Bab 3

Pintu rumah ditutup. Badan yang jelas keletihan dihempas ke atas sofa. Kepala disandarkan sambil matanya tertutup. Penat dengan rutin harian yang kadang-kala memusingkan kepalanya. Belum lagi dengan tekanan menghadapi pelanggan yang banyak karenah. Belum lagi dengan pekerja-pekerja lain yang berbagai-bagai ragamnya. Manusia. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Itulah namanya kehidupan.

Lampu rumah dibiarkan tidak dibuka. Moga-moga badan dapat beristirahat sebentar dalam kegelapan itu. Kaki lenguh. Terasa mahu tidur saat itu juga. Namun, memikirkan yang tekaknya yang kehausan dan perut yang tidak berisi sejak dari tengah hari tadi, dia membatalkan hasratnya itu.

Rehatnya terganggu apabila lampu ruang tamu tempat dia duduki sekarang ini terbuka secara tiba-tiba. Matanya lantas dibuka untuk melihat gerangan yang membuka lampu tersebut walaupun dia sudah tahu siapa punya badan. Dahi berkerut-kerut menahan sinar lampu yang menjamah mata sedikit demi sedikit.

Wajah Amira yang berbaju tidur itu menyapa retina. Wajah itu masih lagi kelihatan manis walaupun tanpa secalit alat solek. Wanita itu masih kelihatan cantik walau hanya berbaju tidur satin berwarna merah gelap.

Amira kini sudah menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Syafiq genap selama dua tahun. Terasa dialah lelaki yang paling bertuah di dunia kerana telah memperisterikan wanita itu. Perkenalan yang bermula di sebuah butik di kota London diteruskan dengan jalinan persahabatan yang utuh. Teringat pula dia waktu dia mengajak Amira menjadi teman semasa majlis makan malam yang diadakan lusanya.

Pada mulanya, perempuan itu agak segan. Yalah, orang yang baru dikenali secara tiba-tiba mengajaknya keluar makan malam. Jika dibuatnya Syafiq itu pembunuh bersiri, memang berbahaya untuk sesiapa yang bakal menjadi mangsa.

Beberapa saat berfikir, Amira terus bersetuju. Memang tidak sangka dia apabila mendengarkan jawapan wanita itu.

Malam itu memang dia tampil segak dengan tuksedo hitam yang dipadankan dengan kemeja putih bersama bow tie. Sejujurnya dia tidak pernah berpakaian begitu. Jika pinjam baju Akief sekalipun dia masih lagi kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun malam itu berlainan sekali. Walaupun ramai yang berpakaian segak, tetapi dirinya yang jarang-jarang bergaya itulah yang menjadi perhatian. Ditambah lagi dengan kehadiran gadis cantik bagaikan Rachel Weisz menjadi penyebab utama dia dilihat dengan penuh tanda tanya.

Malam itu terasa sungguh bermakna sekali. Syafiq dan Amira langsung tidak berasa kekok walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain. Bermacam-macam cerita yang terkeluar daripada mulut masing-masing. Pelbagai soalan juga yang menyapa telinga, lebih-lebih lagi pendengaran Syafiq. Ramai yang bertanya siapakah gerangan perempuan yang berada di samping dirinya. Kebiasaannya, kawan-kawannya akan membawa rakan perempuan satu fakulti tetapi berbeza pula dengan Syafiq. Entah dari mana dia kenal minah saleh tu. Tidak pasal-pasal dia muncul pada malam itu.

Persahabatan yang terjalin tidak berapa lama itu telah menimbulkan rasa cinta langsung diikat dengan pernikahan. Pada mulanya bahagia meniti perkahwinan Syafiq dan Amira. Namun terasa hambar lama-kelamaannya.

Syafiq sibuk mengurus kereta yang ada. Belum lagi dengan bengkel miliknya yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Muka Syafiq baru terpampang di depan mata apabila malam menjelma tiba.

Amira pula penuh dengan permintaan rekaan baju. Kadang-kadang artis dan orang kenamaan juga menempah dengannya. Kalaulah mereka yang bernama manusia itu hanya satu ragamnya memang dia langsung tidak kisah. Ini tidak. Masing-masing punya sikap yang hanya TUHAN sahaja yang tahu. Ada sahaja yang tidak kena.

