Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Sebenarnya, Aku Sayang Kaulah!
Aimie Izzati
3/4/2015 11:37:04
80,822
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

Malam itu Aqief datang ke rumah Aiman. Saja lepak-lepak dengan Aiman. orang bujang katakan. Kelihatan Mak Icah dan Pak Amir berada di luar rumah. Rasanya seperti mahu keluar lagaknya.

“Assalammualaikum Mak Icah. Mak Icah cantik-cantik ni nak keluar ke?,” tegur Aqief tiba-tiba.

“Waalaikumussalam. Oh, Aqief rupanya. Ingat siapalah tadi. Ya, Mak Icah dengan Pak Amir nak keluar kejap. Nak beli barang. Aqief nak jumpa Aiman ke?,” balas Mak Icah. Pak Amir yang berada di luar kereta hanya tersenyum melihat Aqief. Aqief pula membalas senyuman Pak Amir dengan mesra.

“Ha, Aqief nak jumpa Aiman sekejap. Dia ada tak Mak Icah?,” soal Aqief sopan.

“Ada dekat dalam tu. Aqief masuklah jumpa dia,” ujar Mak Icah.

“Terima kasih Mak Icah,” balas Aqief sambil tersenyum lalu berlalu masuk ke dalam rumah Aiman.

“Maknya, jom. Nanti balik lambat pula,” ajak Pak Amir lalu masuk ke dalam kereta.

“Yelah-yelah,” balas Mak Icah lalu menuju ke keretanya. Sementara di dalam rumah, Aiman sedang baring-baring sambil menonton televisyen.

“Assalammualaikum, Aiman,” Aqief memberi salam.

“Waalaikumussalam. Masuklah kalau tak malu,” balas Aiman selamba.

“Memang dah masuk pun,” balas Aqief lalu duduk di hadapan Aiman.

“Aqief! Tiba-tiba datang. Mesti ada sebab ni. Selalunya tak pernah nak datang rumah aku time-time macam ni,” ujar Aiman sambil mengubah posisi baring kepada posisi duduk pula.

“Ye ke? Mana ada sebab. Saja je aku nak datang. Lama tak datang rumah kau time-time macam ni,” balas Aqief.

“Memanglah lama. Dah tiga tahun dah kau tak datang rumah aku. Eh, Aqief. Aku lupa, terima kasih sebab hantar Hana balik petang tadi. Tiba-tiba je aku kene settlekan kerja dekat luar. Terima kasih tau,” ucap Aiman.

Alaa, hal kecil je tu. Lagipun Hana tadi demam. Takkan aku nak biarkan dia macam tu. kau tahu kan Hana demam?,” soal Aqief sambil memandang Aiman.

“Hmm? Hana demam? Tak tahu pun dia demam. Pagi tadi aku tengok dia okay je. Siap berperang dengan aku,” jawab Aiman berpura-pura sambil matanya menonton rancangan televisyen.

“Dia demam. Aku ingat kau tahu. Dia pengsan tadi masa kau ada urusan luar. Maybe sebab tu kau tak tahu kot,” balas Aqief sambil turut menonton rancangan di televisyen.

“Ye kot. Nasib baik ada kau. Hana macam mana? Dah kebah ke demam dia?,” soal Aiman pula.

“Tak tahulah sekarang. Tadi aku hantar dia still lemah lagi. Niat nak tengok dia. Tapi dah malam kan. Tak elok pula,”

“Hmm, betul juga. Esoklah kita tengok dia. Alaa, dia tu kan hulk. Mesti demam dia dah kebah tu. Jangan risaulah,” balas Aiman selamba.

“Tapi kan dia tu perempuan. Kau panggil dia hulk sekalipun, tetap lemah. Yang kau ni pun satu, asyik sakitkan hati dia je. Bila kau nak berbaik dengan dia?,” soal Aqief sambil memandang Aiman dengan mata galaknya.

“Apa kau merepek ni. Aku kan memang dah berbaik dengan dia. Kau pun tahu aku dengan dia dari dulu manalah nak berlembut. Geli tahu tak,” balas Aiman sambil mengerling Aqief dengan mata redupnya itu.

“Suka hati kaulah. Malas aku nak cakap dengan kau ni. Aiman, lama kita tak main PS2. Jom main nak?,” ajak Aqief dengan muka terujanya. Aiman memandang Aqief dengan pandangan malas.

