BAB 16

NIZAM mengelamun, termenung jauh. Bersendirian di dalam bilik. Malam semakin dekat menghampiri pagi. Hari ini, bagaikan suatu cubaan untuk dirinya. Bagaikan menguji kesetiaan seorang adik dan juga sahabat. Rasa itu semakin menyesak jiwa. Semakin menebal.

Antara gadis yang di temui, kenapa Riana yang begitu menyinar di hatinya? Mengusik hatinya sebegini rupa? Mana mungkin dia campak jauh perasaan ini, sedangkan ianya semakin bercambah? Sungguh, jika di lihat dari segi luaran Riana tiada keistimewaan langsung. Dia bertubuh gempal. Bergaya dan berfesyen memang bukan kepakarannya. Pakaiannya begitu ringkas, sekadar seluar jeans berserta t-shirt atau blaus. Itu sahaja.

Sememangnya Riana sudah lari jauh dari bayangan gadis idamannya. Entah mengapa, berada dekat dengan Riana, dia begitu bahagia dan tenang. Nizam menarik nafas panjang. Sedar yang Riana Maisara bukan tercipta untuknya. Dia untuk Azam.

Esok, penyamaran ini akan di bongkar. Dalam lega ada rasa khuatir. Lega kerana Azam berani mahu bersemuka dengan Maisara. Khuatir kerana tidak tahu bagaimana penerimaan Maisara? Segalanya terserah pada Dia yang Satu!

Ketukan di luar pintu membawa pergi lamunannya. Sebaik sahaja pintu di kuak, wajah Jun dengan senyuman yang melebar singgah di mata. Nizam kerut kening. “Kau nak apa malam-malam ni? Jet lag? Tak boleh tidur?”

Jun geleng perlahan sambil melabuh punggung di birai katil. “Bukanlah. Hyunlah berdengkur kuat sangat. Sakit telinga aku. Aku tidur bilik kau boleh?”

Nizam gelak. “Boleh. Jangan kau sepak aku jatuh katil sudah!” guraunya.

Jun cebik bibir. “Aku bukan budak kecik lagilah.” Seketika, pecah juga ketawa antara mereka pabila kenangan ketika masih budak-budak singgah di minda.

“Kau pula kenapa tak tidur lagi?” tanya Jun.

Nizam diam. Dia tersenyum nipis. “Tak rasa ngantuk, macam mana nak tidur.”

Jun angguk. Kemudian tangan di silangkan. “Alasan basi. Kita dah kenal lama. Aku tak rasa itu sebabnya. Kan?”

Nizam menarik selimut, pura-pura tidur.

Jun lantas menariknya semula. “Hoi, jangan nak elak, sila jawab soalan aku dulu!”

Nizam mendengus keras. “Nak jawap apa kalau aku sendiri pun tak tahu jawapannya!”

Jun gosok dagu. “Kalau macam tu, aku perlu cari kata kuncinya? Riana Maisara! Itu kata kuncinya kan?”

Nizam menggaru telinganya yang tidak gatal itu. “Apa dia? Aku kurang dengarlah. Sudahlah, tidur. Esok aku kerja dan aku kena bangun awal. Jal-cha (Selamat malam)”

Jun masih tidak mahu mengalah. “Kau cintakan dia kan?” tanyanya tanpa berlapik.

Nizam mengeluh dalam. “Jun, dia bukan taste aku! Cinta kau kata?”

Jun senyum. “Dah lama aku tak tengok kau menggelabah macam ni. Semenjak kau kena reject dengan adik aku, Hana, rasanya inilah pertama kali, aku nampak muka kau yang cuak ni!” ujar Jun sengaja menaikkan amarah Nizam.

“Jun, kau mengarut apa ni?” suara Nizam mula meninggi.

“Aku tak mengarut. I’m speakin’ out the truth. Salahkah?”

“Memang salah. Maisara milik along. Dia bukan untuk aku!”

Jun terangguk-angguk. Dia tersenyum dalam diam. Jeratnya mengena. Nizam mula membuka rahsia hatinya. “Mana kau tahu dia bukan untuk kau? Jodoh dan pertemuan bukan di tangan kau, tapi Tuhan!”

Nizam meraup muka. “Aku tahu! Aku sedar! Tapi...apa yang aku boleh buat? Kau nak aku rampas dia dari along? Atau kalau aku luahkan perasaan aku pada Riana pun, apa yang aku dapat?Nothing! Sebabnya dia dah set up hatinya untuk along sejak kecil lagi! Cintanya hanya untuk Mamat!”

Jun menepuk bahu Nizam. “Aku faham. Tapi sekurang-kurangnya jangan tipu diri sendiri. Kau harus berdepan dengan perasaan kau. Aku tak suruh kau rampas sesiapa.” Jun terdiam sebelum menyambung kata, “Nizam, aku anggap kau macam adik sendiri. Kalau ada masalah, datang cari aku dan manalah tahu aku boleh pujuk Hana terima kau?” ujarnya serius namun masih sempat di selitkan jenaka di hujung kata.

