“Assalamualaikum!”
Selena
memberi salam di balik pintu pagar. Tangannya teguh memegang bekas makanan yang
berisi mi segera yang baru sahaja dimasak beberapa saat yang lalu.
“Assalamualaikum!”
Selena
memberi salam sekali lagi. Suaranya dikuatkan sedikit supaya frekuensi suara
perempuannya sampai ke deria pendengaran Kai.
“Ish,
mamat ni dah tidur ke?” ujar Selena. “Tengok dalam rumah tu terang lagi. Takkan
dah tidur? Aku bagi salam ni tak dengar ke?”
Selena
menggaru-garu kepalanya. Tudung yang dipakai dibetulkan sedikit dek angin malam
yang bertiup perlahan. Malam itu juga agak sunyi. Yang dia dengar hanyalah
bunyi cengkerik.
“Krik...krik...krik!”
Rasa macam
cengkerik tu pulak yang jawab salam Selena.
“Alamak.
Takutlah pulak aku malam-malam macam ni,” ujar Selena kesorangan diri di situ.
Angin yang bertiup juga seolah-olah bunyi seperti dalam
kebanyakan cerita hantu yang selalu ditayangkan di kaca televisyen. Sayup-sayup
gitu. Ish, seram! Meremang bulu roma!
“Mama!
Takutnya!”
Selena sudah mula menggeletar badannya. Rasa seram sejuk
pulak malam tu. Memang sejuk pun! Nama pun malam kan?
Sepasang
mata Selena melilau ke kiri dan ke kanan. Yang hanya ternampak di pandangan
hanyalah jalan yang kosong diterangi dengan lampu tepi jalan. Mujur juga ada
lampu tu. Kalau tak ada, memang dah lama jugak si Selena lari masuk ke dalam
rumah!
Takut kot!
Waktu pun dah menunjukkan pukul 1.15 malam. Mungkin pada
sesetengah anak remaja menganggap masa sebegitu masih lagi muda. Boleh lagi enjoy malam di luar rumah. Namun,
baginya waktu sebegitu memang kena duduk dalam rumah diam-diam. Buatlah apa-apa
pun tapi tak payahlah nak keluar rumah. Kan elok kalau anak dara macam dirinya
duduk rumah kalau waktu dah mencecah malam. Keselamatan pun insyaALLAH
terjamin.
Selena kini melemparkan pandangannya ke pintu pagar rumah
Kai.
“Eh, tak
berkuncilah!”
Selena memegang pintu pagar. Dia membuka pintu pagar
tersebut perlahan-lahan. Takut juga kalau Kai fikir yang aku nak ceroboh rumah
dia. Ah, peduli apa! Aku dah bagi salam dia yang tak nak jawab. Dahlah malam ni
sejuk. Cuak aku tau! Kalau tiba-tiba ada orang jahat ada niat tak baik kat aku,
kan susah nanti. Ya tak?
Selena
sekarang sedang berada di laman rumah Kai. Matanya sekarang tertancap ke sebuah
kereta yang diparkir di laman tersebut. Tak payah kata orang lain, dia sendiri
tengok kereta Nissan Skyline GTR R34 tu pun dah rasa nak sesak nafas.
“Fuh!”
Selena tiba-tiba sudah rasa bangga apabila melihat kereta milik Kai. “Gilalah
mamat ni. Kereta besar tapi duduk rumah taman macam ni je. Nasib baiklah laman
rumah ni muat nak letak kereta dia.”
Dapat
tengok dekat-dekat macam ni pun rasa bangga. Kalau dapat bawak memang lagilah!
Feeling awesome,
dude!
“Ish, aku
ni! Fokus! Lagi cepat aku bagi maggy ni kat Kai, lagi cepat aku boleh balik
rumah. Lagi cepat lagi bagus! Tak sanggup dah aku duduk kat luar rumah ni. Seram!”
Selena
bergegas menuju ke arah pintu rumah Kai. Tanpa membuang masa lagi dia terus
mengetuk pintu. Dah malas nak bazir masa. Aku nak sambung cerita Fast and
Furious! Oh, Brian O’Connor! Oh, Dominic
Torreto! Oh, hello, Han! Please wait for me!
“Assalamualaikum!”
Selena
memberi salam. Harapnya mamat ni tak tidur lagi. Penat-penat je aku masak maggy
ni. Dahlah susah-susah aku buat nasi goreng tu sampai hangus. Ni semua kau
punya pasal, Kai!
Pintu yang
diketuk beberapa saat yang lalu masih lagi tidak dibuka.
“Assalamualaikum!
