Home Cerpen Umum KARMA
KARMA
Atie Atiya
22/1/2015 18:20:18
2,757
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Duhai manusia, sayangilah haiwan.

Panas mentari hari ini sungguh memeritkan. Aku melangkah perlahan-lahan di pinggir kaki lima sambil membawa beg bajuku yang dibawa dari kampung. Sesekali aku bertukar tangan membawa beg ini kerana tanganku tidak larat dengan beban yang dibawa. Aku fikir, aku mahu mencari rezeki di ibu kota ini. Sebentar lagi, kawanku akan menjemputku di sini untuk tinggal bersamanya. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Orang di sini semuanya nampak moden,bergaya dan berpelajaran. Laju sahaja langkah mereka. Mungkin mereka mengejar waktu. Aku pula, seperti rusa masuk kampung. Kawanku yang janjinya mahu menjemputku di stesen bas masih belum tiba. Tekakku mula terasa haus. Aku perlu mencari sebuah gerai bagi menghilangkan rasa haus ini.

Sebaik sahaja aku menemui gerai yang menjual makanan dan minuman, aku mula melabuhkan punggungku di situ. Dari tempat dudukku, aku memerhatikan gelagat seorang kanak-kanak lelaki mungkin didalam linkungan 5 atau 6 tahun. Aku memerhatikan sahaja gelagatnya yang sedang rakus menendang seekor kucing putih yang sedang bunting. Perlahan-lahan aku menyedut minuman yang dipesan tadi. Aku cuba menenangkan hatiku yang mula terasa panas melihat kelakuan anak kecil itu. Ibu bapanya seperti tidak mengambil kisah dengan kelakuan anaknya. Mereka terus menikmati hidangan di atas meja sementara kucing bunting itu masih setia di bawah meja meminta sedikit makanan daripada mereka.

Tiba-tiba, kucing bunting tadi melompat ke atas meja.

“Tak guna punya kucing!” Perempuan tersebut terus menolak kucing itu turun dari meja makan mereka.

“Lydia, ok? Lydia tak boleh terkejut macam ni.. Nanti anak di dalam perut ni pun terkejut..” Suaminya mula memegang perut isterinya yang sedang sarat mengandung.

Kucing bunting di bawah meja tadi masih setia di situ sambil mengiau meminta simpati. Daripada pengamatanku, kucing ini sudah lama tidak makan kerana badannya tersangatlah kurus. Di dalam keadaan yang tidak cukup makanan, kucing ini terpaksa berkongsi zat dengan anak-anak yang dikandungkannya. Tidak seperti perempuan itu yang bernasib baik kerana dikurniakan rezeki untuk dinikmati demi kesihatan anak di dalam kandungan. Bagaimana kucing itu mahu meneruskan kehidupan jika semua manusia tidak peduli akan dirinya yang lemah itu?

Aku sangat bersimpati. Aku harus melakukan sesuatu. Belum sempat aku mengangkat punggungku, aku lihat tangan perempuan itu laju mencapai air panas di atas meja lalu dijirus ke atas badan kucing bunting yang masih menunggu di bawah. Aku terpana! Kejamnya manusia itu!

“Hahahaha… Baru senyap.. Dari tadi duduk mengiau.. Bising!” Mereka ketawa puas sebaik sahaja kucing bunting itu berlari meninggalkan mereka.

Mereka berdua ibu bapa yang salah! Tidak sedarkah mereka anak lelakinya sedang memerhatikan kelakuan tersebut? Tidak sedarkah mereka bahawa anak lelakinya itu akan mencontohi setiap kelakuan ibu bapanya? Mereka telah mendidik anak lelaki mereka menjadi seorang yang kejam! Jadi, tidak hairanlah jika sebentar tadi anak lelakinya tanpa rasa belas kasihan terus menendang kucing itu. Kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.. Bagi aku, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Jika anak kecil itu telah dididik untuk menganiayai binatang, tidak mustahil suatu hari nanti sukar rasa belas kasihan ingin meresap ke dalam jiwa anak itu. Anak itu akan membesar menjadi manusia yang tidak mempunyai hati dan perasaan.

