Home Alternatif Kanak-kanak Terima kasih, Puteh!
Terima kasih, Puteh!
Atie Atiya
12/8/2015 15:55:13
3,458
Kategori: Alternatif
Genre: Kanak-kanak
Senarai Bab


Di kebun, panas mentari begitu memeritkan kulit Pak Cik Mus. Topi jerami yang dipakai sepertinya tidak memberi kesan untuk berlindung daripada cahaya matahari yang terik. Perlahan-lahan Pak Cik Mus mengesat mukanya dengan tuala yang diletakkan di bahu kanan. Keringat sudah membasahi baju putih yang dipakai.

Perlahan-lahan cangkul dihayun ke tanah. Sedikit demi sedikit cangkul dihayun untuk membuat batas. Batas yang dibuat khas untuk menanam pokok labu.

“Shuhhhhh… Shuhhhhh…” Pak Cik Mus menghalau anak kucing bewarna Putih yang sibuk menggeselkan badannya pada kaki Pak Cik Mus.

“Dari mana pula datang anak kucing ni?? Shuhhhhh….” Pak Cik Mus cuba menepis anak kucing ini dengan kakinya.

“Meeowwww!!!!!”

Tiba-tiba Pak Cik Mus tercangkul ekor anak kucing itu!

“Ya Allahhh!!” Pak Cik Mus terus berhenti daripada mencangkul tanah. Cangkulnya terus dicampakkan ke tanah. Melilau Pak Cik Mus mencari kelibat anak kucing tadi yang sudah tentunya menyembunyikan diri menahan kesakitan.

“Kenapa, ayah?” tanya Faisal sebaik sahaja keluar dari pintu rumah.

“Ayah tercangkul ekor anak kucing… Cepat, tolong ayah carikan anak kucing tu…”

“Owhh.. Anak kucing warna putih tu ke, ayah?”

“Ya… Anak kucing itulah…”

“Biarlah, kucing tu… Kawan Faisal cakap ada orang buang anak kucing tu malam semalam dekat tepi jalan tu… Ishhh.. Sekarang dah sampai rumah kita… Faisal tak sukalah kucing…” Faisal memasamkan mukanya.

“Kasihan anak kucing tu… Kita belalah dia… Lagipun anak kucing tu tengah sakit tu… Ayah dah tercangkul ekornya… Nasib baik sikit sahaja…”

“Hah, itupun anak kucing tu!” kata Pak Cik Mus sambil membongkokkan badannya masuk ke bawah rumah. Perlahan-lahan tubuh kecil anak kucing itu diangkat.

“Alahai… Kasihanya kamu…” Pak Cik Mus membelek kesan ekor yang terkena cangkul sebentar tadi. Nasib baik sikit sahaja.

Seminggu berlalu…

Hujung ekor anak kucing sudah menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh lukanya. Mujur kehilangan hujung ekornya tidak menyebabkan anak kucing ini mati. Anak kucing itu diberikan nama, Puteh.

“Faisal… Tolong berikan Puteh makan…” Mak Cik Esah menghulurkan bekas yang berisi ikan kepada Faisal.

Dengan perasaan benci, Faisal mencampakkan ikan itu kepada Si Puteh tanpa pengetahuan ibunya. Habis ikan itu terkena pasir. Kalaulah ibunya tahu kelakuannya itu, sudah pasti dia akan dimarahi.

Perlahan-lahan Si Puteh mengambil ikan itu untuk di makan sambil matanya takut-takut memandang Faisal.

“Apa pandang-pandang?” Laju sahaja tangan Faisal menjentik telinga Si Puteh. Lintang-pukang Si Puteh lari sambil membawa ikan dangan mulutnya.

“Faisal! Kamu buat apa tu?” jerkah Pak Cik Mus.

“Tak ada buat apa-apa,ayah,”jawab Faisal sambil matanya tertunduk ke tanah.

“Sini kamu..”

Satu jentikan hinggap di telinga Faisal.

“Sakit tak?” tanya ayah Faisal.

“Sakit, ayah…” Mata Faisal sudah berkaca menahan tangis.

“Tahu pun sakit… Puteh pun sakit Faisal buat macam tu… Kita sebagai manusia, tidak bolehlah menyakiti haiwan… Mereka pun mempunyai perasaan…”

“Baik ayah… Faisal janji, Faisal tak buat lagi… Maafkan,Faisal.”

Beberapa hari kemudian…

Faisal seronok bermain air diluar rumah. Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Dia begitu bencikan Si Puteh. Kelmarin, kakinya sudah terpijak najis Si Puteh yang dikambus di dalam tanah. Kebetulan ketika itu, dia tidak memakai selipar. Jadi, habis kaki kirinya terkena najis. Hari ini, dia mahu kenakan Si Puteh!