“Jom! Best juga main dengan ada kawan ni,” balas Aiman pula dengan teruja.

“Jom. Mana bendanya? Cepatlah keluarkan,” ujar Aqief sambil memandang kiri dan kanan.

“Kejaplah. Aku nak keluarkanlah ni,” balas Aiman sambil mengeluarkan PS2 tersebut. Sudah lama mereka berdua tidak bermain bersama. Selain mereka berdua, Hana pun turut bermain bersama. Kali terakhir mereka bermain semasa mereka menunggu keputusan SPM dulu. Itu pun sudah beberapa tahun berlalu.

Sementara di rumah Hana pula…

“Haaachooo!!,”

“Ish akak ni. Selekehlah. Bersinlah jauh-jauh sikit. Ni sampai kena muka Husna,” ujar Husna sambil mengelap mukanya. Sesekali dia menyuapkan bubur di mulut Hana. Hana menelan bubur tersebut sambil menggigil. Badannya sudah habis dibalut oleh beberapa helai selimut. Hana rasa sejuk sangat. Gaya seperti di kutub utara. Mata dan hidungnya pula telah bertukar merah. Semerah saga.

Sorrylah Husna. Akak tak boleh tahan. Hingus ni asyik nak meleleh je. Gatal-gatal pula tu hidungnya,”

“Haaachoooo!,” Hana bersin lagi. Husna yang berada di hadapan Hana mengelak daripada terkena bersin Hana.

“Akak ni!,” ujar Husna sambil mencebikkan mukanya.

Sorrylah dik. Adik, boleh tolong akak tak?,” pinta Hana.

“Tolong apa akak?,” soal Husna dengan muka yang pelik.

“Tolong telefonkan abang Aiman. Cakap dekat dia, esok akak tak dapat pergi kerja. Akak ambil cuti. Tolong ye Husna,” pinta Hana sambil memberikan telefon bimbitnya kepada Husna.

“Yelah akak,” ujar Husna lalu mengambil telefon bimbit daripada Hana. Hana telah mendailkan nombor telefon Aiman. Husna menekapkan telefon bimbit tersebut di telinganya. Tutt tutt, tutt tutt, tutt tutt…

“Abang Aiman tak angkatlah akak,” ujar Husna kepada Hana.

“Tak angkat? Takkan dah tidur pula. Awal lagi. Cuba Husna telefon lagi,” pinta Hana lagi. Hana mendail nombor telefon Aiman lalu menekapkan telefon bimbitnya di telinga Husna. Tutt tutt, tutt tutt, tutt tutt… tetap sama tidak di angkat. Husna memandang kakaknya sambil menggelengkan kepalanya.

“Tak pelah Husna. Akak mesej jelah dia. Abang Aiman dah tidur kot,” ujar Hana perlahan sambil jari-jemarinya lincah menaip mesej untuk dihantar kepada Aiman.

Hana, Hana. Tidur ke bendanya. Aiman dengan Aqief sedang syok bermain PS2. Sebab itulah dia tidak sedar Hana menelefon telefon bimbitnya. Mesej Hana pun dia tidak baca. Aiman dan Aqief bermain permainan video tersebut sehinggalah pukul 1 pagi. Setelah itu Aiman terus masuk tidur. Mesej Hana tidak dibacanya. Mungkin esok barulah dia baca mesej yang dihantar oleh Hana.

                               *****************************************************

Kringg! Kringgg! Kringg!!! Aiman mengambil telefon bimbitnya lalu mematikan alarm yang telah ditetapkan. ‘Siapa yang hantar mesej ni?,’ desis Aiman sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia baru tersedar akan mesej yang telah dihantar oleh Hana malam tadi. Aiman membuka mesej tersebut lalu membacanya.

‘Aiman, esok aku tak pergi kerja. Aku dah bagi tahu dekat encik Iqbal’

Setelah Aiman membaca mesej tersebut, jari-jemarinya lincah menaip untuk membalas mesej tersebut.

‘Okay’

Aiman mencampakkan telefon bimbitnya di atas katil lalu dia pergi ke bilik air untuk bersiap.