Kai! Bukaklah pintu ni! Aku nak bagi makanan ni oi! Bukaklah cepat!” ucap
Selena sambil mengetuk pintu rumah Kai dengan agak kuat.
Biar dia dengar yang aku ni tengah ketuk pintu rumah dia.
Kalau dia tertidur sekali pun memang biar sampai dia bangun! Kalau dia tak
bangun jugak, biar aku je yang habiskan maggy ni! Sedap jugak pekena maggy ni
sambil layan movie! Yummy!
“Kai! Oi,
bukaklah cepat!”
“Tok! Tok!
Tok!”
“Aduh,
sakit dah tangan aku ni ketuk pintu rumah kau!” Selena sudah mula membebel.
Jari-jemarinya dah mula kemerah-merahan. Penat kot ketuk pintu lama-lama!
Pintu yang
dari tadi diketuk dibuka lama-kelamaan. Pintu itu terbuka secara
perlahan-lahan. Bunyi berkeriut pintu rumah tersebut memang jelas pada
pendengaran Selena.
“Kai?”
Selena melihat masuk ke dalam rumah Kai yang terus
menampakkan ruang tamu yang bersepah-sepah dengan majalah. Majalah apa dia
sendiri tak tahu. Tak dapat tangkap langsung apa tajuk yang terpapar pada muka
depan majalah.
“Eh, mana
Kai?” Selena lebih bertanya kepada dirinya sendiri. Matanya melilau ke kiri dan
ke kanan untuk melihat susuk tubuh Kai yang dicari-cari dari tadi.
“Ish, mana
pulak si Kai ni? Pintu ni terbukak tapi tuan rumahnya tak ada. Kalau macam tu
siapa yang bukak pintu rumah ni?”
Selena
sudah mula meremang bulu romanya. Macam-macam gambaran yang terpampang di
mindanya sekarang. Apa yang penting sekarang otaknya memang sudah set dengan
rasa takut.
Tak ada
orang? Pintu terbukak sendiri? Weh, ini dah macam dalam cerita hantu ni! Mama!
Papa! Amanda! Takut! Hwaa! Nak balik!
Dia memang
sudah menggigil habis. Macam dalam cerita kartun tu pun ada. Sampai
berpeluh-peluh! Habis dahi basah dek peluh je. Tak payah bersenam. Tak payah
susah-susah nak berlari pun. Terasa kalori terbakar habis gara-gara rasa takut
yang bermukim secara tiba-tiba. Peluh yang terhasil ni memang confirm menyatakan yang lemak dalam badan
terbakar!
Ceh! In your head, Selena!
“Hi! Hi!
Hi!”
“Oh, mak
kau pontianak! Mama! Papa! Ah!” Selena menjerit-jerit di depan pintu rumah Kai.
Kalau dia kuatkan lagi jeritannya tu, memang boleh berkelip-kelip lampu macam
dalam cerita Monsters Inc tu! Ha, macam tulah kuatnya dia menjerit! Rasa macam
nak tercabut anak tekak.
Bekas
makanan yang terisi maggy yang masih panas itu pula terjatuh. Nasib baik
jugalah tak terkeluar semua isi. Memang penat-penat je dia masak kalau semua mi
segera yang dia masak tumpah.
“Hahaha!” Kai yang tiba-tiba sergah Selena
secara tiba-tiba hanya tergelak sakan dengan reaksi yang ditunjukkan Selena.
Lawak gila budak ni melatah!
Kain putih
yang diletakkan di kepala dicabut lalu diletakkan ke tepi. Seronok betul dia
dapat mempermain-mainkan anak jirannya tu.
“Weh,
Amanda. Sudah-sudahlah tu menjerit. Ni aku jelah! Hahaha!” ujar Kai yang cuba
menghilangkan rasa takut dan terkejut dalam diri Selena.
“Kai!
Kurang asam betul mamat ni!” Selena sudah mula menumbuk dada bidang lelaki
tersebut. Meradang habis dia dengan si Kai tu. Sengaja betul dia nak takutkan
orang eh!
“Kau ni
pun satu. Takut sangat. Mana ada hantu kat rumah aku ni. Rumah aku ni penuh
dengan cahaya tau sebab aku ni rajin baca Al-Quran!” ucap Kai yang masih lagi
bersisa gelak tawanya.
“Kot ya
pun tak payahlah sampai nak buat aku terkejut sampai macam ni!” bebel Selena.
“Nasib baik aku ni tak ada lemah jantung tahu tak. Kalau aku tiba-tiba terkena heart attack? Darah tinggi? Macam
mana?”
“Kau yang
susah. Bukan aku yang susah,” kata Kai selamba.
“Ish, kau
ni kan!”