Apa yang menghairankan aku, kenapa orang sekeliling sepertinya tidak mengendahkan perkara tersebut? Hanya aku yang mengambil kisah dan terus memerhatikan gelagat mereka anak-beranak. Adakah perkara ini, perkara biasa? Arghh!! Betulkah, warga kota sentiasa berpegang kepada pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’? Kalaulah begini caranya, tiada siapalah yang berani menegur setiap kesalahan yang dibuat orang lain. Tiada siapa yang boleh menyedarkan kesalahan yang mereka buat. Masih relevankah pepatah ini? Aku menarik nafas dalam. Cuba menahan perasaan marahku.

Melilau mataku mencari kelibat kucing tadi. Pasti makhluk itu sedang kesakitan. Cepat-cepat aku habiskan baki minuman yang ada. Aku perlu mencari kucing itu secepat yang mungkin!

Kini, pandangan mataku berlabuh di satu sudut gerai. Kucing yang sebentar tadi bising mengiau hanya mampu mendiamkan dirinya di celah kotak yang bertimbun. Perlahan-lahan aku menghampirinya.

“Meoowww..” Rintihnya sambil memejamkan mata. Lemah sahaja suaranya. Perlahan-lahan ia mengundur ke belakang. Mungkin takut dengan aku. Aduh, kasihannya! Badan yang sebentar tadi dipenuhi bulu kini sudah melecur. Dari pandangan matanya, jelas kelihatan keperitan yang terpaksa ditanggung. Aku tahu, kucing ini pasti merasai pedihnya kulit yang baru disimbah air panas sebentar tadi. Sebak hati aku melihat kucing ini. Manusia jika terkena percikan air panas pun sudah merasa sakitnya, ini apatah lagi kucing yang berbadan kecil dan kurus disimbah air panas hampir keseluruhan badannya. Aduh,peritnyaaa!…

Aku membuka beg pakaianku. Sehelai tuala mandi dikeluarkan. Aku cuba mengambil kucing itu dengan berhati-hati agar ia tidak mencakar tangan aku. Mungkin ketika ini ia sudah tidak percayakan manusia dan boleh sahaja jika ia mahu mempertahankan dirinya ketika ini dengan mencakar tanganku.

Aku tersenyum puas selepas berjaya membalut badan kucing malang ini dengan tuala. Ia tidak lagi meronta-ronta untuk dilepaskan. Mungkin ia sudah rasa selesa denganku. Aku terus bangun dari duduk mencangkung sambil membawa beg pakaian beserta dengan kucing yang sudah aku balut seperti bayi yang baru lahir. Aku tidak mengendahkan orang yang mula memandang aku dan berbisik-bisik sesama mereka. Apa yang penting aku mesti selamatkan kucing ini.

Panggilan yang mengatakan kawan aku sudah sampai berjaya menguntum senyuman di bibirku. Aku cepat-cepat ke sana.

“Anak siapa awak bawa ni, Mia?”tanya Amira terkejut sebaik sahaja aku menghampiri keretanya.

Aku hanya tersenyum. Amira sudah panik kerana dia tahu aku belum berkahwin. Cepat-cepat dia keluar dari kereta.

“Kucing?? Awak bawa dari kampung ke?”

Aku mengelengkan kepala.

“Habis tu?”

“Saya jumpa kucing ni tadi.. Ada orang simbah air panas..”

“Alahai,kasihannya.. Jomlah kita bawa kucing ni ke klinik,”ajak Amira.

Aku mengikuti sahaja apa yang diperkatakan Amira. Aku tahu sahabatku ini seorang pencinta haiwan. Jadi, tidak hairanlah dia tidak berkira untuk membiayai bil rawatan kucing ini nanti.

Sebaik sahaja sampai di klinik, doktor terus memulakan kerja-kerja perawatan. Aku dan Amira hanya menunggu di luar sambil aku ceritakan kepada Amira bagaimana aku boleh terjumpa kucing malang itu.

