Nafasnya turun naik. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Pandangannya kabur. Lambat benar protein mata yang bernama rhodposin itu untuk menyesuaikan diri di tempat yang baru dan agak gelap. Terasa kepalanya sungguh pening ketika itu.
Pandangan yang tadi kabur lama-kelamaan semakin jelas. Walaupun tidak banyak cahaya yang menyentuh retina matanya, namun, penglihatannya jelas sekali.
Tangannya cuba untuk digerakkan. Dia mahu memegang kepalanya yang terasa sangat berat. Rasa macam ada batu yang menghempap kepala. Sakit sangat. Tangannya masih lagi cuba untuk digerakkan tetapi langsung tak mengizinkan.
Kenapa?
Kepalanya digerakkan. Penglihatannya tertancap pada tali-tali yang mengikat tubuhnya. Dahi licin milik Selena itu terus berkerut dibuatnya.
Badannya digerak-gerakkan. Cuba menghempas kerusi yang mengikat dirinya kini. Berharap ikatan itu boleh terbuka walaupun masih kuat melingkari tubuh. Namun sia-sia saja usaha yang dilakukan. Tali itu terlerai tak, apatah lagi terputus.
Selena memandang sekeliling.
‘Aku kat mana ni?’ Hatinya berbisik.
Bermacam-macam rasa yang menyelinap masuk ke dalam hatinya sekarang. Perasaan takut lebih-lebih lagi telah mencengkam jiwanya. Jantung berdetak tidak terkira.
Bukan saja rasa tetapi berbagai-bagai soalan yang menerjah minda paniknya.
Kenapa aku kat sini?
Macam mana aku boleh sampai kat sini?
Baru dia tersedar dirinya basah lencun dek air yang disimbah seseorang yang berada di depannya. Matanya cuba mengecam wajah lelaki yang berpakaian serba-serbi hitam. Muka lelaki itu cuba dikenal pasti tetapi langsung tidak dia cam siapakah gerangan lelaki yang telah berbuat jahat terhadap dirinya.
“Who are you?”
Dengan tenaga yang masih berbaki dalam dirinya, Selena cuba menggunakan kotak suara. Sukar benar dia untuk berkata-kata dalam keadaan dirinya sebegitu rupa. Terasa badan sungguh lemah sekali.
Lelaki yang berpakaian hitam itu hanya tersenyum melihatkan diri Selena yang jelas kelihatan lembik bagaikan daun yang baru gugur. Suka benar dia melihat perempuan itu tak bermaya. Semakin senang dia untuk melakukan tugasan yang diarahkan.
“Where am I?”
Selena masih lagi cuba bersuara.
“What am I doing here?”
Lelaki yang sedikit sebanyak menggerunkan dirinya itu menghampiri. Kakinya melangkah mendekati tubuh Selena yang terduduk dan terikat di kerusi yang diperbuat daripada kayu itu.
“What are you doing?”
Selena cuba untuk melepaskan diri. Tangannya yang terikat itu ligat berpusing. Moga-moga tali ikatan yang kuat itu dapat terurai walaupun dia tahu agak sukar untuk dilakukan. Entah-entah memang takkan langsung terbuka ikatan kuat itu. Tenaga yang tinggal digunakan hanya untuk meloloskan diri.
Hatinya gigih berdoa supaya dirinya selamat daripada diapa-apakan. Dia risau yang amat. Macam-macam yang boleh terjadi dalam keadaan dirinya seperti itu. Mungkin dirinya boleh dicederakan. Mungkin juga dirinya terbunuh!
Fikirannya kini menerawang. Dia teringatkan mamanya. Terkenangkan Emma. Jared apatah lagi. Dia terfikirkan semua orang.
Mulutnya pula terkumat-kamit berdoa bersungguh-sungguh kepada ILAHI semoga semuanya baik-baik sahaja. Dia tidak mahu meninggalkan dunia ini. Ya, dia tidak mahu mati! Dia masih lagi muda. Hidupnya mahu dihabiskan dengan benda-benda yang sepatutnya dibuat oleh mereka yang bergelar makhluk ALLAH.
Waktu-waktu sebegitu barulah dia teringatkan TUHAN. Masa genting macam tu baru dia terkenangkan dosa-dosa yang dia lakukan selama ini.