Sementara di rumah Hana, Hana masih lagi berselibung. Badannya terasa sejuk benar. Terasa udara sejuk itu menggigit dan mencengkam di setiap tulang-temulang Hana sehingga kadang-kadang Hana berasa ngilu. Tiba-tiba telefon bimbit Hana berbunyi menandakan ada mesej masuk. “Tritt, tritt”. Hana tersentak lalu terkulat-kulat mengambil telefon bimbitnya.

“Siapa yang hantar mesej pagi-pagi ni,” bisik Hana perlahan sambil melihat mesej tersebut dengan membuka matanya sebelah.

“Aiman? dia baru baca mesej aku ke? dia balas okay je. Tak berperikemanusiaan betul! Huhh!,” bentak Hana lalu menarik selimutnya. Benci Aiman! Benci! Benci! Benci! ‘Kenapa Aiman tak macam Aqief? Benci kau Aiman,’ desis hati Hana lagi. Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.

“Haish, siapa lagi yang hantar mesej ni,” soal Hana sambil duduk. Hana mengambil telefon bimbitnya kembali lalu melihat gerangan siapa yang menghantar mesej tersebut.

‘Morning Hana! Macam mana keadaan kau. Demam dah kebah? Jangan lupa makan ubat okay. Get well soon!’

Hana membaca setiap perkataan tersebut sambil tersenyum. Tersenyum sampai ke belakang kalau boleh.

“Aqief,” ujarnya lembut. Tak sangka Aqief secaring ini. Aqief kawan yang sangat baik. Untung Hana memiliki kawan sebaik Aqief. Hana membalas mesej Aqief sambil tersenyum.

‘Dah kebah sikit. Thanks Aqief ^___^’

Hana menghantar mesej tersebut lalu menarik selimutnya semula. Hana ingin sambung tidurnya. Hari ini dia ingin berehat sepuas-puasnya. Hana melelapkan matanya sambil tersenyum. Tersenyum dek kerana mesej daripada Aqief.

Sementara itu, hari ini Aiman bekerja bersama dengan staff lain. Dia bekerja bersama dengan Imla Syarezza. Kawan perempuan yang rapat dengan Hana di tempat kerja. Memandangkan Hana hari ini tidak masuk kerja, Imlalah yang menggantikan shift Hana hari ini. Walaupun Hana tidak masuk kerja hari ini, sekurang-kurangnya ada Imla yang dapat menemani Aiman. Jadi tak bosanlah Aiman hari ini. Ada juga kawan untuk berborak. Walaupun Imla tidak seperti Hana, sekurang-kurangnya Aiman mempunyai teman di tempat kerja.

“Aiman, hari ni Hana tak datang kenapa ek? Dia demam ea? Aku ingat nak jenguk dialah balik nanti,” ujar Imla tatkala pelanggan tidak ada waktu itu.

A’ah, dia demam. Kau datang jelah rumah dia tu,” ujar Aiman sambil menyiapkan tugasan yang diberi.

“Nantilah aku datang kalau tak ada apa-apa hal. Kau nak tahu, semalam Hana kan pengsan. Kitaorang tak tahu nak buat apa masa tu. Masing-masing terpaku. Nasib baiklah waktu tu ada Encik Aqief. Encik Aqieflah yang dukung Hana masuk ke bilik rawatan. Gentleman betullah Encik Aqief tu. Dahlah handsome. Untung Hana kena dukung dengan dia. Encik Aqief tu kawan korang ke?,” ujar Imla mengingati kejadian semalam.

“Hmm. Kalau kau nak si Aqief tu dukung kau, kau pengsan jelah depan dia. Senang,” balas Aiman ancuh tak ancuh.

Ehh, tak naklah aku pengsan depan dia. Daripada aku pengsan depan dia baik aku pengsan depan kau. Okay juga tu,” ujar Imla sambil mengenyitkan matanya. Aiman mencebikkan mukanya tatkala mendengar kata-kata dan kenyitan daripada Imla.

Eiii, tak nak aku angkat kau. Kau pengsan depan aku sekalipun aku takkan angkat kau. Kau nak tahu kenapa? Sebab kau tu layak diangkat oleh kren je. Berat macam badak tahu tak,” balas Aiman selamba.

“Aiman!!! mulut kau ni memang layak kena cili tau. Jahat! Sebab tu Hana tak suka kau. Mulut macam longkang. Huhh!,” balas Imla sambil menjeling Aiman.

