BAB 30

“AKU minta maaf. Aku tak patut rahsiakan benda ni. Aku tahu aku salah. Kau pun pernah tipu aku kan? Aku dengan murah hatinya dah maafkan kau. Maksudnya kita serilah kan? Orang kata, situasi menang-menang namanya kan?”

Maisara ketuk kepalanya sendiri. “Gila! Kalau aku cakap macam ni, memang sangat skemalah jawabnya. Nizam mesti akan cakap, kau ingat kau tu tengah berlakon dalam drama swasta?”

Kepala di langutkan ke atas memandang langit yang luas. “Aku kena fikir ayat yang lain daripada yang lain.” Dia menganggukkan kepala.

“Lain daripada yang lain? Hmm... menarik! Sangat menarik.” sapa satu suara yang amat di kenalinya. Siapa lagi, Nizam ler.

Maisara berdehem kecil, dia agak tersentak namun dengan gerak perlahan dia menoleh ke belakang. Di paksakan senyuman menghiasi wajahnya. Kenapalah aku selalu kantoi dengan Nizam? Malunya tak terkata... .

Nizam turut tersenyum. Bersahaja lagaknya.

Maisara masih lagi terpempan dengan kemunculan tiba-tiba Nizam. Suaranya putus-putus bertanya, “Err, macam... macam mana kau? Maksud aku bila masa kau naik atas roftop ni? Err... buat apa kau naik atas ni ek?”

Nizam menjawab tanpa nada. “Aku naik atas ni nak ambik angin. Salah? Sekarang kan waktu rehat! Tapi tak sangka pulak ada orang tu tengah menghafal skrip,” sindirnya.

Tidak semena-mena Maisara menempelak, “Suka hati kaulah. Nak sindir, nak marah, nak naik angin, naik hantu!!! Atau apa saja! Aku terima dan redha. Aku tahu aku salah. Aku ada kembar, tapi aku langsung tak beritahu kau. Memang silap aku! Puas hati?!!”

Berkelip-kelip mata Nizam mendengar suara lantang Maisara. Mak ai, garangnya. Aku ni yang sepatutnya melenting. Dia pula yang marah sakan? “Kalau aku nak hukum atau denda kau pun kira bolehlah ni?”

Maisara terus pandang Nizam. “Maksud kau?” Aura garang Maisara terus hilang. Berganti dengan perasaan gugup yang tak berkesudahan. Jangan dia perdajalkan aku sudah!

Nizam senyum. Penuh makna. Riak wajah Maisara yang sebegini amat menggeletek hatinya. Sangat kelakar dan comel. Sejak Maisara kurus ni dia semakin cantik dan menawan. Tapi sayang... dia hanya akan kekal sebagai kawan aku dan tak lebih dari itu.

“Keluar dating dengan aku?!!”

Maisara diam. Badannya keras. Mata Nizam di tentangnya penuh berani, cuba membaca, adakah Nizam main-main? Atau serius dalam main-mainnya itu? Sebab riak wajahnya sukar di telah.

Sebenarnya Nizam sendiri pun terkejut. Entahlah rasanya dia dah hilang akal kot? Nizam meraba bibir sendiri dalam diam. Apa boleh buat?! Gasaklah. Lantaklah. Kata-kata yang telah di luah bukannya boleh di telan semula.

“Amacam? Nak keluar dating dengan aku tak?” Nizam angkat kening dua kali seolah mencabar Maisara.

Maisara tak makan saman. Daripada gaya Nizam yang macam ni, nampak sangat dia sengaja nak menyakat. “Kau, kalau nak bergurau, nak buat lawak sekalipun, ini bukan masanya.”

“Hmm... kalau macam tu kau tak naklah aku maafkan kau, ya?” Nizam masih tak mahu mengalah, sengaja dia ingin mendesak Maisara.

“Sudahlah. Kalau kau tak nak maafkan aku, apa yang aku boleh buat?! Itu kan hak kau? Bukannya aku boleh paksa kau kan?” tempelaknya.

Nizam ketawa kecil. “Kau tahu tak, kau ni sangat kelakar?! Dari mula aku kenal kau sampailah sekarang, kau tetap sama. Kecuali kau dah kurus sekarang dan semakin cantik!”

Maisara rasa mual ler pulak. Apa yang Nizam dok merapu ni?

“Kau nak apa sebenarnya ni, Nizam? Kalau nak marah, marah ajelah. Kalau kau nak kutuk sekalipun, aku terima. Tapi tak payahlah nak sakat aku, perli aku itu ini.”

