Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 26

BAB 26

Irfan melihat surat permohonan cuti yang telah diluluskan. Lega hatinya. Keputusan yang ditunggu sejak seminggu yang lalu akhirnya berjawab. Tempoh pengambaran itu mungkin hanya mengambil masa 4 hari sahaja tetapi Irfan sengaja mengambil cuti lebih iaitu selama 10 hari. Fikirannya mahu direhatkan buat sementara daripada memikirkan masalah orang lain dan jauh daripada dunia guaman. Terengganu negeri yang tidak pernah dilawatinya. Tetapi, untuk kali ini dia berjaya menjejakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan jolokan negeri cantik, budaya menarik itu.

“Lisa… Dia dapat cuti tak ni?” Irfan memikirkan tentang model butik mamanya. Lupa untuk dia bertanya perihal cuti gadis tersebut.

Telefon pintarnya dicapai. Perkataan SINGA BETINA dicari. Irfan menunggu panggilan diangkat dengan sabar. Kali ini sudah empat panggilan dibuat.

“Haa.... Tak reti-reti nak angkat telefon?” sergah Irfan sebaik sahaja panggilannya dijawab.

“Haa.... Tak reti-reti nak bagi salam dulu? Assalamualaikum!”Lisa geram apabila tidurnya diganggu. Penat berkerja di wad tadi masih terasa.

“Waalaikummussalam… Tak dengar ke aku call? Lain kali korek tahi telinga tu… Tak pun kuatkan volume ringtone tu!”marah Irfan. Pantang benar kalau dia call, panggilannya lambat dijawab.

“Awak ni kenapa? Membebel mengalahkan mak nenek ni? Datang bulan ke?!” tanya Lisa panas hati.

“Lain kali angkat cepat bila aku call! Faham?!” panggilan dimatikan.

“Dia ni kenapa?Hishh.... Ganggu betullah…” Lisa kembali memeluk bantal goleknya. Tidur petang ini sungguh melenakan ditambah pula hujan lebat diluar.

“Baru pukul 3.50 petang…” Lisa melihat jam loceng dibirai katil. Pukul 5.00 petang dia mesti bangun untuk menonton siri drama yang selalu tertinggal dek kerana bekerja pada shiff petang.

Telefon Lisa bedering lagi. Kali ini Lisa hanya membiarkan sahaja umpama nada dering itu mengulit lenanya. Lisa kembali tenggelam di dalam tidur yang lena.

“Perempuan ni memang sengaja nak buat aku marah!” bebel Irfan sambil menekan minyak kereta. Kereta dipecut laju. Lisa dicall lagi tetapi masih tidak dijawab. Jalanraya mulai sesak dengan deretan kereta. Waktu kemuncak telah pun bermula iaitu waktu pekerja mulai pulang dari pejabat. Irfan mengeluh sendirian. Jam ditangannya dilihat. Pukul 5.20 petang. Mujurlah kelmarin keretanya telah diservis untuk keselamatan perjalanan jarak jauh esok pagi. Hanya pakaiannya sahaja belum dikemaskan lagi.

Hon kereta dibunyikan sebaik sahaja tiba dihadapan rumah Lisa. Hujan lebat telah pun reda.

“Dia ni ada di rumah tak ni? Tingkap tertutup rapat. Kereta ada, mesti tuannya ada…” Irfan mengintai rumah Lisa dari dalam kereta. Panggilan kali ke 14 dibuat. Masih tidak berjawab.

Irfan keluar dari kereta Audi TT-RS Roadsternya. Loceng rumah Lisa ditekan berkali-kali.

“Hah!! Drama aku!” Lisa melatah di katil apabila dikejutkan dengan bunyi-bunyi yang mengganggu lenanya. Lisa sepantas kilat bagun dari katil. Laju Lisa menuruni anak tangga untuk menonton televisyen. Televisyen dihidupkan.

Loceng rumah dibunyikan lagi oleh Irfan.

“Haishhh Huda ni!! Lupa bawa kunci rumah lagilah ni!!” marah Lisa apabila diganggu daripada menatap skrin televisyen. Pintu rumah dibuka tanpa Lisa menoleh keluar. Lisa terus menerpa ke sofa supaya tidak terlepas daripada menonton hero pujaannya di kaca televisyen.

