Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 33
BAB 33

“Adam, kawan Kak Lisa dah bangun ke belum?” tanya Lisa sebaik sahaja adiknya keluar dari pintu bilik.

“Dah, Abang Irfan sedang solat Kak Lisa.”

“Ya ke... Dia demam lagi ke?”

“Entahlah... Rasanya dah tak demam.”

“Oklah, baguslah kalau macam tu... Ini Adam nak ke mana ni, pagi-pagi macam ni?”

“Apa lagi Kak Lisa... Nak sediakan umpan la...”

“Dekat luar tu, matahari belum keluar lagi... Dah nak pergi?”Lisa mengerutkan dahi.

“Entah... Ayah dah ajak pergi tu...”

“Ya lah... Hati-hati tau...”

“Baik, bos...” Adam tunduk tanda hormat.

“Mengada-ngada,”Lisa tersenyum melihat telatah adiknya itu.

Adam telah pun keluar dari pintu rumah disertai juga dengan ayahnya. Mereka ini memang sekaki kalau dalam bab-bab mencari umpan dan memancing. Pasti pelbagai jenis umpan yang akan dibawa nanti. Maklumlah, lain ikan, lain jenis umpannya.

Mata Lisa kini beralih ke arah bilik Adam. Lisa menghampiri bilik tersebut dan dengan perlahan tangannya menyelak kain langsir yang menutupi pintu. Hati Lisa cukup tersentuh sejurus memandang Irfan yang sedang duduk diatas sejadah dengan kusyuknya sambil mengalunkan zikir memuji kebesaran Allah S.W.T. Merdu dan sayu sekali alunan suaranya di keheningan Subuh hari. Kata-kata pujian yang meniti di bibir Irfan memuji kebesaran Yang Maha Esa sepertinya menusuk jauh ke dalam hati.

Lisa menutup kembali kain langsir lalu bersandar di tepi dinding bersebelahan dengan pintu bilik Adam. Matanya dipejam menghayati alunan zikir yang dilontarkan oleh Irfan.

“Ya Allah, kenapa dengan perasaan aku ini Ya Allah?” Lisa meletakkan tangannya di dada. Terasa seperti denyut jantungnya pantas seperti memberikan satu signal yang Lisa sendiri tidak faham. Lisa terus memejamkan matanya sambil telinganya terus mendengar zikir-zikir yang berkumandang di dalam bilik adiknya.

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya. Ya Allah, wahai Tuhanku, hidupkan ku dengan iman, matikanlah ku dalam iman, serta masukkan ku ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah segala dosa kesalahanku dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapaku, serta kasihanilah kedua ibu bapa ku sebagaimana mereka berdua mengasihaniku semasa aku masih kecil. Ya Allah, akhirilah umurku dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umurku dengan kesudahan yang tidak baik. Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah kiranya Engkau pesongkan imanku sesudah Engkau kurniakan kepadaku petunjuk. Anugerahilahku rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia. Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah diriku daripada azab neraka.

“Ya Allah, berikanlah kepadaku isteri yang terbaik dari sisi-Mu, isteri yang aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat... Engkau permudahkanlah jodohku Ya Allah, jika jodohku jauh, engkau perdekatkanlah Ya Allah, Jika dia memang berada di depan mata, Engkau bukalah mata dan hatiku untuk melihat jodohku itu Ya Allah, jika ia sukar, engkau permudahkanlah Ya Allah.”

Lisa yang berada diluar bilik turut mendengar doa yang dipohon Irfan. Panjang doanya. Hatinya cukup tersentuh.

“Lisa?” sapa Irfan lembut di muka pintu bilik. Kupiah yang diletakkan dikepalanya ditanggalkan dan dilipat.

“Oh, ya! Saya!” Lisa terkejut daripada melayani perasaan yang baru sahaja menusuk jauh ke dalam hatinya.

“Kenapa ni?” tanya Irfan hairan dengan gelagat Lisa yang terpinga-pinga seolah-olah baru terkejut dari lamunan yang panjang.

