BAB 5

SETIBANYA di pusat riadah, enjin kereta di matikan. Matanya meliar memandang kawasan sekitar. Dengan yakin, dia melangkah keluar, kemudian kembali ke dalam kereta semula. Kemudiannya dia keluar semula dan sudahnya dia hanya bersidai di tepi kereta.

Bahunya tiba-tiba di tepuk perlahan. Sekilas dia menoleh, dan rupanya si Nizam yang tak pernah lokek dengan senyuman itu yang menyapanya, “Ria, awak buat apa kat sini?”

Pertanyaan jejaka itu hanya di balas dengan mengangkat bahu, sambil mengukir senyum segaris. Sekadar berbahasa mungkin. Sebenarnya agak lama dia tidak ketemu dengan jejaka ini sejak selepas mereka di tugaskan bekerja bersama. Ini kerana, Nizam lebih tertumpu kepada kerja luar berbanding dirinya yang kini lebih banyak berurusan dengan sumber manusia. Jadi, agak jarang untuk mereka duduk berbual walau bekerja di bawah bumbung yang sama.

“Riana, orang tak datang sini sekadar duduk bersidai, atau ulang alik masuk dalam kereta. Orang yang datang ke sini mereka beriadah, cergaskan diri. Dan saya rasa awak datang untuk tujuan yang sama kan?”

Maisara sengih tak jadi. Dia smash aku? Dan dia juga perhatikan aku? “Awak intai saya iya?”

Nizam angguk. “Kereta awak hanya berselang dua buah kereta dari kereta saya. Tentulah saya ternampak gelagat awak tadi.” Nizam kemudianya terus pecah ketawa, “Awak memang kelakar. Nak bersenam tapi takut orang ketawakan awak? Kalau dah begitu buat apa awak datang sini?”

Maisara tarik muka, “Hello, kalau awak setakat nak perli saya, lebih baik awak pergi cepat.”

Nizam terdiam dan kemudian,“Apa kata awak temankan saya? Hari ni kawan saya tak jadi nak main badminton dengan saya. Kalau awak tak ada raket, saya ada satu lagi. Mahu tak?”

Maisara memikir adakah Nizam sudah gila atau dia yang tak betul sebab datang sini hari ini... . Orang gemuk macam dia main badminton? Sungguh akan mendatangkan rasa lucu di kalangan orang yang menontonnya nanti.

“Awak jangan nak menaikkan darah saya. Awak ajak saya main badminton? Awak ingat kelakar sangatlah lawak awak tu?” Maisara naik angin. Ajakan Nizam di rasakan seperti mengejek dirinya.

“Siapa kata saya buat lawak. Saya langsung tak berniat nak memperkecilkan awak.” jelasnya.

“Awak ajak saya main badminton, sungguh terang lagi bersuluh awak nak orang tertawakan saya kan?”

“Saya ikhlas, saya nak tolong awak. Awak datang sini nak bersenam kan? Jadi, saya ajak awak main dengan saya. Itu sahaja. Berkenaan orang yang akan mengata, pedulikan sahaja. Awak nak kurus kan? Jadi, tunggu apa lagi?”

Kata-kata Nizam langsung tiada salahnya. Tapi...bolehkah dia? Si gajah main badminton? “Baiklah... tapi syaratnya, awak jangan nak tunjuk jaguh.Play it nice and slowly.”

Nizam senyum senang hati. Dia angguk. “Jom, kita panaskan badan dulu, kalau tidak mengah awak nanti.”

Maisara menghayun langkah membuntuti Nizam menuju ke arah gelanggang badminton. Setiba di situ, sebelum memulakan permainan, Nizam mengajak Maisara membuat senaman ringan bagi memanaskan badan. Selesai sesi memanaskan badan, permainan akhirnya di mulakan.

Sepuluh minit kemudian,

“Berhenti, berhenti!” Maisara akhirnya terduduk di tengah gelanggang. Kaki di luruskan. Nafasnya turun naik.

