Terbeliak matanya apabila jam sudah menunjukkan pukul 6.45
pagi. Diri yang berlingkar macam ular sawa baru telan seekor lembu itu terus
terbangun dari pembaringan. Cepat-cepat dia melompat dari atas katil.
Kepala
yang pening-pening sebab baru bangun tidur itu diketuk sikit. Moga-moga hilang
rasa kantuk yang masih lagi bersisa.
Terhuyung-hayang
badannya mencari tuala. Kepala tertoleh ke sana ke mari hanya untuk mencari
sehelai tuala yang entah kat mana dia gantung.
“Alamak,
macam manalah aku tak ingat aku letak towel
aku kat mana?” Amanda bermonolog di pagi hari itu.
“Towel kat tempat gantung belakang
pintulah, Amanda. Ish aku ni! Itu pun tak ingat ke?” sambung gadis itu lagi.
Kelakar pulak rasanya dia membebel kat dirinya sendiri.
“Heish, ni semua sebab terbangun lambat! Tak guna betul
punya jam loceng. Penat-penat aku set kau, kau tak bunyi pulak. Eh, bukan jam
tu yang salah! Bateri tak betul tu! Tulah...lain kali jangan main kutip bateri
kat tepi jalan. Kan dah lambat ni.”
Membebel je budak perempuan ni
pagi-pagi. Pergi mandilah cepat! Eh, pergi solat dulu! Dah pukul 6.45 pagi tu,
dik oi!
Tuala yang
akhirnya dijumpai di belakang pintu langsung dicapai. Dia dengan pantas menuju
ke bilik air untuk memberus gigi dan mencuci muka. Air sembahyang diambil.
Dirinya kemudian terus menunaikan solat subuh yang telah lama masuk waktu itu.
ALHAMDULILLAH.
Sempat juga dia menunaikan solat. Mengingatkan hari itu hari persekolahan,
berlari-lari dia pergi ke bilik air semula untuk mandi.
Kalau
boleh memang malas betul dia nak masuk bilik mandi tu. Memang nak je dia pergi
ke sekolah terus. Tapi nanti takut bau busuk pulak. Kalau dia tu duduk kat
negara musim sejuk tak apalah kot kalau tak mandi. Bukannya bau pun.
Hehehe...
Mujur dia
dah siap memberus gigi dan membersihkan muka. Basahkan badan je terus buat
penyegar badan. Tak adalah nanti rasa mengantuk sangat masa kat kelas.
Setelah
bersiap-siap dia terus menuju ke luar rumah. Lantaklah dengan sarapan tu.
Asalkan sampai sekolah cepat. Dahlah kelas start
tepat pukul 7.30 pagi. Aduh, gawat ni kalau lambat sampai! Mahunya kena denda
dengan cikgu misai kontot tu!
Pagi-pagi
dia dah mengumpat cikgu. Ampun ya! Maaf zahir batin.
Hikhik...
Setelah
kasut sekolah berjenama All Star itu tersarung, kakinya terus berlari menuju ke
perhentian bas. Tak pasal-pasal kena exercise
pagi-pagi ni.
‘Ish, ni semua jam loceng punya pasal! Eh, salah lagi!
Bateri punya pasal!’ Amanda menyumpah seranah dalam hati. Tak habis-habis
menyalahkan sang bateri. Padahal diri sendiri yang tak betul. Ada ke patut
pergi kutip bateri kat tepi jalan? Tak pernah dibuat orang. Nak buat macam
mana? Tak sempat nak pergi kedai. Jumpa bateri kat tepi jalan, apa lagi?
Kutiplah. Manalah tahu boleh guna. Sekali hampeh!
“Alamak,
jauh lagi ke tempat tunggu bas ni?” Kakinya dah penat berlari. Aiyo, baru lari
dalam beberapa cm pun dah penat ke? Mengalahkan Po dalam cerita Kung Fu Panda
tu tau! Panjat tangga sekejap dah penat macam apa.
Hahaha...
Tak
apalah. Nasib baik si Po tu comel.
Beberapa
saat kemudian, akhirnya, dia hampir sampai ke tempat yang dituju. Hampir
sampai. Belum sampai lagi.
Matanya
tertancap pada sebuah bas sekolah yang sedang berhenti di tempat tunggu bas
tersebut. Apa lagi? Amanda memang pecut habis nak kejar bas tu!
Pecut tak
pecut, bas tu memang dah jalan meninggalkan Amanda yang sekarang berlari
mengalahkan cheetah. Tercungap-cungap
budak itu dibuatnya.
“Hoi, pak
cik bas! Tunggu aku, oi!” jerit Amanda dari belakang. Namun, apa boleh buat?
Pak cik pemandu bas tu agak kurang pendengaran. Tambahan dengan bunyi bas dan
asap berkepul-kepul menghalang suara Amanda daripada sampai ke gegendang
telinga pak cik bas tersebut.
Alahai,
Amanda! Apalah nasib kau hari ni?
Habislah
kau, Amanda! Mahunya kau menghadap cikgu misai kontot tu.
“Hwaaa!”
rengek Amanda yang ternyata penat itu. Dahlah dia terpaksa ponteng makan
sarapan. Bertambah-tambah penat jadinya.
“Macam
mana aku nak pergi sekolah ni? Takkan aku nak jalan kaki? Jauh sangat kot.
Ingat kaki aku ni kaki besi ke boleh tahan jalan kaki sampai sekolah?” Amanda
membebel lagi. Fikirannya diperah saat itu juga mengira cara untuk ke sekolah.
“Nak call papa ke tak ek?” Amanda mengetuk
bibir. “Alah, cellphone pulak tak
bawak. Papa ni pun satu. Kenapalah cepat sangat pergi office pagi ni? Anak papa ni perlukan bantuan papa tahu tak.”
Tahulah
dia apabila pagi tadi melihat tak ada sebiji kereta yang tersadai di laman
rumah. Papanya mesti dah bertolak ke pejabat apabila kereta milik papanya tidak
ada. Mesti papa nak uruskan hal penting tu. Kalau tak, selalunya mesti dia
pergi kerja lambat sikit. Boslah katakan!
Pandangan
matanya melihat sekeliling.
Memang dia
berkira-kira untuk mencari teksi pula. Nasib baiklah dia bawa duit berkepuklah
jugak. Memang cukup nak naik teksi pergi sekolah. Kalau tak cukup jugak memang
mahu kena bagi penumbuk! Huh!
Matanya
melilau lagi sambil kaki tak berhenti bergerak ke kiri dan ke kanan. Tudung
yang ditiup angin itu dibetulkan. Dalam hati berdoa berpanjangan semoga adalah
sebiji kenderaan yang boleh menghantarnya ke sekolah dengan selamat. Tak mahu
dia kena denda dengan cikgu disiplin yang digelarnya cikgu misai kontot tu.
Telinganya
menangkap bunyi sebuah kereta sejurus sahaja dia selesai berdoa dalam hati.
Betullah tazkirah yang dia selalu dengar. Senjata orang mukmin itu ialah
berdoa. Doalah apa sahaja. InsyaALLAH, Yang Maha Kaya itu pasti kabulkan. Amin!
Kepalanya
menoleh ke arah kereta yang rasanya agak dikenali itu. Rasanyalah. Macam pernah
nampak.
Dahinya
berkerut sedikit. Matanya kini betul-betul cuba untuk melakukan accomodation reflex sebaik mungkin.
Eh, memang
betullah! Dia kenal sangat dengan kereta tu! Bukan macam pernah nampak. Memang
hari-hari dia nampak kereta tu! Mana taknya? Kereta jiran sebelah!
Jiran
sebelah pun jadilah. Wahai muka, bersedialah kau buat muka kesian! Hati mamat
rumah sebelah ni kau kena cairkan tau. Asal kau dapat sampai sekolah!
Tangannya
dihayunkan untuk memberhentikan kereta tersebut.
Kereta itu
akhirnya diberhentikan berhampiran dengan tempat tunggu bas itu. Melihatkan
seorang perempuan yang melambainya tadi, dia terus turunkan cermin kereta.
‘Ada awek
sekolah ni lambai kereta akulah. Fulamak! Memang syok betul ada kereta lawa ni.
Semua perempuan nak kat kau!’ desis tuan punya kereta jiran Amanda tu.
Huh,
perasan betul!
“Kai, aku
nak mintak tolong kau ni,” tutur Amanda menundukkan sikit kepalanya untuk
melihat si mamat perasan tu.
Kai yang
mengenakan kaca mata hitam itu menurukan sedikit cermin matanya lalu disangkut
pada batang hidung mancungnya. Pandangan ditala pada perempuan yang sedikit
sebanyak menghadirkan kerutan di dahi.
“Aik,
macam mana awek sekolah ni boleh tahu nama aku?” Kai lebih berkata-kata dengan
dirinya sendiri.
Amanda
yang ketika itu tak ada masa nak melayan si Kai terus mengetuk kepala. Apa biullah
mamat ni pagi-pagi?
“Aku ni
jiran kaulah, Kai. Anak Uncle Syafiq tu! Tak ingat ke?” Amanda menjawab
persoalan yang bermain di mulut jejaka tersebut.
Heish, susah betul nak mintak tolong dengan orang tak kuat
ingatan ni! Aku ni dahlah lambat. Harap-haraplah pintu pagar sekolah tu tak
tutup lagi.
Kai
melucutkan kaca matanya. Terpampang di depannya gadis yang berpakaian sekolah
yang dia kenali tapi jarang ditegur.
“Oh,
Amanda ke? Ha, kau nak apa?” tanya Kai pula.
“Hantarkan
aku pergi sekolah boleh?”
Dia cuba
bermanis muka. Yalah, nak mintak jasa baik orang pagi-pagi ni. Dengan jiran
sebelah yang annoying pulak tu.
“Pergi
sekolah?”
“Yalah.
Takkan nak pergi jogging pulak.”
“Uncle
Syafiq mana?”
“Dah pergi
kerja.”
“Bas?”
“Tertinggal.”
Masing-masing
berkata sepatah dua kata. Yang seorang tanya sepatah, yang seorang lagi jawab
sepatah. Ha, baguslah tu!
Alah,
mamat ni! Tak payah banyak tanya boleh tak? Aku nak cepat ni!
“Boleh ke tak ni?” soal Amanda
kemudian.
“Malaslah.”
“Apa?”
“Aku malaslah.
Kau pergilah jalan kaki sendiri. Bersenam sikit pagi-pagi ni. Elok untuk
kesihatan.”
Amboi,
sedap mulut dia je nak ceramah pagi-pagi ni! Kau ingat kau tu pegawai kesihatan
ke? Ish, geramnya!
“Alah,
Kai! Tolonglah. Aku dah lambat ni. Please!”
Wahai
muka, tolonglah kau berlakon walau sesaat!
Banyak
betul perkataan ‘wahai’ yang dia guna hari ni. Kalau buat dalam karangan Bahasa
Malaysia agak-agak boleh dapat A+ tak? Hehehe...
“Kau ni.
Jalan kaki pun malas.”
‘Ish,
siapa yang malas sekarang ni? Tak sedar diri ke yang kau tu tengah naik kereta?
Kalau bukan sebab aku nak mintak tolong, memang dah lama aku bagi penumbuk kat
muka kau tu tau! Geramnya! Main-main pulak dengan aku eh!’ Amanda menyumpah
seranah lagi dalam hati.
Tadi lepas
geram dengan bateri jam loceng. Sekarang geram pulak dengan mamat bernama Kai!
“Fine! Fine! Kalau kau hantarkan aku
pergi sekolah, aku buatkan kau sarapan untuk seminggu. Nak?”
Bersinar-sinar
mata Kai apabila terdengar perkataan sarapan. Dia memang pantang kalau dengar
pasal makanan. Dia memang suka makan! Terdengar je Amanda ni nak buatkan
sarapan untuk tujuh hari, memang dia langsung tak boleh tawaran macam tu!
Ada orang
buatkan sarapan ni! Mana boleh tolak beb! Bolehlah kau bangun tidur terdampar
sarapan pagi kat rumah kau. Tak payah susah-susah kau nak masak. Oh, heaven gila!
Kai sudah
mula berangan macam duduk tepi pantai.
“Naik
sikit boleh? Buatkan aku makan malam jugak.”
Amanda
membeliakkan mata. Mengada-ngada betul mamat ni!
Tapi nak
buat macam mana? Tak ada masa betul dia nak layan mamat ni. Memang dah lambat
sangat nak pergi sekolah ni! Habislah! Habislah aku!
“Boleh tak
ni?” tanya Kai.
“Yalah.
Yalah.”
Kai
tersengih. “Cepat masuk kereta.”
Amanda pula
tersenyum. Pintu lekas-lekas dibuka.
Pertama
kali dia merasai menaiki kereta Nissan Skyline GTR R34 milik Kai. Fuh, panjang
betul nama! Susah nak sebut.
Ah,
panggil Skyline sudah!
Amanda memakai
tali pinggang keselamatan.
Teruja
pulak dia apabila masuk ke dalam kereta tersebut. Rasa macam nak lumba kereta
pun ada. Nama pun kereta sport.
Apa lagi?
Kai memang
terus pecut!