BAB 20

NIZAM melirik sedikit matanya ke arah meja Maisara. Hampa. Usahkan orang, bayangnya pun tiada. Dalam dia masih berkira-kira mahu menelefon Maisara, terdengar suara Rifa bercakap-cakap dengan seseorang melalui telefon. Gerak hatinya kuat mengatakan itu adalah Maisara. Sebaik Rifa mematikan talian, sepantas kilat dia datang menghampiri, Rifa yang terkejut dengan kemunculan Nizam, menggosok perlahan dadanya. Cemberut di muka Rifa langsung tidak Nizam hiraukan, yang penting padanya adalah Maisara. Hampir 3 hari Maisara tidak hadir berkerja. Nizam jadi resah manalah tahu sekiranya Maisara terus meletakkan jawatan.

“Rifa, Ria masuk kerja tak hari ini?”

Rifa menentang mata Nizam tajam. “Boleh kau bagi aku satu sebab kenapa aku perlu beritahu kau?” soalnya dingin.

Nizam kerut dahi. Apahal pula minah ni? Macam nak terkam aku saja lagaknya. “Rifa, aku takda masa nak bagi sebab pada kau. Beritahu sajalah. Ria masuk atau tidak?”

Rifa tidak menjawab. Tetap bertegas selagi Nizam tidak memberikan jawapan. Walhal, sebenarnya dia sengaja. Sengaja mahu Nizam berteka teki. Maisara masih lagi bercuti. Semuanya kerana kejadian beberapa hari yang lalu. Rifa tahu itu. Maisara telah menceritakan segalanya. Berkenaan hal Azam dan penyamaran Nizam sebagai Mamat.

“Rifa, aku tahu yang telefon tadi tu, Ria kan?”

“Ya, memang dia.”

“Dia masuk kerja tak?”

Rifa senyum penuh sinis. “Nizam, aku rasa lebih baik kau balik ke tempat kau, sambung buat kerja. Itu lebih baik daripada menjaga tepi kain orang lain.” katanya selamba tanpa memandang wajah Nizam.

Nizam menghela nafas. “Rifa, aku hanya nak tahu dia masuk atau tak, itu sahaja!! Aku tak rasa aku jaga tepi kain orang lain. Ria, kawan baik aku.” Suaranya sedikit meninggi.

“Memang dia kawan baik kau. Tapi kau jangan lupa, dia juga kawan baik aku! Aku takkan berdiam diri kalau dia terluka hatta sedikit pun!! Kau faham tu?”

Muka Nizam berubah riak. Dahinya berkerut seribu. “Kau cakap apa ni?”

“Aku rasa kau jauh lebih faham kan? Cukuplah. Pergi sambung kerja kau.” ujarnya tanpa memandang wajah Nizam.

Dahi Nizam berkerut seribu. Rifa tahu apa yang terjadi ke? “Dia ke mana?” tanya Nizam yang tidak dapat menyembunyikan rasa ingin tahunya itu.

Rifa angkat bahu. “Dia tak cakaplah pula.” beritahunya acuh tak acuh.

Nizam tersenyum tawar, mengerti. “Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih.”

Sebaik Nizam berlalu, Rifa menggeleng kepala. Kenapa begini jadinya? Pertemuan yang sepatutnya indah bagi Ria menjadi memori yang pahit pula. Hidup ini memang suatu perjalanan yang panjang yang tidak kita ketahui di mana penghujungnya? Anehnya pula, bila ia tiba di depan mata, kita jadi sangsi, adakah bahagia itu milik kita?

ENTAH ke-berapa kali dia menukar siaran televisyen, dia sendiri tak pasti. Sesekali dia mengeluh. Tiada rancangan atau drama di t.v. yang dapat menarik minatnya untuk menonton. Apa yang ada adalah... dia hanya sekadar merenung kosong kaca t.v. Fikirannya mula menerawang entah ke mana.

Tanpa Maisara sedari, ibunya, Puan Arisa telahpun mengambil tempat, di sebelahnya. “Eh, ibu?! Bila masa ibu ada sebelah ni? Mai tak perasan pun?”

Puan Arisa menggeleng dalam senyuman. “Erm... dalam 5 minit? Kamu tu termenung jauh, sampai nak tembus t.v., memanglah tak perasan. Fikirkan apa? Teman lelaki? Mai bergaduh dengan dia? Ataupun dia dah lukakan hati anak kesayangan ibu ni?” tanya Puan Arisa berserkap jarang. Tangannya lembut menggosok bahu Maisara.

