Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 32
BAB 32

Huda menyiram pokok bunga Lisa dengan cermat. Panas terik mentari menyebabkan hampir kesemua pokok dihalaman layu. Jam kini menunjukkan pukul 6.00 petang. Huda menjenguk ke rumah sebelah.

“Mana Ustaz Saiful ni... Tak balik lagi ke? Biasanya waktu macam ni dah ada dekat rumah...” Huda hairan. Siraman pada pokok diteruskan.

“Pokok apa ni ya? Dah masuk lima hari masih tak bertunas?” Huda meneliti pokok yang diberikan Dr.Haikal kepada Lisa.

“Untung kau Lisa... Dr.Haikal tu baik orangnya... Cemburu pula aku tengok kamu berdua...”

“Tapikan Lisa... Aku lebih suka kalau kau kahwin dengan Irfan... Tak tahulah kenapa... Macam kau dengan Irfan ni ada satu aura yang membolehkan kamu berdua bersama.” Huda membelek pokok yang diberikan Dr.Haikal.

“Dr.Haikal pun satu... Gantung Lisa tak bertali... Dr.Haikal ni suka atau tak pada Lisa ni? Cara layanan macam Lisa ni istimewa padanya… Tapi, kalau tengok dari segi spiritual Dr.Haikal ni macam ada sembunyikan sesuatu yang menghalang untuk dia berterus-terang pada Lisa...”

“Hurmmm... Macam mana ya... Lisa suka dekat siapa sebenarnya ni?”

“Cakap dengan siapa tu Cik Huda?” tanya Liza pekerja butik Huda yang menemani Huda sepanjang Lisa bercuti.

“Cakap dengan pokok ni...” Huda bangun dari duduk mencangkung dan meneruskan siraman.

“Cakap dengan pokok? Boleh faham ke pokok tu Cik Huda...”

“Eh, jangan main-main tau... Orang cakapkan, kalau kita bercakap dengan pokok, pokok tu akan cepat membesar dan sihat...”

“Boleh percaya ke?”

“Boleh kut...” Huda hanya tersenyum. Dari jauh, kelihatan kereta Honda Civic Ustaz Saiful mendekati perkarangan rumah. Huda memperbetulkan tudungnya. Sejak mengenali Ustaz Saiful, terbuka hati Huda untuk berhijab. Lelaki ini banyak membantu Huda memperbetulkan landasan yang dilalui oleh Huda selama ini.

Ustaz Saiful telah menghadiahkan Huda sehelai selendang kepada Huda sempena tanda terima kasih Ustaz Saiful terhadap Huda yang tidak jemu-jemu memasak makanan berkhasiat ketika dia sakit suatu ketika dahulu. Dalam bungkusan hadiah tersebut terselit sebuah buku yang bertajuk Kelebihan Wanita Menutup Aurat. Setelah membaca buku tersebut, timbul rasa keinsafan pada diri Huda.

“Lambat balik hari ni?” tegur Huda.

“Aahh... Saya ada cari barang sikit,” jawab Ustaz Saiful.

“Ooo... Patutlah lambat...”

“Saya masuk dulu ya... Belum Solat Asar lagi ni...”

“Oh ya ke... Dah lewat ni... Cepat-cepat…”

Ustaz Saiful hanya tersenyum dan bergegas masuk ke dalam rumah. Kotak kecil yang berada di dalam kotnya dikeluarkan. Ustaz Saiful tersenyum. Semoga Huda menyukainya.

Tiupan angin diwaktu petang begini begitu menenangkan jiwa dan perasaan. Suasana redup petang itu membolehkan kanak-kanak bermain wau dengan penuh keriangan. Sesekali kedengaran gelak tawa mereka. Mungkin teruja apabila wau mereka berjaya dinaikkan angin. Dada langit yang membiru kini dihiasi dengan pelbagai bentuk dan warna wau yang bewarna-warni. Namun, keriangan kanak-kanak tersebut tidak dapat menceriakan hati Irfan yang sedang berada diluar rumah bersama Encik Hamid. Seluruh tubuh Irfan sedang menjadi mangsa kepada cengkaman tangan Encik Hamid yang sejak dari tadi mengurut badan Irfan. Irfan dipaksa meniarap sementara Encik Hamid mengurut dibahagian belakang.

Di atas pokok, Lisa menahan ketawanya. Tak sangka semasa Lisa berada di atas pokok, ayah dan Irfan datang duduk di bawah pokok rambutan tersebut. Pangkin di bawah pokok rambutan tersebut telah dijadikan tempat berurut oleh ayah Lisa pada petang itu. Dari atas, Lisa dapat melihat Irfan terpekik terlolong menerima urutan daripada Encik Abdul Hamid. Penangan tangan ayah Lisa memang kuat. Segala lenguh dibadan pasti akan hilang selepas berurut.

“Pak cik... Dahlah tu... Tak tahan saya,” rintih Irfan meminta simpati.

“Apalah kamu ni... Kata anak jantan! Ini baru urut sikit tau... Esok, insya-Allah dah tak demam ni... Ini kaki banyak sangat berjalan sebab tu sakit... Orang kata apa? Lactic asidberkumpul?”