Waktu masing-masing yang penuh dengan jadual padat telah menyebabkan Syafiq dan Amira tidak punya masa untuk menyemai baja cinta dalam perkahwinan yang terbina tidaklah terlalu lama itu. Masing-masing terasa diri diabaikan. Seorang terasa sunyi. Seorang terasa sepi.

“Awak pergi mana, Syafiq?” soal Amira. Kedengaran hambar sahaja bunyinya pada gegendang telinga si suami. Senyuman lelaki itu langsung tidak dibalas.

Syafiq mengeluh. Dia tahu Amira bakal menyoal dirinya dengan bermacam-macam soalan. Soalan yang sama semenjak dua tahun yang lalu.

“Awak macam tak tahu, Amira. Saya pergi kerjalah. Saya baru balik ni. Takkan tak nampak,” balas Syafiq.

“Kenapa balik lambat sangat? Awak ada singgah mana-mana ke?” tanya Amira lagi.

“Tak ada pun. Lepas selesaikan urusan servis kereta customer tadi saya pergi bengkel kejap. Nak tengok macam mana budak-budak tu buat kerja. Nak tahu kalau ada apa-apa yang dia orang perlukan,” jelas Syafiq panjang lebar. Dia tidak mahu ada rasa keraguan yang timbul di hati sang isteri.

“Amboi, budak-budak bengkel tu boleh pulak nak tanya macam mana kerja semua tu. Boleh lagi tanya apa yang dia orang nak. Isteri sendiri tak boleh pulak nak layan macam tu,” cebik Amira. Perlahan tetapi masih jelas kedengaran di deria pendengaran Syafiq.

“Awak ni kenapa?”

“Awak jangan nak tipu sayalah.” Amira mula geram dengan sikap Syafiq. Selalu sahaja berdalih. Padahal memang terpampang lelaki itu telah membuat kesilapan.

Syafiq berkerut. Apa lagi kebenaran yang mahu dinyatakan padahal dia sudah menyatakan apa yang benar.

“Apa yang saya nak tipukan pulak? Betullah apa yang saya cakap ni,” ujar Syafiq mempertahankan kata-katanya.

“Baik awak beritahu saya betul-betul. Awak pergi mana hah?”

“Amira, apa yang awak cakap ni? Saya dah bagi tahu awak tadi saya pergi bengkel sebelum saya balik rumah. Apa yang awak tak percayakan lagi ni?”

Amira mengherotkan bibir. Susah betul dia mahu mempercayai kata-kata Syafiq.

Kedua-dua tangannya disilangkan lalu berkata, “Awak jangan fikir saya tak tahu, Syafiq. Saya tahu apa yang awak buat kat luar tu.”

Of courselah awak tahu. Awak tahu yang saya bekerja kan?”

Amira menjegilkan mata. Terasa bengang dengan si suami yang bermain loyar buruk dengan dirinya.

“Awak jangan nak main-main boleh tak? Saya tahu awak dah tipu saya. Awak bohong saya hidup-hidup!”

Syafiq yang sedari tadi duduk di atas sofa kini berdiri menghadap Amira.

“Apa yang awak merepek ni, Amira?”

Kakinya melangkah menghampiri isterinya yang jelas marah dengan dirinya. Atas sebab apa dia sendiri tidak tahu. Pandangannya tertunduk melihat isteri yang pula mendongak sambil menjegil.

“I’ll ask you one more time, Syafiq. Where did you go?” soal Amira kembali.

Syafiq mengeluh. Sudah penat dia dengan permainan Amira yang ternyata mengarut tatkala itu.

“I’m not going through with this again, Amira. I already told you, didn’t I?”

Amira yang masih lagi tidak berpuas hati melangkah lalu menghampiri meja makan yang terletak berhampiran. Terdapat beberapa kertas yang bersepah di atasnya. Beberapa daripadanya yang telah diremuk. Beberapa lagi cantik dengan lukisan design bajunya yang akan diperagakan oleh model terkemuka negara.

Apa yang menarik perhatian Amira bukanlah lukisan-lukisan miliknya tetapi sehelai sampul surat berwarna coklat yang kelihatan berisi. Apa isinya, hanya Amira yang tahu. Dia mahu menunjukkan siapakah gerangan suaminya selama ini. Belang suami yang telah tersembunyi daripada pengetahuannya.

