BAB 31

“BUNGA lagi??!” soal Rifa dengan mata bulatnya. Maisara angguk.

“Bertuahnya badan. Sejak kurus ni bukan main banyak peminat kau ya?” Zana mencium bunga yang berada di tangan Maisara. “Kali ni daripada siapa pulak?” Dia lalu menarik sekeping kad. “You make my day with your beautiful smile. From A.” Zana tersenyum panjang. Keningnya terangkat. Maisara buat muka selamba.

Rifa terjerit kecil. Pengirim yang sama. “It’s him again!”

“Jadi?”

“Maknanya dia bukan sekadar peminat. Masuk ni, dah lima kali kot dia hantar bunga kat kau. Seriously, aku rasa dia ni sukakan kau.” ujarnya penuh teruja.

“Jadinya?”

Rifa mengeluh keras. Buat-buat tak faham pulak kawan aku ni. “Kau tak nak siasat ke siapa A ni?”

Hmm... let me see. Memanglah nak. Tapi sekarang ni aku nak sambung kerja. Berlambak lagi kerja aku yang tak habis. Pastu aku nak pergi jumpa klien. Topik tamat.” Maisara tersengih menayang giginya yang putih bersih itu sebelum meletakkan jambangan bunga ros merah di atas meja. Tangannya mula berlari laju di atas papan kekunci komputer.

Rifa dan Zana menahan geram yang tak sudah. “Langsung. Tak. Berubah. Workhaholic. Kalau macam ni, sampai ke tua lah kau tu hidup membujang,” tempelak Rifa. Zana sekadar menggeleng kepala. Maisara Maisara.

“HOI, buta ke apa?” tempik Raina. Darahnya terasa mendidih. Habis patah tongkat motosikalnya. “Woi, mangkuk. Mata kau letak kat mana hah? Tak nampak ke aku tengah undur motor ni,” Raina mengangkat perlahan motosikalnya sambil di bantu oleh lelaki yang telah mencium buntut motosikalnya secara tidak sengaja itu.

“Maaflah, cik adik. Saya tak perasan awak ada kat belakang. Sebab tu saya pun dengan selamba undur kereta saya.” Sumpah. Akal warasnya memang langsung tak nampak ada sesiapa pun tadi. Pelik juga tetiba je minah ni muncul. Nasib baik bukan tengah malam lagi. Kalau tidak maunya dia cabut lari, saat ini juga.

“Maaf! Maaf!! Kalau maaf tu boleh di terima pakai, tak payahlah jumpa polis lagi kan?” jeritnya lantang.

“Po... lis? Cik ni biar betul, pasal hal kecik macam ni pun nak jumpa abang polis ke?”

“Ada aku kisah! Nasib baik aku tak cedera. Tapi apa pun, kau kena bayar aku ganti rugi. Tongkat moto dah patah, moto aku pulak badan dah kemik, jadi...”

“Yalah,” rengusnya kasar. Dia lalu mengeluarkan dompet. Not lima puluh di berikan pada Raina.

Raina pandang lelaki ini tak berkelip. Lima puluh je? Kereta bukan main mewah. Kejap. Tadi cahaya lampu agak samar-samar jadi dia tak berapa nak perasan, namun bila ada kereta lalu dan cahaya lampu terkena ke arah mereka. Dia terus tertelan liur, pahit rasanya. Adus, tak ada orang lain ke? Kenapa dia ni pulak?

“Awak ni dari tadi, asyik pakai helmet kenapa? Tak panas ke?” Pelik juga Nizam di buatnya. Dahlah cermin helmet dia gelap. Tak panas ke kepala tu cik adik oi.

“Err... tak.”

Dengan selamba, Nizam membuka cermin helmet si gadis. Raina tak sempat menghalang.

“Kau!!!!” tempik Nizam kuat.

“Err...hai, jumpa lagi kita!”

Nizam terus mencekak pinggang menahan amarah. Telinga Raina tiba-tiba terdengar-dengar suara Kak Mainya yang mengatakan Nizam tak ubah seperti raksasa kalau mengamuk. Matilah aku!!

“Sebab tu aku rasa macam kenal je suara ni. Rupanya kau ya,”

“Aku rasa... tak payahlah kita nak panjang-panjangkan isu ni, lagipun memang jelas kau yang salah, terlanggar motor aku kan? Kan?” Raina mengerdipkan mata meminta simpati.

Nizam tak makan saman. “Hmm... betul itu yang kau rasa? Tapi aku pulak rasa, kau memang sengaja biar moto kau kena langgar dengan kereta aku. Bak balik duit lima puluh aku!”

“Woi, apa masalah kau hah? Dah bagi mana boleh minta balik. Buruk sikulah,ngok!”

“Ngok? Kurang asam punya perempuan. Ngok kau panggil aku?”

Raina terkekeh ketawa. “Memang padan pun dengan kau.” Suis moto terus di hidupkan. Sekejapan dia dah berada di atas motosikalnya. “Dahlah, bye. Semoga berjumpa lagi.” jeritnya.