Si Puteh diletakkan di dalam sebuah sangkar. Lalu, air paip disemburkan ke dalam sangkar tersebut. Si Puteh menggelupur ketakutan dan mencari pintu untuk keluar sambil mengiau meminta pertolongan. Faisal tidak mempedulikan ketakutan Si Puteh. Apa yang penting, dendamnya terbalas.

“Baru puas hati aku!” Faisal menutup pili air. Si Puteh dibiarkan di dalam sangkar kesejukan. Kasihan Si Puteh.

“Esah… Ooo… Esah…” Pak Cik Mus memanggil isterinya.

“Ya, bang.. Ada apa?”

“Kenapa anak kucing ni ada dalam sangkar?”

“Eh, tak tahu pula saya… Saya menjahit dekat dalam rumah tadi… Ini mesti Faisal punya kerja. Tadi dia mandi dekat luar…”

“Faisal… Faisal… Nakal sungguh anak kita tu…” Pak Cik Mus mengelengkan kepala.

“Abang, berikan kepada saya anak kucing tu…”

Pak Mus membuka sangkar untuk mengambil Si Puteh.

“Nah…”

“Kasihan…. Menggigil…” Mak Cik Esah terus mengesat bulu Puteh dengan tuala kering.

Keesokkan harinya…

Mak Cik Esah risau di dapur. Anak kucing yang dibelanya tidak mahu makan walaupun diberi ikan kegemarannya.

“Faisal… Kenapa buat Puteh macam tu kelmarin?”

“Faisal nak mandikan Puteh ni, ibu...” Faisal berbohong.

“Sekarang, Puteh dah sakit tau… Kasihan dia tak lalu makan… Mesti Puteh demam ni…” Mak Cik Esah membelai kepala Si Puteh yang duduk di atas ribanya.

“Ibu ni… Puteh ni bukan anak ibu… Ibu jaga Puteh bukan main dengan penuh kasih sayang… Kucing ni binatang sahaja ibu…”

“Sayang… Dengar ibu cakap ni… Binatang pun ada perasaan tau… Kalau kita sayang dia, dia pun akan sayangkan kita. Insya-Allah dia akan tolong kita suatu hari nanti…”

“Kucing bukannya ada tangan macam kita ibu… Macam mana dia nak tolong kalau tak ada tangan?”

Mak Cik Esah tergelak kecil mendengar pertanyaan anaknya yang berusia 6 tahun itu.

Sudah setahun berlalu…

Si Puteh sudah pun membesar dengan sihat. Si Puteh menjadi kucing yang cergas dan aktif. Faisal pula, dia telah masuk belajar di Darjah satu.

“Ibu… Kasut Faisal hilang…” Faisal mencari sebelah kasutnya yang tiada di atas rak.

“Kamu letak dimana?” tanya Pak Cik Mus yang sudah berada di atas motosikal.

“Semalam, Faisal letak disini.” Faisal menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan sungguh! Kemana kasutnya menghilang?

“Cuba cari elok-elok…” Mak Cik Esah berkata.

“Ini pun kasut Faisal… Dekat bawah tangga tu… Puteh buat main…” kata Pak Cik Mus.

“Puteh ni!! Tak habis-habis menyusahkan Faisal!”marah Faisal diawal pagi sambil tangannya mengambil kasut tersebut.

Tiba-tiba Si Puteh menekup tangan Faisal.

“Isshhhh… Tepilahhh!!!” Terpelanting Si Puteh.

“Ayah!!!! Ada anak ular dalam kasut Faisal!”

“Mana??” Pak Cik Mus terus menongkat motosikalnya.

Kasut Faisal dikuis dengan sebatang kayu. Anak ular yang diperkatakan keluar dari kasut tersebut lalu menyembunyikan diri di sebalik rumput-rumput di tanah.

“Hah, nasib baik Puteh jumpa ular tu… Kalau tak, mesti kaki kamu tu dipatuk ular. Alhamdulillah, selamat kamu Faisal,”kata Mak Cik Esah sambil tersenyum penuh makna.

Bermula saat itu, Faisal tidak lagi memukul atau menyakiti Si Puteh. Malah, Si Puteh kini menjadi haiwan kesayangannya. Betullah kata ibunya, jika kita berbuat baik kepada binatang, insya-Allah dia akan menolong kita suatu hari nanti. Si Puteh telah menyelamatkan nyawa Faisal dan Faisal akan mengenang jasa Si Puteh itu.

“Terima kasih, Puteh!” Faisal memeluk kucing kesayangannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.