Sampul surat tersebut diambil lalu dicampakkan di depan mata Syafiq. Biarpun terasa kurang ajar dengan si suami tetapi biarkan! Dia rasa puas hati dapat melihat wajah lelaki yang telah menipunya hidup-hidup selama ini.

Terhambur beberapa keping gambar yang kini bertaburan di atas lantai. Syafiq melemparkan pandangan ke arah gambar-gambar itu lalu mengutipnya satu demi satu.

Syafiq terbeliak. Kesemua gambar yang direnungnya satu per satu terlihat jelas gambar dirinya. Bukan sahaja gambar dirinya bahkan gambar seorang perempuan yang bersama-sama dengannya di salah sebuah restoran di bandar itu.

Perempuan yang tidak dikenali Amira itu ranggi sekali dengan pakaian menjolok mata yang jelas lagi bersuluh mahu menggoda suaminya. Si suami pula langsung tidak mahu mempertahankan diri untuk menceritakan hal sebenar. Jadi apa yang ada di fikiran hanyalah Syafiq membohonginya selama ini. Dikatanya bekerja tetapi keluar berduaan dengan perempuan lain.

Huh! Dasar lelaki!

“Siapa perempuan tu?” jerkah Amira.

Syafiq tahu apa yang ada di fikiran isterinya waktu itu. Sudah semestinya Amira berasa kecewa, marah dan bermcam-macam lagi perasaan yang berkecamuk di hati. Aduhai, Amira! Kenapa kau tak percayakan aku?

“Dia client saya.” Pertanyaan Amira cuba dijawab sebaik mungkin. Dia hanya mahu berlembut dengan Amira. Dia tidak ingin memburukkan lagi keadaan.

“Dah banyak kali saya bagi peluang kat awak tapi awak tetap tak nak bagi tahu perkara sebenar?”

Amira, listen to me. You have to trust me.” Bahu isterinya dipegang. Dia ingin meminjam telinga dan akal waras wanita itu buat sementara waktu. “That woman in these pictures of yours is nothing more than just one of my clients. Nama dia Seri. Dia datang jumpa saya sebab nak tanya pasal kereta yang dia servis hari tu. Kereta yang dia servis tiba-tiba ada masalah. Jadi dia datanglah jumpa saya.”

Amira bingkas menepis tangan Syafiq.

“Sudahlah, Syafiq!” tengking Amira. “Saya ingat awak sayangkan saya selama ni! Rupa-rupanya awak ni lelaki pembohong! Awak masih nak deny yang awak tak ada hubungan dengan perempuan tu lepas awak tengok bukti yang ada kat dalam gambar tu?”

Syafiq menggosok rambut hitamnya langsung serabai jadinya.

“Amira, jangan menjerit malam-malam macam ni boleh tak? Anak-anak tengah tidur tu.” Fikirannya kini beralih kepada sepasang anaknya yang merupakan kembar kedua-duanya. Dia tidak mahu pekikan Amira mengejutkan anak itu di waktu malam begitu. Dia tidak mahu kedua-duanya terjaga dan menangis mendengarkan mama dan papanya bertelingkah atas perkara remeh.

“Boleh tak awak jangan ubah subjek?” Amira berasa bengis dengan kata-kata Syafiq. “Amboi, awak punyalah ambil berat dengan anak-anak. Dekat isteri sendiri pandang sebelah mata pun tak!”

“Amira!” Syafiq sudah mula meninggikan suara. Tidak tahan dengan sikap Amira yang suka tuduh melulu.

Jantung Amira yang agak berdegup laju akibat mendengarkan terikan Syafiq sedikit sebanyak membuatnya berasa takut tetapi dia cuba untuk menyembunyikannya. Dia tidak mahu kalah.

“Amira...sayang...” Syafiq mengendurkan suara. Terasa bersalah menghinggap jiwa akibat memarahi isterinya yang sudah lama dicintai. Tangan Amira digenggam kemas. Dia cuba untuk menyalurkan rasa percaya ke dalam diri isterinya.

“If we don’t have trust, we don’t have nothing,” ucap Syafiq. Sepasang mata isterinya direnung dalam. Sepasang mata itulah yang masih membuatkan dirinya tidak keruan. Tiap-tiap hari dia mencintai wanita itu dek lirikan mata sang isteri yang sungguh mendamaikan.

