BAB 7

“RIA, kau dengan Nizam tu ada apa-apa ke? Aku selalu nampak korang berdua di kafe. Malah ada juga budak pejabat kita yang terserempak dengan korang di pusat rekreasi.” soal Zana tiba-tiba. Kening Maisara terangkat. Si Rifa pula merenungnya penuh tanda tanya. Rimas Maisara di kepung begitu.

“Mana ada, kebetulan saja tu. Mengenai pusat rekreasi pun sama. Kami terserempak. Itu sahaja!!”

“Cik Riana, jangan nak pusing sana sini. Aku dan Zana dapat hidu sesuatu yang lain sangat. Baik kau cakap.” desak Rifa.

“Betul. Aku dan dia hanya kawan!” Rifa dan Zana tak makan saman. Mereka langsung cebik mulut mendengar ayat basi dari Maisara.

“Lagipun tak munasabahlah kalau aku dan dia ada apa-apa. Langsung tak sesuai. Aku ni tak menarik, gemuk pulak tu. Lainlah korang. Satu hal lagi, korang sendiri pun tahu yang aku masih menunggu seseorang kan?” ujar Maisara tanpa menyedari Nizam ada di belakangnya.

Zana dan Rifa terkumat-kamit memberi isyarat yang Nizam berada di belakangnya, tetapi Maisara tetap Maisara, mulutnya tak henti bercakap. “Korang berdua ni kenapa? Ada hantu ke siang hari ni macam ni? Muka tu apasal macam tapai basi je?”

Rifa garu kepala, dia bersuara perlahan, “Nizam di belakang kau!” Maisara lantas menoleh dan mulutnya ternganga luas, “Hai...” Sebaris senyuman dipaksa menghiasi bibir nipisnya.

Nizam membisu, wajahnya tiada beriak. Fail di tangan di letakkannya atas meja Maisara dan selepas itu dia berlalu pergi. Maisara menundukkan kepala, kesal dengan lidahnya yang terlanjur dalam berkata-kata.

MAISARA kelihatan termenung sendiri di meja restoran itu. Dia sendiri binggung dengan tindakannya tadi. Sepatutnya dia meminta maaf pada Nizam tapi dia sendiri tak tahu di mana salahnya pada lelaki itu. Dia mengeluh. Nizam. Dia baik tapi tidak sesuai untuk dirinya. Mamat. Kawan yang setia menemaninya selama ini, walaupun jauh dirinya tetap di ingati.

Dan tidak lama lagi dia dan Mamat akan bertemu. Dia telah pun berjanji untuk berjunpa dengan Mamat. Entahlah dia sendiri tidak pasti, namun dia tidak dapat membendung lagi. Marahnya pada Mamat di letak ke tepi. Dia mahu berjumpa Mamat. Jadinya, dia tak boleh memberi harapan palsu pada Nizam sementelah dia sedar siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan Nizam yang kacak dan kaya itu.

Tetapi di fikirkan kembali, diri Mamat juga masih samar-samar. Adakah Mamat masih Mamat yang dahulu atau dia telah berubah? Maisara buntu. Adalakanya, dia mengharapkan Nizam itu Mamat. Bukankah Nizam pernah tinggal di Korea? Dia senyum sendiri. Itu hanya sekadar kebetulan. Ini realiti bukannya cerita di dalam novel.

Gambar Mamat yang tersimpan kemas di dalam dompet di keluarkan, di tatapnya lama. Wajah Mamat ketika masih kanak-kanak amat lucu dan comel. Dia senyum lagi. Cintakah ini? Atau ianya hanya bertanda atas rasa kasih dan rindu pada seseorang yang telah lama tidak ketemu. Rasa sayang pada seorang sahabat?

“Mamat, aku rindukan kau.” bisiknya perlahan. Dan entah dari mana dan siapa, kata-katanya di sambut dan di balas lembut, “Aku pun rindukan kau!”

Maisara angkat muka dan ternyata tebakannya tepat. “Hairul Nizam!” Maisara menguntum senyum segaris. “Duduklah.” pelawanya. Nizam angguk lalu menarik kerusi. Maisara pantas menyimpan gambar Mamat ke dalam tas tangan.

Nizam mengerling sambil lalu. Siapa pula budak kecik ni? Macam pernah tengok.“Gambar siapa tu? Anak saudara?” tanya Nizam yang jelas tidak dapat membuang rasa ingin tahunya.

Maisara telan liur. “Hmm...dia kawan lama aku.” beritahunya jujur.

Nizam angguk. “Cinta monyet?”

Maisara diam sesaat sebelum berkata, “Mungkin lebih dari itu,”

Nizam angguk lagi. “Dia di mana sekarang?”