Nizam perlahan-lahan berjalan menghampiri Maisara. “Kita rehat dalam 5 minit lepas tu kita sambung,” Maisara angguk. Nizam lalu menghulurkan air mineral. “Macam mana, seronok tak?”

Maisara berpaling menentang Nizam, “Awak memang sengaja kan? Saya sangat penat! Awak tanya saya seronok atau tidak? Macam nak pitam adalah dan rasanya ini kali terakhir saya main!”

“Ini baru permulaan. Alah bisa tegal biasa. Takkan sebab semput awak terus nak kuburkan azam awak untuk kurus. Di mana kesungguhan awak? Awak sepatutnya lawan sifat ketidakyakinan dalam diri awak tu dan dengan itu barulah awak dapat mencapai misi awak.” ujar Nizam bagi memotivasikan Maisara.

Maisara mengeluh perlahan, “Saya pernah mencuba pelbagai jenis diet untuk kurus tapi semuanya gagal, sebabnya saya gagal mengawal nafsu makan saya.

Nasi lemak untuk sarapan mungkin hanya sebungkus untuk gadis biasa tapi saya 3 bungkus sekali saya hentam masuk dalam perut. Dan hasilnya seperti yang awak lihat, saya mengalami obesiti,”

Nizam mendengar dengan kusyuk. Sesekali dia terangguk. Kemudian sesekali dia tersenyum. Maisara yang tersedar tingkah laku Nizam langsung menegurnya, “Awak senyum ni kenapa? Awak ketawakan saya iya?” tanyanya.

Nizam geleng. “Taklah. Mana ada. Cuma kisah awak agak sama dengan abang saya. Dulu abang saya beratnya 120 kg, lebih berat dari awak. Tapi dengan keazaman yang kuat, dia berjaya menguruskan badan. Jadi, sebab itu saya percaya awak pun boleh lakukannya!” cerita Nizam.

Maisara angguk, “Saya ingat awak gelakkan saya. Maaflah, saya ni sensitif sikit.” Maisara terdiam seketika. Nizam turut sepi, sabar menunggu bicara yang seterusnya dari Maisara. “Itu kisah abang awak tapi kisah saya lain. Saya bukannya tak pernah mencuba langsung, tapi nak buat macam mana, badan saya tetap macam ni,” ujar Maisara defensif.

“Riana, setiap apa yang kita cuba secara bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa pasti akan menemui kejayaan. Hanya satu, kita harus percaya pada diri sendiri!” ucap Nizam lagak seorang penceramah motivasi.

Maisara terkelu. Mengapa Nizam begitu baik dengannya? “Nizam, terima kasih! Awak tak ubah seperti seorang kawan yang saya kenali. Tak putus dengan nasihat.”

Nizam senyum, “Saya hanya mahukan yang terbaik untuk awak. Saya paling tak suka dengan orang yang mengatakan tidak sebelum mencuba dan terlalu cepat berputus asa. Hidup ini satu cabaran jadi kita harus mencabar diri. The sky is the limit!”

Maisara ketawa kecil, “Awak sepatutnya jadimotivator bukannya pereka hiasan dalaman.”

Nizam mengangkat jari telunjuk, “Macam mana awak tahu? Saya memang nak jadi motivator tapi nak buat macam mana, rezeki saya lebih mengarah ke bidang ni,” ujar Nizam berlelucon.

Maisara menggeleng kepala, “Awak ni memang penuh dengan humor, langsung tidak sepadan dengan muka awak yang serius tu.”

Nizam terpingga-pingga tidak mengerti, “Apa dia? Saya nampak serius?”

Maisara angguk, “Bebudak pelatih, semua takut dengan awak. Kalau boleh dia orang tak nak duduk bawah awak. Dia orang cakap awak garang, langsung tak nak senyum. Serius memanjang!”

Nizam ketawa berdekah-dekah. “Biar betul! Saya rasa saya taklah garang sangat. Cuma saya akui kemungkinan saya agak tegas dan sebab itu mereka ingat saya seorang yang dingin.”