Di rumah, kucing itu diberi makan secukupnya sehinggalah ia kenyang. Dari sinar matanya, dapat aku lihat kegembiraan yang baru sahaja dikecapinya. Kami namakan kucing ini,Putih.

“Mia, saya ada dapatkan kerja kosong untuk awak.. Itupun kalau awak tak kisah,”beritahu Amira sambil tangannya mengelus lembut kepala kucing.

“Kerja apa?”Aku teruja untuk mengetahuinya.

“Pembantu rumah..”Amira merenung ke dalam mataku.

“Pembantu rumah? Dekat mana?”Aku tidak kisah apa kerja sekali pun. Asalkan ia halal untuk aku menanggung hidup ini.

“Dekat depan rumah ni sahaja.. Rumah Puan Lydia.. Tak lama lagi dia nak bersalin. Jadi, semasa tempoh berpantang dia akan menggaji pembantu rumah untuk menguruskan rumahnya,”jelas Amira.

“Puan Lydia? Bersalin?”secara automatik fikiranku teringatkan perempuan mengandung yang menyimbah air panas siang tadi.

“Awak setuju tak?”tanya Amira setelah melihat aku masih termenung panjang.

“Nanti saya fikirkan balik..”Aku tersenyum kelat. Bagaimana aku mahu bekerja dengan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan?

“Tak payah fikir.. Gaji lumayan tau.. Lagipun, awak akan bekerja siang hari sahaja.. Lepas habis kerja, awak baliklah rumah ni.. Hanya beberapa langkah, awak dah sampai di tempat kerja. Tak payah tambang dan tak payah duit minyak. Jimatkan?”

Aku mengiakan kata-kata Amira. Mungkin ada betul juga apa yang diperkatakan sahabatku itu.

“Ok, saya setuju..” Aku cuba berfikiran positif. Mungkin bakal majikan aku ini bukan perempuan seperti aku fikirkan sebentar tadi. Mungkin hanya namanya sahaja yang sama.

“Haa.. Macam inilah.. Esok kita jumpa jiran saya tu..”

Keesokan harinya, Amira membawa aku berjumpa dengan bakal majikan aku.

“Assalamualaikumm..”Salam diberi.

“Waalaikumussalamm..,”jawab seorang kanak-kanak lelaki dari dalam rumah. Tidak lama kemudian dia keluar bersama lori mainannya.

“Ibu ada tak, Arham?”tanya Amira.

“Ada.. Nanti Arham panggilkan.. Ibuuu!!” Arham terus berlari masuk ke dalam rumah untuk memberitahu ibunya tentang kehadiran kami. Aku dan Amira hanya berdiri di luar pagar rumah sementara menunggu tuan rumah membuka pintu pagar.

Kemunculan kanak-kanak lelaki kelmarin di hadapan kami tidak menyedapkan hati aku. Nampaknya, bakal majikan aku memang perempuan itu!

“Eh, Amira.. Masuklah..,”kata Puan Lydia sambil membuka pintu pagar rumahnya. Senyuman jelas terukir di wajahnya. Aku turut melemparkan senyuman kepadanya walaupun saat ini hati aku terkejut melihat wajahnya. Ya, dia memang perempuan yang aku lihat kelmarin.

Kami dihidangkan air teh panas bersama karipap goreng. Ramah dan mesra Puan Lydia berbicara hinggakan aku hampir terlupa tentang perbuatannya semalam. Kami berbincang tentang kerja-kerja yang bakal aku buat ketika aku bekerja di sini nanti. Mungkin dalam satu minggu lagi aku akan mula bekerja di sini. Aku setuju untuk bekerja di sini kerana Puan Lydia baik dan mesra orangnya. Jauh sekali tanggapan aku ketika aku mula melihatnya di gerai itu.

Sudah tiga minggu aku bekerja di sini dan selama tiga minggu ini juga Puan Lydia melayan aku dengan baik. Puan Lydia sudah selamat melahirkan bayi perempuan yang sangat comel. Tetapi, apa yang merisaukan aku sekarang adalah kucing yang aku bawa pulang hari itu selalu mengikuti aku bekerja. Aku tahu, Puan Lydia sangat bencikan kucing. Aku takut kucing aku diapa-apakan.