Selena kembali menumbuk lelaki itu. Mulut tu memang tak
cantik macam rupa. Celupar betul! Kalau boleh nak je dia sumbat dengan lada
banyak-banyak. Kenapalah tadi aku tumis semua lada yang nak buat nasi goreng
tu? Membazir je. Kalau sumbat kat mulut mamat ni lagi bagus!
“Relakslah, Amanda,” ucap Kai sambil menolak tangan Selena
yang setia betul menumbuk badannya. Nasib baik jugak tangan Selena tu kecil.
Tak adalah rasa sakit sangat. Kalau tangan dia tu besar macam Uncle Undertaker tu, memang sah bengkak
biji mata dia malam ni!
“Kau terkejutkan aku macam nak gila, kau boleh pulak nak
suruh aku relaks eh?” Selena mengambil semula bekas makanan yang terjatuh tadi.
“Kalau berterabur semua makanan yang ada kat dalam bekas makanan ni, aku memang
tak nak kutip. Kau makanlah semua benda yang kat atas lantai ni.”
Kai hanya
tersengih. Comel pulak bila dia tengok si Amanda ni membebel. Sebiji macam
dirinya. Huh, akhirnya, dia mengaku jugak yang dia tu kuat membebel!
Tambah pula
dengan reaksi terkejut Selena, memang rasa nak terkeluar isi perut! Nasib jugak
dia belum makan lagi malam tu. Kalau tak, memang dah termuntah sebab seronok
gelakkan si Amanda ni!
Dia tak
tahu yang depan dia tu sekarang ni Selena. Bukannya Amanda!
“Alah, aku
main-main jelah. Gurau je pun,” kata Kai yang melihat Selena sedang mengelap
peluh di dahi.
‘Lawa
jugak Amanda ni,’ ucap Kai dalam hati. ‘Selalunya tengok dia ni diam semacam. Bagi
makanan, lepas tu dah. Senyum tak. Apa pun tak. Susah nak tengok dia terkejut
macam ni.’
“Yang kau
ni pandang-pandang aku kenapa?” tanya Selena seusai sahaja mengelup peluh
menggunakan hujung baju.
“Tak ada
apa-apa,” ujar Kai.
Terkebil-kebil matanya melihatkan gadis yang disangkanya
Amanda itu. Walaupun cahaya yang datang dari arah ruang tamu itu tak adalah
terang mana, namun, jelas pada pandangannya kecantikan Selena. Tertancap pada
matanya sepasang mata berwarna hazel-nut
milik Selena. Pandangan gadis itu sedikit sebanyak berjaya menghadirkan degupan
di balik dada bidang itu.
“Mana
makanan aku?” tanya Kai kepada Selena.
“Nah!
Ambil ni! Penat-penat tau aku masak,” ujar Selena sambil menyerahkan bekas
makanan itu kepada Kai.
Kai
menyambut makanan tersebut dengan riang hati. Siapa tak suka kalau dapat
makanan? Dahlah perutnya tu memang dah tak berisi dari tadi. Lapar gila!
“Terima
kasih,” ucap Kai ikhlas.
“Sama-sama.”
Selena membalas.
Gadis itu
terus berpaling untuk pulang ke rumah. Malas dah nak layan perangai sewel Kai
tu. Suka betul buat orang terkejut. Dahlah mula-mula hon kereta kuat-kuat.
Lepas tu jadi hantu pulak! Nasib baik muka kau tu handsome tau! Kalau tak memang aku dah toreh muka kau tu dengan
pisau cukur! Huh! Kasi orang baran je malam-malam buta ni!
“Hoi,
Amanda! Kau nak pergi mana tu?” tanya Kai melihatkan gadis itu mahu berlalu
pergi.
“Aku nak
balik rumahlah. Takkan aku nak tidur rumah kau pulak?” ujar Selena yang kini
berpaling menghadap Kai yang masih lagi setia berdiri di muka pintu.
“Eh,
manalah tahu kalau kau nak tidur rumah aku? Kau kan penakut orangnya. Kalau aku
temankan kau kat rumah aku ni, bolehlah kita...”
“Apa
benda?” Dengan innocentSelena tanya
soalan lagi kepada si Kai.
“Ehem-ehem!”
“Ish,
malas nak layan orang biul macam kau ni!”
Selena terus berpaling. Memang dah penat nak layan orang
macam Kai. Pelik-pelik je perangai! Banyak-banyak lelaki yang aku kenal, tak
seorang pun yang macam mamat ni. Si Jared tu pun tak macam ni kot. Kai ni
lelaki Melayu pertama yang aku jumpa dengan perangai tak senonoh!
Huh!
Menyampah betul!