Maisara diam. Berfikir ayat yang bersesuaian untuk soalan ibunya. Namun, akhirnya yang keluar tetap cliche’. “Tak adalah. Teman lelaki pun tak ada. Mai fikirkan hal kerja je. Merungsingkan sungguh. Sebab tu, Mai ambik cuti 3 hari! Nak hilangkan tekanan.” Jawabnya mendatar tanpa memandang wajah ibunya.

Puan Arisa menarik nafas panjang. “Mai, kalau betul kamu nak hilangkan tekanan, kamu akan pergi ke pantai! Itu tempat kegemaran kamu kan? Tapi... kali ini ibu nampak kamu lain sangat!”

Kebisuan Maisara membuktikan yang dia tak salah. Anaknya ini memang ada masalah, tapi degil mahu berkongsi dengannya. Dia kenal anaknya, sekalipun masalah itu besar, pasti dia akan kendalinya dengan baik. Seringkali, tekanannya banyak berpunca daripada hal kerja tetapi kali ini dia sendiri kurang pasti apa penyebabnya.

Maisara tergagap-gagap mengatur kata. “Taklah ibu. Ibu terlebih fikir ni. Sengaja Mai tak ke pantai sebab cuaca kan kurang elok. Nak hujan!”

Puan Arisa angguk. “Iya... tapi itu 2 hari lepas. Kelmarin dan hari ini tak!! Apa sebenarnya ni? Apa masalah kamu? Pertama kali, ibu nampak kamu macam hilang arah. Macam putus cinta pun ada.Tell me, what’s going on?!”

Maisara menggaru kepala yang tak gatal. “Beginilah! Ibu jangan bimbang okey? Semuanya masih di dalam kawalan!” ujarnya tegas dalam lembut agar Puan Arisa berhenti mengasaknya.

Puan Arisa angguk mengerti. Maisara menarik nafas penuh kelegaan. Soal siasat tamat! Seketika kemudian ibunya tersenyum. “Hmm... daripada kamu terperuk kat rumah tak buat apa-apa ni, apa kata kamu temankan ibu ke rumah kawan lama ibu? Boleh?”

Maisara lantas menggangguk. “Boleh juga. Kat mana rumah dia ibu?”

“Taman Mewah.”

Maisara angguk. Macam pernah ku dengar tapi di mana iya?

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam rumah ini, matanya terpaku kagum. Seolah-olah dirinya berada di dalam taman istana. Penuh dengan bunga-bungaaan di sekitar halaman rumah. Indahnya pemandangan. Tenang jiwa dengan suasana yang sebegini rupa. Air terjun buatan di sisi kolam ikan amat menarik minatnya. Di tambah pula ada jambatan kecil di tengahnya. Sungguh! Cantik sangat! Puji Maisara dalam diam.

Tepukan di bahu mematikan kelekaaan Maisara memerhati persekitaran di rumah ini. Dia langsung menoleh ke arah ibu Puan Arisa yang tergeleng kepala melihat tingkah lakunya itu.

“Ibu tahulah kamu tu interior designer, tapi jangan sampai terleka sangat. Nanti apa kata kawan ibu kalau dia nampak kamu dok asyik perhati rumah dia.”

Maisara sengih menutupi rasa malu yang bertamu. “Maaf, ibu. Tak boleh nak elak. Lagipun memang cantik sangat hiasan rumah ini. Umpama berada dalam taman.” bisiknya perlahan.

Puan Arisa geleng kepala. “Sudah-sudahlah tu. Itu kawan ibu dah datang sini. Jaga mata kamu jangan nak meninjau merata lagi. Faham?” pesan ibunya perlahan.

Maisara kemudiannya diam tanpa suara. Patuh pada pesan ibunya. Namun, sebaik sahaja kawan ibunya datang dan duduk berhadapan dengan mereka. Mata Maisara tak berkelip. Wajah mak cik ini persis ibu Azam dan Nizam. Walau bertahun tak bersua, wajah kecil molek Puan Husna masih segar dalam ingatan. Dia amat yakin ini memang Puan Husna. Maisara menoleh memandang ibunya. Puan Arisa tersenyum, tanda mengiyakan apa yang terlintas di fikiran Maisara.

Maisara jadi kalut, gelisah mula bertandang. “Jadinya, kawan lama ibu ialah Mak Cik Husna?” tanyanya separuh berbisik.

Puan Arisa angguk. “Ingatkan kamu dah lupa wajah Mak Cik Husna. Ibu sahaja tak nak beritahu. Cadang nak buat kejutan tapi nampaknya ingatan kamu kuat.”

Maisara cuba memaniskan senyuman apabila bersalaman dengan Puan Husna. Maknanya sekarang aku berada di dalam rumah Azam dan Nizam? Alamak mampuslah aku macam ni. Nak elak tapi tetap berjumpa. Alahai... nasib kaulah Mai. Kalau terjumpa dengan diorang apa patut aku buat? Takkan nak larikan diri? Nanti apa kata ibu aku dan Mak Cik Husna.

