BAB 1

LOCENG REHAT berbunyi nyaring. Para pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Dalam kegopohan seorang pelajar lelaki yang bertubuh besar terlanggar seorang pelajar.

“Gemuk, tepilah. Sakitlah mata aku tengok kau. Kalau badan tu dah besar, sedarlah diri sikit, jalanlah perlahan-lahan. Ini tidak lari laju macam lipas kudung.” marah Azman, pelajar lelaki yang secara tidak sengaja di langgarnya itu.

Budak gemuk itu kemudiannya di tolak kasar oleh Azman sehingga dia jatuh terduduk. Rakan-rakan Azman tertawa galak.

Budak gemuk itu hanya berdiam diri tidak melawan. Dia sedar kalau dia bersuara sekalipun tetap tidak akan menyelesaikan masalah kerana geng Azman ramai. Dia hanya seorang, bahkan tidak terdaya olehnya dek kerana tubuhnya yang gempal itu.

Maisara yang duduk tidak jauh dari situ, berasa kasihan melihat budak gemuk itu di buli, dia lalu berjalan laju ke arah mereka semua.

“Kau orang semua ni memang patut di ajar. Azman, awak tu ketua kelas sepatutnya awak buatlah perangai yang elok-elok. Kalau saya nampak awak buli Mamat lagi, saya akan buat aduan pada Cikgu Rohani, guru kelas kita.”

Azman mencebik kemudian mengajuk percakapan Maisara, “Awak buli dia, saya buat aduan. Mai, aku tak hairanlah. Cikgu Rohani sayangkan aku. Dia tak akan nak percaya cakap kosong kau tu. Lagipun kau ada bukti? Tak ada kan? Jom, geng kita blah,” ajak Azman, dan kemudian mereka berlalu pergi ke kantin.

Maisara mendesis geram. Perhatian beralih ke arah Mamat yang berusaha untuk bangun. Dia tergeleng apabila melihat lutut kawan baiknya itu yang berdarah lalu dia lantas menghulurkan tangan membantu.

Mamat tersenyum lemah. “Terima kasih dan minta maaf sebab saya, awak bergaduh dengan dia lagi.”

“Benda kecil sajalah, yang penting sekarang awak okey tak?”

“Saya okey, cuma lutut terluka dan seluar sahaja yang kotor sikit,”

Maisara cekak pinggang, “Dan yang awak ni pun satu hal juga, badan awak lagi besar dari dia orang kenapa awak tak smack down je dia orang tu,”

“Mai, bukan saya tak nak lawan dia orang. Ibu saya pesan jangan bergaduh, dia tak suka saya cari pasal di sekolah. Awak sendiri pun tahu, kalau ibu dapat tahu, dia akan naik angin dan pukul saya.” beritahunya.

“Balik-balik itulah ayat awak. Sesekali awak pertahankan diri tak salah pun. Lagipun tadi, awak bukannya sengaja terlanggar dia kan? Azman tu yang lebih-lebih,” bebel Maisara.

Mamat terangguk. Dia kemudiannya tersenyum. “Adanya awak saya tak takut. Sebab awak Wonder Woman saya. Selalu ada untuk selamatkan saya,”

Maisara selamba meluku kepala Mamat. “Sekarang memanglah. Tapi bila kita dah besar nanti saya nak awak pula yang selamatkan saya. Kalau awak masih lemah macam ni bila dah besar nanti saya tak nak kawan dengan awak,”

Mamat angguk, “Saya janji. Saya akan jadi awak punya pelindung!!” Kemudian mereka berdua tertawa. Mamat mula menggosok perutnya, “Jomlah pergi kantin, saya dah lapar ni,”

Maisara ketawa lagi, “Yalah, jom!!”

Maisara dan Mamat telah lama bersahabat, sejak dari darjah satu hinggalah kini di tingkatan satu. Tika sekolah rendah, saban tahun mereka berada di dalam kelas yang sama, rumah sukan yang sama dan persatuan yang sama malah hobi mereka pun sama. Menginjak menengah, mereka juga tanpa di sangka melanjutkan pengajian menengah di sekolah dan kelas yang sama. Bagai aur dengan tebing, Maisara dan Mamat bagaikan tidak dapat di pisahkan.

Maisara satu-satunya sahabat Mamat dan pelindungnya. Mamat selain bertubuh besar, dia mempunyai penyakit asma, ini tambah menyulitkan, untuk dia mempertahankan diri. Sekiranya ada yang membuli Mamat, Maisara akan tampil menyelamatkannya seperti seorang srikandi. Ini kerana Maisara berperwatakan kasar dan berpenampilan boyish.

Saat ini meskipun indah, namun mereka tahu. Akan tiba suatu masa nanti, perpisahan harus mereka hadapi. Tidak selamanya sesuatu yang indah itu akan berkekalan dan bertahan selamanya di dunia ini.

DIA MENARIK nafas penuh kelegaan. Mamat berada di sini rupanya. Sebaik basikal di tongkat, dia mengambil tempat di sebelah Mamat. Perkhabaran yang diberitahu ibu Mamat sebentar tadi sedikit sebanyak menggoncang hatinya.