“Saya... Err... Saya...” Lisa hilang kata-kata. Entah kenapa pagi itu Lisa lihat wajah Irfan begitu tenang dan menyejukkan hati wanitanya. Apabila terpandangkan wajah Irfan pagi ini, hati Lisa terasa begitu lapang. Lapang selapangnya. Lisa cukup terharu. Entah kenapa air mata Lisa, mengalir dengan sendirinya. Perasaan asing itu seolah-olah membuka hati Lisa untuk menerima Irfan lebih daripada seorang rakan sekerja, kawan, musuh atau… Arghh!... Lisa buntu dengan perasaan ini! Lisa menundukkan wajah ke lantai. Cuba mencari kekuatan untuk berbicara.

Lisa mendongakkan wajahnya. Air matanya diseka.

“Maaflah... Pagi-pagi saya memang macam ni... Resdung! Itu yang mata berair dan berhingus macam ni…”

“Patutlah... Ingatkan kau menangis tadi...”

Lisa menelan air liurnya. Nasib baik Irfan percaya. Dari jauh dapat didengari suara Puan Raudah berbual dengan Surianti.

“Awak boleh bersiaplah... Saya nak ajak awak ke Pasar Borong… Saya dah siap ni... Saya tunggu awak dekat luar,” kata Lisa cepat-cepat.

“Matahari belum keluar. Sekarang?” tanya Irfan untuk kepastian.

“Ya, sekarang...”

“Kau dah bersiap ke?” Hairan Irfan apabila melihat Lisa hanya memakai T-shirt bersama seluar track. Terlalu simple. Biasanya Lisa tidak macam ni. Kalau nak keluar, pasti skirt labuh yang menjadi pilihannya.

“Dah... Cepat tau... Nanti habis ikan-ikan segar...”

“Ok...”

Sementara menunggu Irfan bersiap, Lisa ke dapur mengambil senarai barang yang perlu dibeli yang telah disenaraikan oleh Puan Raudah. Lisa meneliti satu persatu tulisan yang tercatit di atas kertas putih.

“Emak, ikan pari ni nak yang kecil atau yang besar?”

“Pilih yang sederhana Lisa... Kalau kecil sangat tak sedap, kalau besar sangat tak sedap juga... Kita nak bakar ikan pari ni nanti... Kalau nak gulai baru sedap yang besar-besar,” terang Puan Raudah sambil tangannya ligat mengacau nasi goreng di dalam kuali.

Lisa mengangguk tanda faham sambil matanya masih meneliti senarai yang tertera.

“Dah siap dah... Jomlah kita pergi,” kata Irfan sebaik sahaja tiba di dapur.

Puan Raudah memandang Irfan dari atas hingga ke bawah manakala Lisa sudah cuba untuk menahan ketawanya.

“Kawan Lisa ni mahu ke mana, segak-segak begini? Sudah mahu pulang?” tanya Surianti hairan melihat Irfan berpakaian T-shirt berkolar siap bertali pinggang kemas.

“Amboi Irfan... Kalau pergi pasar pakai macam ni, alamak gayanya pulang nanti… Habislah baju dan seluar anak ni...” Puan Raudah mencelah.

“Kenapa, mak cik?”

“Awak… Kalau awak nak tahu kita ni nak pergi pasar borong... Bukannya pasaraya...”

So... Kenapa dengan pasar borong?”

“Awak tak pernah pergi pasar borong ke?” Lisa merenung ke arah Irfan.

Irfan mengerutkan mukanya.

“Dah, jom ikut saya...” Lisa bangun dari tempat duduknya. Irfan mengekori Lisa dari belakang menuju ke bilik Adam.

“Awak tunggu dekat luar,” arah Lisa sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam bilik Adam.

Almari pakaian Adam dibuka. T-shirtdan seluar trackyang sesuai untuk Irfan diambil. Mujurlah adiknya Adam, tubuhnya agak tegap dan tinggi. Lebih kurang seperti Irfan. Maklumlah aktif bersukan sebab tu cepat sahaja tumbesarannya.

“Nah... Cepat sikit tau... Kita dah lambat ni...” Lisa menghulur pakaian kepada Irfan.

Irfan menerima huluran Lisa. Cepat-cepat Irfan membuka lipatan baju.

“Seluar track dan T-shirt berkolar bulat? Siap ada gambar kartun Spiderman lagi?” berkerut dahi Irfan.

Lisa hanya tersengih.

“Cepat... Saya tunggu dekat luar...”

