Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 20
BAB 20

Kini, Irfan dan Lisa berada di hadapan Restoren Makanan Laut Warisan Melayu iaitu sebuah restoren yang terkenal dengan makanan laut yang segar. Terletak berhampiran perkampungan nelayan menyebabkan restoren ini tiada masalah untuk mendapatkan sumber berkenaan.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam restoren, kelihatan begitu banyak aquarium yang menempatkan puluhan jenis makanan laut seperti udang, ketam, pelbagai jenis ikan dan juga kerang-kerangan.

Irfan mengajak Lisa duduk di sebuah sudut meja yang agak jauh daripada orang ramai. Restoren ini betul-betul melambangkan ciri-ciri kemelayuan.

“Kita nak makan dekat sini ke?” tanya Lisa menampakkan kerisauan di wajahnya yang putih bersih.

Irfan mengangguk perlahan sambil menarik kerusi untuk Lisa duduk.

“Tarik-tarik kerusi pula.... Tadi bukakan pintu kereta,” bisik hati Lisa sedikit rimas dengan kelakuan Irfan.

“Nak makan makanan laut yang dalam aquarium tu ke?” Mata Lisa membulat sebaik sahaja mengemukakan soalan.

“Ya… Nanti kita pergi pilih ikan-ikan segar tu…” Irfan tidak sabar.

Lisa mula menunjukkan muka risau dan kasihan.

“Ini kenapa ni?” tanya Irfan lembut.

“Sebenarnya…”

“Kau tak makan makanan laut?” Irfan meneka.

“Tak… Saya makan…Suka sangat-sangat… Tapi mesti mahal kan?” Lisa cuba mencari alasan.

“Tak adalah mahal sangat… Berpatutanlah.... Kenapa nak risau? Aku belanja....” Irfan tersenyum melihat Lisa resah di hadapannya.

Lisa melihat para pelanggan yang lain sibuk memilih udang-udang dan ikan-ikan yang masih hidup untuk dimasak. Satu persatu ikan dan udang diangkat dengan menggunakan jaring kecil. Kasihannya… Lisa tidak sampai hati.

“Awak tak kasihan ke?”

“Kasihan?” Irfan mengerutkan dahinya hairan dengan soalan Lisa.

“Maksud saya, awak tak kasihan ke ikan tu kan masih hidup… Kerana kita, dia mati.”

“Itukan makanan kita… Lagipun ikan-ikan yang kita beli dekat pasar tu kan asalnya masih hidup. Tapi kerana kita, ikan tu mati juga kan?” kata Irfan sambil mengambil menu makanan daripada pelayan yang baru tiba dimeja mereka.

“Nak makan apa?” tanya Irfan.

“Apa-apa sahaja,” ucap Lisa acuh tidak acuh. Dia sedang memikirkan bagaimana untuk tidak makan makanan laut yang masih bernyawa itu. Irfan mula memesan makanan untuk mereka berdua. Lisa sudah tidak menghiraukan tentang apa yang hendak diisi ke dalam perutnya. Semuanya diserahkan kepada Irfan.

“Kalau macam tu kita ambil nasi putih dan lauk tu nanti kita pilih....”

“Kita pilih?” tanya Lisa sambil menunjukkan jarinya ke arah aquarium.

“Jom saya tunjukkan makanan laut yang ada,” kata pelayan tersebut denggan mesra.

“Oh ya.... Tolong tandakan tempat kami. Takut nanti ada orang lain yang ambil tempat kami,” mohon Lisa.

“Baiklah… Kami akan tandakan,” kata pelayan tersebut dan terus memberitahu rakan setugasnya.

“Saya dah beritahu rakan saya. Jom saya tunjukkan makanan laut yang ada....”

Irfan dan Lisa bangun mengikut langkah pelayan lelaki yang kemas beruniform. Satu persatu aquarium yang menempatkan makanan laut ditunjukkan beserta dengan harga untuk 100 gram.

“Adik, ada tak makanan laut yang dah mati tapi masih segar?” tanya Lisa.

“Ada… Di sebelah sana. Mari saya tunjukkan.”

“Saya tak sampai hatilah…” Lisa membuat muka sedih di hadapan Irfan.

Irfan kalah dengan raut wajah dihadapanya. Untuk kali ini dia hanya dapat melihat ikan-ikan segar di dalam aquarium tersebut sambil kakinya menuruti langkah pelayan tersebut. Udang pun kelihatan besar-besar! Irfan hanya menelan air liurnya.

“Ini makanan lautnya. Masih segar! Baru diambil dari jeti nelayan petang tadi,” jelas pelayan tersebut.

“Wahh… Banyaknya… Petang tadi? Kira baru lagilah,” kata Irfan.

“Jemput pilih ya... Kalau ada apa-apa panggil saya disana ya,” kata pelayan tersebut memberikan privasi kepada pasangan tersebut untuk memilih.

“Jom pilih, Lisa....” Keinginannya untuk makan makanan laut yang masih hidup ditinggalkan begitu sahaja sebaik melihat makanan laut dihadapannya masih segar-segar. Ini pasti menjamin keenakan isinya.

“Kita nak masak apa ni?” tanya Lisa sebelum meletakkan makanan laut tersebut di dalam bakul kecil.

“Kita masak steambotlah... Ok tak?” tanya Irfan sambil matanya masih melilau melihat lambakan makanan laut dihadapannya.

“Ok juga...” Lisa menganggukkan kepala.

Setengah kilo udang ditimbang terlebih dahulu. Empat ekor ketam dimasukkan ke dalam bakul satu persatu. Sesekali terdengar gelak ketawa mereka.

“Sotong nak tak?” tanya Irfan sambil mengangkat seekor sotong dengan penyepit untuk ditunjukkan kepada Lisa.

“Ermm... Ambillah... Kita masak merah....”

“Masak merah? Masak hijau ada tak?”Irfan cuba berjenaka.

“Tak ada.... Sedap ni kalau buat sotong masak merah.”

“Ok, kita ambil…” Irfan memasukkan beberapa ekor sotong ke dalam bakul.

“Saya nak ikan pari boleh?” tanya Lisa.

“Nak masak apa?”

“Ikan pari bakar...”

“Wahh... Good idea....” Irfan menyokong cadangan Lisa.

“Oh ya... Kawan awak tu.... Huda?”

“Kenapa dengan dia?.”

“Dia suka makan apa? Kita bungkuskan untuk dia sekali....”

“Wahh… Baiknya hati awak!” Lisa terharu.

“Untuk Huda kita bungkuskan ikan pari bakarlah.... Dia suka!”

“Ok… Tiada masalah. Ambil lebih sikit.” Irfan menunjukkan muka keikhlasan.

Tak sangka Irfan masih mengingati kawannya yang berada dirumah. Tidak pentingkan diri sendiri.

“Untuk parents awak?” tanya Lisa.

“Parents aku? Mereka dengan Iffa tak ada dirumah. Bercuti di Cameron Highland. Teman Iffa yang nak sangat pergi kesana.”

“Kenapa awak tak ikut sekali?” tanya Lisa sambil menunggu pilihan makanan laut mereka ditimbang.

“Kerja banyak dekat pejabat tu....”

“Awak kerja dekat mana?”

“Firma Guaman Mustafa....”

“Jadi, awak ni… Kerja apa?”

“Cuba teka,” Irfan tersenyum.

“Ermm...” Lisa cuba meneka didalam fikirannya. Tak kan kerani… Kereta pun mahal-mahal… Tapi kalau peguam... Peguam berapa gajinya? Mahal ke? Kereta Audi TT-RS Roadster kan mahal harganya…

“Dapat teka tak?”

“Kalau kerja firma guaman mestilah peguam kan… Tak kan bomba pula....” Lisa meneka.

“Pandai pun.”

“Jadi, awak kerja peguam? Sama dengan Ustaz Saiful?”

Irfan mengiyakan kata-kata Lisa.

“Encik, semua ni dah siap ditimbang… Nak kami masakkan menu macam mana?” tanya wanita yang sudah agak berusia yang berpakaian chef. Senyuman tidak lokek dari wajahnya.

“Ermm.... Ok, untuk ikan pari buatkan ikan pari bakar. Satu untuk makan dekat sini. Satu lagi dibungkus… Untuk sotong buatkan sotong masak merah… Ketam dan udang buatkan steamboat,” beritahu Irfan.

“Untuk steamboat mahu perisa tom yam atau original?”

“Buatkan dua-dua sekali,” kata Irfan.

Irfan melihat Lisa leka melihat pelbagai jenis cendawan dihadapannya. Pasti Lisa teringin, fikirnya.

“Untuk steamboat tambahkan kami cendawan butang, lobak dan bebola ketam dan bebola udang,” tambah Irfan.

“Baiklah… Ada apa-apa lagi?”

“Rasanya itu sahaja....”

“Kalau tidak ada apa-apa encik boleh duduk dulu... Nanti kami hantarkan. Meja berapa encik duduk?” tanya wanita tersebut setelah selesai mencatat permintaan pelanggannya.

Irfan terpinga-pinga dengan soalan itu. Lupa pula dia hendak melihat meja tempatnya duduk sebentar tadi.

“No 24 Selatan,” jawab Lisa.

“Ok... Terima kasih. Kami akan siapkan secepatnya,” kata wanita berkenaan lalu berlalu ke dalam dapur.

“Awak pasti No 24 Selatan?” tanya Irfan.

“Pasti bos! Jomlah kaki saya dah lenguh ni...”

“Itulah… Pakai lagi tumit tinggi macam ni.”

“Alaa.... Bukan tinggi mana pun… 2 inci setengah sahaja,” jawab Lisa selamba.

Irfan mengelengkan kepalanya. Tidak faham benar dia dengan orang perempuan ni. Badan sudah tinggi nak juga pakai tumit tinggi. Tak sakit ke kaki tu? Lisa telah berjalan meninggalkanya dibelakang. Irfan laju melangkah cuba untuk melangkah seiringan dengan Lisa menuju ke mejanya tadi.

“Selamat engkau ikan… Selamat engkau udang… Selamat engkau ketam…” Irfan mengetuk-ngetuk jarinya perlahan-lahan sebaik sahaja mereka melalui kawasan aquarium. Lisa hanya tersenyum mendengar kata-kata Irfan. Lisa memberhentikan langkahnya.

“Awak tengok tu… Muka-muka ikan tu.... Muram sahaja. Hormon dia pun dah tak stabil tu… Jadi isinya tak manis.” Lisa cuba melawak sambil jarinya mengikut pergerakan ikan di dalam aquarium.

Irfan merenung muka-muka ikan tersebut. Macam mana mahu melihat air muka ikan? Lisa ni biar betul? Kawan dengan ikan ke? Oh ya.... Lisa berkawan dengan ikan emas....

“Amboi… Mentang-mentang berkawan dengan ikan emas, pandai awak tengok air muka ikan,” Irfan mengusik.

“Ikan Emas?” Lisa hairan. Kaki terus melangkah menuju ke arah meja makan.

“Kawan setugas awak itulah…”

“Oh… Maria?” Lisa ingat Irfan pernah berjumpa dengan Maria sebaik sahaja menjemput Lisa pulang dari berkhursus beberapa bulan yang lepas.

“Kenapa awak panggil dia ikan emas?” tanya Irfan cuba mengorek rahsia. Irfan membetulkan kedudukan kerusinya agar lebih rapat dengan meja.

“Sebab.... Entahlah.... Senior-senior yang bagi gelaran. Katanya mulutnya macam ikan Emas.... Awak tengok tak ikan emas macam mana mulutnya? Kan selalu bergerak-gerak,” kata Lisa sambil mengajuk gaya mulut ikan emas.

Ternganga mulut Irfan melihat kelakuan Lisa. Biar betul? Dia melawak ke apa ni? Buruk benar…

“Opss... Termengumpat… Astaghfirullahaladzim…” Lisa menekup mulutnya. Satu kelemahannya bila bercakap mengenai Maria. Dia akan mengejeknya sungguh-sungguh. Musuh tradisinya sejak dibangku universiti. Entah kenapa boleh pula bekerja satu hospital dan lebih kejam satu wad.

“Boleh tak kau buat sekali lagi gaya mulut ikan emas.... Aku nak ambil gambar ni.” Irfan mengeluarkan telefon pintarnya.

“Eh, tak naklah… Buat malu… Tadi tu tak sengaja…” Lisa cuba menutup malu.

“Tadi tu tak malu? Ok, kita ambil gambar kenang-kenangan....”

“Boleh....”

Irfan meminta pelayan yang berdiri berhampiran dengan meja mereka untuk mengambil gambar mereka berdua.

“Satu, dua, tiga…”

Sekeping gambar diambil...

“One more,” kata pelayan itu.

“Satu, dua, tiga…”

“Ok, cantik gambar ni,” ucap pelayan tersebut sambil menghulurkan telefon kepada Irfan.

“Terima kasih....”

“Sama-sama,” kata pelayan tersebut lalu melangkah pergi dari meja mereka.

“Eh, cantik pula gambar ni Lisa… Baru perasan sedondon warna baju kita. Macam mana kau tahu aku nak pakai baju biru laut ni?”

“Tengok…”

Telefon bertukar tangan.

“Aaah... Cantik gambar ni… Itu dinamakan naluri... Bluetooth...”

“Bluetoothlah.... Naluri? Maksud kau naluri kita sama? Macam tu?” tanya Irfan.

“Amboi… Seriusnya dia… Itu dinamakan kebetulan…”

“Dan itu juga dinamakan jodoh,” sambung Irfan.

“Eh, cepatlah tolong bluetoothkan....” Lisa cuba menukar topik. Lagi dilayan lagi menjadi-jadi nanti.

Irfan mengambil kembali telefonya.

“Whatsapplah Lisa… Senang sikit,” ujar Irfan.

“Aaahh… Lupa pula saya…”

Lisa membuka aplikasi Whatsapp.

“Awak kata, ada pekara penting yang hendak dibincangkan… Apa tu?”

“Oh ya… Nasib baik kau tanya… Aku dah lupa. Tengok makanan laut dekat sini aku dah tak fikir benda lain dah… Dalam otak aku makan, makan dan makan… Begini, kau berminat tak untuk menjalani sesi fotografi?”

“Fotografi? Macam menarik! Saya memang gilakan ambil gambar. Tapi untuk apa?”

“Menjadi model....”

“Model?!” Lisa teruja. Telinganya dipekakan untuk menerima setiap butir kata-kata Irfan. Perkara itulah yang diimpikan sejak dibangku sekolah lagi. Tapi masih tiada peluang dan tidak ada pun orang yang sudi untuk menjadikannya model. Lagipun dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menceburi bidang tersebut.

“Ya, model… Model baju pengantin untuk butik mama aku...” Irfan sudah dapat meneka pasti Lisa akan bersetuju. Tidak perlulah dia bersusah-payah memerah otak lagi untuk memikirkan model butik pengantin mamanya. Masih banyak kerja lain dipejabat yang perlu difikirkan. Tapi, calon menantu? Irfan buntu… Takkan perempuan yang tidak pernah meminta maaf diatas kelakuan menumbuknya suatu ketika dahulu mahu dijadikan isteri? Ciri-ciri isteri yang mahu dicarinya haruslah perempuan yang mudah untuk meminta maaf jika melakukan kesalahan. Barulah harmoni rumah tangga. Saling bertolak ansur.

“Tapi, saya tak pandai nak bergaya depan kamera. Saya tak pernah jadi model....”

“Tapi itu impian kau kan?”

“Impian? Macam mana awak tahu?”

“Alamak... Terlepas cakap la pula,” kesal Irfan di dalam hati.

“Err… Tak, aku boleh nampak dari reaksi kau tu....”

“Yalah kan.... Awak kan peguam. Mesti faham dengan lenggok bahasa badan kan. Tapi, memang menjadi model impian saya dari zaman sekolah lagi....”

“Inilah peluang untuk kau mengasah bakat…”

“Boleh ke ni? Nanti saya fikirkan balik....”

“Tak payah nak fikir-fikirkan… Terima sahaja…”

“Segan saya nak menerimanya… Lagipun saya tak pandai nak posing-posing ni… Itu cuma impian saya.”

“Takkan kau nak mengalah macam tu… Tak apa.... Fotografer semuanya baik-baik. Mereka akan beritahu macam mana nak posing nanti.... Percayalah… Aku pun tak pandai...”

“Awak pernah ke jadi model?”

“Pernah… Sebab mama dah paksa... Hahahaha… Kekok juga depan kamera tu…”

“Ok, kalau macam tu saya terima,” jawab Lisa bersungguh-sungguh.

“Baguslah… Macam inilah…Ok, esok kau kerja tak?”

“Mestilah kerja… Shiff malam…”

“Owh, malam... Siang tu kau freelah?”

“Free....”

“Kalau macam tu esok kau datang ke Butik Pengantin Elis.... Antara jam 12.30 tengahari.”

“Butik Pengantin Elis? Butik yang selalu masuk tv tu?”

Irfan mengangguk.

Lisa mengetap bibirnya. Rasa cuak mula menyelubungi hatinya. Rasanya mahu sahaja dibatalkan niatnya tadi. Dia yang selama ini tidak pernah menjadi model, tiba-tiba telah bersetuju untuk menjadi model untuk butik yang terkenal. Alamaknya nanti takut huru-hara jadinya set pengambaran tu nanti.

“Tak perlu temuduga ke?”

“Tak....” Irfan ketawa kecil mendengar soalan Lisa.

Lisa seperti masih memikirkan tawaran tersebut.

“Tak payah nak difikirkan. Bukan senang tau nak dapat peluang ni… Terima sahaja ok… Esok aku tunggu dekat butik tu… Datang tau…” Irfan mengharap.

Lisa mengangguk perlahan-lahan... Antara setuju atau tidak setuju… Apa kata cuba sahajalah. Lisa tersenyum.

“Baiklah....”

“Haa.... Macam itulah…”

Mereka berdua memberi ruang untuk pelayan menghidangkan makanan yang telah siap dimasak. Hidangan yang masih panas dan berasap sungguh membangkitkan selera. Laju sahaja tangan Lisa mencapai sudu dan garfu. Tidak sabar rasanya untuk merasai makanan dihadapannya kini. Belum sempat nasi disentuh, Irfan menadah tangan dan bacaan doa makan dibacakan. Lisa meletakkan kembali sudu dan garfu yang dipegang. Terasa malu sendiri dengan sikapnya yang gelojoh. Tangannya turut diangkat untuk mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh Irfan. Tak sangka lelaki yang kelihatan moden ini tidak lupa adab di meja makan. Sejuk hati ibu yang mengandung. Suka Lisa melihatnya.

“Eh, jemputlah makan Lisa,” kata Irfan apabila melihat Lisa masih menadah tangan dan matanya masih melihat dirinya. Apa kena dengan perempuan ni? Irfan melambai-lambaikan tangannya dihadapan mata Lisa. Lisa tersedar.

“Apa?” tanya Lisa terpinga-pinga.

“Jemput makan…”

“Oh, ya… Makan-makan,” kata Lisa. Perasaan malu mula bertapak diwajahnya. Macam mana dia boleh terleka dengan bacaan doa Irfan tadi. Padahal bukanlah panjang sangat doa tu. Tapi, fikirannya masih sempat melayang lagi.

Geli hati Irfan melihat telatah wanita dihadapanya. Sekejap garang, sekejap lucu…

“Dia jatuh hati ke?” teka Irfan. Kempas-kempis terasa hidungnya.

“Ermm… Ya Allah... Sedapnya!” kata Lisa sebaik sahaja makanan disuapkan ke dalam mulutnya.

Irfan senang dengan gelagat Lisa. Kalau bab makan mesti bersungguh-sungguh. Pertemuan pertama di kedai makan berhampiran hospital dan jamuan Hari Lahir Huda tempoh hari sudah memperlihatkan tabiat Lisa yang sangat menggemari makanan. Tidak akan ada satu pun yang bersisa kecuali tulang-belulang. Tak cover depan orang terutamanya lelaki. Ini sesetengah perempuan kalau keluar makan dengan mana-mana lelaki mesti tak habiskan semua makanan dalam pinggan. Kononnya dah kenyang tak pun makanan ini tak sedaplah… Entah-entah dalam hati nak sahaja simpan peha ayam tu dalam beg. Boleh sambung makan dekat rumah. Padahal kalau dekat rumah siap menambah berpinggan-pinggan. Semua lauk diratah termasuklah tulang-tulang. Sampaikan kucing pun menangis bila tengok tulang memang tinggal tulang. Tidak ada pun isi yang tinggal. Macam inilah baru tidak membazir.

Previous: BAB 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.