Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 5
BAB 5

Lisa seperti biasa, sebelum pulang dia akan melihat wajahnya pada cermin iaitu cermin yang selalu dilihatnya sebelum memasuki wad. Dari situ dia dapat melihat aura penat mula menghiasi wajahnya.

Walaupun penat, hati Lisa tetap terasa puas kerana dapat membantu insan-insan yang memerlukan bantuannya. Tanpa disangka, pintu bilik bersebelahan cermin itu telah dibuka oleh seseorang lalu muncullah seorang jejaka yang segak berpakaian kot putih.

“Amboi, bukan main lagi dia senyum! Kalau saya jadi cermin tu, dah lama saya ikut awak balik. Untung cermin tu!” sergah Dr.Haikal.

“Eh, Dr.Haikal… Kenapa pula cermin tu untung?” tanya Lisa kepelikan.

“Ialah, mana tak untungnya! Tiap-tiap hari ada orang senyum padanya!”

Lisa tersipu-sipu malu. Dalam otak pemikirannya dia hairan. Macam mana Dr.Haikal tahu dia senyum pada cermin tu? Padahal dia baru sahaja membuka pintu.

“Hahaha… Macam-macamlah doktor ni. Oklah saya minta diri dulu. Dah lewat ni nak merehatkan diri....”

“Jomlah jalan sekali. Saya nak turun ke bawah juga ni. Nak beli makanan,” ajak Dr.Haikal.

Dr.Haikal menanggalkan kot putih yang dipakai lalu dia masuk kembali ke dalam pejabat untuk meletakkan kot putih miliknya itu.

Pintu wad dibuka dengan kad identiti petugas. Kemudian mereka berjalan seiringan menuju ke arah lif. Sekali-sekala terdengar ketawa kecil mereka berdua.

“Eh, doktor… Bukan ke pihak hospital ada sediakan makanan untuk doktor yang betugas. Kenapa tak makan makanan yang dah disediakan?”

“Lauk apa hari ni?” tanya Dr.Haikal.

“Kalau tak silap saya, lauk ketam masak lemak cili api!”

Pintu lif terbuka lalu mereka berdua mula menapak masuk ke dalam lif. Butang G ditekan.

“Hahaha… Kalau macam tu awak intailah lauk saya, ya?”

“Kan bekasnya lut sinar… Nampaklah…”

“Cuba awak fikir secara logik, tak kan lauk ketam masak lemak cili api kut? Buatnya tiba-tiba pesakit emergency, saya pula tengah meratah lauk ketam. Hah! Teruk jadinya! Buatnya saya pula yang tercekik… Nak meratahnya pun dah satu hal.”

“Hahaha... Tak adalah doktor… Saya tipu sajalah… Saya pun tak tahu lauk apa yang disediakan,” jawab Lisa tersengih-sengih.

“Dah agak dah… Untung awak dah boleh balik masa ni… Saya petang esok baru boleh balik ke rumah.”

“Mestilah… Sayakan staffnurse…Bukan doktor.... Hahaha…” Lisa tergelak kecil.

Dr.Haikal turut ketawa bersama menampakkan barisan gigi putih yang tersusun rapi. Mereka berjalan menuju ke sebuah kedai makanan bersebelahan dengan hospital tempat mereka bekerja. Menjadi kebiasaan Lisa untuk membeli makanan di situ untuk juadah makan malamnya. Kalau hendak memasak selepas pulang dari bertugas memang tak larat. Jadi, jalan mudahnya dengan membeli makanan yang telah disiapkan.

Setelah mereka menunggu selama 15 minit, 2 bungkus nasi goreng kampung bersama telur dadar telah disiapkan. Selain itu, Lisa juga memesan seekor ikan goreng khas untuk ahli baru rumahnya iaitu Tuah.

“Mak cik, berapa semua sekali ni ya?” tanya Dr.Haikal kepada peniaga tersebut.

“Semuanya RM 12.”

