Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,407
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 42 Akhir

PANDANGAN dilemparkan ke arah bukit kecil yang terletak tidak jauh dari kawasan rumahnya itu. Dia kemudian tersenyum sendiri. Tudung yang berkibar lantaran di tiup angin, di biarkan sahaja. Dia tenggelam dalam memori semalam.

Di bawah pohon ciku ini, ketika masih kecil dia sering bermain kahwin-kahwin dengan rakan sepermainan. Tidak ketinggalan berangan dan berimpian. Andai kata, bila sudah dewasa nanti kalau dia di takdirkan bertemu dan jatuh cinta dengan putera raja, alangkah indahnya hidup ini.

Dia senyum lagi. Siapa yang menyangka impian dan anganannya itu kini menjadi realiti. Tuhan benar-benar telah menghadirkan ke dalam hidupnya seorang putera raja. Perkenalan singkat yang bermula dari pergaduhan telah mencetuskan segalanya sehinggalah berlakunya momen yang dramatik dan tidak terduga dalam hidupnya. Sekelip mata hidupnya berpusing 360 darjah.

Dari kesunyian yang mencengkam, hidupnya kini penuh terisi dan mewah dengan kasih sayang. Dari kera sumbang, dia mengenal kembali apa itu erti sahabat. Dari hati batu yang kebal dari panahan api asmara, dia kini mengenal apa itu pengorbanan, demi memiliki sebuah cinta yang suci tanpa noda. Ujian dan dugaan silih berganti, namun itulah yang mendidik dan mematangkannya dalam menongkah arus kehidupan.

Akhbar di selaknya sambil lalu. Identitinya sebagai tunangan Ariel telah terdedah. Ada para peminat yang mengatakan mereka secocok dan sama padan, tidak kurang ada yang mencemuh mengatakan dia tidak sesuai dengan Ariel, putera idaman Malaya. Biarlah apa orang nak kata, asalkan jangan sampai menjatuhkan maruahnya.

Konsert perpisahan Ariel sudah pun berakhir seminggu yang lalu. Ariel dia tampak sangat hebat di konsert. Penutup yang menakjubkan seperti yang di jangka dan di nanti oleh bintang

besar sepertinya. Selepas ini tiada lagi sorakan yang memanggil nama Ariel. Nama itu akan di ganti pula kepada Putera Mahkota Tengku Imzi Farhan. Tanggungjawab yang besar untuk dia galas sedang menanti di hadapan.

Puan Eliza menghampiri Filia yang sedang bermenung seorang diri itu, “Anak ibu, buat apa duduk sorang-sorang di sini? Farhan merata cari dia, rupanya dia duduk kat pangkin ni.”

Filia ketawa, “La...Filia duduk depan ni sahaja ambil angin takkan dia tak perasan.”

Puan Eliza menyambut dengan, “Entahlah mungkin dia rabun kot? Rabun cinta?” usiknya.

“Ibu ni, ada pula kata macam tu.” ujar Filia malu-malu.

Puan Eliza memeluk bahu anaknya itu. Riaknya berubah serius. “Selepas ini jaga diri elok-elok. Duduk tempat orang kena pandai bawa diri. Memang Filia pernah menginap di sana sementara. Tetapi ini berlainan ianya untuk seumur hidup. Status Filia juga akan berubah selepas Farhan melafazkan ijab dan kabul. Filia bukan sahaja menjadi isteri Farhan tetapi sebagai bakal permaisuri Sutrasia. Mulai dari hari ini, ibu nak Filia jaga tingkah laku, tak boleh sekasar macam dulu, kena lemah lembut dan berjiwa kental, faham tu?” nasihat Puan Eliza panjang lebar.

Tubuh Filia kemudian di bawa ke dalam dakapannya. Terasa sesak jiwanya. Kemalangan yang hampir meragut nyawa Filia, masih berbayang di mata. Sekujur tubuh Filia yang kaku, tidak bermaya masih terimbau di ingatan. Sukar baginya melepaskan Filia pergi merantau di negara orang. Kerisauan yang berkali ganda dari jiwa seorang ibu bagai tidak dapat di tahan lagi. Air mata mengalir laju.

Filia turut bah. Pipi ibu yang basah dengan air mata di sapu perlahan. “Kalau ibu nangis, sedih begini, lagilah Filia rasa berat hati nak pergi. Filia janji bila ada masa terluang Filia akan lawat ibu.” pujuknya bagi meredakan kesedihan yang melanda hati ibunya.

“Lagipun sekarang Filia masih ada kat sini lagi kan? Kita masih ada banyak masa lagi. Farhan cakap dia akan tunggu Filia habis belajar dulu. Selesaikan beberapa perkara penting di sini dan selepas itu barulah kami akan berkahwin.” jelasnya lalu kepala di lentokkan ke bahu ibunya.