Pada suatu hari, aku mencari di mana Si Putih. Puas aku mencarinya untuk di beri makan. Adakah kucing aku sudah beranak? Kalau sudah beranak, di mana ia menyorok? Puas aku dan Amira mencari tetapi tetap tidak ditemui.

Keesokkan harinya, aku ke rumah Puan Lydia seperti biasa. Belum sempat aku melangkah masuk ke dalam rumah, aku sudah mendengar suara Puan Lydia marah-marah dari dalam. Tanpa berlengah aku terus melangkah masuk.

“Kenapa, puan?”tanya aku panik.

Arham memelukku sambil memandang ibunya yang sedang memegang pemukul golf.

“Ini, kucing kurap mana entah yang beranak dalam rumah saya!”Puan Lydia mula menghayunkan tangannya untuk memukul kucing itu.

“Puan!! Apa ni?!! Berhenti!”Aku menghalang perbuatannya itu.

Aku cuba melihat kucing yang dimaksudkan Puan Lydia. Tergaman aku seketika.. Itu kucing aku, Putih!

“Puan, maafkan saya.. Ini kucing saya.. Mungkin dia ikut saya dan terberanak di sini..”

“Kucing awak? Awak ambil kucing ni sekarang sebelum saya pukul sampai mati! Kucing ni kotor tahu tak? Dahlah berkurap.. Anak saya masih kecil, nanti berjangkit kuman yang ada pada kucing ni.. ” Puan Lydia mula mengendurkan suaranya.

“Baik, puan.. Saya ambil sekarang.. Maafkan saya..”

“Pagi-pagi kucing ni dah bising.. Sengaja buat saya marah.. Nasib baik awak sampai cepat hari ni.. Kalau tak, dah lama kucing ni saya kerjakan..”

Aku hanya memekakkan telinga. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku membidas setiap kata-kata Puan Lydia. Aku terus membawa Putih bersama tiga ekor anaknya yang baru lahir pulang ke rumah.

“Puan Lydia tidak tahu, kurap yang dikatakan itu adalah parut akibat kesan daripada terkena siraman air panas. Kulit kucing ini melecur disebabkan Puan Lydia!”hatiku berbicara.

Aku menempatkan Putih dan anak-anaknya ke dalam kotak yang memang kami khaskan untuk Putih melahirkan anak-anaknya di situ. Putih sepertinya akur untuk tinggal di dalam kotak tersebut. Sesekali Putih menjilat anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Terleka aku melihatnya.

Beberapa hari kemudian, aku mendapat mesej daripada Puan Lydia.

- Mia, awak tak perlu datang kerja hari ini.. Bayi saya dimasukkan ke dalam wad. Saya sekarang berada di hospital. – Puan Lydia.

Aku dan Amira bergegas ke hospital sebaik sahaja Amira pulang dari tempat kerjanya.

“Puan, kenapa dengan bayi puan?”tanya aku sedikit cemas. Aku mengusap lembut bahu Puan Lydia yang ketika ini sedang menangis teresak-esak.

“Anak saya kena pukul… Arham pukul adiknya dengan penyapu,”beritahu Puan Lydia.

Aku memandang ke arah Arham yang diam membisu di suatu sudut. Pasti anak kecil ini teruk dimarahi Puan Lydia. Kebiasaannya dia akan petah berbicara dan lincah bermain.

“Suami puan dah tahu?”tanya aku. Setahu aku, suami Puan Lydia kini berada diluar negara.

“Dah, saya dah beritahu dia tadi,”kata Puan Lydia sambil mengesat air matanya.

“Arham, datang sini, sayang..,” panggil aku.

Perlahan-lahan Arham menghampiriku sambil matanya takut-takut memandang ke arah Puan Lydia.

“Arham buat apa pada adik Arham?”tanyaku lembut sambil tanganku mendakap tubuh kecilnya.

“Arham pukul adik dengan penyapu..,”jawabnya jujur sambil menundukkan kepala.