Nizam menahan tawa. Dia kemudian tersenyum kecil. Kepala di geleng. “Gila! Tunang adik kau tu nak di buang ke mana? Muka aku ni pastinya lebam kena tumbuk dengan Changsung!”

Jun sengih. “Aku gurau sajalah!”

Nizam senyum. “Ya, aku tahu!” Sebenarnya dia bersyukur. Mujurlah Jun tumpang tidur di biliknya. Jika tidak, mungkin persoalan ini masih mengganggu benaknya hingga ke Subuh.

Jun! Orang kedua selepas along tempat dia bergantung harap. Jun kenal dia luar dalam seperti along. Tiada rahsia antara dia dan Jun. Tapi sayang, Jun masih belum terbuka hatinya untuk memeluk Islam. Harapannya sebelum menutup mata, dia ingin Jun berada di bawah nur Islam.

PAGI MENJELMA TIBA. Hari ini langit cerah. Nizam melangkah yakin ke dalam pejabat. Berharap dialah orang terawal datang. Semuanya hampa, tatkala sapaan dan senyuman itu hadir di depan mata. Nizam mendesis kecil, datang awal nak elak dari jumpa dia tapi hampeh!

Kening Maisara terjungkit tinggi. “Nizam, awal kau datang?”

Nizam tersengih kerang, “Yakah? Tak adalah. Aku memang selalu datang awal. Kau aja yang tak perasan!” Ingin di ketuk kepala sendiri. Bagaimana dia boleh lupa yang Maisara sering datang awal?

Maisara ketawa. “Apa-apa sajalah! Aku nak ke pantri. Jomlah temankan aku makan. Aku ada bawa nasi lemak lebih!” ujarnya sambil menunjukkan bungkusan di tangan.

Nizam menolak dengan lembut, “Tak apalah, Ria. Aku dah sarapan kat rumah tadi!”

Maisara mencebik. “Ala, jomlah. Temankan aku. Alang-alang kau dah sampai awal, bukannya selalu pun. Lagipun ada lagi 30 minit sebelum masuk kerja!” ujarnya sambil melihat jam di tangan.

Nizam terangguk lemah. Hatinya mudah goyah dengan pujukan Maisara. “Baiklah!”

Matanya tidak berkelip memandang gadis di hadapannya ini menjamah makanan. Seingatnya Maisara sudah kenyang dengan dua bungkus nasi lemak, tetapi tidak. Di selongkarnya pula biskut kering yang ada di dalam almari kecil pantri ini. Nizam menggeleng kepala. Memang buruk lantak. Kuat makan.

“Ria, boleh meletup perut kau nanti.”

Maisara menjeling tajam, “Kau nak cakap yang aku buruk lantaklah kan?”

Nizam mengambil biskut kering daripada tangan Maisara. “Tak, sayang! Aku cuma risaukan kau. Kesihatan kau. Kau dah lupa yang dulu aku pun pernah gemuk? Aku tak nak kau jadi macam aku. Berat badan kau sekarang ni, semakin menyusut, jadi tolong jaga pemakanan kau!”

Maisara terdiam. Dia panggil aku sayang lagi? “Aku ingat kau tak kisah kalau badan aku montel. Rupanya aku salah!”

“Bukan macam tu maksud aku. Aku tak nak kau di timpa sakit dek kerana berat badan kau. Ingat, kita makan untuk hidup! Bukannya hidup untuk makan! Faham?”

Maisara mengajuk cakap Nizam. “Bla. Bla. Kau cakap sebijik macam ibu aku!”

“Ria, kau dah janji dengan aku yang kau akan usahakan untuk kuruskan badan. Aku sekadar mengingatkan sahaja. Kau dah lupa pada janji kau sendiri?”

“Aku dah jumpa kau. Jadi, tak ada gunanya pun. Tambah pula, bila berada dengan kau, aku langsung tak rasa inferiorty complex.” terangnya bersahaja.

“Ya, aku tahu! Tapi... sayang kau berhenti sekerat jalan macam ni.”

Maisara pandang Nizam lama. Kenapa dia begitu nekad sangat ni? Dia memang tak suka berkawan dengan aku yang montel ni? Tapi kenapa aku rasa macam dia terlebih ambil berat?

Nizam kurang selesa di tenung sebegitu. “Kenapa kau tengok aku macam tu?”

Maisara geleng. “Tak ada apa. Cuma cara kau ni, boleh buat orang salah faham! Terutamanya gadis naif macam aku!”

Nizam bertanya dengan dungunya. “Salah faham?”

“Salah faham yang mungkin kau ada hati dengan dia! Sukakan dia. Cintakan dia.”

Nizam senyap. Dia tertunduk ke bawah. “Kalau kau rasa layanan aku terlalu over the top. Aku minta maaf. Aku tak bermaksud yang lain, hanya sekadar ambil berat sebagai seorang kawan!” Tanpa sedar dia memaki diri sendiri. Lakonannya memang hebat. Fantastik! Bagus, Nizam! Teruskan mendera perasaan sendiri.