Nizam yang tinggal seorang diri di situ menahan rasa yang tak berkesudahan. Raina... Ria... . Sungguh berbeza yang amat sangat. Raina menyakitkan hati. Ria pula... menyenangkan hatinya. Walaupun Ria kadangkala agak kasar dengannya tetap ada juga kelembutannya. Tapi adik dia yang sorang ni, harap muka sahaja sama, perangai mengalahkan jantan.

“WOW. Nampak gayanya tak lama lagi, penuhlah bilik ni dengan bunga.” usik Raina sebelum melabuh duduk atas katil dan memeluk bantal peluk Maisara. Sejambak bunga yang terletak di meja kecil di ambil dan di cium keharumannya.

Sejak kakaknya ini kurus, bukan main banyak peminat dia. Hmm... ini semua jasa Nizam. Dia yang banyak membantu Kak Mai. Raina terbatuk kecil. Ceh, apahal pulak aku dok teringat mamat dinosaur tu.

Maisara tenung adiknya pelik. Batuk pulak dia. Sejak bila Raina ada alahan kat bunga ni? “Sibuklah kau. Yang kau ni pergi mana? Dah nak pukul 11 baru balik.”

Raina menjulingkan matanya. “Waktu curfew kita kan pukul 11. Kira okeylah tu, aku balik lima minit lagi pukul 11 malam,”

“Nasib malam ni, mood ayah dengan ibu tengah baik. Kalau tak, siaplah kau,”

“Mood baik? Kenapa? Ada berita baik ke? Kau dengan Azam nak kahwin??”

Spontan dia baling terus bantal tepat mengena muka Raina. “Kau tu yang kena kahwin dulu. Barulah reti duduk rumah, ni tidak, merayau sana sini. Biar laki kau ikat kau sikit,”

“Ada aku kisah. Selagi aku tak jumpa lelaki yang boleh buat jantung aku ni berdebar-debar balik macam dulu, hati aku ni teringat kat dia siang dan malam. Aku takkan berkahwin.”

Dia merenung dalam wajah Raina. Sinar mata itu... . Rindunya pada Razif masih menebal. “Raina. Sampai bila?” keluhnya keras.

Raina cepat-cepat ubah topik. Kalau boleh dia tak mahu Maisara mengungkit lagi kisahnya dengan Razif. “Maisara. Awak tu pun sama? Sampai bila nak biar hubungan teman tapi mesra awak dengan Azam berpanjangan.... huh?!”

Maisara memeluk tubuh. “Kau memang pandai nak mengelat ya?”

“Kata orang. Dia pun sama. Dua kali lima.” Raina menjelirkan lidah sedikit sebelum merebahkan badan.

“Raina.” Dia pura-pura tidur. Panggilan Maisara tak di pedulikannya.

Akhirnya Maisara turut membaringkan badan di sebelah Raina. Mata di pejam rapat. Seingatnya, jarang sekali Raina tidur sekali dengannya sejak masing-masing dah dewasa ni. Ikut perkiraannya, ini kali ke-2; sejak dia jatuh cinta dengan Razif, dua tahun lepas.

“Raina. Siapa yang buat kau tak boleh tidur ni? Baik kau cakap cepat!!”

“Huh? Apa yang kau mengarut malam-malam ni?” gumamnya perlahan. “Salahkah aku nak tidur sekali dengan kau?” rengeknya manja, memeluk kakak kesayangannya.

Maisara terus bangun. “Siapa lelaki bertuah tu?”

“Aku mengantuk sangat-sangat. Jomlah tidur,”

Serentak dengan itu, telefon Maisara berbunyi. “Salam, Ria. Raina ada dengan kau?” Maisara terpaku. Mak ai, dinginnya suara kawan aku ni. “Apa masalah adik aku dengan kau?”

“Aku ada perhitungan dengan dia. Dahlah bagi ajelah, telefon kau kat dia,” nada Nizam masih dingin.

Maisara garu kepala. “Yalah.” Hmm...angin tak ada, ribut tak ada. Kenapa aku rasa macam taufan akan melanda? Jangan puting beliung sudah. “Ada orang nak cakap dengan kau,”

Raina bertanya. “Siapa?” Maisara angkat bahu. Pura-pura tak tahu.

Mendengarkan suara lelaki yang di panggil dinosaur itu menerjah dinding telinganya, mata Raina terbuka luas. Maisara yang merenung tajam ke arahnya di pandang sekilas. Dia cepat-cepat bangun menuju ke arah sofa di tepi beranda.

“Kau nak apa lagi?” tanyanya separuh berbisik.

“Hmm... soalan yang menarik. Aku nak kau bagi balik duit lima puluh ringgit aku esok pagi!!”

“Hah? Sebab tu je, kau telefon aku tengah malam buta ni? Gila ke apa?” bisiknya perlahan, bimbang jika Maisara terdengar perbualannya dengan Nizam.