“Kenapa Arham pukul adik?”tanyaku lagi.

“Adik bising menangis.. Arham nak tidur..,”jawabnya lemah.

“Kenapa Arham buat macam tu?”

“Habis tu Arham tengok ibu pukul kucing.. Anak kucing tu menangis, ibu cakap anak kucing tu buat bising.. Ibu pukul kucing tu sebab nak suruh anak kucing tu senyap.. Arham nak suruh adik Arham senyap.. Sebab tu Arham pukul adik Arham..”Arham memandangku dengan pandangan mata sayu.

Aku meraut wajahku. Nampaknya anak ini telah mengikuti setiap kelakuan yang dilakukan ibunya. Apa yang membezakan, anak kecil ini tidak dapat memikirkan akibat yang bakal diterima disebabkan perbuatannya itu.

“Arham, jom ikut Kak Mira pergi beli aiskrim.. Arham nak makan aiskrim tak?”tanya Amira yang sejak dari tadi diam membisu.

“Nak..” Wajah murungnya bertukar ceria.

Setelah mendapat keizinan daripada Puan Lydia, Amira membawa Arham keluar untuk membeli aiskrim. Aku tidak ikut bersama kerana ada sesuatu yang ingin aku bicarakan kepada Puan Lydia.

“Puan, maaf.. Saya ada sesuatu yang ingin saya perkatakan..” Aku memandang wajah Puan Lydia.

“Apa dia.. Cakaplah,”katanya tenang.

“Puan,puan ingat tak kucing yang puan pukul beberapa hari lepas?”

“Ingat,”jawabnya ringkas.

“Puan ingat tak puan pernah simbah kucing dengan air panas ketika puan sekeluarga menikmati makanan di sebuah gerai?”

Puan Lydia memandangku. Daripada renungan matanya, aku tahu dia terkejut dengan soalan aku.

“Macam mana awak tahu?”

Aku tersenyum hambar.

“Puan, sebenarnya kucing yang beranak di rumah puan tu adalah kucing yang sama puan simbah air panas tempoh hari.. Saya ada melihat kejadian itu. Kucing itu saya bawa pulang dan diberikan rawatan. Kurap yang puan katakan itu adalah kesan daripada parut akibat kulitnya melecur teruk..”Air mataku bergenang. Perasaan geram yang aku pendam selama ini perlahan-lahan aku cuba lepaskan melalui kata-kata ini. Biarlah Puan Lydia tahu kisah sebenar.

Puan Lydia hanya diam membisu. Aku tidak pasti apa yang difikirkannya sekarang.

“Puan, setiap kekejaman yang puan lakukan kepada haiwan, puan melakukannya dihadapan anak puan… Anak puan itu masih kecil.. Dia tidak tahu apa-apa! Dia hanya melakukan apa yang telah diajar dan diperhatikannya..”

Aku lihat tangan Puan Lydia menggigil. Air matanya mula mengalir di pipi.

“Puan Lydia..,”panggil doktor.

“Ya,saya.. Macam mana dengan bayi saya?”tanya Puan Lydia cemas.

“Maafkan kami puan.. Tangan kanan anak puan terpaksa kami potong kerana tulang tangannya retak teruk,”jelas doktor bertugas.

Puan Lydia terus jatuh terjelepuk ke lantai.

“Anak ibuu.. Maafkan ibu, sayanggg.. Semuanya silap ibu!!”rintihnya.

Aku hanya mampu mengalirkan air mata melihat situasi ini. Tiada apa yang boleh aku tolong kerana perkara ini sudah terjadi. Masa tidak boleh diputar kembali.

Bagi aku, setiap perkara buruk yang dilakukan pasti ada balasannya. Kita sebagai manusia haruslah bersikap penyayang terhadap haiwan kerana kita semua berkongsi hidup di Bumi yang sama. Jika kita tidak suka sekalipun pada haiwan, janganlah kita bersikap kejam terhadap makhluk ciptaan Tuhan itu. Haiwan juga berhak hidup di alam fana ini. Sama-samalah kita menghargai dan menyayanginya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.