Beberapa minit kemudian Irfan ke halaman rumah. Lisa sudah siap bertopi keledar.

“Kita naik motosikal sahajalah... Kereta Kancil, ayah dan Adam dah guna... Pergi ladang agaknya,” jelas Lisa sambil menghulurkan topi keledar kepada Irfan.

“Sesuai juga pakaian Adam dengan dia ni... Baru nampak kekampungan sikit! Selama ini pakaian berjenama sahaja yang disarung... Padan muka! Kali ini, pakai baju pasar malam sahaja,” kata Lisa di dalam hati sementara menunggu Irfan memakai topi keledar.

“Apa kata kita naik kereta aku sahajalah?”

“Tak boleh... Nanti habis kotor kereta awak tu... Lagipun, tempat kita nak pergi ni, ramai orang... Susah nak parking nanti...”

“Betul juga cakap kau tu... Susah nak parking... Kalau kereta kotor, boleh basuh...”

“Tengok, sekarang dah pukul 7 pagi dah... Biasanya orang ke pasar borong 6.30 pagi macam tu... Kita dah lewat ni...”

“Engkau tu yang banyak cakap... Jomlah kita gerak,” kata Irfan tidak puas hati apabila dia yang dipersalahkan.

Startlah motosikal tu...” Lisa menunjukkan tangannya ke arah motosikal Modenas Kriss.

“Aku??”

“Yalah... Siapa lagi... Awaklah... Takkan saya pula...”

“Ok... Aku terus terang sahajalah... Aku tak pandai bawa motosikal ni... Lesen tak ada.” Irfan mengangkat tangan mengaku kalah.

“Apa?? Tak pandai bawa motosikal?” terkejut Lisa mendengar ayat yang keluar dari mulut Irfan.

Irfan hanya tersengih sambil tangannya menggaru keningnya yang tidak gatal.

“Kaulah bawa motosikal ni... Aku duduk belakang...”

“Ada ke patut? Dia ni...” Lisa mula menghidupkan motosikal sambil membebel.

“Aku naik ni,” kata Irfan kekok.

“Yalah...”

“Mak ai... Beratnya!” kata Lisa sebaik sahaja cuba mengundurkan sedikit motosikal.

“Memanglah berat... Kau guna kaki...”

“Jangan banyak cakap... Tak pandai bawa motosikal duduk diam-diam!” kata Lisa geram.

Lisa agak gementar untuk memulakan perjalanan. Motosikalnya sedikit terhuyung-hayang.

“Kau boleh bawa motosikal tak ni?” tanya Irfan cemas.

“Boleh... Cuma nak stabilkan dulu ni... Dah lama tak bawa motosikal ni...”

Irfan memegang pinggang Lisa ketika motosikal sudah bergerak dengan stabil agar tidak jatuh.

“Mak ai... Kurusnya... Rasa macam tak stabil pula...” Irfan ragu-ragu kerana dirasakan badannya tidak stabil ketika ini.

“Haaa… Tangan tu!”

“Kenapa dengan tangan?” tanya Irfan hairan.

“Janganlah letak dekat pinggang saya... Letak dekat besi belakang awak tu sudahlah...”

“Boleh ke? Nanti kalau jatuh?”

“Tak jatuhnya... Pegang besi dekat belakang tu!” Lisa tidak selesa. Memang kalau diikutkan peraturan tangan mestilah diletakkan di sisi paha penunggang. Mati Lisa, kalau Irfan mengambil kesempatan.

Tangan Irfan dialihkan ke besi belakang.

“Ada ke orang naik motosikal pegang besi belakang macam ni? Mesti kelakar,” fikir Irfan.

Kini, motosikal Lisa melalui kawasan tanaman padi yang luas terbentang. Warna hijau yang terhampar luas itu menyegarkan mata memandang. Jalan kecil yang bertar dilalui Lisa dengan penuh penghayatan terhadap panorama pagi yang indah. Suasana kabus yang masih belum beransur hilang itu memberikan suasana yang begitu dingin dan begitu menyamankan. Bukit-bukau masih disaluti dengan kabus yang memutih bak kapas. Sinar matahari masih belum menjelmakan diri. Mungkin masih bersembunyi disebalik bukit-bukau yang menghijau itu.

Irfan dibelakang begitu terpegun dengan keindahan yang berada dihadapan matanya. Sukar untuk melihat permandangan seperti ini di kota.

“Cantik kampung kau Lisa...”

“Apa? Saya tak dengar!” Lisa menguatkan suaranya. Suara Irfan tidak begitu jelas. Intonasi suaranya lari dibawa angin hasil daripada pecutan motosikalnya.

“Kampung kau ni cantik!”

Lisa tersenyum. Kampungnya memang diakui mempunyai panorama yang sunguh mendamaikan. Motosikal dipecut laju. Sebaik sahaja melalui kawanan kuda, Lisa memperlahankan motosikalnya.

“Kuda siapa ni Lisa?!” tanya Irfan sebaik sahaja melalui kawanan kuda yang sedang meragut rumput.

“Kalau tak silap, ini kuda Tengku Faisal... Kenapa?!” Lisa tidak lepaskan peluang melihat kawanan kuda tersebut.

“Tak ada apa-apa... Kalau kita freenanti, bolehlah kita naik kuda ni...”

“Eh, boleh... Tengku Faisal tu kawan baik saya. Nanti lepas kita balik dari Tasik Kenyir nanti saya tanyakan... Saya pun dah lama ni tak naik kuda...” Lisa sedikit teruja.

“Ok, bagus...”

“Kalau sempatlah... Saya tak janji,” kata Lisa.

Motosikal mereka kini berada ditengah-tengah jalan raya Kuala Terengganu. Lisa begitu berhati-hati mencelah di celah-celah kereta yang tersusun panjang menanti lampu isyarat bertukar hijau. Nasib baiklah tidak sukar Lisa mengimbangi berat pembonceng dibelakang. Irfan dibelakang agak gementar dengan cara pemanduan Lisa. Lori, kereta,van semuanya dia mencelah.

“Dia ni sengaja takutkan aku ke? Nak balas dendam ke ni?” Irfan teringatkan pada awal pemulaan mereka berkenalan dimana Irfan sengaja memandu kereta dengan begitu laju sehinggakan gadis ini mengucap panjang. Sekarang, giliran Irfan pula mengucap panjang.

Motosikal kini menuju ke arah sebuah pasar yang dipenuhi dengan ramai orang.Tempat letak kereta kelihatan semuanya penuh. Beberapa lori yang membawa tong besar bewarna oren bergerak dengan perlahan di dalam lautan manusia. Sesekali hon perlahan dibunyikan. Mungkin meminta laluan daripada pengunjung.

Lisa meletakkan motosikalnya di bawah sebatang pokok. Irfan dan Lisa turun dari motosikal. Irfan mula menanggalkan topi keledarnya dan suasana disekeliling diperhatikan. Bau hanyir dari pasar menusuk ke hidung sehinggakan tekak terasa mual.

“Jomlah...” Lisa mengajak Irfan setelah motosikal dikunci sebaiknya. Lisa sudah tidak sabar untuk memilih ikan-ikan segar.

“Err... Jom!” Irfan berhati-hati dalam langkahnya agar tidak terjatuh di dalam lopak air hitam di sepanjang laluannya.

“Redup pula hari ni kan?” kata Lisa.

Irfan mendongak ke langit. Di langit, awan berarak mendung. Matahari pula masih tidak memunculkan diri. Ini petanda hari mahu hujan.

“Macam nak hujanlah Lisa... Payung kita tak bawa ni... Macam mana ni?”

Lisa hanya tersenyum. Geli hatinya melihat wajah Irfan yang kelihatan risau.

“Kalau macam tu, mandi hujanlah kita...” Lisa mengusik.

“Mana boleh... Aku kan baru baik demam ni...”

“Ya ke? Bila masa ya awak demam?” Lisa menjungkitkan kening kirinnya. Panahan matanya tepat mengenai bebola mata Irfan.

Irfan melarikan pandangannya daripada melihat anak mata bewarna hazel Lisa. Bimbang jika dia tidak dapat berdalih di atas pembohongan yang telah dibuat. Renungan tajam tersebut seolah-olah ingin menghamburkan api kemarahan dan kegeraman.

“Cantik tahi lalat sebelah mata kau tu...” Irfan berdalih.

Lisa melarikan pandangannya apabila dia perasan Irfan telah mula meneliti wajahnya. Cepat-cepat Lisa mengatur langkah masuk ke dalam pasar.

“Malulah tu...” Irfan ketawa kecil memperlihatkan barisan giginya.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam pasar yang tidak berbumbung pada laluan pembeli, deretan longgokan ikan menjadi tatapan Irfan dan Lisa. Pelbagai saiz dan jenis ikan dipamerkan untuk dijual. Semuanya ikan segar-segar. Suara para penjual mempromosikan jualan mereka sungguh menceriakan suasana. Pelbagai strategi digunakan mereka untuk menarik perhatian pembeli. Kata penjual di situ, ikan baru sahaja diambil dari kapal yang baru berlabuh dan dijamin kesegarannya. Lisa mengeluarkan senarai yang telah ditulis oleh Puan Raudah dari poket seluarnya. Sekarang bermulah operasi untuk membeli ikan-ikan segar ini. Irfan hanya mengikut dari belakang kerana dia tidak begitu arif untuk membeli ikan-ikan yang dipesan oleh Puan Raudah.

“Nah...” Lisa menghulurkan satu plastik yang berisi ikan pari. Irfan mengambil huluran tersebut.

“Amboi, dia ni... Aku jadi tukang angkut barang dia pula...” Irfan meneliti tangannya yang telah sarat dengan beg plastik yang berisi ikan dan makanan laut yang lain.

“Lisa, banyak lagi ke nak beli ni?”

“Ermm... Sekejap ya...” Lisa meneliti senarai di tangan.

“Tak ada dah... Tinggal nak beli sayur sahaja lagi ni...” Lisa tersenyum melihat tangan Irfan yang sudah penuh. Sengaja dia kenakan Irfan.

“Kalau macam tu, cepatlah... Hari dah nak hujan ni...”

Belum sempat kaki mereka bergerak ke kawasan jualan sayur, hujan mula turun dengan lebat selebatnya. Lisa dan Irfan segera berlari ke arah peniaga ikan yang berbumbung. Hujan turun mencurah-curah. Nasib baiklah peniaga ikan memberikan ruang untuk mereka berteduh.

“Abang, naik atas sikit... Habislah selipar cantik abang tu,” tegur budak muda yang memberikan ruang untuk mereka berteduh.

Irfan melihat kakinya dibawah. Macam mana dia boleh tak perasan kakinya sudah terendam dalam aliran air basuhan ikan.

“Tak apa dik... Selipar murah sahaja ni,” Irfan berbohong.

“Saya tengok, saya dah tahu selipar mahal ni... Lain kali bang, kalau datang pasar ni, pakai selipar Jepun sahaja... Tak pun pakai macam saya ni... Kasut but... Kalau tak, habis lencun dengan air ikan macam ni,” kata budak muda tersebut sambil tersengih.

“Ini budak bandar dik... First time datang pasar borong,” kata Lisa ramah.

“Oh ya ke...” Budak muda tersebut mengangguk faham.

Irfan hanya tersenyum.

Barulah Irfan mengerti kenapa Lisa beria-ria sangat menyuruhnya menukar baju lain ketika di rumah tadi. Begini rupanya pasar borong. Irfan mula menyukai tempat ini. Tempat yang menjual makanan harian yang segar, banyak pilihan dan apa yang penting di sini, harganya sangat-sangat murah.

“Awak, rasanya lambat lagi ni hujan nak reda... Awan pun macam banyak lagi air yang nak dicurahkan...” Lisa meneliti kelibat awan dilangit begitu juga dengan Irfan. Pengunjung yang lain berjalan seperti biasa sambil memegang payung. Cuma mereka berdua sahaja yang tersadai di situ. Betullah kata orang-orang tua, sediakan payung sebelum hujan.

“Habis tu, kita nak redah hujan ni?” tanya Irfan.

“Kalau awak tak kisahlah...”

“Aku boleh sahaja...”