Dia mengerti mengapa Mamat bertindak menghilangkan diri. Jikalau dia berada di tempat Mamat, pasti dia juga akan berbuat perkara yang sama. Tiada suara. Mamat menekur memandang tanah. Maisara juga tertunduk. Seketika terdengar esakan kecil. Mata Mamat merah.

“Budak gemuk, hodohlah muka awak dengan mata merah begitu.” tegur Maisara. Mamat menoleh memandang Maisara. Air mata yang masih berbaki, di kesatnya. Maisara ketawa paksa. “Awak itu lelaki, janganlah emosional sangat. Benda kecil macam ini pun nak nangis?”

“Awak mungkin rasa ini benda kecil tetapi pada saya ianya besar.Too big.” jerit Mamat tiba-tiba.

Maisara terpempan. Dia cuba berlagak setenang mungkin. “Ustazah pernah berpesan yang setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kita sebagai hamba Allah kena terima dan redha dengan takdir Allah. Manalah tahu di sebalik perpisahan ini akan ada suatu pertemuan yang baru,”

Mamat terdiam agak lama. Dia tahu itu. Dia sepatutnya meneguhkan hati tetapi ianya tetap sukar sementelah dia dan Maisara telah lama bersahabat. “Ibu tentu dah beritahu awak kan?” Maisara angguk. Mamat tersenyum tawar. “Awak okey? Kita mungkin tak dapat berjumpa untuk jangka masa yang panjang. Ataupun awak sebenarnya gembira sebab dah tak perlu lindungi saya lagi?” suaranya mula serak.

“Mamat, tidak kira di mana awak berada. Awak tetap kawan saya untuk selamanya. Dan siapa kata saya gembira? Saya akan kehilangan satu-satunya kawan saya. Awak sahaja yang sudi berkawan dengan budak perempuan yang comot dan kasar macam saya ini.” Bergenang sudah tubir mata Maisara.

Mamat menyambung, “Samalah kita. Hanya awak yang nak berkawan dengan badak air macam saya ni. Orang lain, menjauh tapi awak mendekat. Awak sentiasa ada untuk saya. Hidup saya nanti pasti akan sunyi tanpa kehadiran awak.”

Maisara ketawa dalam tangisan. Mamat merenungnya pelik. Maisara lantas berkata, “Cara awak bercakap macam kita takkan berjumpa lagi. Kata-kata awak pula macam orang yang sangat matang. Takut pula saya rasa,”

Mamat tersengih. “Saya tiru ayat dalam drama. Tapi betul, saya benar-benar maksudkannya. Tanpa awak, memang membosankan.”

Maisara tarik senyum segaris. Pipi yang tadinya basah dengan air mata telah kering. Senyuman ceria terukir. “E-mel! Kita boleh berhubung melaluinya kan? Rasa rindu nak bercakap dengan saya, awak e-mel sahajalah.”

Mamat terangguk bersetuju. “Betullah. Lupa pula saya.” Tiba-tiba dia mencebik, “Tapi takkan sama.”

“Memanglah takkan sama. Sekurang-kurangnya kita dapat berhubung itupun sudah mencukupi. Jangan pula nanti selepas dapat kawan baru, awak tak nak bersembang dan hantar e-mel pada saya pula. Awak balik Malaysia nanti, saya takkan datang jumpa awak.” ugut Maisara.

Mamat mengangkat lima jari, membuat sumpah, “Saya berjanji. Awak sahabat saya buat selamanya, tiada penggantinya.”

Maisara menatap tenang wajah Mamat. “Saya juga. Sahabat selamanya.”

Deru angin menampar lembut tudung Maisara. Terserlah keayuan seorang gadis. Mamat mengukir senyum dalam diam. Maisara cinta pertamanya. Mungkin ada yang akan mengatakan ianya hanya cinta monyet yang akan pudar di arus masa. Tapi entah mengapa dia yakin, hanya Maisara untuknya.

“Awak tahukan, awak my Wonder Woman?”

Maisara angguk. “Awak pula Hipopotamus saya. Kenapa?”

Mamat geleng, “Nothing. Saya terfikirkan 10 tahun nanti, selepas saya balik dari Korea Selatan, agaknya bagaimana rupa awak? Rupa saya? Masih sama? Atau berubah. Ataupun kalau saya lalu sebelah awak, awak akan kenal saya atau tidak?”

Maisara termenung lama sebelum membalas, “Itu semua kan di bawah perkiraan Tuhan. Sama ada berubah atau tidak, terpulang pada diri kita. Berubah kepada yang lebih baik, itu baik. Tapi kalau yang sebaliknya harap di jauhkan.”

“Awak doakan saya selamat pergi dan selamat pulang iya?” pinta Mamat penuh mengharap. Maisara menggetap bibir, kepala di angguk. Tiada kata.