Genggaman Syafiq dilepaskan.

“Huh, susah saya nak percaya kata-kata awak sekarang ni!”

Syafiq kelihatan sungguh tertekan. Dia tidak tahu apa yang patut dibuat untuk mengembalikan kepercayaan isterinya itu.

“Beritahu saya, Syafiq. Apa kurangnya saya ni? Saya ni isteri awak tau. Apa yang lebihnya perempuan tu sampai awak melebihkan dia?”

“Awak ni tak habis-habis lagi nak mempersoalkan pasal perempuan tu. Berapa banyak kali saya nak cakap? Dia tu klien saya aje. Kenapa awak susah sangat nak percayakan saya hah?”

“Sikap awak selama ni yang membuatkan saya susah nak percaya awak,” balas Amira. “Awak balik lewat malam. Bila saya call, awak tak angkat. Bila telefon pejabat, awak tak ada. Telefon kawan sekerja cakap awak pergi dinner. Ingatkan makan malam dengan klien tapi makan malam dengan perempuan tak guna tu!

Apa lagi tak cukup pada saya ni, Syafiq? I give you everything. I give you kids you’ve always dreamed of. Awak tak bagi saya bekerja kat pejabat sendiri. Awak suruh saya kerja kat rumah aje sebab nak saya jaga Selena dan Amanda. Bila ada event, baru awak bagi saya keluar. Lauk yang saya buat tu pulak dah lama awak tak sentuh. Pernah ke awak tanya saya sihat ke tak? Dah makan ke belum? Takkan?”

“Awak sendiri tahu yang saya sibuk uruskan kereta customer. Saya sibuk cari rezeki untuk keluarga kita. Takkan itu pun awak nak pertikaikan?” balas Syafiq.

“Balik-balik dengan kereta-kereta awak tu. Pergi jahanamlah!”

Tangan Syafiq ringan sahaja menampar pipi putih Amira. Berbekas merah jadinya dek tamparan itu. Tangan Amira memegang wajah yang kini kemerah-merahan. Perit sangat rasanya. Tidak pernah lelaki itu mengasari dirinya sebegitu rupa. Tidak semena-mena air mata laju mengalir keluar dari kelenjar.

“Awak kutuk kerja saya eh?” ucap Syafiq berang. Bahang terasa di wajahnya ketika itu.

Kakinya melangkah ke arah meja makan yang sama tempat terletaknya sampul surat berwarna coklat itu tadi. Kedua-dua tangan Syafiq lincah mengambil helaian kertas yang penuh dengan lukisan Amira.

Dirinya berpaling lalu melemparkan kertas-kertas itu di hadapan isterinya. Terkejut Amira dengan tindakan lelaki itu.

“Cuba awak tengok apa yang awak buat selama ni,” ujar Syafiq.

Amira diam tidak terkata. Masih lagi terkejut gara-gara tamparan yang dihadiahkan oleh si dia.

“Tengoklah!” Tengkingan Syafiq membuatkan tubuh Amira menggeletar tidak tentu fasal. Tiba-tiba dia rasa takut dengan suaminya malam itu.

Mata Amira dihalakan ke arah lukisan-lukisannya.

“Awak tengok apa yang awak lukis. Saya yang tengok ni memang langsung tak berkenan. Awak sedar tak awak dah jual baju yang langsung tak mengikut ajaran Islam? Terdedah sana sini nak suruh lelaki lain tengok. Nak suruh orang yang tak sepatutnya puja rekaan awak. Awak ingat saya suka ke tengok model-model yang memperagakan pakaian awak tu? Saya rasa sangat berdosa tahu tak!” Kertas tadi diambil lalu dicampak ke muka Amira.

Semakin laju hamburan air mata perempuan itu.

“Sampai hati awak, Syafiq. Apa hak awak nak cakap macam tu? Itu kan memang kerja saya!”

Kertas yang bertaburan di atas lantai itu dipungut tetapi Syafiq lebih tangkas merampasnya daripada tangan Amira. Dia memang langsung tidak memberi Amira peluang untuk mengambil kembali lukisan-lukisan tersebut.

“Awak nak buat apa dengan lukisan saya, Syafiq?”