Maisara geleng. “Tapi kalau iya pun, cubalah mesra sikit. Saya dan staf yang lain, yang dah lama, mungkin dah biasa dan tahu perangai awak tapi... budak baru nak dekat dengan awak pun takut tahu tak?”

Nizam garu kepala, “Kalau awak tak cerita, rasanya sampai sekarang saya tak tahu yang saya ini agak kejam dengan para pelatih kita.”

“Now, you know!”

“Yes, now I knew!”

Sepi menghuni suasana.

“Jadi, Riana, apa kata mulai dari hari ini, setiap hujung minggu, kita lepak sini? Doing exercise! Selain itu, saya juga akan memantau diet pemakanan awak. Are you game?” cadang Nizam tidak semena-mena.

Maisara ternganga. “Awak biar betul?”

“Betullah! Saya ada pengalaman dalam membantu abang saya, jadi sedikit sebanyak manalah tahu ianya berkesan dalam membantu awak menguruskan badan! Awak yang untung, saya sedikit pun tak rugi! Jadi, macam mana?”

Maisara akhirnya memberi kata putus, dia angguk. Nizam senyum.

Maisara turut senyum. Dia mahu kurus kerana Mamat. Dia tidak mahu Mamat melihat dirinya yang sekarang ini. Mungkin niatnya agak tidak betul, tapi... dia harus lakukan demi kebaikan dirinya juga. Sampai bila dia mahu begini. Mungkin Mamat masih sama atau tidak, dia tidak kisah, yang dia kisah, dia tidak mahu Mamat terkejut melihat dirinya.

“ALONG! Ya tuhan, dah tahu sakit, kenapa yang gatal sangat nak pandu kereta ni. Nizam, mari sini, kau hantar along ke klinik!” laung Puan Husna. Nizam terkocoh-kocoh turun tangga. Kunci kereta yang tergantung pantas di capainya. Kepala tergeleng melihat wajah kembarnya yang pucat lesi umpama mayat hidup.

“Teruknya muka kau. Takkanlah jet lag tak habis lagi kot? Ini mesti kes demam rindu!” kata Nizam selamba. Kening Puan Husna terangkat, bibirnya bergerak mahu bertanya sesuatu tapi pantas Mamat memintas. “Ibu, kami pergi dulu,” ujarnya.

Nizam mengulum senyum. “Benda betul ibu, sebab tu along malu!” bisiknya perlahan pada Puan Husna sebelum membolos masuk ke tempat pemandu.

Puan Husna menggeleng kepala, Nizam sangat suka mengusik abangnya yang pemalu itu. “Pergi cepat. Nanti melarat pula sakit rindu along awak tu!” Sengaja Puan Husna menguatkan suara. Mamat sengih tak jadi. Hish, ibu ni pun sama naik dengan Nizam.

Nizam terkukik ketawa. Spontan dia slap high five dengan Puan Husna. Cayalah ibu memang sporting! “Baiklah ibu, kami gerak dulu.” Dalam sekelip mata, kereta terus meluncur laju membelah jalan raya.

“Kau memang sengaja kan tadi? Di buatnya ibu bertanya macam polis siasat penjenayah tak ke niaya aku!” Mamat masih lagi dengan tidak puas hatinya.

Nizam pekakkan telinga. Matanya tertumpu di stereng kereta. Fokus pada pemanduan.

“Kau jangan nak buat pekak. Aku tahu kau dengar.”

“Ala, long. Kau ni kecil hati betullah. Aku gurau sajalah tadi. Ibu bukannya tak tahu, dengan siapa kau `berkawan`, berhubung selama ini kan? Tenang. Ibu kan jenis yang lepak.”

“Aku tahu ibu kita tu macam kawan. Tapi aku tak bolehlah nak cerita semua benda dengan dia. Segan tahu tak. Mulut kau ni memang tak ada insurans. Macam air terjun, laju saja turun kan?” marah Mamat.

Sengih Nizam melebar, “Heh, jadi kau akui, yang kau jatuh sakit ni sebab Maisara? Sebab dia tak maafkan kau dan tak nak jumpa kau?” Berubah terus riak muka Mamat.