“Ada di sini. Di Malaysia!”

Nizam kemudiannya segera mengerti dan memahami, “Hold on, dialah orangnya kan?”

Maisara serba salah mahu menjawab. Dia membalas pertanyaan Nizam hanya dengan sebuah senyuman.

Sebaik makanan di hidangkan, masing-masing mengunci suara. Hilang dalam diri sendiri. Leka menyuap kentang ke dalam mulut, Maisara tidak menyedari sepasang mata Nizam ralit merenung wajahnya. Maisara...entah kenapa aku rasa selesa sangat berada di sisi kau. Kau umpama matahari, penyinar dalam hidupku.

Sebaik di panggungkan kepala Maisara hampir tersedak. Nizam benar-benar menguji tahap imannya. Mata Nizam seolah tidak berkelip menatap wajahnya. Maisara berdehem kuat. Nizam kembali ke alam realiti. Dia tertunduk malu. Maisara senyum tanpa di pinta. Terasa lucu.

“Ria, kenapa tadi kau cakap macam tu?” Serius Nizam bertanya.

Maisara hampir tersedak. “Cakap apa?”

Nizam langsung berkata, “Kau cakap yang aku tak sesuai untuk kau.”

Maisara berkata selamba, “Memang betul pun kan? Kita berdua mana padan. Kau tinggi, kurus, kacak bergaya. Anak orang berada. Aku pula dahlah rendah, gemuk pulak tu, langsung tak menarik. Boleh pula Rifa dengan Zana pikir yang kita keluar bersama. Memang tak logik.”

Nizam ternyata tidak senang dengan pernyataan Maisara. Perubahan riak wajahnya jelas terpancar. Senyumnya kelat. “Ria, kau memang selalu bercakap ikut sedap mulut saja kan? Tak semua orang berfikiran macam tu. Kenapa kau fikir yang kita tak sesuai? Hanya kerana kau gemuk, aku kurus. Kau kurang menarik, aku bergaya? Begitu standard kau dalam mencari pasangan?

Macam mana dengan lelaki yang kau tunggu selama ini? Kalau dia macam aku, maka kau takkan berhubungan dengan dia lagi? Atau sebenarnya kau yang meletakkan batas dalam perhubungan? Sebab itu kau nak kurus sebelum jumpa dia? Begitu?”

Seakan bergegar ruang itu dengan tempikan Nizam. Maisara tak mampu bersuara. Dia takut kata-katanya akan mengeruhkan lagi suasana. Mata-mata pengunjung mula tertumpu ke arah mereka. Maisara bangun, mahu pergi dari sini, Nizam juga sepantas kilat bangun menyaingi Maisara.

Di parkir kereta, Nizam menghalangi langkah Maisara. “Ria...” jeritnya. Maisara tidak mengendahkannya, pintu kereta pantas di buka. Nizam menahan sekerasnya. “Ria, tunggu. Kenapa dengan kau ni? Apa yang aku cakap semuanya betul. Dan aku takkan minta maaf. Sebaliknya kau yang harus minta maaf kerana kau telah memandang rendah terhadap diri kau sendiri!!”

“Nizam aku rasa kau dah gila. Kau siapa nak masuk campur dalam hal aku? Jangan sebab kau dah tolong aku berdiet, kau boleh nasihat aku itu ini.”

“Ini bukan sekadar nasihat. Aku nak perbetulkan persepsi kau yang dah silap tu. Just that nothing more. Rasanya aku silap, aku ingatkan kau lain. Rupanya kau sama sahaja. Kenapa iya perempuan selalu berfikir yang bila dia gemuk, dia harus cari lelaki gemuk juga? Kenapa mesti meletakkan standard dalam berkawan?”

Maisara mengeluh keras. “Nizam kau sukakan aku?”

Nizam terdiam. “Kenapa kau tanya macam tu?”

“Okey, kalau tidak mengapa kau beriya sangat nak ubah persepsi aku? Dan ini bukan persepsi aku seorang malah berjuta orang. Malah, di pejabat kita sendiri pun. Jangan cakap kau tak tahu yang banyak orang dok mengata pasal kita berdua. Pasal aku yang kononnya tak sedar diri nak bercinta dengan prince charming macam kau?”

“Ria, yang berkawan dengan kau, aku! Bukan mereka. Dia orang tak kenal kau. Biarkan apa mereka cakap. Asalkan kau tahu, kau bukan begitu.” ujarnya lembut.

Maisara geleng kepala, “Kau tahu tak kau ni memang lain dari yang lain?”

Nizam mengulum senyum. “Aku tahu!”