Puan Eliza mengusap lembut kepalanya anaknya itu. Dahi Filia kemudian di cium. “Ibu sentiasa doakan kebahagiaan kamu. Walau kami tak bersama kamu, ingatlah doa kami sentiasa di sisimu,”

Filia memeluk erat ibunya. “Terima kasih, ibu. Filia sayang ibu, dan Filia juga takkan lupakan ibu dan ayah.Both of you are always in my heart,” ucapnya penuh telus. Terasa sayu di hati, saat perpisahan semakin hampir. Bilakah waktunya lagi dia akan bertemu dengan ibu dan ayahnya?

FARHAN MEMAUT BAHU FILIA, “Sayang rindukan ibu dan ayah iya?” tanyanya lembut. Filia diam tidak menjawab. Air terjun buatan di halaman istana itu direnung lama. Dua tahun telah berlalu sejak dia meninggalkan zaman bujang. Sekejapan masa telah meninggalkannya pergi. Dia bahagia membina mahligai cinta bersama Farhan.

Farhan memang lelaki dan suami yang baik. Dari mula kenal sehinggalah kini, sikap dan layanan Farhan padanya tetap mesra. Walau sesibuk mana, akan dia luangkan masa melayani karenah isterinya yang kadang kala manja tidak bertempat ini.

Filia senyum sendiri. Terkadang dia terasa seperti `mendera` Farhan pula. Tambahan pula, dia sekarang telah berbadan dua. Semakin bertambah ragamnya namun Farhan tetap sabar dan sabar. Ke mana pergi sifat marahnya dahulu pun, Filia sendiri tak tahu.

Hidung Filia di cubitnya, “Baby macam mana sihat?” tanya Farhan sambil mengusap lembut perut Filia yang hanya menunggu masa itu.

Filia tampar perlahan tangan Farhan, “Babysihat. Tapi ibunya yang tak sihat.”

Farhan mendongak memandang Filia. Matanya berkelip. Dahi Filia di pegang,

“Tak panas pun?”

Filia mendengus keras, “Kanda Farhan, awak sengaja buat-buat lupa atau memang tak ingat? Lusa ini kan Fikri dan Tira nikah dan hujung minggu ini pula hari ulangtahun perkahwinan ayah dan ibu? Nanti apa kata dia orang kalau kita tak pergi?” beritahunya sambil menahan geram.

Farhan tersenyum, kemudian menggeleng, “Ini yang dinda resahkan? Perut dinda itu dah macam belon, tunggu masa nak pecah, macam mana kita nak pergi? Di buatnya dinda terberanak dalam kapal terbang macam mana?”

Haru sungguh isterinya ini. Dek kerana sayangkan Filia dia telah merencana sesuatu dengan Fikri dan Tira. Mujurlah mereka berdua bersetuju. Kalau tidak, dia sendiri pun tak tahulah.

Muncung di tarik panjang, “Habis tu? Terlepaslah peluang Filia untuk bersama-sama dengan Tira di hari bahagia dia?”

“ Bawa bertenang, semua perkara itu telah kanda bereskan,”

“Maksud, kanda?”

Farhan tersengih nakal, “Pejamkan mata dulu,” Filia menurut perintah lalu mata di pejam. Sebaik di buka, hatinya melonjak kegembiraan. Farhan lantas dipeluk, “Terima kasih, kanda.”

Farhan tergeleng kepala. Telatah Filia selepas menjadi isterinya masih sama cuma manjanya lain macam. Filia kini sinar dalam hidupnya. Dia akui, tanpa Filia mungkin hidupnya tiada seri. Kemahuan Filia dipenuhi selagi terdaya. Dia ingin Filia merasakan setiap detik bersamanya adalah membahagiakan.

Tanpa menunggu lagi, Filia terus meluru mendapatkan ibu dan ayah melepaskan rindu yang sekian lama terpendam. “Ibu, ayah selamat ulangtahun yang ke-26.” ucapnya.

Dia melangkah pula mendapatkan Tira. Tidak di sangka jodoh Tira dengan Fikri. Mungkin kerana dalam `projek` mereka ingin menyatukan Filia dan Farhan, tanpa sedar bibit cinta turut berputik antara mereka. Filia tergeleng kepala pabila terkenangkan betapa tidak sebulunya Fikri dan Tira dahulu, siapa sangka kini mereka bakal menjadi suami dan isteri.

Tira memaut mesra bahu Filia, “Kau tengok betapa sayangnya Farhan pada kau Filia, sampai kami di terbangkan ke sini dan di suruhnya pula kami akad nikah di sini. Semuanya gara-gara tak mahu kau kecewa kerana tak dapat menghadirkan diri ke majlis kami,”

Serentak mereka semua ketawa. Filia menahan malu, pada Farhan dijelirkan lidah sedikit tidak menyangka Farhan masih senakal dahulu dalam mengenakan dia. Farhan mengulum senyum. Senyum bahagia. Tiada yang terindah baginya selain menunaikan permintaan insan yang tersayang.

