Home Cerpen Umum Kerana Wang, Aku Hina
Kerana Wang, Aku Hina
Atie Atiya
13/3/2016 21:15:01
5,929
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Ruang makan moden rumah banglo tiga tingkat itu harum dengan aroma nasi goreng yang dimasak oleh Puan Suhanna. Walaupun mempunyai suami yang bergaji besar, Puan Suhanna lebih suka menguruskan sendiri rumah berbanding mengambil pembantu rumah. Sudah acap kali suaminya menawarkannya untuk mengambil pembantu rumah. Namun, Puan Suhanna tetap dengan pendiriannya bahawa dia sendiri yang mahu menguruskan rumah itu memandangkan dia tidak bekerja.

Tuan Suhaimi bergegas turun ke tingkat bawah untuk menikmati sarapan setelah menyiapkan diri untuk ke pejabat. Kemas dan segak di dalam persalinan pakaian sut pejabatnya. Rambutnya disisir rapi.

“Sarapan,abang..” Puan Suhanna tersenyum manis sambil menarik kerusi untuk suaminya duduk.

“Sedapnya bau nasi goreng...” Tuan Suhaimi menghidu aroma nasi goreng yang telah dihidangkan. Baunya sahaja, sudah membangkitkan selera Tuan Suhaimi. Dengan bacaan Bismillah, nasi goreng itu disuapkan ke mulutnya.

“Sayang, jomlah makan sekali,” ajak Tuan Suhaimi.

“Sekejap… Saya tuangkan kopi ini dulu...” Puan Suhanna tersenyum memandang suami yang telah dikahwininya selama 2 tahun itu.

“Assalamualaikum…” Tiba-tiba kedengaran seseorang memberi salam.

“Sayang,cuba tengok siapa dekat luar tu… Ini mesti pengemis yang nak minta derma tu!” Wajah ceria Tuan Suhaimi sebentar tadi berubah. Mukanya merah padam seakan-akan marahkan sesuatu. Dia menghentikan suapannya. Entah kenapa, sejak dia berpindah ke sini, ramai sungguh pengemis yang datang bertandang. Hatinya naik geram.

Puan Suhanna berlari anak menuju ke pintu utama mematuhi permintaan suaminya. Hatinya berdebar-debar. Puan Suhanna cukup takut jika pengemis datang mengunjungi rumahnya seawal begini. Dengan tangan yang terketar-ketar, Puan Suhanna membuka pintu utama rumahnya.

“Waalaikumussalam...” Mata Puan Suhanna memandang ke arah pintu pagar rumah. Puan Suhanna gelisah apabila sangkaan suaminya betul. Cepat-cepat Puan Suhanna menyarungkan selipar ke kakinya.

“Ya, mak cik... Ada apa pagi-pagi ni?” tanya Puan Suhanna sebaik sahaja menghampiri perempuan tua diluar pintu pagar rumahnya. Baju kurung bersama kain batik yang dipakai perempuan itu kelihatan begitu lusuh ditambah pula dengan tampalan-tampalan daripada perca kain lain. Namun, mak cik ini tetap menutup auratnya dengan sempurna. Air mukanya juga kelihatan bersih dan sejuk hati bila memandangnya.

“Nak, mak cik ada jual barang… Barang-barang lama kepunyaan mak cik,”kata perempuan tua itu sambil menunjukkan bungkusan kain batik yang dibawanya.

“Owhh..” Puan Suhanna memandang pintu rumahnya. Bimbang jika suaminya ada di situ. Perlahan-lahan pintu pagar rumahnya dibuka.

“Mak cik jual apa?” Puan Suhanna tersenyum memandang perempuang tua yang tidak dikenalinya itu.

“Anak tengoklah dahulu…” Perempuan tua itu mula meletakkan bungkusan kain batiknya ke bawah. Ikatan kain mula dibukanya.

Sekali lagi Puan Suhanna memandang ke arah pintu rumahnya. Dia tahu, pasti suaminya akan naik angin jika pengemis datang mengemis di rumah mereka.

“Mak cik ini bukan pengemis. Dia jual barang. Mungkin abang tak marah,” fikir Puan Suhanna.

Puan Suhanna mula meneliti barang-barang lama yang dibawa perempuan tua itu. Di antara barang yang ada di dalam bungkusan kain itu adalah cermin, jam dinding, lampu picit dan pelbagai barang lama lain.

“Mak cik, saya ambil cermin ini ya… Berapa harganya?” tanya Puan Suhanna sebaik sahaja berkenan dengan ukiran yang terdapat pada bingkai cermin tersebut.

“Harganya, seikhlas hati anaklah…” pandang perempuan tua itu dengan pandangan mata penuh pengharapan.

“Sekejap ya mak cik… Saya masuk ke dalam ambil duit...”

Belum sempat kaki Puan Suhanna melangkah masuk ke dalam rumah, Tuan Suhaimi telah muncul di hadapan pintu rumah.

“Sayang buat apa ni? Berapa kali abang pesan jangan layan pengemis yang datang ke rumah kita!”

“Tapi abang… Mak cik ni bukan mengemis… Dia jual barang...”

“Barang apa dia jual? Barang-barang lama? Ini mesti barang-barang di dalam rumah dia, dia ambil dan jual! Terdesak!Sampai barang rumah sendiri pun nak jual. Itu namanya apa kalau bukan mengemis?” Tuan Suhaimi berkata tegas.

“Abang… Tak baik cakap macam itu… Lagipun cermin ini cantik… Nampak antik…”

“Hei, perempuan tua!” Tuan Suhaimi meluru ke arah perempuan tua yang masih menunggu di hadapan rumah.

“Ya, nak...” jawab perempuan tua itu takut-takut.

“Dengar sini ya, mak cik! Mulai hari ini, saya tak mahu mak cik datang ke sini lagi! Kemaskan barang-barang ini semua dan berambus!” kata Tuan Suhaimi dengan angkuh sambil kakinya laju menendang barang yang di bawa perempuan tua itu.

“Bau pun hancing ada hati mahu jual barang ke sini!!”

“Abang! Kenapa cakap macam tu?!”

“Awak diam! Berapa kali saya nak beritahu awak, saya tak suka wang saya diberikan kepada orang lain. Saya penat-penat kerja, awak senang-senang nak beri duit saya kepada orang lain?!”

“Sikit sahaja pun.. Bukannya sampai beribu ringgit saya beri.. Itu namanya sedekah,abang!” Puan Suhanna berkata geram.

“Tak apalah,nak… Tak ada rezeki mak cik. Suami isteri tak baik bergaduh. Maafkan mak cik kerana mengganggu..”

“Berambus!”jerkah Tuan Suhaimi.

“Mak cik, tungu!”jerit Puan Suhanna sebaik sahaja melihat perempuan tua itu memulakan langkah setelah barangnya habis dikemas.

“Ya, nak..”

“Ini cermin mak cik… Maafkan saya dan maafkan suami saya,” kata Puan Suhanna sambil menghulurkan cermin yang dia berkenan sebentar tadi.

“Tak apalah, mak cik hadiahkan cermin ini kepada anak. Mak cik tahu, anak sukakannya..”

“Tapi, mak cik..”

“Ambillah.. Sebagai hadiah…” Perempuan tua itu memegang tangan Puan Suhanna yang masih memegang cermin tersebut.

“Terima kasih, mak cik..” Puan Suhanna memeluk insan tua dihadapannya. Mulia sungguh hatinya walaupun telah diherdik sebegitu rupa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuan Suhaimi, dia merupakan seorang yang sangat gilakan dan sayangkan wang. Baginya wang adalah nombor satu. Prinsipnya, jika mahu wang, usaha sendiri. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah menderma 1 sen pun. Baginya, jika dia menderma, wangnya akan berkurang dan kenapa perlu meminta? Bukankah manusia boleh berusaha untuk menjadi lebih baik tanpa meminta-minta? Oleh sebab itu, dia sangat bencikan pengemis. Hinaan dan cacian sudah biasa dilemparkannya terhadap pengemis.

Tuan Suhaimi merupakan pemilik gudang kain yang terbesar di pantai barat Semenanjung Malaysia hasil warisan daripada nenek moyangnya. Dia merupakan satu-satunya pewaris tunggal. Segala keuntungan yang diniagakan akan masuk ke dalam poketnya. Tuan Suhaimi hidup di dalam kemewahan sejak daripada kecil. Dia langsung tidak mengenal erti kesusahan. Segala apa yang dihajati, pasti akan tertunai.

“Sayang, sini sekejap,” panggil Tuan Suhaimi sebaik sahaja isterinya habis mengemas dapur seusai makan malam mereka.

“Ya, bang..” Puan Suhanna duduk bersebelah suaminya yang sedang menonton televisyen.

“Sayang tak bosan ke duduk rumah ni… Sesekali pergilah membeli-belah. Beli baju cantik-cantik... Setiap bulankan abang dah masukkan RM 5000 ke dalam akaun sayang... Ke tak cukup?”

“Eh, cukup bang! Dah lebih daripada cukup tu… Abang bukan tak tahu saya buat apa dengan duit-duit tu semua..”

“Ya, abang tahu.. Awak beli emas.. Tapi, bukan awak pakai pun..”

“Saya beli jongkong emas, abang.. Macam mana saya nak pakai… Hahaha.. Abang ni..” Puan Suhanna mencubit manja lengan suaminya.

“Ermm.. Nanti boleh jadi tauke emaslah isteri abang ni..”

“Aminn..”

“Abang, saya nak cakap sikit boleh?”

“Ya, cakaplah..”

“Abang, saya tak berkenanlah dengan perangai abang yang suka menghina orang miskin. Bukan sekali abang buat macam tu… Acap kali... Setiap kali berjumpa orang miskin dan peminta sedekah abang pasti mengherdik mereka… Janganlah buat macam itu, abang… Kita sepatutnya membantu mereka,” nasihat Puan Suhanna sambil memegang lengan suaminya.

“Haa… Dah boleh jadi ustazah isteri abang ni… Belajar dekat mana? Mesir?”

“Abang, ni… Saya bukan main-main tau… Tak baik layan orang macam tu…”

“Dah… Saya bukannya budak kecil untuk awak nasihatkan. Saya tahu apa yang saya lakukan. Kalau awak nak tahu, pengemis-pengemis ni semakin kita membantu mereka, semakin mereka malas. Malas apa? Malas untuk berusaha! Sentiasa mengharapkan bantuan orang. Tak ada inisiatif sendiri untuk maju!”

“Suka hati abanglah… Saya beri nasihat bukan awak nak dengar pun…” Puan Suhanna mula mengangkat punggungnya untuk berlalu dari situ. Dia mahu ke tingkat atas. Tidur lagi baik daripada melayan suaminya yang angkuh itu. Semakin lama dia di situ, bimbang akan terjadi pergaduhan pula.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Tuan Suhaimi!!!” panggil Encik Haikal dengan muka cemas. Dia berlari menuju ke arah Tuan Suhaimi yang baru sahaja mahu melangkah masuk ke dalam ruang pejabat.

“Kenapa ni, Haikal? Cemas semacam sahaja saya tengok.”

“Tuan, gudang kita terbakar!!”

“Apa?? Terbakar??”

“Ya, tuan! Bomba sedang memadamkan api tersebut.”

“Ikut saya! Kita ke sana sekarang!” Tuan Suhaimi mulai panik. Jika benar kata pekerjanya, syarikatnya bakal gulung tikar! Ini kerana di dalam gudang tersebut terdapat ribuan jenis kain dari Itali yang bernilai ratusan juta ringgit. Kain-kain tersebut baru sahaja sampai ke gudangnya semalam. Nilai insuran belum tentu dapat membayar jumlah kerugian yang bakal dialaminya.

Setibanya Tuan Suhaimi di gudang, dia terduduk di tanah sebaik sahaja keluar dari kereta BMW 5 Series. Nampaknya gudangnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Api begitu marak memamah setiap inci bangunan tersebut. Asap hitam berkepul-kepul naik ke udara ditambah pula berlaku beberapa buah letupan di dalam gudang tersebut. Hampir lapan puluh peratus gudangnya hanya tinggal rangka bangunan saat ini. Sepuluh buah jentera bomba masih belum cukup kuat untuk memadamkan api yang sedang menggila.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kejadian kebakaran sudah enam bulan berlalu…

“Kak… Tolong kak… Saya perlukan duit… Tolong saya...”

“Eh, senang-senang kau minta duit! Badan sihat,masih muda, kerjalah!! Ini mesti sebab dadah kau buat kerja mengemis macam ni!”

“Kak… Tolong...”

“Ah, tepilah!!Penagih!!”

“Abang… Tolong abang… Saya perlukan duit… Sudah dua hari saya tak makan…”

“Peduli apa aku,kau tak makan!! Bukan urusan aku...” Lelaki itu separuh tergelak.

Hinanya pandangan orang awam terhadap insan di kaki lima ini. Sudah sebulan dia berkeadaan sebegini. Baju tidak bertukar, jambang dan rambut tidak terurus serta kotor penampilannya. Merayau-rayau di tengah ibu kota meminta simpati orang ramai. Sukarnya memperolehi wang walaupun hanya 1 sen. Hausnya tekak sudah tidak tertahan lagi. Lalu, ditadahnya tangan berdekatan air pancut untuk diminum airnya.

Terik mentari dipandangnya sekilas. Perutnya sudah menggelupur minta diisi. Laparnya sudah tidak tertahan lagi. Perlahan-lahan kakinya dengan seluar koyak rabak menapak ke sebuah gerai makanan yang berhampiran. Kedudukan gerai di bawah pohon yang rendang itu memberikan sedikit rasa nyaman kepada insan yang sedang berlapar ini.

“Ibu, Akish dah tak nak makanan ni… Kenyang...”

“Tak baik bazirkan makanan, Akish… Habiskan sikit sahaja lagi…”

“Tak nak…” Kanak-kanak perempuan ini mula meneguk air sirap bandungnya.

“Ibu, dekat sana ada lelaki yang asyik pandang kita… Dia nampak macam lapar…Akish berikan makanan Akish ni pada dialah.” Tanpa berlengah anak kecil ini mengambil pinggan yang berisi makanan yang tidak habis dimakannya tadi.

“Akish! Tunggu… Jangan pergi ke sana!” Larangan Puan Julia tidak diendahkan puteri sulongnya. Laju sahaja kaki Akish melangkah ke arah lelaki yang memandang mereka sejak dari tadi.

“Pak cik… Pak cik lapar ya? Ini, Akish ada bawa makanan sedikit… Pak cik makanlah…” Akish menghulurkan pinggan. Tanpa berlengah, pinggan itu disambut. Makanan yang ada terus dimasukkan ke dalam mulut dengan lahapnya.

Akish terus meninggalkan lelaki tersebut di situ. Dia kembali ke tempat duduknya tadi.

“Ibu, kasihan pak cik tu… Nasib baik Akish tak habis makan… Bolehlah juga pak cik tu merasa…”

“Bagus anak ibu ni… Tapi, lain kali jangan hampiri lelaki yang Akish tak kenali… Kalau dia culik Akish macam mana?”

“Baik,ibu… Maafkan Akish… Akish cuma kasihankan pak cik tu…”

Saat ini mengalir air mata si pengemis ketika menyuakan makanan ke mulut. Anak kecil pandai menunjukkan rasa simpati. Tapi, dirinya? Allahuakbar…

“Hei, pengemis!!! Siapa beri kau makan ni ya?! Habis kotor pinggan aku!” nyaring sungguh suara perempuan muda ini menengking. Belum sempat makanan yang bersisa habis dimakan, pinggan di tangannya disambar pemilik gerai tersebut. Terkebil-kebil mata si pengemis memandang pemilik kedai sambil mengunyah makanan terakhir di dalam mulutnya. Hendak membela diri,sudah tidak punyai tenaga.

“Maafkan saya… Saya lapar…”

“Kalau nak makan, bayar!”

“Kenapa ni? Haa?” Puan Julia menghampiri pemilik gerai.

“Saya tak suka orang datang ke gerai saya, semata-mata nak mengemis! Jijik! Baunya sahaja sudah meloyakan tekak! Kalau macam inilah setiap hari, habis pelanggan saya lari,” kata pemilik gerai itu sambil berlalu dari situ.

“Ibu, sombongnya peniaga ni… Lain kali, kita jangan makan dekat sinilah… Benci, Akish tengok.”

Si pengemis mendengar apa yang dikatakan anak kecil ini. Hatinya turut tersentuh. Apa agaknya pandangan orang lain terhadap kelakuannya dahulu. Malah, kelakuannya lebih teruk daripada pemilik gerai ini. Jika ditayangkan kelakuankannya saat ini, sudah pasti anak kecil ini tidak akan menumpahkan rasa simpati terhadap dirinya. Mungkin akan berganda benci anak kecil ini berbanding bencinya terhadap peniaga tadi.

“Allahuakbar… Berdosanya aku…”

“Tuan Suhaimi?” Puan Julia cuba mengamati wajah pengemis dihadapannya yang serabai dengan jambang dan rambut yang kusut masai.

Mata yang cengkung itu cuba memandang ke arah tuan empunya suara. Wajah itu amat dikenalinya. Itu adalah rakan baik isterinya, Julia.

“Ya, memang awak Tuan Suhaimi… Alhamdulillah… Kami dah temui kamu… Ke mana awak pergi selama ini? Kasihan Suhanna… Merata dia cari kamu…”

“Aku malu, Julia… Aku malu… Aku malu untuk berhadapan dengan isteri aku… Aku sudah tidak mempunyai apa-apa. Rumah dan syarikat aku sudah dilelong! Aku muflis!”

“Awak ikut saya sekarang… Kita balik…”

“Nak balik ke mana? Aku sudah tidak mempunyai rumah…”

“Kita balik ke rumah isteri awak…”

“Rumah bapa mentua aku?”

“Ya…”

“Mereka tak akan menerima aku dengan keadaan begini…”

“Suhaimi… Mereka semua cari awak… Resah hati mereka memikirkan ke mana awak menghilang…”

“Ikut saya balik, ya…”

“Tak mahu, Julia…”

“Suhanna tengah sarat mengandung… Takkan awak tak mahu melihat anak awak nanti? Kasihankanlah Suhanna… Dia rindu…”

Ya, isterinya memang sedang sarat mengandung.. Saat dia tinggalkan rumah, isterinya sudah hamil 6 bulan.

“Baiklah, aku ikut kau balik…”

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Abang! Ke mana abang pergi?! Puas saya cari abang…” Puan Suhanna menerpa ke arah suaminya yang baru sahaja tiba di muka pintu rumah orang tuanya.

“Ya Allah, Suhaimi… Apa sudah jadi dengan kau?!” jerit bapa mentuanya. Penampilan menantunya itu sungguh di luar jangkaannya.

“Ayah…” Tuan Suhaimi menghulurkan tangan kepada mentuanya.

Namun, huluran tangannya tidak bersambut. Tidak semena-mena tubuhnya itu dipeluk erat oleh bapa mentuanya.

“Alhamdulillah… Kamu sudah balik… Alhamdulillah…” Mengalir air mata di pipi insan tua itu. Bersyukur tidak terhingga.

“Ya,ayah… Saya dah pulang… Maafkan saya kerana merisaukan kamu semua…”

“Dah… Jom masuk… Bersihkan diri kamu itu dulu…”

“Julia.. Jemput masuk,”ajak Puan Suhanna. Ada banyak soalan yang membelenggu fikirannya saat ini berkaitan suaminya. Di mana agaknya, Julia menemukan suaminya itu?

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Abang… Comelkan anak kita?”

“Comel, sayang… Terima kasih kerana melahirkan zuriat kita…” Satu ciuman hinggap di atas ubun-ubun anak kecil itu.

“Abang, selepas ini kita mulakan hidup baru,ya…”

Tuan Suhaimi hanya mendiamkan diri. Bagaimana dia mahu membesarkan anaknya ini sedangkan dia telah muflis. Segala hartanya sudah tiada.

“Kenapa abang diam?”

“Abang risau… Abang tidak mempunyai pekerjaan untuk membesarkan anak kita…”

“Abang, abang ingat tak saya pernah membeli emas ketika kita kaya dahulu?”

Tuan Suhaimi memandang isterinya dengan penuh tanda tanya.

“Ingat..”

“Kita guna emas ini untuk mulakan semula peniagaan abang.. Saya hadiahkan emas ini untuk abang sempena kelahiran anak kita ini… Tapi, abang kena janji…”

“Janji apa, sayang?”

“Janji yang abang tidak akan mengulangi sikap abang yang dahulu… Selepas ini, abang mesti banyak menderma…”

“Ya… Abang sudah insaf sayang… Pengalaman selama sebulan abang mengemis di jalanan sudah mengajar abang apa itu erti kesusahan. Selama ini abang silap… Abang selalu menghina orang susah. Tapi, hari itu… Abang sendiri yang merasai betapa peritnya perasaan menerima kata-kata cacian daripada orang. Peritnya seakan diri ini sangat hina dan keji sehinggakan dibenci orang… Abang insaf… Abang tak akan lakukan hal itu lagi… Demi Allah… Demi anak kita… Abang akan tinggalkan sikap abang itu…” Dengan mata berkaca, bersungguh-sungguh Tuan Suhaimi berkata-kata. Sunguh, dia insaf!

“Tuan Alisya Qaisara binti Tuan Suhaimi… Dengar tu, papa dah janji dengan kita…” Puan Suhanna mencuit hidung bayi mereka. Hatinya bahagia saat ini. Walaupun mereka kini sudah tidak punyai harta yang melimpah-ruah, Puan Suhanna tetap bersyukur kerana suaminya sudah insaf.

Sekarang, bermulalah episod baru di dalam kehidupan mereka sekeluarga. Tuan Suhaimi mempunyai bakat di dalam peniagaan. Jadi, tidak menjadi masalah untuk dia bangun semula membina syarikat baru. Berbekalkan simpanan emas isterinya, Tuan Suhaimi menjadikan ia sebagai modal untuk berniaga. Setiap bulan, dia akan ke rumah anak-anak yatim untuk memberi sumbangan. Berkat keikhlasan yang lahir di dalam hati Tuan Suhaimi, peniagaannya semakin maju dan berkembang.

Kini, Tuan Suhaimi faham. Wang bukanlah segala-galanya. Kerana wang, seseorang itu boleh menjadi jahil dan kerana wang juga seseorang itu menjadi hina di mata Tuhan. Wang boleh menjadikan seseorang itu buta mata hatinya tanpa hadir rasa belas kasihan kepada orang yang tidak mempunyai kertas bernilai itu.

Sejak kebelakangan ini, Tuan Suhaimi sedar ada satu perasaan aneh yang hadir di dalam jiwanya. Perasaan itu begitu menenangkan jiwa. Hidupnya kini dirasakan penuh dengan nikmat dan rasa bersyukur. Apa yang pasti, prinsip Tuan Suhaimi sudah berubah. Dia berpegang kepada ayat Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.