambil memandang muka comel Aiman itu. Aiman menjungkitkan sebelah keningnya itu. Bekal? Demam ke si Imla ni.

Sementara itu kelihatan Hana menundukkan mukanya itu. Imla bawa bekal untuk Aiman. Mungkinkah mereka sudah ada ikatan. Mungkinkah Aiman dan Imla sudah jadi pasangan? ‘Kenapa aku tak perasaan sebelum ni? jadi… betullah apa yang aku nampak malam kelmarin,’ detik hati Hana. Zass! Tiba-tiba hatinya menjadi perit. Matanya tak mampu memandang Imla dan Aiman. Ingin sahaja dia lari dari situ. Dengan perlahan Hana menolak kerusi yang diduduknya itu.

“Aku nak pergi toilet jap,” ujar Hana lalu melangkah meninggalkan Imla dan Aiman. Aiman terpinga-pinga sambil memandang Hana yang berlalu pergi itu. Sementara Imla pula hanya memandang Hana dengan pandangan yang kosong.

“Kau makanlah dulu. Aku nak pergi teman Hana kejap,” ujar Imla lalu melangkah pergi meninggalkan Aiman yang terpinga-pinga. Aiman memandang Imla sambil mengerutkan keningnya itu.

“Apa ni? tadi ingat nak makan sama-sama. Sekarang macam ni pula jadinya. Tak fahamlah perempuan ni. Asyik nak pergi toilet je. Apalah yang best sangat dekat dalam toilet tu. Hmm, makan lagi best,” omel Aiman lalu membuka penutup bekal yang dibawa Imla tadi. Aiman menghirup bau mee goreng mamak yang ada di dalam bekal tersebut. Fuhh! Sedap sehingga meleleh air liur. Nasiblah kalau diaorang lambat. Alamat licinlah jawabnya dibedal oleh Aiman.

Sementara itu, kelihatan Imla berlari anak mengejar Hana. Imla agak termengah-mengah mengejar Hana. Amboi laju betul dia melarikan diri.

“Hana!,” panggil Imla sambil mendekati Hana. Hana tersentak lalu menoleh belakang. Kelihatan Imla agak tercungap-cungap mendekati dirinya.

“Lajunya kau jalan,” ucap Imla sambil memegang perutnya dan membongkokkan sedikit badannya itu. Hana mengerutkan keningnya sambil memandang Imla.

“Kau kejar aku ke?,” soal Hana pelik.

“Hahh, tu tak penting. Hana! Aku ada sesuatu nak beritahu kau ni,” ujar Imla sambil memegang kedua-dua tangan Hana. Hana membiarkan Imla menggenggam tangannya itu.

“Kenapa ni?,” soal Hana agak pelik. Kelihatan Imla menelan air liurnya dengan agak kasar. Dia mengamati wajah rakan baiknya itu dengan pandangan yang bersinar-sinar.

I’m in love!,” ucap Imla agak teruja. Buntang biji mata Hana memandang Imla.

In love? Dengan siapa?,” soal Hana dan menanti jawapan daripada Imla dengan penuh debaran.

“Aiman!,” balas Imla sambil tersengih gaya kerang busuk.

Zass!! Seperti halilintar hati Hana tatkala mendengar jawapan daripada Imla itu. Hana terkedu seketika tatkala mendengar nama yang keluar daripada mulut Imla tadi. Hana cuba tersenyum memandang rakannya itu. Tawar. Setawar air yang tidak dibubuh dengan gula.

“Kau mesti terkejut kan. Aku lagi terkejut dengan perasaan aku ni. Entahlah Hana. Tiba-tiba perasaan tu datang. Kita tak mampu nak tolak kan. Lagipun Aiman apa kurangnya. Walaupun dia tu mulut longkang, tapi kalau diamati betul-betul, dia comel apa. Kau tak kisah kan kalau aku jatuh cinta dengan Aiman. Lagipun aku tengok kau dengan Aiman macam anjing dengan kucing. Mesti kau tak kisah kan?,” luah Imla. Hana memandang Imla sambil tersenyum tawar.

‘Tak kisah? Tapi hati aku sakit,’ detiknya.

“Im, kalau aku nak tanya kau sesuatu boleh?,” soal Hana agak serius. Imla menganggukkan kepalanya sambil memandang Hana.

“Malam tu. Malam kelmarin. Kau… Aiman… apa korang buat masa tu. korang… ber…ci… um ke?,” soal Hana agak teragak-agak. Imla tersentak dengan soalan Hana itu.

‘Jadi orang tu kaulah Hana,’ detiknya tatkala cuba mengimbas kembali kejadian malam kelmarin. Kelihatan ada segaris senyuman di bibir kecil Imla. Sinis.

“Apa yang kau lihat malam tu. Itulah jawapannya,” ucap Imla lalu pergi meninggalkan Hana yang terkesima.

GEDEBUKK!! Satu hentakkan yang kuat menghentam hati Hana yang hampir hancur itu. Hana cuba menahan air matanya yang hampir gugur ke bumi. Kelihatan badannya agak menggigil menahan perasaannya itu. Hana menguatkan kakinya lalu cuba melangkah ke restroom yang hanya tinggal beberapa langkah sahaja.

Sesampai sahaja di restroom, Hana membuka kepala paip lalu menadah tangannya. Kemudian dia menyapu air yang telah bertakung di tangan ke mukanya. Hana memandang dirinya di cermin. Apa semua ni? sejak bila si Imla boleh jatuh cinta dengan Aiman? tak masuk akal!

‘Kenapa? Kalau diaorang jatuh cinta mesti beritahu aku. Dulu Aqief, sekarang Imla. Kalau fall in love mesti cakap dengan aku. Tak ada sesiapa ke nak luah yang dia fall in love dengan aku? Haish! Apa kau mengarut ni. Kau cemburu ke?,’ desisnya sambil mengerut-ngerutkan mukanya.

“Bedebah punya Aiman! kau jahat! JAHAT!!,” marah Hana seraya itu satu tumbukkan yang padu hinggap di dinding. BAMM!! Ouch! Hana menggosok-gosok tangannya yang berubah menjadi merah itu. Sakitnya tak setanding sakit di hatinya.

Kenapa kau Hana? Kau cemburu ke? takkanlah, kau sudah jatuh cinta dengan Aiman pula?

TIDAKKKKK!!! Jerit hatinya yang tidak kedengaran.

Sementara itu kelihatan Aiman sedang melingas ke kiri dan ke kanan mencari kelibat Hana.

“Mana Hana?,” soal Aiman sambil memandang Imla yang baru duduk di hadapannya itu.

“Hana cakap dia terus masuk kerja. Ada banyak kerja nak siapkan,” bohong Imla. Aiman mengerutkan keningnya sambil memandang Imla.

“Aik, rajinnya dia. Hmm, biarlah. Yang penting perut aku dah berdangdut dah ni. Sedaplah kau masak Im. Lain kali bawalah lagi,” seloroh Aiman sambil menyumbat mee goreng mamak ke dalam mulutnya. Imla hanya tersenyum sambil memandang Aiman. Nampaknya, rancangannya untuk memikat Aiman hampir menjadi!

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.