Maisara tiba-tiba ketawa kecil. “Wajah kau yang serius ni memang comellah. Aku bergurau sahajalah. Aku tahu dan ingat janji aku. Aku tak pernah lupa. Aku memang nak kurus. Bukan untuk sesiapa tapi untuk diri aku sendiri. Aku sentiasa ingat pesanan kau.So, please let you worry down,a bit? Malam tadi aku tak makan nasi. Sebab tu, pagi ni, aku rasa lapar sangat. Faham?” jelas Maisara panjang lebar.

Mulanya dia hanya ingin bergurau tapi tidak di sangkanya Nizam membawa topik ini menjadi serius pula. Jadi, dia ikutkan sahaja rentak Nizam. Semakin lama, semakin melalut pula. Maisara yang sudah tidak tahan, akhirnya memutuskan untuk berterus-terang sahaja.

Nizam gigit bibir. Jadinya aku tertipulah ni? Nizam lantas bangun. “Kalau macam tu, aku masuk pejabat dulu. Kau teruskanlah.” Mukanya kelihatan memerah. Malulah tu.

Maisara menahan senyum di pinggir bibir. Comelnya muka handsome dia bila malu.

“Baik, sayang!” usik Maisara dan bertambah memerah wajah Nizam di buatnya. Sebaik Nizam berlalu pergi, Maisara tertawa lucu. Nizam, Nizam... .

Nizam yang ketika itu telah sampai di bilik pejabatnya, tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepala. Riana, kau memang nakal! Macam nak jatuh jantung aku di buatnya. Malunya... .

TENGAH HARI ITU, sewaktu tengah menjamu selera, Maisara langsung menceritakan detik pertemuan antara dia dan Mamat. Mulut Rifa terbuka luas, tidak percaya dengan apa yang baru dia dengari. “Kau biar betul? Nizam tu Mamat?” tanya Rifa rendah perlahan.

Maisara angguk laju. “Mulanya aku pun tak percaya. Tapi bila dia tunjuk gambar sebagai bahan bukti. Aku sendiri rasa nak pitam.”

Rifa geleng kepala. “Tak sangka, rupanya dia dekat saja dengan kau. Tapi macam kau katalah, aku pun rasa pelik juga, Nizam tu Mamat? Hmm... macam tak berapa nak kena sangatlah,”

“Itulah. Tapi bila dia buka cerita pasal rahsia aku. Aku jadi hilang arah. Sememangnya hanya Mamat sahaja yang tahu kebanyakan rahsia aku, selain kau,”

Rifa menongkat dagu. “Kau kata dia ada kembar kan?” Maisara angguk. Rifa menyambung tanya,“Dan selama ini, kau memang tak tahu dia ada kembar? Hanya baru-baru ini sahaja kan?”

Maisara angguk lagi. “Mungkin dia nak bagi aku kejutan. Sebab tu dia rahsiakan dari aku!” simpulnya ringkas.

“Ria, cuba fikir secara logiknya. Mesti ada sebab dan agenda tertentu dia tak beritahu kau. Contohnya, mungkin dia suruh kembar dia menyamar. Sengaja nak duga kau? Siapa tahu kan?”

“Aku dah pun tanya dia benda tu. Dia menidakkan sekerasnya dan dia cakap aku ni tak nak terima kenyataan. Lagi pula, dia dan kembar dia tak banyak beza, mereka hampir serupa. Aku sendiri keliru, tak tahu yang mana benar dan palsu,”

“Jadi, kau pernah jumpa kembar Nizam?”

Maisara mengangguk perlahan. “Nama dia Azam. Aku pernah jumpa dia kat klinik dan kemudian terserempak pula dengan dia di pantai masa aku bercuti hari tu,”

“Begitu rupanya. Jadi, siapa lebih menarik dan kacak? Atau lebih tepat lagi, dekat dengan karakter Mamat?”

“Entahlah. Sejujurnya naluri aku berkata yang Azam itu Mamat. Sebabnya aku baru sahaja kenal dia, tapi aku rasa selesa sangat berbual dengan dia.”

“Kau kena hati-hati, jangan sampai di-permainkan oleh kawan dan perasaan sendiri. Sekarang ni, banyak kawan yang makan kawan. Aku tak nak kau terluka. Zaman sekarang, sikap orang, kita memang tak boleh nak duga. Kita sangka kita kenal lama, kita kenal benar perangai dia tapi kadangkala kita tersilap dalam menilai seseorang.” nasihatnya panjang lebar.

Maisara tersenyum tenang. “Kalaupun benar andaian kau tu, aku percaya dia mungkin ada sebab tertentu. Aku kenal Mamat, dia tak mungkin mempermainkan aku.”

“Terpulang. Aku sekadar mengingatkan.”

“Aku tahu dan aku hargai nasihat kau tu.”

Maisara amat berharap yang segalanya ini benar, kerna jika tepat andaiannya yang Azam itu Mamat dan Nizam hanyalah menyamar maka segalanya bakal menjadi kacau bilau. Tapi apakah mungkin Mamat memperlakukannya sebegini. Jika iya atas sebab apa?

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.