“Aik? Pintu dibuka.... Tapi mana orangnya? Assalamualaikum....” Irfan hairan. Pintu pagar yang tidak berkunci ditolak. Irfan melangkah masuk ke dalam halaman rumah.

“Engkau ni Huda tak habis-habis lupa bawa kunci rumahkan? Ini kenapa lambat sangat masuk ni? Cepatlah masuk, silau aku nak tengok tv ni. Tutup pintu tu cepat,” bebel Lisa sebaik sahaja nampak bayang-bayang seseorang diluar.

Irfan berdehem di muka pintu tetapi masih tidak didengari oleh Lisa.

“Silaulah Huda… Kenapa lambat sangat ni?” Lisa bingkas bangun daripada duduknya untuk menutup pintu. Sebaik sahaja berpaling ke belakang, terbeliak mata Lisa memandang Irfan yang sedang berdiri di muka pintu.

“Awak??!” Lisa mencapai alas meja ditepi untuk menutup rambutnya yang panjang mengurai.

“Assalamualaikumm,” ucap Irfan.

“Baru nak bagi salam? Dah lama awak buat kerja ni?!” kata Lisa sambil memperbetulkan alas meja di atas kepalanya.

“Lamalah juga.... Sampaikan cerita tu dah iklan balik,” kata Irfan jujur.

“Tak reti-reti nak bagi salam?” Lisa menyambung amarahnya yang berbaki daripada panggilan telefon Irfan sebentar tadi.

“Aku dah bagi salam. Kau tu yang tak dengar. Aku call pun dah 14 kali.... Tapi kau tak jawab pun… Pekak ke?”

“Amboi… Manisnya bahasa. Muka tu nak kena make up ke dengan jari ni? Maaf, saya tidur tadi.”

“Kalau tidur pun agak-agaklah.”

“Ini kenapa datang? Cepat, cerita saya dah nak main tu....” Lisa berpaling ke kaca televisyen yang masih menyiarkan iklan.

“Dapat cuti tak?” tanya Irfan. Air muka kelat sebentar tadi bertukar ceria.

“Eh, mestilah dapat… 10 hari!”

“10 hari? Samalah kita… Sengaja ambil cuti lebih. Rehatkan minda.”

“Baguslah.... Nanti bolehlah ronda-ronda Terengganu.”

“Esok aku datang ambil kau dalam pukul 7.30 pagi. Kita berkumpul di Butik Elis terlebih dahulu kemudian kita bertolak bersama yang lain. Kau naik kereta akulah. Sebabnya kakitangan yang lain dah bergerak dalam sebuah van. Jadi, ruang untuk kita sudah tidak ada.”

Lisa tidak terfikirkan hal ini sebelum ini. Sebelum ini kalau pulang ke Terengganu pasti Huda yang memandu. Lisa tidak biasa untuk memandu jauh. Lisa gerun terutamanya apabila melalui kawasan Janda Baik dan Genting Sepah yang mempunyai struktur jalan raya yang agak berbukit tinggi dan bercerun. Naik kereta bersama Irfan untuk perjalanan yang memakan masa selama 6 hingga 7 jam pasti merimaskan.... Berdua? Kalau mak dan ayah tahu, matilah… Bukannya mereka benarkan anak daranya keluar berdua-duaan dengan lelaki lebih-lebih lagi berduan di dalam kereta untuk perjalanan yang jauh.

“Kenapa Lisa?” tanya Irfan sebaik sahaja melihat Lisa termenung jauh.

“Apa kata kalau saya naik van bersama mereka dan salah seorang daripada mereka naik bersama awak?”

“Tak boleh…”

“Sebabnya?’

“Sebabnya mereka semuanya lelaki… Kau seorang sahaja perempuan.”

“Wanda dan Mimi?”

“Wanda dan Mimi dah bertolak pagi tadi untuk menguruskan tempat.”

Lisa mengangguk perlahan tanda faham. Tiada lagi alasan yang boleh dikemukakan untuk tidak menaiki kereta bersama Irfan.

“Oklah… Saya tunggu awak esok. Saya namanya dah ada kereta, tapi tak berani bawa.”

“Aku tahu. Huda dah beritahu aku tentang hal tu.”

“Huda beritahu?”

“Ya, Huda beritahu. Oklah cerita kau dah main tu. Aku balik dululah. Apa pun cantik tudung kau tu… Ada class gitu...” Irfan mengangkat ibu jarinya sambil melangkah menuju ke arah keretanya

“Kurang asam....” Lisa mengerling tajam.