Mamat senyum nipis. “Selagi ada rindu, kita pasti akan bertemu. Untuk itu saya berjanji dengan awak. Awak orang pertama yang saya akan jumpa, sebaik menjejak kaki ke bumi Malaysia. I promise you that!”

Maisara angguk. “But before that, I’m so gonna miss you a lot.” ucapnya perlahan.

Burung yang bertenggek di pohon itu seketika mencuri perhatian mereka. Mamat mendesis perlahan. Aku juga, akan sentiasa rindukan kau, Maisara. Segala kenangan bersama Maisara akan dibawa pergi menemaninya di seberang sana. Doanya moga persahabatan ini kekal menjadi memori yang terindah di dalam lipatan hidupnya.

GAMBAR ITU di renunginya. Mamat telah berangkat ke luar negara petang tadi. “Belum pun menginjak sehari, aku sudah teringatkan kau. Agaknya kapan rindu ini akan surut?” tuturnya di luar sedar. Kemudian dia tertawa perlahan. “Berpuitis pula aku.”

Dia memeluk tubuh. Titis gerimis yang di benteng teguh, bah jua akhirnya. Dia tenggelam dalam tangisan. Gelang tangan pemberian Mamat di tenungnya lama. “Aku harus kuat. Mamat kan dah janji yang dia akan pulang semula ke sini. Lagipun masih ada e-mel sebagai perantara kami.” bicaranya sendirian. “Aku akan setia menunggu kau.”

Cinta pertama atau cinta monyet hadirnya bisa menceriakan hati. Perginya meragut jiwa. Indahnya pula mungkin hanya sementara, namun tetap kekal abadi di dalam hati. Penantian, mungkin memenatkan dan bagaikan tiada penghujungnya. Namun jika hati sudah terpaut, segalanya terasa berbaloi... meskipun masa depan itu terlihat jauh.

JARINYA mula menari di atas papan kekunci. Bibir mengukir senyum. Dia ingin berkongsi segala cerita dan masalah dengan Maisara. Ibu dan ayah menggeleng kepala melihat telatahnya. Sejak menjejak kaki ke bumi Korea Selatan ini, Mamat tidak senang duduk selagi belum menulis e-mel kepada Maisara. Hendak di larang tiada daya mereka. Mamat dan Maisara bagaikan bersaudara.

Maisara, saya sudah dapat kawan baru; Kim. Dia serupa macam awak. Sentiasa melindungi saya. Bezanya cuma dia lelaki, awak perempuan. Dia nasihatkan; saya harus kuat dan lawan balik. Tengok, nasihat dia pun sama. Tapi saya tetap rindukan awak.

Satu lagi, hendak berkomunikasi di sini memang menyulitkan. Bahasa Inggeris memang mereka tak pakai sangat. Orang di sini kebanyakannya lebih suka berbahasa ibunda. Jadi hendak atau tidak saya wajib belajar. Tergeliat juga lidah ni, memula dulu. Tetapi berkat bantuan cikgu dan Kim kini makin okey sikit. Mujurlah juga Kim pandai berbahasa Inggeris, dialah yang jadi tukang translate untuk saya.

Akhir kalam sila balas. Saya pun mahu tahu cerita awak macam mana kat Malaysia. Baru sebulan di sini, saya dah rindukan Malaysia dan awak tentunya. Bagaimana mampu saya bertahan? Sepuluh tahun? Lamanya... Maisara kidnap saya balik ke Malaysia, boleh? Baiklah, jumpa lagi.

DIA tersenyum membaca e-mel kiriman Mamat. Sahabatnya ini benar-benar mengotakan janjinya. Sebulan sekali pastinya akan di terima e-mel dari Mamat. Maisara semakin yakin yang hubungan persahabatan jarak jauh ini tidak akan goyah. Dengan izin Dia, pastinya.

Tanpa menunggu lagi, dia terus membalas e-mel dari Mamat.

Rindu? Benarkah awak rindukan saya? Tapi saya tak rindukan awak. Macam mana ni? Jangan kecil hati, saya bergurau sahajalah. Sunyi betul tak ada awak kat sini. Hidup saya masih sama... tiada perubahan sejak awak pergi. Ada juga yang nak berkawan tapi entahlah... dia orang tak macam awak.

Bercakap tentang bahasa Korea. Biasalah memula belajar memanglah susah. Lama-kelamaan nanti jadi biasalah. Jangan sampai balik Malaysia nanti tak reti cakap Melayu sudah. Kalau awak cakap Korea dengan saya, jenuh saya ternganga tak paham. Melainkan awak ajar saya. Hmm...cantik juga tu. Boleh juga saya belajar bahasa asing lain, selain bahasa Inggeris dan Arab.

Awak nak saya culik awak? Tak naklah nanti saya kena tidur dalam lokap. Just joking. Anyway, keep in touch okey? See you... .

Beginilah caranya kedua-dua sahabat ini melestari dan mengekalkan persahabatan yang telah terbina sekian lama ini. Sehingga tanpa sedar masa telah pun berlalu... dan masing-masing telah menginjak dewasa.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.