MAMAT merenung pelik tingkah Nizam yang duduk seorang diri di gazebo berhadapan kolam renang. Sesekali di lihat adiknya itu tersenyum dan kemudian ketawa lucu. Betul ke tidak adik kembar aku ni?

Dia akhirnya berjalan menghampiri Nizam. Nizam pula sedikit tersentap dengan kewujudan tetiba abangnya itu. “Nizam, kau ni kenapa? Okey ke tidak? Aku tengok dah macam orang angau. Macam orang sasau pun ada? Kau ingatkan siapa? Entah-entah si budak Ria itu iya?” tekanya.

Dia menjawab laju. “Hishh...mana ada. Aku dengan dia kawan sajalah, along!”

“Kalau begitu, kau senyum ingat kat siapa? Hai, takkan kau rindukan Yuri si peminat fanatik kau kat Korea tu? Rasa janggal iya bila dia tak kacau dan ikut kau?”

“Aduh along ni... ke situ pula. Orang dah mula nak lupakan dia. Along ingatkan balik. Apalah along ni.”

Mamat ketawa galak. Yuri adalah peminat setia ANGIN BAND yang pada mulanya merupakan peminatnya, tetiba beralih arah pada Nizam hanya kerana Nizam pernah menolongnya ketika motosikalnya pancit di tengah jalan. Sejak itu, Yuri sentiasa mengekor ke mana sahaja Nizam pergi. Nizam pula di sebabkan tak sanggup mengecewakan hati si gadis, sabar melayan karenah Yuri.

“Aku rasa Yuri masih setia pada kau. Kau ingat tak lagi, masa kau dah nak berangkat masuk balai pelepasan. Dia pegang kuat-kuat beg sandang kau sampai terkoyak, punyalah tak nak kau pergi. Bertuah kau Nizam. Bukan senang tau nak dapat orang yang sukakan kita sampai macam tu sekali!!”

“Banyaklah kau punya bertuah. Kau tak tahu betapa tersiksanya aku masa tu. Rimas tahu tak. Patutnya dia kejarkan kau. Bukannya aku. Aku bukannya artis.”

“Itulah nasib kau sebagai kembar aku. Diorang tak dapat aku, diorang kejar kau!!” Mamat ketawa lagi.

Nizam cebik. “Gelakkan aku pandai. Kau pula apa cerita, long? Maisara sudi tak nak jumpa kau?” Nizam ubah topik. Seraya itu, Mamat angkat kaki mahu berlalu. Nizam pantas menarik tangan alongnya. “Jangan nak lari, sila jawab soalan aku dulu, long.”

Mamat menyepi. Tiada kata. Nizam menggesa lagi. “Along! Ceritalah!!”

“Penyibuk betullah kau ni. Iyalah aku beritahu.” Akhirnya Mamat menyerah. Dia ceritakan segalanya.

“So, she agree to meet you? Chukahae, hyung ( tahniah, abang)!!” Lantas Mamat di peluk erat. Dia tumpang gembira bagi pihak abang kembarnya itu. Setelah lama memendam rindu akhirnya detik pertemuan itu akan terlakar jua.

“Gomawo.(Terima kasih)” ucap Mamat seraya meleraikan pelukan.

“Hmm...jadi apa persediaan kau, long?” soal Nizam. Dia kelihatan teruja.

Mamat pula kelam tidak memahami. “Persediaan apa?” tanyanya dengan dungu.

Nizam tatap lama wajah Mamat kemudian tertawa kecil. “Along, betullah kau ni lembab. Korang kan dah lama tak berjumpa. Takkan nak berjumpa macam tu sahaja? Kenalah ada kejutan kan? Tambah pula, korang nak berjumpa pada hari yang istimewa, pada hari ulangtahun kelahiran korang yang jatuh pada tarikh yang sama. Jadi, kenalah buat yang gilang-gemilang!!”

Mamat kemudiannya terangguk mengerti. “Oh, kena buat macam tu ke? Manalah aku tahu.”

“Along, sungguh aku rasa kasihan sangat pada Maisara sebab bakal teman lelaki dia ni...lambat pick-up!” perli Nizam selamba. Mamat sedar Nizam sedang permainkan dirinya. Lalu berlakulah aksi tumbuk-menumbuk antara dua adik-beradik yang mesra dan rapat ini.

“Kau nak pergi mana, mari sini.” Mamat mengejar Nizam, namun agak terlewat dia sudah melompat ke dalam kolam. Mamat yang tidak pandai berenang sekadar memerhati dengan perasaan geram yang masih bersisa. Nizam ketawa galak. Kemenangan berpihak padanya.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.