Satu demi satu lukisan milik Amira dikoyak di depan matanya. Tanpa belas kasihan kepada isterinya, dia terus meremuk lalu mengoyak semua kertas yang terpampang. Koleksi design baju yang direka oleh Amira yang bertempat di rak almari juga diambil lalu dikoyak ganas.

Syafiq, stop it!” Berderai-derai air mata mengalir di pipi licin Amira melihatkan lelaki itu berbuat demikian.

Dia langsung berlari-lari mendapatkan suaminya yang macam dirasuk hantu. Banyak kertas jatuh ke atas lantai yang kini hanya tinggal serpihan. Robeknya hati itu sama seperti robeknya lukisan yang tidak punya makna sekarang.

I’m begging you, Syafiq. Please, stop it! Please!” Puas Amira merayu kepada suaminya, namun, permintaan Amira langsung tidak diendahkan. Syafiq masih lagi seperti orang tidak betul.

Amira memegang lengan Syafiq untuk mengelakkan lelaki itu bertindak tidak tentu hala. “Syafiq. Tolonglah! Saya merayu sangat! Please stop this madness! Please!

“Ah!” Syafiq merentap tangan Amira lalu menolak tubuh wanita itu jauh. Kaki Amira agak tidak stabil lantas badannya terjatuh. Kepalanya terhentak ke bucu meja makan.

Tidak cukup dengan pipi, kini dahinya pula menjadi mangsa Syafiq. Tangannya memegang tempat terkena bucu meja yang kini mengalir darah merah. Menggigil-gigil jasadnya ketika itu apabila tertancap dek mata cecair yang dia cukup takut di dunia ini.

Ya, Amira takut dengan darah!

Nafasnya turun naik. Kepala terasa pusing sekali. Pendengaran di telinga makin lama makin kurang berfungsi. Terasa apa yang berlaku di sekeliling kosong sahaja. Dia langsung tidak mendengar apa-apa. Dia tahu dirinya mahu pitam melihatkan darah yang keluar gara-gara luka yang ada pada dahi.

Syafiq yang tadi bagaikan orang kurang siuman bagaikan tersedar dari dunianya yang penuh dengan rasa amarah sebentar tadi. Isteri kesayangannya menjadi tumpuan kini. Bukan lagi kertas-kertas yang telah dikoyakkan.

“Ya ALLAH! Astaghfirullahala’zim!” Syafiq mengucap panjang. “Apa yang dah aku buat ni?”

Dia terus meluru ke arah isterinya yang terbaring. Sesungguhnya dia benar-benar berasa bersalah terhadap apa yang dilakukan terhadap isterinya. Kepala wanita itu diangkat dengan penuh hati-hati. Pipi yang masih lagi berbekas merah disentuh lembut. Rambut hitam yang menutupi sebahagian dahi Amira diselak tepi. Alangkah terkejutnya dia apabila ternampak tompokan darah di dahi isterinya itu.

Dia tahu Amira takut darah. Dia tahu Amira akan pitam apabila ternampak cecair berwarna merah itu. Ya ALLAH! Ampunkan aku! Aku telah mengasari isteriku sendiri. Ampunkan aku!

Berduyun-duyun doa dipanjatkan supaya Amira tidak apa-apa.

“Amira, maafkan saya. I’m so sorry!” Kata-kata maaf dihulurkan. Moga-moga Amira mendengar keikhlasan yang terlahir dari sanubari lelaki itu. Kain sapu tangan kecil yang berada di dalam poketnya dikeluarkan lalu ditekan lembut pada dahi isterinya. Dia mahu menghentikan pendarahan yang ada.

Air mata Amira masih lagi tidak berhenti mengalir. Bengkak di dahi masih belum hilang walaupun darah sudah semakin berkurangan.

Tubuh Amira dipeluk. Dia benar-benar menyesal dengan perbuatannya tadi. Sungguh dia hilang kawalan!

“Amira, maafkan saya,” ucapan maaf yang sama masih lagi terucap di bibir Syafiq. “Saya takkan buat macam tu lagi. I promise. Forgive me.

“Syafiq...” ujar Amira perlahan dalam dakapan lelaki itu. Pitamnya semakin lama semakin berkurangan.

“It’s okay. It doesn’t hurt, Syafiq.”

“You’re going to be okay,” ujar Syafiq. “You’re going to be okay.”

Ucapan yang sama diungkap berulang kali.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh