BAB 25

USAI menunaikan solat Isyak terus dia membawa diri ke sini. Duduk termenung di beranda sambil menjamu mata melihat bintang di langit. Omputeh cakap star gazing. Ala-ala romantiklah kononnya. Tambah pula dengan bulan penuh malam ni. Dalam bahasa klasik orang kata bulan purnama. Lagilah menambahkan elemen sentimental.

Syahdu dan rindu. Eceh. Jiwang pulak kau malam ni Mai.

Dia senyum sendiri. Dulu dia dan Mamat memang selalu lepak tengok bulan purnama dekat pondok rahsia mereka. Heh, dah macam filem Tentang Bulan pulak kan? Tapi ini cerita sebenar dia. Cerita dia dan Mamat.

Masa itu amat indah. Bercerita tentang impian. Besar nanti nak jadi apa. Sambil bergurau Mamat cakap dia nak jadi bintang besar. Super star! Dan ketika itu dia ketawa galak mengenangkan itu hanyalah anganan biasa bagi budak-budak yang baru berumur sepuluh tahun.

“Mai, awak ketawakan saya ya? Okey, tengoklah nanti. Satu hari nanti saya akan buktikan kat awak. Saya akan jadi superstar. Masa tu biar terjojol keluar biji mata awak tu.” ujar Mamat dengan penuh bersemangat.

Maisara mencebik. “Okey. Saya tunggu dan lihat. Dan kalau awak tak berjaya jadi superstar saya denda awak...”

Mamat tersenyum. “Denda apa? Denda kahwin dengan awak?” Dia ketawa terbahak-bahak. “Tak inginlah saya. Awak tu dahlah comot. Kasar. Tak macam perempuan langsung.”

Maisara terus baling selipar, tepat mengena kepala Mamat. “Awak ingat awak tu bagus sangatlah. Dahlah badan macam tong dram. Doraemon. Kalau ada orang buli awak. Jangan harap saya nak tolong awak.”

Mamat ketawa lagi. “Saya gurau aje. Janganlah ambik hati.”

“Saya cakap tak habis lagi awak terus potong. Lepas tu perasan orang nak kahwin dengan dia,” ujarnya separuh merajuk.

“Okey. Saya janji kali ni saya tak menyampuk. Cakaplah apa denda tu?” Mamat sudah duduk bersila berhadapan kawan karibnya.

“Dendanya awak kena belanja saya makan pasta. Boleh?”

Mamat terus ketawa. “La, setakat belanja makan pasta? Spagetti. Boleh je.” Mereka terus berjabat tangan memeterai janji.

Giliran Mamat pula bertanya. “Impian awak pulak?”

Maisara gosok dagu. “Saya nak hias rumah orang. Macam saya hias pondok ni. Saya nak orang rasa gembira tengok rumah yang saya hias. Cantik dan menarik.”

“Kerja yang macam tu pun ada ke?”

Maisara angguk. “Adalah. Mak cik saya dia pereka hiasan dalaman. Saya nak jadi macam dia. Gaji pun boleh tahan mahal tau.”

Mamat termenung seolah berfikir. “Tapi boleh ke awak hias rumah orang? Hias diri sendiri pun tak berapa betul.”

Maisara menggetap bibir. “Mulut kau memang longkang kan?”

Mamat terus angkat kaki sambil ketawa berdekah-dekah dan sekali lagi selipar jepun Maisara melayang dan kali ni mengenai badan Mamat.

Kenangan. Orang kata jangan duduk dalam kenangan. Kalau hidup hanya bersandarkan pada kenangan, hidup ini takkan ke mana. Kehidupan kita terhenti di masa lalu. Statik tak bergerak. Mengenang pada benda yang berlalu, hanya membuang masa. Waktu yang ada, terbazir tak terguna. Namun, hanya itu yang ada untuk di lestarikannya. Untuk mengutip kembali segalanya yang seakan hilang antara dia dan Mamat.

“Akak, fikir apa tu? Macam serius je.”

Entah masa bila adiknya, Nuraina Kaisara ini berada di sebelah pun dia tak pasti. Sedar-sedar sudah bertenggek di sebelahnya sambil tersenyum panjang. Di ribanya ada Cantik, kucing kesayangannya. Maisara membelai lembut bulu Cantik. Kucing parsi ni memang manja. Pantang nampak adiknya pasti akan melompat duduk di riba minta di belai.

Nuraina Kaisara memandang Maisara dengan mata bulatnya. “Akak, kau tak jawab soalan aku.”

Maisara bertanya balik. Soalan di balas dengan soalan. “Soalan apa?”

“Muka kau tu nampak sangat macam ada yang tak kena. Cepat cakap. Apa masalah kau? Kalau tak, tak adanya kau nak duduk bertenggek kat sini kan?”

Jawab Maisara masih lagi berdalih. “Aku mana ada masalah.”

Nuraina Kaisara menjulingkan mata. “Yalah sangat. Aku kenal kau, bukan setahun dua. Dari dalam perut lagi tau.”

