BAB 13

“NIZAM, kau dah buat keputusan?” Soalan Azam di biar tidak berjawab. Matanya tepat merenung lantai. Kosong segalanya kosong. Semuanya bagaikan bertali arus, datang sekaligus membadai jiwanya.

Pernyataan Riana semalam benar-benar meresahkannya. Apakah begitu kebetulan? Riana juga akan bertemu kawan lamanya? Masa dan lokasi yang di beritahu Riana mendebarkan jiwa lelakinya. Apakah Riana, adalah Maisara? Adakah takdir ingin memberitahuku yang Maisara bukan untukku? Ya Tuhan, moga ini hanyalah andaian aku semata-mata.

Setelah seketika, Nizam merenung tepat ke mata Azam. “Along, kau ingat tak nama penuh Maisara?”

Azam pandang dia pelik. “Kenapa kau tanya?”

“Tak adalah. Saja nak tahu.” jawabnya bersahaja cuba menutup kegusaran hati.

Azam menyentuh dagu, gaya memikir sesuatu. “Hmm...aku tak berapa nak ingatlah pula. Asyik panggil dia Maisara je. Tapi macam ada Ana kat depan. Ana Maisara kot.”

“Oh!” sepatah dari Nizam. Macam nak dekat je dengan Riana. Riana Maisara? Aduh masak aku macam ni. Kalaulah betul, takkan aku nak rampas Riana dari along? Rampas kakak ipar sendiri? Sanggupkah aku?

“Diam sahaja dari tadi. Kau ada masalahkah?”Azam bertanya. Adiknya itu di pandang lama. Mengapa pula dia ni? Berat sangatkah permintaan aku? Sehinga Nizam kelihatan berubah sikap? Pendiam semacam hari ini.

“Taklah. Aku okey.” Nizam memaksa diri untuk ceria dan tersenyum. “Kau ni pikir banyak sangatlah.”

“Hmm...kalau macam tu, maksudnya kau setujulah iya?” Azam turut ceria, langsung tidak sangsi.

Nizam senyum mencebik, “Aku ada pilihan lainkah? Kau satu-satunya abang aku. Kembar pula tu. Nanti, kalau aku tak ikut cakap kau, 7 keturunan kau sumpah aku macam Mahsuri.” sindirnya dalam gurauan.

“Oit, sindir kasar nampak.” Azam pura-pura marah. Sesaat dia menyambung, “Aku bukannya memaksa kau. Tetapi aku tiada pilihan lain selain kau, kembar aku. Lainlah kalau aku ada lagi satu kembar. Bolehlah suruh dia.

Kau calon yang sesuai, Nizam. Walau kita banyak perbezaan tapi tetap ada persamaan kan? Satu lagi, kau jenis yang setia. Kau takkan rampas Maisara dari aku. Untuk itu aku yakin meletakkan Maisara di bawah jagaan kau.” Bahu Nizam di pegangnya erat, seakan telah di- serahkan seluruh kepercayaannya pada Nizam.

Nizam menelan liur, terasa kesat. Dia cuba bergurau, “Kau jangan yakin sangat. Kau tak takut Maisara syok kat aku? Manalah tahu kan? Melepaslah kau. Walaupun hidung aku ini, tidaklah semancung kau, tapi aku lebih menarik dan tampan.”

Azam ketawa galak. “Muka kita sama, jangan nak perasan. Takda maknanya siapa lebih kacak, sama-sama kacak!”

Nizam tidak mahu mengalah, “Mana. Aku lebih bergaya, mutu dan keunggulan. Kau tu pemalu sangat. Patutlah Yuri tergilakan aku dulu,” Nizam mengorak senyum kemenangan.

“Ceh, masuk bakul angkat sendirilah. Sebutlah nama Yuri. Karang, tiba-tiba dia muncul depan kau baru padan muka,” Azam memulangkan paku buah keras. Dia tersengih kerang. Seronok dapat mengenakan Nizam.

Nizam berkata selamba, “Aku serah Yuri kat kaulah. Aku dah ada Maisara. Kau lupa, kita sekarang kan dah tukar tempat? ” Dia mengangkat kening mencabar.

Azam keras memberi amaran, “Kau jangan. Maisara tu bakal kakak ipar kau.”

Nadanya berubah tiba-tiba. “Iya aku tahu itu. Dan aku akan ingat selalu.”

Azam senyum tawar, “Dan ingat, janji rahsiakan perkara ini dari ibu dan ayah.”

“Aku janji!” ikrarnya.

Sepi menghuni untuk seketika, sehinggalah Azam membuka kata, “Anyway, thanks bro. Tak terbalas pertolongan kau ni. Aku tahu bukan mudah untuk kau sudi terima cadangan aku yang gila ni.”

Nizam memegang dahi, “Aduh, janganlah emosional sangat. Kau tahu kan yang aku ni sensitif orangnya. Kang aku nangis kat sini, kau juga yang malu.”

“Aku tahu, sensitif orangnya tapi keras juga hatinya kan? Sehingga sekarang masih tak cair dengan perempuan. Carilah seorang. Riana tu aku tengok sepadan dengan kau. Walaupun agak montel tapi comel orangnya. Semenjak kau tolong dia berdiet ni, dari hari ke hari makin menarik aku tengok si Riana tu. ”

Hai along ni biar benar dia pun terpikat dengan Ria juga?

Tapi memang betul pun siapa yang tak terpikat dengan Riana, walau montel tetap ada daya tarikan yang tersendiri. Tambah pula, berat Riana di lihatnya semakin menyusut sejak beberapa bulan ini, dek kerana diet insetif di bawah penyeliaannya. Bayangkanlah dari 90 kg turun ke 70 kg, ini menunjukkan betapa gigihnya usaha Riana untuk kurus.

Nizam mengeluh. “Tapi kan, long, tetap buruk lantak. Kalau tak di jaga betul-betul berat dia akan naik dengan mendadak. Penat jadi instructor dia, long. Penat juga jadi kawan dia. Setiap masa perlu di ingatkan. Kalau tidak, bukannya dia nak ikut sangat diet yang aku syorkan.”

“Korang berdua memang rapat. Walhal kenal baru tak sampai setengah tahun. Cemburu pula aku tengok. Tambah pula, aku tak dapat jumpa dengan Maisara.” Ada nada kesal di situ. Kakinya yang lumpuh itu di pandang sayu.

Nizam memegang bahu Azam seolah memberi kekuatan. “Along, kau jangan risau. Aku akan jumpa dia bagi pihak kau. Seperkara, jangan banyak fikir sangat. Kau rindukan dia kan? Usaha untuk sembuh dengan cepat. Aku janji akan pertemukan kau dengan Maisara. Aku akan satukan korang berdua. Itu janji aku!”

“Terima kasih, Nizam!”

Nizam angguk. Esok segalanya akan terjawab. Siapakah Maisara yang sebenarnya? Adakah tepat seperti dugaannya? Riana adalah Maisara?

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.