“Sapa suruh kau cabut macam tu je tadi. Salah sendirilah kan?”

“Argh... apa-apalah. Yalah, esok kita jumpa.”

“Betul ni?”

“Betullah! Hishh, mengacau betul, orang nak tidur ni, mata ni rasa berat gila, nak bukak pun dah tak larat dah...,” rengeknya manja tanpa sedar. Sungguh, dia tersangatlah mengantuk.

Nizam tertawa kecil. Dasar anak bongsu. Manja gila suara dia. “Pergilah tidur. Kesian pulak aku tengok. Jangan mungkir janji. Esok, kita jumpa okey?” bicara Nizam lembut. “Sweet dream!”

Raina sekadar mengangguk, dia bagaikan tak terdengar lagi suara Nizam. Akhirnya dia terlelap dengan telefon masih terlekap di telinga. Dengkuran kecil, kedengaran. Nizam di sebelah talian sana terkukik ketawa.

KEESOKAN PAGINYA, “Teman aku sarapan, jom!” ajak Nizam tiba-tiba.

“Huh?” Raina pandang Nizam semacam. Keningnya berkerut seribu. Betul ke tidak lelaki di depannya ini?

Sangkanya Nizam mengajak berjumpa di taman pagi-pagi ni sekadar untuk memulangkan not lima puluh tapi mana tahu rupa-rupanya ada agenda tersembunyi. Dia sukakan aku ke? Tapi macam tak kena gaya pula rasanya... .

“Teman aku pergi makan sarapan!”

“Apa dia?”

“Aku tak rasa telinga kau ada masalah pendengaran kan? Dahlah, jom cepat,aku dah lapar ni,”

“Dah tu, apa masalahnya? Pergilah makan sorang-sorang. Nak berteman apakehal pulak? Dahlah, aku nak balik, tak ada masa nak layan kau. Balik tidur lagi baiklah,” Raina dah pun memanjangkan langkahnya.

“Amboi, sombongnya.” gumam Nizam.

Raina berpatah balik. “Kau cakap aku apa? Sombong?”

Nizam angguk laju dalam senyuman. “Aku kan kawan baik kakak kau. Tapi kau buat aku macam orang asing. Macam tak kenal. Aku ajak kau pergi makan aje pun, itu pun kau tak nak. Nampak sangat kau ni sombong,”

Raina panas. Sangat panas. Rasa mendidih aje dalam hati saat ini. “Semalam kau telefon aku tengah malam, kacau aku tengah sedap melayan mimpi. Pastu, dahlah pagi-pagi ni lepas Subuh tak menyempat-nyempat kau telefon aku suruh datang taman ni. Dan sekarang dengan selamba kau cakap aku sombong?

Encik Hairul Nizam, kalau saya ni sombong saya takkan datang jumpa dengan awaklah. One more thing, sebab saya tahu awak ni kawan baik kakak sayalah, saya sabar aje. Tapi nampak gayanya saya dah terlebih bagi muka kat awak.” tempelaknya.

Nizam menarik topinya ke belakang. “Ria, betullah apa yang kau cakap. Adik kau ni memang lain macam. Usik sikit je, angin satu badan,”

Ria dan Azam tiba-tiba memunculkan diri dengan senyuman tak lekang di bibir. Raina tercenggang. “Apa benda semua ni?” Silih berganti di pandang muka mereka bertiga.

My lovely sis, I’m so sorry! Kita orang sebenarnya saja je, nak kacau kau pagi-pagi ni. Btw, Nizam dah ceritakan apa yang berlaku malam semalam. Sebab tu kau balik lambat kan?”

“Korang memang ada dekat sini dari tadi lagilah?” soalnya.

Maisara dan Azam angguk. “Kami bertiga datang berjoging, lepas Subuh tadi,”

Kakak kembarnya di tenung tajam. “Bila masa kau keluar? Aku tak perasan pun.”

Maisara sengih. “It’s magic.”

“Korang kenakan akulah ni ya? Takpa hari ni hari aku, esok lusa korang tunggulah,” ugutnya sambil menggengam penumbuk.

Nizam mengangkat kedua belah tangannya. “Raina, so sorry. Aku tak bersalah. Ini rancangan kak long kau.”

Raina cebik mulut. “Tapi kau tetap terlibat sama kan?”

Azam cepat-cepat memotong. “Jom kita pi pekena, roti canai satu. Nizam yang belanja... amacam okey?” katanya sambil memeluk bahu Nizam.

“Eh, apasal pulak aku?” bentak Nizam tak berpuas hati.

“Dah, jangan nak banyak bunyi, ini arahan dari abang long, kau ikut je.”

“Banyaklah kau punya abang long, beza berapa minit je pun,”

Maisara gelak. “Kau dengan Raina memang boleh kawanlah aku rasa. Dia pun selalu cakap benda yang sama.”

“Aku dengan dia ni? No never!!” jawab Nizam dan Raina serentak

Azam dan Maisara balun ketawa. “Wow, what a chemistry!”

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.