Seketika ruang terisi sepi. Nizam kemudian, terangguk-angguk cuba menahan tawa.

“Diamlah kau!” kata Mamat.

Nizam kerut dahi, “Bila masa aku bercakap, long?”

Mamat berpaling memandang ke luar, sedar yang dia telah terlajak kata.

Nizam berkerut dahi menahan tawa. Senak perut di rasanya.

“Along, aku janji! Aku akan pertemukan kau, dengan Maisara!” ujarnya penuh yakin.

Entah menyindir atau mengusik Mamat tak pasti, tapi yang jelas Nizam sengaja membangkitkan kemarahannya. Namun dia tiada daya melawan, kepalanya terasa berat. Perlahan-lahan matanya terpejam rapat.

NIZAM goyang perlahan bahu Mamat. “Along, kita dah sampai klinik.” Mamat menggosok matanya. Dia duduk tegak. Papan tanda klinik di bacanya perlahan, Klinik Cinta Hati dan Rakan-rakan. Mamat senyum. Pelik dengan nama klinik ini.

Nizam mengawangkan tangan, “Along, jomlah. Nanti ramai, jenuh pula nak menunggu.” Pintu kereta di tutup perlahan. Nizam telah pun berdiri di luar. Manakala Mamat masih membatu di dalam. Nizam lantas menarik Mamat keluar, “Kau ni betullah macam putera raja!” bebelnya.

Mamat mengikut sahaja langkah Nizam. Kepalanya saat ini sangat berat. Sedar-sedar dia sudah pun berada di dalam bilik doktor. Nizam pula setia menunggu alongnya di luar.

“Nizam!” Teguran itu memaksa Nizam memanggungkan wajahnya dari muka majalah yang di bacanya. “Ria, buat apa kat sini?” tanya Nizam spontan. Tersedar soalan yang di tanya agak dungu. Di ketuk sendiri kepalanya.

Maisara ketawa. “Saya temankan ibu saya. Kaki dia bengkak di gigit tebuan masa tengah menyapu halaman rumah.” beritahunya tanpa di minta. “Awak pula? Tak nampak macam sakit pun. Temankan orang juga? Yeoja chingu? ( teman wanita)”

Nizam senyum segaris. “Taklah. Saya temankan abang saya, ambil ubat demam dia.”

Maisara angguk. Nizam bangun. “Itu pun abang saya dah keluar.”

Maisara terpaku. Kembar? “Rupanya awak ada kembar?”

Nizam sengih. “Maaf! Terlupa pula saya nak beritahu.”

Maisara senyum. “Tidak mengapa. Muka awak berdua saling tak tumpah. Kalau terjumpa di luar saya pasti akan ingat abang awak ni, awak Nizam!”

Mamat dan Nizam hanya senyum bersahaja. Barangkali sudah acap kali mendengar ayat yang sama. Mamat lantas mengenalkan Maisara pada Mamat. “Selamat berkenalan, Ria. Saya Azam.” ujar Mamat berbahasa. Setelah itu wajah di palingkan ke arah lain.

“Along saya ini, lain sikit. Dia pemalu.” Bisik Nizam perlahan.

Mamat mengerling tajam. Bisikan Nizam itu cukup jelas sementelah jarak antara mereka tidaklah ketara sangat.

Maisara ketawa. Pasangan kembar ini begitu berbeza. Sama tapi tak serupa.

Sementara menunggu ubat yang akan di beri, Mamat tenggelam dalam diri sendiri. Manakala Nizam dan Maisara rancak berbual itu dan ini.

Mamat tiba-tiba terpandangkan sesuatu di pergelangan tangan Maisara. Gelang itu? Ianya seakan serupa dengan gelang yang di berikannya pada Maisaranya. Dia menelan liur. Apakah mungkin dia Maisara aku? Akan tetapi gelang seperti itu bukan hanya ada satu. Dan namanya...Ria bukan Maisara. Mamat mengeluh berat. Dia terlalu kuat berimaginasi.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.