“Arrhhhh!!!” Irfan meraung kesakitan.

“Ini kaki ni kenapa lebam?” tanya Encik Hamid.

Irfan mengintai kaki yang dikatakan lebam oleh Pak Cik Hamid.

“Anak pak ciklah tu punya pasal,” kata Irfan perlahan. Kali ini raungan Irfan bertambah kuat.

“Pak cik, pak cik ni berurut ke nak bunuh saya ni pak cik…”

“Hahahaha… Ini berurut nak hilangkan demam... Kena kuatlah sikit... Tak kan pak cik nak urut kamu macam dekat spa tu... Itu bukan nak hilangkan demam namanya... Itu nak hilangkan stress…”

“Dahlah tu pak cik... Saya dah tak sanggup,” rayu Irfan.

Lisa diatas pokok perlahan-lahan memetik buah rambutan agar tidak disedari oleh Irfan dan ayahnya. Geli hatinya melihat telatah Irfan.

“Padan muka... Entah betul ke tidak demam tu,” bebel Lisa. Bukan Lisa tidak tahu Irfan telah membuang ubat yang diberikan tadi ke tanah. Ketika Lisa membelek kuntuman bunga berhampiran dengan bilik Irfan tiba-tiba sahaja Lisa terpandangkan beberapa biji pil yang diberikan tadi kepada Irfan bertaburan di tanah. Kalau ikutkan hati Lisa, mahu sahaja Lisa bertanyakan kepada Irfan kenapa ubat ini dibuang? Memandangkan Irfan adalah tetamu dirumahnya, Lisa harus hormat. Tidak baik menyalahkan atau memalukan tetamu.

“Sekarang kamu baring telentang pula,” arah Pak Cik Hamid.

“Pak cik... Saya dah tak sanggup pak cik… Sakittt...”

“Kalau nak sembuh demam, kenalah tahan sakit sikit...”

“Baring cepat...”

Irfan memusingkan badannya. Matanya dipandang keatas dan seretak selepas itu...

“Pak cik, besarnya kera!! Dia curi rambutanlah!” Irfan terkejut apabila melihat ada satu makhluk di atas pokok seakan-akan kera dan terus bingkas bangun. Encik Hamid turut memandang ke atas.

“Ya Allah, anak aku! Lisaaaa!! Turun!” jerkah Encik Hamid. Irfan sepantas kilat menyarungkan baju ke tubuhnya yang hanya berkain pelikat.

“Alamak!Ayah nampaklah,”sesal Lisa.

“Turun sekarang Lisa!”

“Ya... Nak turunlah ni…” Lisa mula perlahan-lahan menuruni pokok rambutan besar tersebut.

“Apa ni abang... Meraung-raung dekat luar tu,” jerit Puan Raudah dari tingkap rumah.

“Anak dara awak inilah... Panjat pokok rambutan ni mengalahkan anak jantan!”

“Kan saya dah cakap... Awak cakap nak nasihatkan dia... Patutlah saya cari dia tak jumpa petang ni. Rupanya ada atas pokok.” Puan Raudah mula melangkah ke halaman rumah sambil membawa pisang rebus.

Lisa mengibas bajunya yang kotor terkena lumut yang tumbuh pada pangkal pokok. Lisa memandang Irfan. Kali ini entah siapa yang malu. Irfan yang malu disebabkan Lisa nampak Irfan berurut atau Lisa yang malu sebab panjat pokok macam jantan.

“Sejak bila kau duduk atas pokok Lisa?” Irfan perlu tahu adakah Lisa nampak segalanya?

“Sebelum awak berurut saya dah ada atas pokok ni,” jawab Lisa dengan muka tidak bersalah.

“Jadi awak nampaklah segalanya?”

Lisa mengangguk sambil mulutnya tersengih.

“Arghh... Malunya!” jerit hati Irfan. Tak pernah lagi dalam hidupnya membuka baju di depan perempuan selain ibunya.

“Raudah, saya rasa saya dah nak letak sarang kerengga atas pokok ni,” beritahu Pak Cik Hamid setelah Puan Raudah sampai di tempat duduk mereka.

“Jemput makan Irfan... Haa... Bagus sangatlah tu... Nanti tak adalah anak dara awak tu panjat pokok ni... Maaflah Irfan. Anak mak cik ni memang suka sangat panjat pokok. Kalau ikutkan hati mak cik, nak sahaja tebangkan pokok ni...”

“Eh, rugilah kalau tebang mak cik... Tak dapat nak makan buah rambutan… Dekat pasar tu bukannya murah buah rambutan ni,” kata Irfan.

“Janganlah letak kerengga... Kalau ayah nak tahu, makan atas pokok sambil tangan memetik sendiri buah rambutan ni, kita dapat merasakan satu kepuasan yang berbeza dibandingkan makan buah yang sudah siap dipetik.”

“Kepuasan la sangat... Mak tengok dah macam kera...”

Lisa hanya diam manakala Irfan cuba menahan ketawanya. Teringat gelaran Ratu Kera yang diberikan Lisa kepada Miera. Sekarang Lisa pula diumpamakan seperti itu.

