BAB 21

KOSONG. Masa berlalu dan mereka berdua masih membisu. Tiada suara. Tiada yang mahu mengalah. Masing-masing hanya menanti. Sesekali Azam melirik mencuri pandang wajah Maisara. Wajah yang di rinduinya.

Maisara sekadar membiarkan, malas mahu memberikan sebarang reaksi. Azam melepas batuk perlahan, menyembunyikan gemuruh. Niat di hati nak menjernihkan suasana tapi sekarang apa sudah jadi? Apa yang nak di jelaskan lagi? Nizam pasti sudah menceritakan segalanya dan kini... dia hanya perlu memberanikan diri mencari solusi agar Maisara mahu berbaik dengannya... tapi adakah ianya semudah itu?

Azam mengeluh perlahan. Mungkin lain kali kot. Maisara macam nak tak nak je tengok muka aku? Kalau aku bukak mulut sah-sah perang meletus pulak nanti. Perlahan-lahan dia mengerakkan kerusi roda membelakangkan Maisara.

Maisara memandang dengan ekor mata. “Pengecut!”

Sepatah kata itu, menampar dinding telinga. Tangannya terhenti dari mengerakkan kerusi roda. Dia menoleh ke arah Maisara. “Apa maksud kau ni?” tanyanya perlahan.

“Sudah terang lagi bersuluh. Dari dulu tak pernahnya nak berubah. Pengecut. Nampak macam okey tapi sebenarnya tidak. Itulah diri kau, kan? Selalu nak orang nampak kau macam kuat macam tabah, tapi kau lemah. Sampai bila kau nak lari dari kenyataan? Sampai bila kau nak macam ni? Sampai bila kau nak senyum dan anggap semua benda okey? Kau tahu tak kau ni pentingkan diri. Kau anggap aku, sahabat kau ni macam tak wujud.”

Azam terpaku mendengar leteran panjang Maisara. Rupanya Maisara masih mengambil berat pada dirinya. Apakah ini bermakna yang dia dah tak marah lagi?

“Mai, kau cakaplah apa yang kau nak cakap. Aku terima. Aku tahu, aku salah. Tapi aku buat semua ni sebab kau. Aku tak nak...”

Maisara memotong laju, marahnya makin memuncak, “Tak nak aku bersedih? Tak nak aku bersimpati? Macam tu? Kau sendiri yang cakap kita kawan untuk selamanya kan? Tapi cara yang kau buat tu, macam aku ni bukan kawan kau. Kita kawan dah lama. Tapi kau sanggup tipu aku? Suruh kembar kau menyamar jadi kau pastu rahsiakan keadaan kaki kau yang lumpuh ni lagi? Macam ni kau anggap aku sahabat kau?” tempiknya kuat.

“Dalam e-mel kau cakap, takkan ada rahsia antara kita. Segalanya kita akan kongsi bersama. All for one. One for all. Mana perginya Mamat yang dulu? Kau bukan Mamat. Kau hanyalah Azam. Mamat kawan aku tu, rasanya dah lama hilang...”

Entah mengapa emosinya mula meledak. Matanya tak lepas dari memandang sepasang kaki Azam yang lumpuh itu. Air mata yang tertahan mengalir tanpa henti.

Azam menahan sendu yang bertamu. “Inilah salah satu sebabnya aku tak nak kau tahu. Aku tak nak tengok air mata kau tu jatuh. Tapi aku silap, aku buat kau menangis juga akhirnya. Aku minta maaf, Mai. Aku janji aku akan sentiasa bersama kau. Suka duka kita kongsi bersama macam dulu-dulu?”

Air mata yang jatuh di seka. “Kau jangan anggap yang aku dah maafkan kau. Aku datang sini pun kebetulan je. Ikutkan hati aku tak nak jumpa kau langsung.” ucapnya laju penuh dingin. Marah pada diri sendiri yang sebenarnya. Kenapalah air matanya begitu murah sangat.

Azam senyum. “Ya, aku tahu. Kau masih marah kat aku. Tengok muka aku pun tak sudi. Tapi aku tahu sangat, kalau air mata kau dah jatuh tu maknanya hati kau dah lembut sikit. Kan?” ujarnya lembut.

Maisara mencebik. “Jangan nak buat macam kau kenal aku sangatlah. Aku takkan lepaskan kau sehingga kaki kau tu sembuh paham tak? Lepas dah sembuh nanti, baru aku akan belasah kau cukup-cukup!! Kau dengar tak ni??!!”

“Ya, sahabatku. Saya menurut perintah!” Azam mengangkat tangan membuat tabik hormat.

Maisara mendesis geram. “Kau ingat aku ni polis tentera ke nak tabik segala?”

Azam geleng. “Aku tahu kau bukan polis, bukan jugak tentera. Tapi yang pastinya kau dah tak marahkan aku kan? Itu pun aku dah cukup berterima kasih, Mai.”

Maisara diam. “Aku buat semua ni pun, sebab aku nak Mamat aku balik.”

Azam sepi tanpa suara. “Kalau macam tu, aku pun nak my Wonder Woman balik boleh?”

Sebaris ayat Azam, membuatkan seulas bibir itu tersenyum. Azam angkat kening. “Friends again?”

“Sejak bila kita putus sahabat?” tanyanya sinis.

Azam terpana. Dia tergagap terus. Maisara ketawa. “Aku gurau ajelah beb. Buat lagi perangai macam ni, kau tengoklah nasib kau macam mana.” Gertaknya.