“Perli apa pulak ni? Aku cakap benda betul. Kau tak pernah berubah. Kau masih Riana, bezanya kau dah kurus. Semakin banyak peminat. Kat pejabat kita tu, berapa ramai lelaki yang asyik pandang kau, bila kau lalu depan dorang.”

Dan sebenarnya berbulu juga Nizam dengan rakan-rakan sepejabatnya, dulu bukan main mereka dok condemn si Ria dan sekarang dok terhegeh-hegeh nak tackle Ria. Ya, memang dia cemburu. Sangat cemburu tapi rasa itu hanya mampu tersimpan kemas. Terkadang tu menyesal pulak dia sebab tolong Ria kuruskan badan.

Kalaulah dia tahu, Ria akan secantik dan semenawan dan menarik macam ni, sumpah dia sanggup Ria kekal montel macam dulu. Biarlah hanya dia sorang yang tahu kecantikan Ria. Suara Maisara yang tengah dok membebel itu mengembalikannya ke realiti. Dia tersenyum kecil.

“Yalah, dulu aku kan macam Doraemon, tapi sekarang dah kurus melidi. Dan untuk pengetahuan kau, aku tak ada peminat. Dorang tengok aku, pandang aku, sebab nak mengata, mengutuk. Mesti dalam fikiran dorang, aku buat rawatan sedut lemak.” Bebel Maisara bagaikan tiada hentinya.

“Ria.”

“Apa?”

“Kau dah mula balik!!”

“Mula apa?”

Thinking negatively!!”

“Mana ada. Benda betul kot. Aku berani kerat sepuluh jarilah. Dorang tu, kalau tak mengata, mesti mengumpat pasal aku punyalah.”

“Kau dah gila ke sampai nak kerat jari kau?” marah Nizam. “Tak sayang nyawa ke apa kau ni?”

Tersentap jantung Maisara. Nizam tiba-tiba naik angin tak kena gaya ni kenapa pulaknya?

“Nizam?”

“Apa?”

“Yang kau marah sangat ni kenapa?”

“Yalah. Kau sampai nak kerat jari tu apahalnya. Dah gila ke apa?”

Maisara tergamam. Tak terkata apa. Dia kemudian tergelak kuat. “Wei, itu perumpamaan sajalah. Apalah kau ni? Takkan itu pun tak tahu?”

Nizam kelam. Seolah hilang punca. Apa yang kelakarnya?

Ketawanya masih berbaki. “Nizam. Seriously, you are so cute. Aku tak bermaksud pun nak kerat jari aku. Itu sekadar kiasan, perumpamaan faham tak?” ulang Maisara.

Nizam angguk, termalu sendiri. “Oh!”

Sorry, aku terlupa pulak yang kau dok kat Korea bertahun-tahun. Jadi, mestilah kau tak berapa nak tahu, kiasan yang macam tu kan?”

That’s okay! ”

Jeda.

Maisara teragak-agak bertanya, “Kau... dah... maafkan aku ke ni?”

“Hmm... kau rasa?” Nizam angkat kening.

Maisara senyum. “Macam ya. Sebabnya kalau tak, kau tak akan nak bercakap dengan aku pun. Nak dengar kau ketawa pun, memang taklah.”

“Bohonglah kalau cakap aku tak marah langsung. Marah tu marahlah juga. Tapi macam yang kau cakap tadi, aku dengan along pun pernah tipu kau kan? Dan kau dengan murah hatinya dah maafkan kitaorang kan? Jadi aku pun sama, aku tak nak panjangkan isu ini.”

“Hmm... if that so, leganya hati aku ni. Aku punyalah memikir nak cakap macam mana kat kau. Syukur kau sudi maafkan aku.” Maisara angkat sepuluh jari lalu menyapu ke wajahnya.

Bahu Maisara spontan di tolaknya. Nizam ketawa kecil. “Jangan nak berdrama sangatlah.”

Maisara turut ketawa. “Berdrama apa pulak, benda betul kot. Kau tahu tak, kau tu kalau merajuk, memang sangat susah nak pujuk tau. Mengalahkan budak kecil tak dapat aiskrim.”

Nizam memuncungkan mulut. “Ada ke cakap aku macam tu.”

Maisara ketawa kecil. “Ada je. Benda betul. Kau kena terima hakikat, Nizam!!”