Memang benar.
Manusia itu selalu sahaja alpa. Selalu sahaja dirinya lupa. Dijentik ujian sedikit baru teringatkan Sang Pencipta.
Lelaki yang kelihatan berwajah bengis itu kini mengeluarkan sebilah pisau dari poketnya.
Pisau itu ditenung dengan penuh asyik. Hujung pisau itu disentuh perlahan-lahan dari atas sampai bawah. Sayang benar dia pada alat itu. Pisau itulah yang telah digunakan sepanjang hidupnya untuk melangsaikan kerja jahatnya selama ini.
Telah banyak darah yang mengalir dek pisau itu yang telah berjaya menarik banyak nyawa. Tidak kira musuhnya sendiri mahupun orang yang mengupahnya untuk melakukan kerja pembunuhan. Alat serba tajam itu yang telah digunakan untuk menusuk tubuh badan manusia.
“They say you’re a super model.”
Lelaki itu berkata-kata jua akhirnya. Matanya masih lagi dihalakan ke arah pisau kegemarannya itu. Suara garau itu semakin lama semakin banyak mendatangkan rasa ketakutan dalam diri Selena. Bertimpa-timpa rasa takut muncul walaupun hanya dalam beberapa saat.
“Look at you. You really are gorgeous, love,” ucap lelaki itu mendekatkan kepalanya ke muka anak gadis itu.
Tangan yang sama besar dengan wajah Selena itu memegang pipi milik model ternama tersebut. Rambut panjang itu ditarik semahunya. Hidungnya pula menghidu haruman Selena yang melekat di tubuh. Bauan itu berjaya membuatkan nafsu untuk berbuat jahat terhadap perempuan itu membuak-buak macam mahu meletup.
Kata-kata yang dikeluarkan lelaki mengerikan itu ternyata telah membuatkan Selena tak duduk diam. Sungguh dia rimas dengan perbuatan lelaki itu yang kini melayang-layangkan pisau di depan matanya. Tidak cukup dengan itu. Pisau itu bermain-main di wajahnya pula.
Apa yang akan berlaku terhadap diri aku lepas ni?
Air mata Selena mengalir bagaikan hujan yang tak mahu berhenti. Ketakutan yang amat menyelinap setiap ruang tubuhnya.
“What do you want from me?” Selena membuka mulut walaupun dirinya menggigil macam orang tengah demam panas.
“It’s not what I want from you because I don’t want anything,” jawab lelaki itu beberapa saat kemudian.
“Then let me go!” jerit Selena membuatkan ruang bilik kosong itu bergema. Badan yang terikat itu meronta-ronta mahu melepaskan diri.
Lelaki itu menjegil. Tangannya dengan laju menampar pipi licin Selena.
Sakit yang bertimpa di pipi itu ditahan-tahan. Perit yang disebabkan oleh tangan besar itu langsung tidak terkata. Tidak ada langsung mana-mana insan yang pernah mengasarinya sedemikian rupa.
Air mata tak payah cerita. Memang masih lagi tak terhenti. Ditambah lagi dengan ngilunya pipi.
Sedikit demi sedikit cecair merah mengalir di hujung bibir. Wajah yang dulu bersih tanpa cacat cela telah dizalimi dengan tamparan sulung lelaki yang langsung tak dikenali itu.
“Please let me go. Please!”
Tangisan bertalu-talu menggegarkan gegendang telinga lelaki tersebut. Namun apa yang dia kisahkan? Langsung tak ada rasa belas kasihan di hati itu. Sudah lali dia dengan jeritan dan tangisan sepanjang hidupnya.
“Oh, I will let you go, alright, love,” kata lelaki itu. “But after I get my work done.”
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak macam orang kena rasuk. Bergema ketawa itu bagai mahu menggegarkan bilik yang serba-serbi kosong itu.
“She said just a scratch will do,” ujar lelaki itu lagi.
Pisau itu digenggam kemas. Tangannya semakin lama semakin dekat ke muka Selena menyebabkan gadis itu semakin meronta.
“Argh!!!”
Selena menggelepar apabila pisau perlahan-lahan menghiris wajahnya. Sakitnya langsung tidak terperi.
“Stop it! Please!”
“Argh!!!” Masih lagi kedengaran jeritan Selena memenuhi ruang bilik.
Darah menitis-nitis akibat luka yang dihasilkan pisau itu. Walaupun hanya hirisan yang dilakukan lelaki gila tak bernama tersebut tetapi agak dalam untuk membuatkan darah mengalir laju.
“It hurts, doesn’t it?” ucap lelaki itu perlahan. Tangannya berhenti daripada menyakiti wajah Selena.
Nafas gadis itu turun naik. Sungguh laju menahan kesakitan yang menjalar di wajah yang cukup dijaga selama ini. Kata-kata lelaki itu langsung tidak dapat dibalas.
Apa salahnya sehingga dia dilakukan sebegitu rupa?
Tidak ada sesiapa yang boleh mendengar tangisannya kini. Tidak ada mana-mana insan pun yang boleh mendengar jeritannya sekarang. Sakitnya diri tidak ada sesiapa pun yang tahu. Dirinya langsung tidak tertanggung pedih di wajah.
“I think this will add the pain,” lafaz lelaki itu lagi.
Waktu ini pipi Selena bukan lagi menjadi sasarannya. Tangan gadis itu pula yang ingin digunakan agar dapat melepaskan rasa gila untuk menyakiti orang.
Pisau itu dihalakan ke tangan Selena. Tangan itu dilukakan cukup dalam. Darah yang pada mulanya langsung tak nampak sekarang membuak-buak keluar seperti mahu memenuhkan satu biji baldi.
“Argh!!!”
Jeritan Selena semakin lama semakin lemah.
Cukuplah. Dia tidak punya tenaga lagi untuk menahan seksaan lelaki itu. Cukuplah mukanya sahaja yang dicederakan. Sekarang tangan kanannya pula yang pilu tak terkira. Sakit sangat.
Lelaki yang selayaknya masuk ke hospital sakit jiwa itu hanya tergelak sakan apabila mendengarkan jeritan Selena. Memang dia sungguh gembira apabila dia dapat melangsaikan kerjanya dengan cukup sempurna.
Walaupun perempuan yang bernama Amy Patricia itu hanya mengupah dirinya untuk mencederakan wajah Selena, namun dia terasa puas apabila dapat menyakiti gadis itu berlebih-lebihan. Dia suka mendengar orang melalak meminta tolong. Dia seronok melihat orang berlumuran darah menahan sakit.
Dalam banyak-banyak orang, giliran Selena pula untuk didengari jeritannya. Wajah cantik itu sekarang sudah cacat. Tangan yang bersih licin itu kini terbelah sedikit dek pisau kesayangannya.
Rambutnya serabai. Matanya bengkak berselirat dengan air mata. Tubuh Selena langsung berlumuran dengan darah. Lehernya kemerah-merahan disebabkan oleh darah yang mengalir keluar dari salur darah kecil di muka. Tangannya yang luka tak payah kata. Kulit putih itu bergelumang dengan cecair merah darah.
Selena tidak terdaya untuk mengeluarkan sepatah kata. Tenaga yang ada hanya digunakan untuk menahan sakit. Peluh menitik memenuhi badan.
“I think I’ve done enough.” Lelaki itu berkata tanpa langsung rasa bersalah.
Memang dasar lelaki psycho!
“Goodbye, darling.”
Picagari dikeluarkan dari poket kanannya. Jarum terus dicucuk pada lengan gadis yang hanya berusia setahun jagung itu.
Tidak cukup dengan sakit gara-gara pisau. Jarum pula menusuk lengannya sekarang. Walaupun hanya jarum tetapi tenaga yang tinggal secebis itu cukup untuk membuatkan dirinya tidak bermaya.
Selena menghalakan pandangannya ke arah lelaki tersebut.
Persoalan lain pula yang muncul.
“What are you doing to me?”
Cecair dari dalam picagari itu lama-kelamaan habis masuk ke dalam tubuhnya.
Lelaki itu hanya tersengih-sengih.
Jahat sekali.
Penglihatan Selena yang jelas semakin lama semakin kabur.
Malap.
Gelap.