“Aiyo, perangai brutal dia sudah mari.” Azam buat-buat takut. “Matilah aku.”

Maisara ketawa kecil. “Now here is my Mamat!!”

“Same goes to you. Kosong-kosong?”

Maisara angguk. “Win-win situation yang sebetulnya, right?”

Azam senyum senang. Harapannya menggunung bahawa suatu hari nanti hubungan persahabatan ini bertukar arah ke hubungan yang lebih serius. Namun bila nama Nizam menjelma di minda, dia jadi resah sendiri.

DALAM keramaian orang, dia terasa sunyi. Tak dapat di ungkapkan dengan kata-kata. Segalanya berkecamuk. Segalanya kacau. Dia ingin hilang. Dia ingin terbang. Terbang jauh dari sini. Dulu dia gelakkan kawan-kawannya yang sedang bercinta. Sekarang dirinya yang tak tentu hala. Hanya kerana seorang gadis, dia jadi nanar. Tambah runsing, bila dia tahu Maisara juga punya rasa yang sama. Tapi...ada Azam di tengahnya, laluan yang tak mungkin dia harungi... .

Jun tepuk bahunya kuat. “Nizam. Kalau kau mengelamun macam ni pun, bukannya boleh terbalikkan keadaan,”

Empat pasang mata lagi sekadar memerhati. Nizam senyum sumbing. Terlupa pulak dia, yang dia sekarang tengah makan-makan sambil lepak-lepak kat warung mamak dekat dengan ofisnya bersama kawan-kawannya yang tercinta ni.

Kim mencelah, “Masalah korang ni senang sebenarnya tapi jadi rumit sebab Mamat tu keras kepala sangat. Nak ikut rentak dia selalu. Payahlah macam tu, betul tak?”

Jang pula menyampuk, “Dah, kau jangan risau. Kau dah pun tolong along kau kan? Kali ini, biar dia yang selesaikannya sendiri. Okey?”

Nizam angguk. “Tapi aku tetap risaukan Maisara. Hari ni dia tak masuk kerja. Aku tak nak sebab aku dan Mamat dia abaikan kerjanya...”

“Mereka berdua tu dah kawan lama. Aku rasa tak lama mana, rajuk si Maisara tu,” sampuk Seungjae pula.

“Betul tu, lagipun Mamat buat semua ni bersebab. Dahlah, jangan fikirkan sangat.” Hyun yang duduk di sebelah Nizam memegang bahunya. Nizam angguk, bibirnya mengukir senyum nipis.

SETIBANYA di rumah, Nizam kaku tak bergerak. Kim, Jun, Hyun, Seungjae dan Jang saling berbalas pandangan. Azam menggerakkan kerusi roda ke arah mereka berenam yang masih tercegat di muka pintu.

“Hoi, yang korang berdiri terpacak kat depan tu kenapa?”

“Maisara macam mana dia boleh ada kat sini?” tanya Kim.

“Kebetulan mak dia jumpa ibu aku kat hospital. Jadi dia bawaklah Maisara datang sini, tapi diorang tak sangka pula yang aku dengan Maisara dah pun berjumpa.” terang Azam memendekkan cerita.

“Oh....” panjang bunyinya dari mereka berlima. Hanya Nizam yang tak bersuara. Azam pandang Nizam. “Kau ni kenapa? Macam pelik je.”

“Tak adalah. Cuma aku tengok kau dengan Maisara tadi rancak bersembang. Korang dah okey?”

Azam senyum melebar. “Itu semua atas bantuan kau jugak. Dia dah okey, tapi dia siap bagi syarat, aku kena cepat sembuhkan kaki aku ni, kalau tak sampai mati dia tak nak maafkan aku.” Azam ketawa kecil, “Agak menakutkan syarat dia tu, tapi aku tetap senang hati, sebab dia dah tak marahkan aku dan sudi bercakap dengan aku.”

Nizam diam. Bibirnya mengukir senyum. Tapi dalam hati. Hanya Tuhan yang tahu.

“Baguslah, kami semua tumpang gembira.” ucap Kim.

Mak Cik Husna menghampiri mereka semua, “Boleh pulak kamu semua bersembang kat depan pintu ni, dah mari masuk. Makanan pun mak cik dah hidangkan, jom kita makan malam sekali. Esok kamu semua dah nak pindah masuk hotel kan? Jadi, hari ni makan puas-puas. Kim, mak cik masak lauk kegemaran kamu. Ayam masak percik. Mesti makan sampai habis okey?”

“Baik mak cik, di tanggung beres,”

“Ala mak cik, lauk kegemaran Kim sahaja ke? Kami punya tak ada ke?” Jun memuncungkan mulut, tanda dia merajuklah tu.

Mak Cik Husna ketawa, faham sangat dengan karenah manja Jun. “Ada, semua mak cik masakkan, jom ke dapur. Lagipun kita ada tetamu kat dalam tu,”

“Oh....sapa mak cik?” tanya Jun sekadar berbahasa.

“Kawan lama mak cik...”

NASI di depan mata, tak di jamah. Maisara jadi tak keruan. Seleranya terus hilang. Tatkala terpandangkan seraut wajah itu, debar di dada makin kencang berombak. Dia mahu bangun. Dia mahu pergi. Tapi nanti apa kata ibu, apa kata Mak Cik Husna. Sudahnya di gagahkan jugak mulutnya menjamah makanan walau perutnya saat ini memulas tanpa sebab.

Azam mengerling ke arah Maisara dan Nizam. Dia tersenyum tawar. Memang betul kata pepatah. Action speaks louder than words.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.