“Banyaklah kau punya hakikat. By the way, kenapa selama ni kau tak pernah beritahu kau ada kembar? Kau dengan kembar kau tak rapat? Sebab tu kau tak bagitau aku?”

“Eh, tak. Aku dengan dia kamceng, cuma dia jarang ada kat rumah,”

“Jarang ada kat rumah? Macam mana tu? Aku tak faham”

“Adik aku tu, hobi dia suka mengembara, suka daki gunung. Di sebabkan hobi dia tu, kadang tu sampai 3 bulan dia tak balik sebab pergi luar negara daki gunung punya pasal,”

“Kiranya dia ni, lagi lasak dari kaulah ya?”

Well sort of,”

“Daripada apa yang kau cerita ni, adik kau ni macam ada banyak masa je. Pergi mengembara, daki gunung, melancong segala. Dia kerja apa?“

“Hmm... itu rahsia. Kalau kau nak tahu, kau tanyalah dia sendiri.”

“La, nak main rahsia-rahsia pulak. Cakap sajalah, bukannya adik kau tau pun kalau kau beritahu aku.”

“Maaflah ya, aku dah janji dengan dia,”

“Ceh,”

“Yang kau nak tahu sangat tentang adik aku si Raina ni kenapa? Kau minat dia ek?’

Nizam tak menjawab, dia diam. Agak lama. “Oh... nama dia Raina? Nama penuh?”

Maisara pandang Nizam pelik namun dia tetap memberitahu nama adiknya. “Nuraina Kaisara,”

“Sedapnya nama. Secantik orangnya,” Nizam tersenyum panjang.

“Nizam kau jangan... aku tengok kau ni lain macam je.”

Nizam menentang mata Maisara dalam. “Salahkah kalau aku minat adik kau? Tak dapat kakak, adik pun okey apa?” Dia tersenyum penuh makna, sengaja mengusik Maisara yang dari tadi macam tak senang duduk sahaja lagaknya. “Ataupun... kau sebenarnya cemburu sebab aku syok kat adik kau? Hmm... yalah, dulu kan kau pernah tersukakan aku?”

Maisara buat muka benci setengah mati. Meluatnya dia dengan Nizam.

Nizam ketawa kecil. “Wei, diam je ni kenapa? Marah ke?” Tawanya mati bila melihatkan riak Maisara yang kelat. “Aku gurau sajalah. Janganlah kecik hati. Aku tak minat pun adik kau tu, tapi... kalau aku minat pun kenapa? Tak salah kan? Minat saja kot. Bukannya aku jatuh cinta ke hapa dengan dia.”

“Tapi... kalau kau jatuh cinta dengan dia pun bagus jugak,”

“Huh?”

“Sekurang-kurangnya kau boleh tolong dia bukak pintu hati dia semula,”

“Maksud kau?”

“Adik aku pernah bertunang. Tapi sayang... lagi 2 bulan dorang nak nikah, tunang dia meninggal sebab kemalangan jalan raya.”

“Kemalangan?”

Maisara angguk kemudian menyambung semula ceritanya, “Motosikal yang Razif, tunang adik aku naik tu, berlanggar dengan treler. Sampai sekarang, Raina masih teringatkan dia. Mana-mana lelaki yang nak dekat dengan dia, semuanya dia tak layan.”

“Hmm.... mungkin sebab tu adik kau dia suka pergi melancong, daki gunung segala?”

Maisara angguk, “Bijak juga kau ni. Ya, betul. Dia cakap dengan buat semua tu, dia tak akan fikirkan pasal Razif.”

“Kau tak pernah cuba tolong dia?”

“Ada. Tapi sekali je. Sebabnya dia dah bagi amaran kat aku. Jangan pandai-pandai nak jodohkan aku dengan sesiapa. Dia sampai ugut aku, kalau aku kenalkan mana-mana lelaki untuk dia, dia takkan berkahwin langsung!!”

“Wow! Dashyat juga adik kau ya?!”

“Tau tak pa” Maisara melihat jam di tangan. Hampir ke pukul 2. “Jom turun, waktu rehat pun dah nak habis ni,”

Nizam geleng. “Kau turunlah dulu. Aku nak duduk sini sekejap.”

Maisara berpatah balik. Dia melabuh duduk di sisi Nizam. Nizam tengok dia tak berkelip. Maisara angkat bahu. Nizam senyum. Ya, tak perlu kata apa-apa. Bahasa tubuh mencerminkan segalanya. Dengan kebisuan terkadang tu segalanya terjawab.

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.