Dr.Haikal menghulurkan wang kertas merah dan hijau. Lisa mula membuka dompet untuk membayar harga makanannya kepada Dr.Haikal. Setelah mengambil baki wang, mereka bergerak meninggalkan kedai tersebut.

“Doktor, ini wang untuk bayaran doktor tadi,” kata Lisa sambil menghulurkan sejumlah wang kertas.

“Eh, tak apalahhh… Saya belanja... Bukan selalu pun kan... Kita inikan rakan setugas di hospital ni… Wad pun wad sama,” jawab Dr.Haikal ikhlas.

“Seganlah saya kalau macam ni doktor,” kata Lisa sambil berlari anak mengejar langkah Dr.Haikal yang kehadapan mendahuluinya.

“Tak payah segan-segan… Anggap saja sebagai hadiah dari saya.” Dr.Haikal telah menghentikan langkahnya.

“Kalau macam tu, terima kasih tau!” Lisa memasukkan kembali wang kertas ke dalam dompet.

“Sama-sama... Oklah saya tak boleh lama-lama dekat luar ni. Takut saya diperlukan di wad.”

“Ialah... Terima kasih sekali lagi!”

Dr.Haikal hanya mengangguk dan dia terus melangkah ke dalam hospital manakala Lisa melangkah menuju ke arah keretanya.

Irfan semakin merasai kedinginan bilik yang dihuninya kini. Sejuknya sampai ke tulang! Tambahan lagi ketika waktu senja hujan turun membasahi bumi jadi waktu malamnya sudah tentu akan menjadi lebih sejuk. Irfan memikirkan cara untuk dia menghilangkan sejuknya.

“Eh, tak kan aku nak berkongsi selimut dengan papa kut.”Irfan memeluk tubuh yang dirasakan sudah menggigil.

Tuan Iskandar sesekali terjaga dek kerana batuk yang dialaminya. Walaupun terjaga, dia tidak mempedulikan Irfan. Seolah-olah Irfan tiada di situ. Irfan tanpa berlengah lagi bertindak mematikan suis penghawa dingin kerana suhu dirasakan semakin sejuk.

Irfan termenung seorang diri. Pack ice tidak digunakan lagi. Irfan mula membayangkan wajah jururawat Natasya. Sepertinya mereka pernah bertemu sebelum ini.

“Daripada aku pening memikirkan siapa gerangan jururawat tadi, baik aku ambil kamera aku dalam kereta… Baru boleh pastikan dengan tepat!”

Irfan bingkas bangun dari tempat duduknya seperti tidak sabar untuk melihat kebenaran tekaan pemikirannya. Sebelum keluar, dia sempat memberitahu Tuan Iskandar untuk keluar sebentar. Papanya hanya mengangguk.

Irfan mengosok-gosokkan kedua belah tapak tangannya lalu ditekapkan di kedua-dua belah pipi. Rasa hangat mula menjalar. Hilang rasa sejuknya.

Diluar, kelihatan para petugas hospital begitu tenang melakukan tugas masing-masing.

“Encik mahu keluar ke?” sapa seorang jururawat.

“Ya, saya nak turun ke bawah sekejap. Kenapa staffnurse?

“Encik jangan lupa bawa kad menunggu sekali. Bimbang kalau pengawal keselamatan tidak membenarkan encik naik ke atas semula. Encik boleh tunjukkan kad menunggu jika mereka tidak membenarkan encik masuk.”

“Ooo… Ok,” kata Irfan sambil memeriksa poket seluarnya.

“Saya ada membawanya,” kata Irfan sambil menunjukkan kad menunggu tersebut.

“Kalau macam tu baguslah… Pintu keluar dikunci, bila saya angkat tangan encik boleh tarik pintu untuk keluar.”

“Kenapa macam tu pula? Kenapa awak perlu angkat tangan?” tanya Irfan sedikit pelik.

“Sebabnya, kunci pintu tu ada di kaunter saya ni… Jika saya dah angkat tangan, maknanya saya dah tekan kunci untuk dibuka. Jadi, encik perlu menarik pintu tu secepat yang mungkin sebelum ia terkunci kembali,” terang jururawat tersebut sambil tersenyum.

“Ooo… Macam tu… Baiklah.”

“Encik, bila encik nak masuk, encik boleh tekan loceng diluar ya. Nanti petugas dari dalam akan melihat encik dari skrin ini dan selepas itu kami akan membuka kunci seperti yang telah diterangkan tadi.”

“Ok, canggih juga ya…” Irfan terpegun dengan sistem keselamatan yang telah diaplikasikan oleh pihak pengurusan hospital.

Jururawat bertugas hanya tersenyum.

Irfan segera mengatur langkah untuk keluar dari Wad Mawar. Setelah pintu dibuka, dia segera menarik pintu untuk keluar. Langkah terus diatur untuk menuju ke lif. Hatinya tidak sabar untuk mengetahui adakah jururawat Natasya adalah gadis yang telah menumbuknya pagi tadi? Jika ya jururawat Natasya adalah gadis tersebut, apakah yang bakal Irfan akan lakukan? Ligat otaknya memikirkan rancangan jahat. Namun, hatinya berharap jururawat Natasya bukanlah gadis yang ditemui pagi tadi. Ini kerana, hatinya sudah terpaut dengan jururawat tersebut dan Irfan juga tidak akan pernah melupakan ikrar yang telah dilafazkan pada gadis itu pagi tadi iaitu dia akan membalas dendam untuk semua ini. Irfan seorang yang berpegang pada kata-katanya. Jika itu yang telah dikatakanya, maka perkara itulah yang akan dilakukannya.

Aturan langkahnya diperkemaskan setelah keluar dari pintu lif. Suasana ditingkat bawah begitu sepi. Masa ini jugalah kisah-kisah hantu mula menjengah otak pemikirannya. Langkahnya semakin laju menuju ke pintu keluar. Nasib baiklah ada pengawal keselamatan di luar pintu masuk. Irfan hanya melemparkan senyuman pada pengawal keselamatan tersebut. Pengawal tersebut hanya mengangguk.

“Huhh... Selamat ada pak cik ni… Seram pula rasanya,” ngomel Irfan seorang diri.

Irfan memandang ke sekeliling. Petak parkir telah banyak yang telah kosong. Suasana tidak sesibuk petang tadi. Ini mungkin kerana waktu bekerja dan waktu melawat telah pun tamat. Lampu jalan hanya menyinari sebahagian jalan sahaja. Melalui lampu jalan yang membiaskan warna jingga itu, kelihatan renyai-renyai hujan membasahi tanah yang telah bertar hitam itu.

Irfan bertindak meredah hujan yang turun renyai-renyai itu menuju ke arah keretanya. Setelah memasuki kereta, tangannya terus menyambar kamera yang diletakkan di bahagian belakang.

“Kenapalah aku letak barang berharga seperti ini di dalam kereta. Jika dicuri orang, tak ke haru jadinya?” Apa-apa pun dia harus mengambil peringatan untuk semua ini.

Kameranya terus dibuka. Irfan melihat satu persatu gambar yang telah diambil pagi tadi. Sudah menjadi kebiasaan Irfan untuk mengambil gambar ketika berjogging terutamanya jika dia berjogging di Tasik Perdana pada waktu pagi. Suasana pagi di tasik itu memang mempersonakan dengan kehadiran terbitnya sinar fajar.

Satu persatu gambar dilihat Irfan. Sengaja dia memperlambatkan tayangan gambar. Hatinya kuat berharap agar jururawat Natasya bukanlah gadis yang menumbuknya pagi tadi. Kini, muncullah gambar seorang gadis bersama kucing.

“Eh, wajah dia macam jururawat Natasya la… Aduiii… Tak mungkinnnn! Tak kan gadis kasar ni boleh jadi jururawat? Jururawat Natasya lembut aku tengok, tak macam perempuan ni! Kasar!”

Irfan menepuk stereng keretanya tanda protes. Gadis yang mencuri hatinya sebentar tadi seiras betul dengan gadis yang dia telah berjanji akan membalas dendam untuk apa yang telah diperlakukan oleh gadis tersebut terhadapnya.

“Tak mungkin ni… Jururawat Natasya ada lesung pipit. Tapi, perempuan ni tak ada pula aku tengok,” kata Irfan sambil meneliti gambar tersebut.

“Eh, memanglah tak ada lesung pipit… Ini kan dia tak senyum dalam gambar ni.... Macam mana lesung pipit nak keluar…”

Gambar kedua dilihat Irfan. Gambar kedua ini di zoom agar lebih jelas.

“Owhh ok… Perempuan ni ada tahi lalat kecil di hujung matanya. Jururawat Natasya? Alahai… tak perasan pula aku… Nak tunggu esok ke? Takkan aku nak teliti tepat-tepat pada mukanya… Nanti apa pula kata dia…”Irfan resah.

Irfan memandang keluar tingkap kereta. Otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian. Hujan diluar kelihatan tidak lagi renyai-renyai. Hujan mula menunjukkan tanda-tanda ia akan semakin lebat membasahi bumi.

Irfan menyimpan kembali kameranya di dalam beg yang telah dikhaskann untuk kamera tersebut. Kamera tersebut dimasukkan ke dalam bajunya bimbang kalau terkena hujan yang semakin bertambah lebat. Setelah keluar dari kereta, Irfan berlari sepantas mungkin menuju kearah pintu masuk hospital. Sebaik sahaja sampai di pintu masuk hospital, Irfan mencari kelibat pengawal keselamatan yang berada di muka pintu tadi.

“Alamak! Pak cik tu tak ada!” Irfan mula mengatur langkah selaju yang mungkin menuju ke arah lif. Di hadapan pintu lif ada seorang jejaka berkot putih sedang sabar menunggu pintu lif dibuka. Mereka berdua hanya berbalas senyuman.

Setelah pintu lif dibuka, Dr.Haikal menekan nombor tingkat empat sama seperti tingkat yang ingin dituju oleh Irfan. Mereka menuju ke arah wad yang sama.

“Maafkan saya doktor... Doktor ini bertugas di Wad Mawar ke?” tanya Irfan di hadapan pintu masuk Wad Mawar.

“Iya saya… Saya bertugas di wad ini... Kenapa ya encik”

“ Owh… Kebetulan papa saya dirawat di wad ini... Bilik Mawar 25. Namanya Tuan Iskandar bin Tuan Abdul Malik… Diagnose as injured of left radius…Boleh saya tahu bila papa saya boleh discaj?

“Tuan Iskandar… Ermmm kalau mengikut pemerhatian saya, beliau mungkin boleh discaj lusa.... Untuk masa sekarang ini, Tuan Iskandar telah pulih dari demam, cuma batuknya sahaja masih belum hilang. Jika demamnya berlarutan mungkin beliau telah terkena jangkitan kuman. Tapi alhamdulillah beliau tidak lagi demam… Insya-Allah lusa beliau boleh discaj,” jawab Dr.Haikal dengan penuh penjelasan.

“Baguslah kalau macam tu…”

Terbayang di mata Irfan bagaimana kemalangan itu berlaku. Ianya bermula ketika mereka sekeluarga sedang berbual ditaman dan ketika itu Tuan Iskandar meminta izin untuk keluar ke stesen minyak. Baru sahaja motosikal melepasi pagar rumah mereka, tiba-tiba papanya rebah tersungkur di bahu jalan. Tuan Iskandar telah dihempap motosikal. Katanya mahu mengelak kucing yang tiba-tiba sahaja melintas dihadapannya. Mujurlah tiada kecederaan yang serius berlaku. Padahnya, tangan kiri Tuan Iskandar patah.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.