ANGIN MALAM berhembus lembut. Bintang yang bertaburan di langit menambahkan lagi seri keindahan. “Farhan, kau hadir umpama cahaya yang menerangi kegelapan hati ini. Tiada jemu aku mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana mempertemukanku dengan dirimu,” bisik Filia sendiri.

Perutnya yang terkandung zuriat mereka itu, di usap perlahan. “Baby, awaklah permata hati bonda, pengikat kasih antara bonda dan ayahanda. Besar nanti, jadi anak yang soleh dan solehah iya?” bicaranya pada anak dalam kandungan.

Farhan pagut dagu di bahu Filia. Terkejut sebentar Filia dibuatnya. “Kanda, terkejut dinda!!”

Farhan senyum, lalu tangan Filia di genggamnya. “Dah lewat malam ni, tak elok. Angin malam; sejuk, tak baik untuk kesihatan ibu mengandung macam dinda. Jatuh sakit nanti macam mana? Kanda juga yang susah!” bebel Farhan.

Filia pantas menekup mulut Farhan. “Iya, baik!! Filia faham. Dua puluh empat jam berleter saja kan kerja Farhan. Sakitlah telinga ni,”

Farhan piat telinga Filia, “Apa Farhan-Farhan? Panggil beta kanda!!”

Filia tepis kasar, “Tak nak!! Siapa suruh Farhan berleter tak sudah? Filia baru keluar tak sampai seminit pun. Takkanlah asyik nak terperuk saja dalam bilik. Ini tak boleh, itu tak boleh. Habis itu apa yang boleh? Bonda pun taklah membebel macam Farhan.” Tangan di silangkan.

Farhan angkat bendera putih, terpaksa mengalah.

“Farhan mengaku Farhan salah. Maaflah ek? Farhan cuma bimbangkan Filia. Farhan tak nak kejadian yang sama berulang lagi. Filia faham maksud Farhan kan? Filia satu amanah yang perlu Farhan jaga. Kalau terjadi apa-apa pada Filia dan anak kita, jenuh Farhan nak menjawab pada ibu dan ayah Filia, pada ayahanda dan bonda. Tira dan along lagi!!”

Bercakap tentang Redza, dia kini sedang menyambung pelajaran di luar negara. Hanya tinggal setahun sebelum dia tamat pengajian. Dia juga tidak sabar mahu melihat anak buahnya. Farhan pula jikalau ada kesempatan pasti akan menjenguk sahabatnya itu.

Filia terdiam, kemudian terangguk perlahan. Lengan Farhan di pautnya. Farhan mengusap rambut Filia yang separas bahu itu. “Filia bertambah seri dan cantik sejak mengandung ni, Farhan rasa macam Filia ni bidadari yang singgah turun ke bumi pula,” pujinya ikhlas.

Filia cebik kemudian tersenyum nakal. Muka Farhan di telitinya.

“Farhan pula nampak macam seorang pak cik! Berkedut sana dan sini,”

Dahi Filia di jentik perlahan. “Nakal lagi!! Filia sedar tak, Filia tu dah nak jadi mak orang?”

Filia menggetap bibir. “Iya, saya tahu,” balasnya pendek.

Sepi seketika. “Filia,” panggil Farhan. Filia menoleh. Matanya bertanya kenapa?

Farhan senyum sekilas sebelum berkata,

“Farhan sayang dan cintakan Filia buat selamanya. Susah dan senang kita sentiasa bersama iya? Jangan pendamkan perasaan. Luahkan. Farhan sudi mendengar.” ucapnya sambil dagu Filia di cuitnya.

Redup mata Farhan di tatap lama. Seikhlas hati dan cinta Farhan sentiasa mencambahkan rasa kasihnya untuk suaminya itu. Air mata mengalir.

“Farhan, awak dah pun buat yang terbaik untuk Filia. Tiada sesaat pun yang berlalu tanpa Filia rasa bahagia. Terkadang Filia rasa macam Filia terlalu banyak menerima dari memberi.”

Farhan mengesat lembut sisa air mata Filia sambil tersenyum tawar,

“Bukankah tanda cinta kita sedang bernafas dalam rahim Filia? Itupun sudah mencukupi buat Farhan dan juga dengan adanya Filia di samping Farhan.”

“Filia cintakan Farhan.” ucap Filia.

Farhan genggam erat tangan Filia. “Farhan cintakan Filia juga.”

Kemudian sama-sama tersenyum, mata di tala merenung langit malam.

Segala puji bagi-Nya. Terima kasih Allah kerana mempertemukan kami berdua. Sulaman cinta ini, moga berkekalan hingga ke hujung nyawa dan moga di pertemukan semula kami di syurga, di akhirat sana, dengan izin-Mu, pastinya!

Sekian, tamatlah sudah... .

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa