Syafiq
membelek almarinya. Tidak ada satu helai tali leher pun yang terjumpa. Kalau
ada pun, sungguh dia langsung tak berkenan nak pakai ke majlis makan malam fakulti
yang akan diadakan hari lusa.
Baju kemeja lama yang agak lusuh
rasanya cukup untuk digayakan semasa majlis tersebut. Ala kadar cukuplah kot.
Nak buat pergi makan aje. Bukannya mahu naik atas pentas. Dia bukan model nak
memperagakan pakaian mewah.
Pintu bilik berkeriut menandakan
pintu bilik dibuka oleh seseorang. Kelihatan rakan sebilik Syafiq menjengahkan
kepalanya ke dalam bilik. Mukanya dibuat-buat comel. Nasib baiklah dia memang
comel. Rasa nak cubit je pipi tu! Ish...ish...ish...
“Kau buat apa tu, Syafiq?” soal
Akief. “Dari tadi aku tengok kau terbelek-belek, tertonggeng-tonggeng depan
almari kau tu.”
“Aku tengah cari benda ni,” jawab
Syafiq ringkas.
Daripada menjengahkan kepala, Akief
terus masuk ke dalam bilik. Dia berdiri di belakang Syafiq. Kepala digaru-garu
walaupun langsung tak ada kutu di atas kepala. Hairan dengan kawannya yang
seorang itu. Nak kata cari buku, memang langsung tak logik. Syafiq pengemas
orangnya. Nota dan buku-buku jelas tersusun di rak buku yang terletak elok bersebelahan
meja belajar.
Syafiq
memang lebih kemas daripada dirinya sendiri. Maklumlah, nama pun lelaki. Memang
sinonimlah jika perkataan ‘selekeh’ digandingkan dengan mereka yang bernama
lelaki. Nota entah ke mana. Buku bersepah sana-sini. Lebih-lebih lagi kalau
musim peperiksaan berlangsung. Penuh lantai dengan nota-nota pensyarah. Itu
belum lagi kalau ada kes yang hilang nota. Memang nota Syafiq selalunya
dipinjam untuk difotostat. Mujur tulisan kawannya itu mudah difahami. Tak cakar
ayam seperti tulisannya.
“Benda apa?” sambung Akief. Manalah
tahu kalau dia boleh membantu apa-apa yang patut.
“Tali leher.”
“Nak buat apa dengan tali leher?”
asak Akief lagi dengan soalan.
“Kau ni macam tak tahu. Lusakan ada dinner. Aku nak pakai tali leher tu masa
majlis tu nanti,” balas Syafiq.
Akief mengangguk tanda faham.
“Kau nak pakai tie yang mana satu ni?” tanya Akief. Dia berkira-kira untuk
menolong kawannya mencari apa yag dikehendaki.
“Entahlah. Aku rasa semua tie yang aku ada, semuanya tak masuk
dengan baju yang aku nak pakai,” kata Syafiq. Tangannya masih lagi menggeledah
almari baju. Apa yang dicari tak ketemu.
“Mana satu baju yang kau nak pakai?”
Mulut Syafiq dimuncungkan
menunjukkan arah kemeja lusuh yang berada di atas katil. Akief langsung bergerak
untuk melihat pakaian yang mahu dipakai kawannya itu.
“Serius kau nak pakai baju ni?” ujar
Akief dengan persoalan. Banyak betul soalan yang dia ajukan kepada Syafiq. Rasa
macam wartawan pun ada.
Syafiq mengangguk. “Yup.”
“Kau ni kalau ya pun, pakailah segak
sikit. Nama pun dinner.”
“Ala aku malaslah. Aku mana ada
banyak baju. Tu aje baju yang aku rasa okey.”
Akief menggelengkan kepala.
“Kau ni duit berkepuk-kepuk tapi
baju-baju kau MasyaALLAH! Cubalah spend sikit
duit kau tu beli baju baru. Tak luak mana pun,” bebel Akief. Terasa dirinya
bagaikan stylist pulak.
“Duit yang aku ada ni bukan duit
aku, Akief. Duit mak dan bapak aku. Aku sayang nak guna. Lainlah kalau duit tu
memang duit aku,” jelas Syafiq yang kini merenggangkan badannya. Lenguh
pinggang akibat bongkok agak lama.
Syafiq memang berasal daripada
keluarga yang berada. Harta yang ada lebih daripada cukup untuk membiayai dirinya
untuk menyambung pelajaran di United Kingdom. Walaupun Syafiq layak menerima
biasiswa, orang tuanya menolak. Kata mereka, duit biasiswa itu boleh diberi
kepada mereka yang lebih memerlukan. Sesungguhnya, kedua-dua ibu bapa Syafiq
memang tidak berat hati apabila melibatkan wang ringgit.
“Parents
kau bagi duit sebab nak suruh kau guna. Buku-buku pelajaran semuanya kau dah
ada. Balance yang ada tu gunalah
sikit buat beli baju tu. Tak luak mananya duit parents kau. Bukannya nak suruh kau membazir pun. Ish, kau ni.
Lagipun, exam dah habis kan? Tak
salah kalau nak guna duit sikit. Aku sure
parents kau tak kisah.”
Syafiq duduk di birai katil
mengambil tempat bersebelahan dengan Akief.
‘Betul
jugak cakap member aku ni,’ desis
Syafiq dalam hati.
“Yalah,” kata Syafiq kemudian. “Aku
pun sebenarnya dah naik bosan dengan baju-baju aku tu. Semuanya baju yang sama.
Dari kita start semester sampai
sekarang baju tu ajelah yang aku pakai.”
Akief tergelak kecil. “Kalau kau dah
naik bosan, aku lagilah muak nak tengok. Nanti kau pergilah beli satu atau dua
helai baju.”
“Dua? Nak buat apa beli dua? Dinner tu kan satu malam je. Kau ingat
ni bersanding ke sampai nak kena tukar-tukar baju?” Dahi Syafiq berkerut.
Bukannya majlis kahwin pun. Tak payahlah sampai nak beli banyak-banyak baju.
“Bolehlah satu tu kau bagi kat aku.
Aku pun nak jugak merasa pakai baju baru. Hehehe...” Akief menyeringai.
“Banyaklah kau! Apa punya kawan.”
Kepala Akief lantas diketuk perlahan.
“Apa salahnya. Aku kan kawan baik
kau jugak.”
“Hurm...time nilah baru nak jadik kawan baiklah, sharing is caringlah, bla...bla...bla...Aku mintak tolong sikit
macam-macam alasan kau bagi.”
Teringat dulu Syafiq hanya meminta
Akief memberi kucing depan rumah makan. Jangan kata beri, mamat tu payah betul
nak bergerak dari katil. Nasib baiklah si Syafiq tu tak berkira orangnya. Nasib
baik juga Akief tu tak buat kepala sendiri. Kalau tak, boleh haru juga tinggal
sebilik!
“Kau nak aku ikut tak?” soal Akief.
“Ikut aku pergi mana?” Syafiq
meneruskan perbualan dengan pertanyaan kembali.
Akief mengetuk kepalanya. Aduh,
mamat ni! Harap kepala je pandai bab kereta, tapi slow jugak kawan aku ni.
“Teman kau pergi cari bajulah,”
balas Akief.
“Tak payahlah. Aku boleh cari baju
sendiri. Kejap lagi aku pergi seorang ajelah.”
Akief mengangkat kening. “Betul ni?”
Syafiq beria-ia menganggukkan
kepalanya.