Kai pula
tergopoh-gapah meletakkan bekas makanan yang diberikan oleh Selena tadi ke atas
meja yang terletak di ruang tamu. Kemudian, dia berlari-lari ke muka pintu lalu
menyarung selipar di kaki.
“Amanda,
tunggu kejap!” panggil Kai. Selena pula hanya meneruskan langkahnya menuju ke
pintu pagar rumah Kai. Lantaklah dengan mamat tu. Tak kuasa I nak pandang!
“Amanda!”
Kai mempercepatkan langkahnya ke arah gadis itu.
“Apa
bendalah? Kau nak apa?” tanya Selena yang sudah menapak keluar rumah.
Kai pula
kini berdiri di sebelah Selena.
“Aku
mintak maaflah. Aku saja je tadi. Bergurau. Kau janganlah ambil hati eh,” jelas
Kai mahu meminta maaf.
Selena
pula hanya mendiamkan diri.
‘Ai, budak
ni dah buat perangai diam balik ke?’ desis Kai dalam hati. ‘Alamak, budak ni!
Kacau sikit dah monyok. Comel pulak!’
Melihatkan
Kai berjalan bersama dengannya menuju ke rumah, Selena mengerutkan dahi. Pelik!
“Kenapa
kau ikut aku ni?” tanya Selena meluahkan rasa peliknya.
“Saja je,”
jawab Kai pendek.
Selena
sudah ternganga mulutnya. Fikirannya sudah terbayangkan yang bukan-bukan.
Entah-entah Kai ni pembunuh bersiri? Dia nak culik aku ke? Lepas tu bunuh aku
ke? Cukup-cukuplah aku kena culik sekali oi! Tak nak dah aku kena lagi!
“Kau ada
niat tak baik eh? Kau nak bunuh aku ke?” Macam-macam soalan yang terkeluar
daripada mulut Selena. Risau benar dia! Mana tak risaunya? Dia tu tengah
berjalan dengan seorang lelaki yang dia baru je kenal. Memang patutlah dia
takut semacam!
“Oi,
apalah kau ni! Ke situ pulak kau fikir. Cubalah bersangka baik sikit. Aku ni
jiran kau. Dah lama aku kenal kau dengan Uncle
Syafiq tu. Takkanlah aku nak buat benda tak elok kat kau pulak,” terang Kai
panjang lebar.
“Habis tu,
kau buat apa ni?” Selena melihat sekilas Kai yang berjalan di sebelahnya.
“Buat
apa?”
“Ish, kau
ni! Lembab betul! Buat apa kau ikut aku ni?”
“Aku nak
temankan kau balik rumahlah. Itu pun mahu tanya ke?” jawab Kai pendek tapi
menjawab soalan Selena.
“Oh...”
Selena terdiam dengan kata-kata Kai.
‘Sweet jugak mamat ni. Padanlah dengan
muka handsome kau tu,’ bisik hati
kecil Selena.
“Dah malam
ni. Tak elok anak dara macam kau ni jalan seorang-seorang tengah-tengah malam.
Tu yang aku teman kau balik ni,” ujar Kai.
“Alah,
bukannya jauh pun. Sebelah rumah je. Tengok ni. Dah sampai dah,” kata Selena
kemudian.
“Eh, kau
ni! Zaman sekarang macam-macam boleh berlaku tau. Budak kecil yang tertinggal
kat taman permainan pun boleh kena culik. Ni lagilah kau yang perempuan ni. At least kalau aku ada boleh tolong
tengok-tengokkan kau. Kang kalau tiba-tiba terjadi apa-apa, bapak kau mesti
cari aku jugak. Aku ni kan jiran dia.”
“Yalah.
Yalah! Dah sampai ni. Terima kasih sebab temankan aku balik rumah. Lain kali
tak payah nak suruh anak dara yang seorang ni masak malam-malam. Tak payahlah
susah-susah dia nak hantarkan makanan.”
“Amboi,
kau perli aku eh?”
“Apa-apa
jelah. Dahlah aku nak masuk ni.”
Selena
mengunci pintu pagar sambil diperhatikan oleh Kai.
Dia mahu terus masuk ke dalam rumah. Dia nak masuk tidur.
Penat betul hari ni!
“Amanda?”
sahut Kai.
Selena
berpaling.
“Mak aku
bukan pontianak.”
Tiba-tiba
Selena teringat yang dia termelatah di rumah Kai tadi.
‘Oh, mak kau pontianak! Aduh, malunya!’
Kai pula
hanya tergelak-gelak.
“Ish, kau
ni! Malas nak layan!”
Selena
terus berpaling. Makin lama dia menghadap Kai, makin gila dia dibuatnya! Aiyo!
Kai! Kau
memang sewel!