“Mak ni... Tak baik tau kata Lisa macam tu.” Lisa buat-buat merajuk.

“Eh, samalah Kak Lisa bila Kak Lisa buat muka macam tu... Tangan pun pegang pisang,” tegur Adam dari jauh yang masih mendengar perbualan mereka. Kayuhan basikal diperlahankan sebaik sahaja menghampiri mereka.

“Kamu ke mana Adam?” tanya Lisa.

“Ini... Adam pergi kedai Pak Cik Mail... Beli joran baru...”

“Nak buat apa joran baru? Kan dah ada banyak tu,” tanya Lisa hairan.

“Ayah tak beritahu Kak Lisa lagi ke?” Adam berpaling pada ayahnya yang sedang mengunyah pisang rebus.

“Lupa pula nak beritahu... Macam ni Lisa, esok kita semua akan ke Tasik Kenyir...”

“Tasik Kenyir? Woww! Kita sahaja ke?” tanya Lisa teruja.

“Taklah... Irfan ikut sekali,” Pak Cik Hamid berpaling pada Irfan.

“Saya ikut sekali? Tak mengganggu ke pak cik?”

“Mana ada mengganggu... Masa inilah Irfan boleh kenal Terengganu... Tak kan Irfan nak tinggal seorang diri dekat rumah ni. Kalau Irfan dah nak balik Kuala Lumpur, lainlah...”

“Kalau macam tu pak cik, saya balik esok pagilah... Rasanya demam saya dah baik esok ni,” kata Irfan tidak mahu mengganggu percutian anak beranak ini. Ayat pak cik ni pun macam nak menghalau dirinya sahaja.

“Mana boleh balik Abang Irfan... Adam dah belikan joran ni... Khas untuk abang. Nanti bolehlah kita memancing bersama.” Adam tidak bersetuju dengan cadangan Irfan. Baru niat dihatinya mahu berteman ketika memancing nanti.

“Betul tu Irfan... Tak payah balik lagilah... Masa inilah nak kenal Tasik Kenyir... Rugi tau kalau tak ke sana,” tambah Encik Hamid.

“Boleh ke Lisa?” tanya Irfan.

“Boleh... Jomlah!” kata Lisa teruja. Dirinya nama sahaja anak Terengganu tetapi kakinya belum pernah lagi sampai ke Tasik Kenyir.

“Ok, kalau macam tu saya ikut...”

“Pastikan demam sembuh tau Irfan,” kata Puan Raudah mengusik. Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada anak muda ini.

“Dah tak demam ni,” kata Lisa sekadar menyindir.

“Mudah-mudahan,” kata Irfan sambil wajahnya berpaling kepada Lisa.

Petang itu, mereka berbual kosong. Tak sangka Irfan begitu ramah melayani setiap pertanyaan emak dan ayah Lisa. Lisa senang melihat gelagat Irfan seperti itu. Menghormati orang tua. Sekali pandang Lisa sepertinya jatuh hati pada Irfan. Senyuman, layanan dan kata-kata Irfan sepertinya cuba meleburkan perasaan Lisa terhadap Dr.Haikal yang masih lagi menjadi tanda tanya.

Malam ini Huda sungguh bahagia. Gelang tangan manik ditanggannya ditenung lama. Cantik, pandai Ustaz Saiful pilih.

“Awak suka tak gelang ni?” tanya Ustaz Saiful.

“Suka...” Huda mengangguk perlahan.

“Kalau boleh, bulan depan keluarga saya nak datang merisik...”

“Apa?” Huda macam tidak percaya dengan kata-kata yang diucapkan Ustaz Saiful.

“Keluarga saya nak datang merisik,” ucap Ustaz Saiful lembut.

Huda tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya berdebar bercampur gembira.

“Boleh tak ni?” Ustaz Saiful menatap lembut mata Huda.

“Eh, mestilah boleh... Awak serius ke ni?”

“Ya, saya serius nak jadikan awak isteri saya...”

Huda tersenyum. Wajahnya begitu ayu dengan penampilan berhijab. Tidak sangka Ustaz Saiful bakal menjadi jodohnya tidak lama lagi. Perkenalannya dengan Ustaz Saiful 3 tahun yang lalu menumbuhkan bibit-bibit cinta di antara mereka. Ditambah pula dengan kecederaan yang diperolehi Ustaz Saiful kerana cuba menyelamatkan Huda beberapa bulan yang lepas, menjadikan hubungan mereka bertambah rapat. Mulai saat itulah cinta mereka bertambah mekar. Ustaz Saiful pula banyak mengajar Huda untuk menjadi muslimah yang sejati agar tidak mendedahkan aurat.

“Kalau macam tu, datanglah... Nanti saya beritahu emak dan ayah saya…” Huda mengacau-ngacau minuman sejuknya dengan straw. Tak sangka, ini yang mahu diberitahu Ustaz Saiful selepas tergesa-gesa mengajaknya keluar selepas Isyak tadi.

Ustaz Saiful tersenyum bahagia. Semoga Nurul Huda binti Ehsan menjadi permaisuri hidupnya. Insya-Allah jika dizinkan Allah.

Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.