“Baguslah mulut aku macam longkang. Jadi tak adalah perempuan gedik macam kau nak dekat dengan aku. Betul tak? Dah waktu rehat ni. Aku blah dulu,” balas Aiman lagi lalu berlalu dari situ meninggalkan Imla yang terkulat-kulat di situ. Imla hanya memandang Aiman sambil menjenggilkan matanya sahaja.

“Patutlah si Hana tu tak suka Aiman. Mulutnya boleh tahan. Huhh!,” ujar Imla sendirian lalu membetul-betulkan rambutnya yang berjurai.

Petang itu, selepas pulang dari kerja, Aiman terus singgah ke rumah Hana. Niatnya untuk menjenguk Hana. Sejak Hana demam, Aiman tidak pernah menjenguk Hana. Mungkin Hana akan terasa sekiranya kawan baiknya sendiri tidak pernah menjenguk dirinya ketika sakit. Sebelum singgah ke rumah Hana, Aiman sempat membelikan Hana madu dan limau nipis. Kata orang, madu dan limau nipis bagus untuk orang demam, untuk orang yang sakit tekak. Aiman pun tidak tahu kesahihannya, dia main beli saja bahan-bahan tersebut. Mana tahu bahan-bahan ini membantu Hana nanti. Aiman membuka pintu keretanya lalu berjalan menuju ke rumah Hana. Mak Icah yang berada di dalam rumah tidak tahu bahawa Aiman sudah pulang ketika itu.

Setibanya Aiman di hadapan rumah Hana, kelihatan ada orang lain yang datang ke rumah Hana. Melihatkan kasut yang berada di hadapan pintu rumah Hana adalah kasut lelaki, tak mungkin kepunyaan Hana, atau Husna, apatah lagi Nek Yam. Mesti ada orang lain yang datang rumah Hana. Yang penting orang itu LELAKI!

‘Ah lantaklah siapa yang datang, yang penting aku dapat jenguk Hana. Tetamu tu tak penting bagi aku,’ desis hati kecil Aiman. Aiman mendekati pintu rumah Hana lalu memberi salam.

“Assalammualaikum! Hana!,” Aiman memberi salam dengan selamba.

“Waalaikummussalam. Masuklah!,” balas Hana dari dalam rumah. Setelah mendapat respond daripada Hana, Aiman membuka kasutnya lalu masuk ke dalam rumah.

“Aiman! kau pun datang juga ke?,” tegur Aqief teruja. Ternyata tetamu misteri tersebut adalah Aqief. ‘Aqief rupanya. Ingatkan siapa tadi. Kenapa sejak akhir-akhir ni Aqief rapat semacam dengan Hana. Ah lantaklah, bukan urusan aku pun,’ desis Aiman. Aiman tersenyum terpaksa tatkala Aqief menegurnya tadi.

“Qief, kau pun ada. Ada kenduri ke dekat sini?,” seloroh Aiman lalu duduk di sebelah Aqief. Madu dan limau nipis yang dipegangnya diletakkan di sebelahnya.

“Mana ada kenduri. Aku saja datang tengok Hana ni. Dah kebah belum demamnya. Terlanjur tu, aku datang bawakan sekali madu dengan limau nipis ni. Kata orang benda ni bagus untuk orang demam. Tu yang aku bagi dekat Hana. Tak tahulah mujarab ke tak,” balas Aqief menerangkan tujuan dia datang ke rumah Hana.

“Ohhhhh, kau bagi Hana benda tu rupanya. Ingatkan ada kenduri tadi,” ujar Aiman sambil menyorokkan bungkusan madu dan limau nipis yang dibelinya.

“Kau tu asyik ingat makan je. Kau datang sini kenapa? Tadi aku tengok macam kau bawa sesuatu. Bungkusan apa tu?,” sampuk Hana sambil memandang sisi Aiman.

“Mana ada! Ni untuk mak akulah,” balas Aiman tegas.

“Macam madu dengan limau nipis je,” sampuk Aqief sambil melihat-lihat sisi Aiman.

“Haish kau ni! Sibuk je nak tahu. Madu dengan limau nipis ni mak aku pesan suruh beli tadi. Dia nak buat ayam madu hari ni,” balas Aiman sambil matanya memandang ke kiri.