Sebelum meninggalkan tempat berteduh, Lisa dan Irfan mengucapkan terima kasih kepada budak muda tersebut kerana memberikan ruang untuk mereka berteduh buat sementara. Lisa dan Irfan mula meredah hujan yang kurang sedikit lebatnya berbanding tadi. Mereka mengatur langkah selaju mungkin menuju ke ruang jualan sayur-sayuran. Lisa hanya memilih sayur secara rambang sahaja dan sedikit kuih-muih turut dibeli. Setelah siap membeli apa yang diperlukan, Lisa dan Irfan mengambil keputusan untuk terus meredah hujan dengan motosikal. Motosikal mereka amat sarat dengan barang-barang yang dibeli. Umpama motosikal menjual ikan dan sayur.

Motosikal Lisa bergerak perlahan meredah hujan. Sesampai sahaja lorong jalan kampung, hujan kembali turun selebat-lebatnya.

“Lisa!! Lebatnya hujan... Kan tak pasal-pasal terlepas semua ikan-ikan ni...” sempat lagi Irfan membuat lawak.

Suasana hujan begini, mengembalikan memori Irfan ketika masih awal remaja dahulu. Irfan masih ingat, ketika dia berusia 13 tahun, dia selalu bermain hujan dengan seorang budak perempuan yang 4 tahun lebih muda daripada usianya. Mereka berdua selalu mengayuh basikal bersama-sama meredah hujan. Walaupun orang tuanya melarang, mereka tetap berdegil bermain hujan. Tiba-tiba sahaja Irfan rasa rindu pada budak perempuan tersebut. Setelah Irfan berpindah rumah, mereka telah terputus hubungan. Dengar khabarnya, keluarga budak perempuan tersebut turut berpindah selepas keluarga Irfan berpindah.

Tidak semena-mena wajah Encik Hamid dan Puan Raudah bermain dilayar fikiran Irfan. Orang tua tersebut sepertinya dikenali Irfan suatu ketika dahulu. Irfan terpana! Otaknya ligat berpusing cuba mengingati wajah orang tua budak perempuan tersebut. Irfan tidak dapat mengingati nama ibu dan ayah budak perempuan tersebut kerana seingat Irfan, dia hanya membahasakan ibu dan ayah budak perempuan tersebut sebagai Pak Cik dan Mak Cik manakala budak perempuan tersebut bernama Liana. Nama penuhnya, Irfan tidak tahu atau mungkin Irfan terlupa. Irfan tidak pasti. Inilah kelemahan Irfan, sukar mengingati nama panjang kawan-kawan rapat. Ingat sekejap, kemudian akan lupa. Nasib baiklah fakta undang-undang yang dipelajarinya tidak mudah dilupakan.

Lisa memberhentikan motosikalnya di sebuah wakaf kecil. Sementara hujan beransur reda, mereka akan berteduh di sini buat sementara waktu.

“Kalau aku tahu kita akan mandi hujan, mesti aku tak mandi pagi tadi...” Irfan merenung ke langit.

Lisa hanya tersenyum. Mujurlah dia belum mandi lagi pagi tadi. Kebiasaannya Lisa akan mandi selepas balik dari pasar borong. Kalau tidak, mesti dia perlu mandi sekali lagi selepas meredah air ikan di pasar.

“Awak lapar tak?”

“Laparlah juga...”

Lisa bangun dari tempat duduk lalu mencapai bungkusan plastik dari raga motosikal. Air yang berada diluar plastik direnjis keluar agar tidak masuk ke dalam kuih. Lisa mengeluarkan bungkusan kuih yang dibeli.

“Makanlah,” kata Lisa. Irfan mencapai sebiji kuih gulung lalu disuapkan ke dalam mulut.

“Berkhelah pula kita pagi ni... Hahaha...”

“Tahu tak apa,” kata Lisa sambil membuka ikatan getah kuih bakar. Tak sangka hari ini mereka tersadai dalam hujan. Kalau tahu macam ni, boleh sahaja bawa kereta Irfan. Kalau kotor pun, air hujan ni boleh cucikan.

Buat sementara waktu, mereka menikmati kuih-muih yang dibeli sementara menunggu hujan reda.

“Nanti, kalau hujan dah reda, saya nak bawa awak satu tempat... Mesti awak suka!” kata Lisa bersungguh.

“Tempat apa?” tanya Irfan dengan penuh minat.

“Kalau nak tahu, tunggu hujan reda dululah... Nanti kita pergi.”

“Ok...” Irfan tersenyum. Fikirannya kembali memikirkan gadis sunti yang bernama Liana yang dikenalinya suatu ketika dahulu. Satu persatu kenangan bersama Liana kembali menerjah ke ruang fikiran Irfan. Kemanalah gadis tersebut pergi? Irfan tidak dapat mencari jawapan yang pasti.

“Hujan dah reda tu... Jomlah kita gerak,” kata Lisa sambil tangannya menyimpan kembali kuih yang tidak habis dimakan ke dalam plastik.

Irfan masih termenung jauh.

“Pit Pittttttttttt!!” Hon daripada motosikal mengejutkan Irfan dari memori zaman kecilnya.

“Apa??!!” Jerkah Irfan kerana terkejut dengan hon tersebut.

“Tak nak balik, saya tinggalkan awak dekat sini!” Lisa mula menggerakkan motosikalnya

“Eh,eh!! Woii!! Tunggullah!!” Irfan berlari anak mengejar motosikal Lisa yang sudah bergerak di jalan bertar.

“Topi keledar tu, tak kan nak tinggalkan dekat situ...” Lisa menegur.

Irfan berpatah balik ke belakang untuk mengambil topi keledar yang ditinggalkan di wakaf sebentar tadi. Lisa tersenyum nakal. Motosikalnya terus bergerak perlahan. Dari cermin sisi, Lisa dapat melihat Irfan berlari mengejar motosikalnya.

“Woiii!! Tungguu!!”

Lisa melambaikan tangannya. Motosikal terus dipecut laju sebaik sahaja Irfan hampir dengan Lisa. Irfan tidak berputus asa mengejar motosikal yang dibawa Lisa.

“Pandai juga dia bergurau dengan aku!” bisik Irfan.

Dari jauh dapat dilihat Lisa telah memberhentikan motosikalnya. Lisa bercekak pinggang di tepi jalan.

“Cepat! Cepat! Irfan boleh! Irfan boleh!” Lisa bersorak riang.

“Argghhh!!” Irfan memperkuatkan lariannya.

Sebaik sahaja sampai di hadapan Lisa...

“Tadaaaa!.” Lisa mendepakan tangannya ke arah sebuah tasik yang dipenuhi dengan bunga teratai yang sedang kembang mekar.

“Wahh... Subhanallah… Cantiknya!” Irfan memandang tasik yang dipenuhi bunga teratai pelbagai warna dengan penuh keterujaan. Teratai yang bewarna merah jambu, putih, ungu dan kuning itu sungguh memukau di dalam cuaca redup begini ditambah pula dengan berlatar belakangkan bukit bukau yang menghijau dan berkabus.

“Tolong ambilkan gambar...” Irfan menghulurkan telefon pintarnya.

“Eh, tak boleh nak on pun?” kata Lisa. Irfan cepat-cepat kembali menjenguk telefonnya di tangan Lisa. Kalau telefonnya rosak, musnahlah harapannya untuk bergambar dengan panorama ini. Mungkin telefonnya terkena air hujan.

“Hahaha... Gurau sahaja!!” Lisa menjelirkan lidah.

Irfan terasa bagai dikenakan.

“Nasib ini kampung kau, Lisa... Kalau tak…”

“Kalau tak apa?” Lisa menaikkan keningnya.

“Cepatlah ambil gambar aku ni!!”

“Dah ambil dah,” kata Lisa.

“What??”

“Gambar spontan!” Lisa tersengih.

“Janganlah main-main... Tunggulah aku possing...

“Dah, cepat... Kita dah nak balik ni...Susah betul kalau dah dasar model ni!”

Beberapa keping gambar diambil secepat mungkin. Mereka tidak boleh lama di situ. Awan kelabu mula memenuhi ruang angkasa.

Mereka memulakan perjalanan pulang ke rumah.

“Macam mana kau tahu aku suka bunga ni?”

“Puan Elinna yang cakap...”

“Bila?”

“Adalah... Masa tu kami ada terserempak di pasaraya. So, kami jalan sama-sama... Adalah sikit-sikit Puan Elinna cerita pasal awak...”

“Ooo... Patutlah...”

“Patut apa?”

“Kau tahu aku suka teratai!!”

Lisa hanya tersenyum namun senyuman tersebut masih dapat dilihat Irfan melalui cermin sisi motosikal yang dinaiki.

Previous: BAB 32
Next: BAB 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.