Ketika dia sedang asyik berfikir, Puan Husna telahpun memeluknya erat. “Syukur. Dapat juga mak cik jumpa kamu. Dah lain kamu sekarang, semakin comel dan cantik.” Pujinya sambil meleraikan pelukan. Tangannya kemudian erat menggenggam tangan Maisara.

Maisara berasa agak kekok dan malu. Reaksinya beku. Akhirnya yang keluar dari mulut tak selari dengan apa yang terlintas di hati. “Cantik rumah mak cik, siapa yang hias? Mak cik upah designer ke?”

Kata-kata Maisara mengundang tawa Puan Husna. Puan Arisa hanya mampu tersenyum mengenangkan sikap anak tunggalnya yang agak cemerkap ini.

Maisara yang sedar akan kesilapannya turut ketawa. “Maaf, mak cik. Saya bukannya apa, saya hanya nak tahu,” ujarnya sekadar memberi alasan.

Walhal, gemuruhnya sudah sampai ke tahap maksimum. Bimbang sekiranya Azam dan Nizam tiba-tiba muncul. Bagaimana harus dia berhadapan dengan mereka? Dalam diam sempat lagi dia menjeling dari hujung mata jikalau timbulnya kelibat Azam atau Nizam. Tiada bayang mereka. Dia menarik nafas lega. Not today, please not today!!

“Nizam. Dia yang hias rumah ni.” beritahu Puan Husna dalam senyuman.

Puan Arisa termanggu. “Nizam? Bukannya anak awak namanya Mamat?”

Puan Husna lalu menceritakan segalanya. Bagaimana dan kenapa Nizam bukan dalam jagaan mereka tika itu. Sedang rancak Puan Husna bercerita, Azam muncul entah dari mana.

Perlahan-lahan dia menolak kerusi roda mendekati ibunya. Maisara yang menyedari kehadiran Azam cepat-cepat menundukkan kepalanya. Azam menolak sedikit kerusinya untuk bersalaman dengan Puan Arisa. Sebaik sahaja Azam jauh sedikit darinya, barulah Maisara mengangkat kepalanya. Azam tersenyum pahit. Faham akan sikap Maisara yang enggan menatap wajahnya.

“Sebenarnya bukan ibu berniat nak rahsiakan dari kamu. Ibu pun baru dapat tahu itupun sebab kebetulan terjumpa dengan Mak Cik Husna kamu masa melawat Pak Leman di hospital tempoh hari.” beritahu ibunya tanpa di pinta. Puan Arisa memandangnya pelik. “Tapi... hairan ibu. Kamu tak nampak macam terkejut pun?”

Azam memintas, “Sebenarnya mak cik, saya dan Mai dah lama pun berjumpa. Kami hanya tunggu masa yang sesuai untuk beritahu semua ini, tak sangka pula saya boleh kemalangan dan Mak Cik Arisa pula kebetulan jumpa ibu saya di hospital. Semua ini memang tak terjangka, kan Mai?”

Maisara angguk. Seulas senyuman terhias pudar di bibirnya. Puan Husna menyampuk. “Tapi... kenapa ibu tak pernah nampak Mai datang melawat kamu?”

Azam menjawab dengan tenang, “Dia datang lepas habis kerja. Masa tu kan ibu dah balik jadi memanglah tak berjumpa.”

Puan Husna angguk tanda mengerti.

Maisara bersuara perlahan setelah sekian lama membisu. “Saya minta maaf, sebab tak datang melawat mak cik. Niat tu memang ada, tapi tak berkesempatan sebab sibuk sangat dengan kerja.”

“Takpa mak cik faham, mesti Mamat yang sogok kamu, nak buat kejutanlah ni kononnya, tengoklah sekarang apa dah jadi.”

“Ibu sebelahkan Mai? Saya anak ibu atau Mai anak ibu ni?” ujar Azam pura-pura merajuk.

“Mai bakal menantu ibu, salahkah kalau ibu menangkan dia?”

Mereka yang lain rancak ketawa. Berlainan dengan Maisara dia tergamam. Beku. Menantu? Lawak apa pula ni?

Azam yang menyedari kekekokan Maisara lantas berkata kepada ibunya, “Ibu, mak cik, saya dengan Mai ada hal sikit nak sembang, kami minta diri dulu iya?” beritahunya sopan. Mereka berdua mengangguk. “Pergilah, ibu pun nak tunjukkan rumah kita pada Mak Cik Arisa.” kata Puan Husna.

Tanpa banyak soal, Maisara terus sahaja bangun dan menolak perlahan kerusi roda Azam.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.