Maisara ketawa. “Kelakarlah kau ni, sejak bila kau mengandungkan aku ni.”

“Memanglah tak. Itu cuma perumpamaan. Okey, aku mungkin takkan memahami kau sepenuhnya tapi sebagai adik kau, tambah pulak kita ni kembar. Petik je jari, aku dapat rasa ada yang tak kena dengan kau tau,”

Nuraina Kaisara adalah kembar Riana Maisara!! Ya, Riana Maisara mempunyai seorang kembar. Kembar seiras sama seperti Azam Hairi aka Mamat dengan Hairul Nizam. Azam tahu tentang itu tapi Nizam tidak. Maisara pasti tentang itu. Kalau betul Azam ada beritahu, tentunya Nizam akan menyerang dia kerana tak menceritakan perkara yang sebenarnya.

Dan rasanya Azam pula tentu menyangka yang Nizam sudah tahu. Memandangkan dia dan Nizam telah kenal hampir setengah tahun. Padahal... Dan sejujurnya dia ingin memberitahu Nizam tapi tak tahu bagaimana mahu memulakannya. Sudahnya perkara ini tertangguh untuk sekian lama.

Nuraina Kaisara bezanya dengan Maisara macam langit dengan kerak bumi. Nuraina Kaisara lebih brutal, lepak tak ingat dunia. Badannya macam model, cantik, tapi perangainya langsung tak mencerminkan rupa parasnya. Bukanlah bermakna kembarnya ni, buruk laku. Tidak. Cuma dia ni terlalu berdikari, lasak. Hobinya suka memanjat gunung. Hampir semua gunung tertinggi di Malaysia telah di dakinya. Tapi percaya atau tidak, adiknya ini seorang novelis cinta. Dia sangat romantik orangnya. Maisara tersenyum sendiri.

“Che kak. Senyum pulak dia. Hoi, aku macam bercakap dengan tunggul kayu. Kau dengar tak ni?”

Dia menolak muka Raina yang memekik di tepi telinganya. “Raina, aku dengar. Aku bukannya pekak, yang kau dok terjerit-jerit tu kenapa?” marah Maisara.

“Dah kau buat derk je.”

Maisara mendesis geram. “Yalah, ceritanya macam ni. Kau kenal kan Mamat?”

Raina angguk. “Mamat budak gemuk, si tong dram kawan kau maca kecik-kecik tu? Tentulah aku ingat. Aku dengan dia macam anjing dengan kucing. Pantang jumpa, memang akan bergaduh. Apahal dengan mamat lembik tu.”

“Kau tahu kan, aku dah pergi jumpa dia minggu lepas?”

Raina angguk. “Macam mana dengan dia? Bertambah sihat dan menyihatkan?”

Maisara gelak. “Kau ni tak habis-habis nak mengutuk Mamat kan?”

“Dah tu, dia panggil aku batang penyapu, lidi tak apa pulak?”

Dia ketawa lagi. “Sampai sekarang kau masih ingat?”

Raina tak menjawab. “Dia macam mana? Okey ke?” tanyanya lagi.

“Okey! Dan kau nak tahu tak. Dia dah tak gemuk pun. Kalau kau tengok dia yang sekarang memang terjojollah bijik mata kau tu.”

Raina mencebik.

“Kau tahu Nizam, kawan pejabat aku tu.”

“Nizam? Yang dulu telefon rumah tanya pasal kau tu?”

Maisara angguk. “Kalau kau nak tahu, Mamat dengan dia kembar. Macam kita.”

Mulut Raina ternganga luas. “Hah!!!!”

Lalu Maisara menceritakan segalanya dari mula sampai akhir. Raina mendengar dengan penuh kusyuk, tak berkelip matanya mendengar cerita kakak kembarnya ini.

Raina geleng kepala. “Gila!! Kenapa kau tak mintak aku menyamar jadik kau? Senang cerita, biar aku belasah, Mamat Tong Dram tu, sekali dengan Nizam adik dia tu. Boleh pulak dia main rahsia-rahsia dengan kau.”

“Tak payah, benda ni dah pun selesai. Kitaorang pun dah berbaik cuma itulah, aku tak tahu macam mana nak beritahu yang aku jugak ada kembar kat Nizam.”

“Tak payah berat kepala nak fikir. Cakap je, habis cerita. Tak pun, jom bawa aku jumpa dia face to face!! Biar terbeliak sikit mata dia.”

“Nanti-nantilah. Bukan sekarang. Aku baru je berbaik dengan dia, karang jadi kot lain pulak. Aku ingat nak suruh Azam yang cakap kat Nizam, itu lebih baik kot.”

“Kak Maisara oi, kau tak salah. Dah Nizam tu jenis yang tak suka bertanya. Adik kau nama apa? Kau ada kembar jugak ke? Bukannya kau sengaja nak rahsiakan benda ni kan?”

Maisara angguk. “Itu memanglah betul tapi...,”

“Sudahlah. Jangan di fikirkan sangat benda ni.”

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.