“Ye ke? kan dah petang. Mak Icah dah siap masak lama kot. Ayam masak madu ada guna limau nipis ke?,” ujar Hana was-was. Rasa macam ada sesuatu yang tidak kena dengan Aiman.

“Memanglah mak aku dah lama siap masak. Dia nak perap ayam tu dengan madu. Nanti dia nak masaklah. Yang kau sibuk sangat nak tahu kenapa. Limau nipis tu ntah-ntah mak aku nak buat sirap limau ais ke, manalah aku tahu. Sibuklah kau ni,” balas Aiman geram. Terpaksalah dia menipu hari ini. Mempergunakan mak dia pula tu. ‘Aduh mak, Aiman minta maaf sebab guna nama mak,’ desis Aiman sambil menelan air liurnya.

“Yelah tu,” ujar Hana sambil memandang tajam tepat ke arah Aiman.

“Yelah! Habis tu?,” balas Aiman sambil membalas renungan Hana. Aiman pun tak nak mengaku kalah terhadap Hana.

“Yelah, ingat kau nak bagi benda tu dekat Hana. Tu yang Hana musykil tu,” sampuk Aqief tatkala melihat Aiman dan Hana mula bergaduh.

“Hana? Nak bagi benda ni dekat Hana? Buat apa? Untuk demam dia? Aku tengok dia dah gagah perkasa dah tu. Demam lagi ke?,” ujar Aiman menyakitkan hati Hana.

“Yang kau datang sini buat apa? Setakat datang nak menyakitkan hati aku buat apa,” balas Hana sambil menjeling Aiman.

“Eh, suka hati akulah nak datang atas sebab apa. Yang kau tu beria-ia sangat nak menyiasat aku bawa apalah , ayam madulah, boleh pula. Sibuk sangat,”

“Eh, suka hati akulah. Rumah aku,”

“Suka hati aku jugalah nak bawa apa,”

“Eh, korang. Jangan gaduh boleh tak? Korang ni asyik gaduh je. Tak penat ke? aku yang tengok ni pun dah penat tau,” sampuk Aqief yang tidak tahan melihat rakan baiknya itu mula bergaduh. Nasib baik Nek Yam dan Husna tiada. Hari ini Nek Yam teman Husna mengaji tambahan lagi Nek Yam ingin berjumpa sekali kawannya yang mengajar cucunya itu. Kalau tidak, buat malu Hana dan Aiman sahaja. Tua-tua pun masih bergaduh lagi.

“Siapa yang cari pasal dulu,” ujar Hana perlahan sambil memalingkan mukanya.

“Kau yang cari pasal dulu,” balas Aiman pula. Hana memandang Aiman sambil menjenggilkan matanya.

“Eh, sudah-sudah. Dah macam anjing dengan kucing. Pantang jumpa. Aku hairanlah, macam mana korang kerja satu shift. Tak gaduh ke?,” sampuk Aqief sambil memandang Aiman dan Hana. Aiman dan Hana menjeling antara satu sama lain, dan membiarkan soalan Aqief tanpa dijawab.

“Dahlah aku nak balik. Panas pula duduk sini,” ujar Aiman lalu bangun dari sofa.

“Baliklah, ada aku kisah?,” balas Hana pula.

“Qief, aku balik dulu. Assalammualaikum,” ujar Aiman lalu keluar dari rumah Hana.

“Waalaikummussalam,” balas Aqief sambil matanya menghantar Aiman ke muka pintu.

Geram Aiman terhadap Hana. Dengan Aqief boleh pula dia berlembut, dengan Aiman pula, macam bom. Aiman pulang ke rumah dalam keadaan marah. Marah terhadap Hana. Gedik punya perempuan! Marah Aiman.

‘Tak apa Hana, hari ini hari kau, esok-esok hari aku pula,’ desis Aiman dalam hati.

Laa, madu dengan limau nipis ni nak buat apa? Mestilah mak aku pelik nanti. Mak aku tanya nanti nak jawab apa? Lantaklah, letak jelah dekat dalam peti sejuk ni. Bukan mak perasaan pun,’ desis Aiman sambil meletakkan bungkusan tersebut di dalam peti sejuk. Mungkin madu dan limau nipis tersebut ada gunanya nanti. Siapa tahu.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.