“Pintu rumah tu tutup. Bahaya! Jangan buat macam tadi!” jerit Irfan dari dalam kereta.

Lisa memandang Irfan yang mula menggerakkan keretanya dengan perasaan malu.

“Nak cakap ni sahaja pun.... Mesej sahaja kan senang.” Lisa mencampakkan alas meja yang dipakainya.

Lisa membelokkan keretanya memasuki pagar hospital. Bau burger dan Chicken chop yang baru dibelinya tadi memenuhi ruang kereta. Sebaik sahaja kereta diberhentikan, Lisa mencapai beg plastik disebelah lalu dibawa keluar bersama. Telefon yang berada di dalam poket seluar jeansnya dikeluarkan .

“Assalamualaikum Dr.Haikal… Doktor sibuk tak sekarang ni?” tanya Lisa sebaik sahaja panggilannya diangkat.

“Waalaikumussalam. Sekarang ni saya tidak ada apa-apa kes. Kenapa Lisa?”

“Doktor boleh turun ke lobi sekejap? Saya ada dekat bawah ni....”

“Oh ya ke.... Saya turun sekarang…”

Lisa senyum sendirian. Hospital yang diterangi dengan limpahan cahaya ungu dan kuning ini ditatap Lisa dari tempat letak kereta.

“Cantik juga tempat aku kerja ni… Kenapa boleh tak perasan?” fikir Lisa.

Lisa melangkah ke ruang lobi untuk bertemu Dr.Haikal. Kakitangan yang bertugas di kaunter hanya melemparkan senyuman pada Lisa dan tidak menghalang kemasukan Lisa ke dalam.

“Cik, kenapa dia boleh masuk tapi saya tak boleh? Ini tidak adil!” tanya seorang wanita di kaunter.

“Maafkan saya, puan.... Dia adalah staf di hospital kami, jadi dia dibenarkan masuk.”

Lisa mendengar perbualan di kaunter dari jauh. Walaupun ia jauh tapi masih lagi dapat didengari disebabkan ruang bawah agak sunyi. Lisa berpatah balik ke kaunter memandangkan Dr.Haikal belum lagi muncul.

“Kenapa ni?” tanya Lisa lembut.

“Cik, saya mahu melawat anak saudara saya....”

“Kenapa dengan anak saudara puan?”

“Anak saudara saya kemalangan siang tadi. Saya belum berkesempatan untuk melawatnya. Esok pagi saya sudah mahu berangkat ke Rusia. Jadi, malam ini sahaja saya dapat melawat anak saudara saya tu… Tolong cik… Kalau cik tak percaya ini tiket penerbangan saya untuk esok dan ini kad pengenalan saya.” Wanita ini berkata dalam keresahan.

Tiket dan kad pengenalan yang diberi ditatap Lisa.

“Anak saudara puan berada di wad mana?”

“ICU cik...”

“Puan tunggu sebentar… Nanti saya tanyakan pada kawan saya. Puan boleh duduk dulu, tapi saya tak janji sama ada puan boleh masuk atau tidak… Peraturan melawat di ICU agak ketat puan… Jadi sukar untuk membenarkan pelawat melawat jika bukan pada masa waktu melawat.”

“Baiklah, saya faham.... Tapi tolong ya cik. Kalau saya tak melawat dia sekarang, entah bila lagi saya boleh jumpa dengan dia memandangkan esok saya akan ke luar negara. Saya cuma berharap umurnya dipanjangkan.”

“Insya-Allah puan… Kita serahkan segalanya pada Allah. Oklah puan, saya jumpa dengan kawan saya sekejap. Tiket dan kad pengenalan ni saya pinjam sekejap ya sebagai bukti…” Lisa meminta diri untuk bertemu Dr.Haikal sebaik sahaja melihat Dr.Haikal keluar dari lif. Dr.Haikal melangkah menuju ke kaunter bersama senyuman di bibir sebaik sahaja melihat kelibat Lisa ada di situ.

“Dr.Haikal.... Awak boleh tolong tak?” tanya Lisa sebaik sahaja mereka bertemu.

“Tolong apa?” kata Dr.Haikal sambil bersandar di kaunter.

“Puan ni nak melawat anak saudaranya di ICU.... Awak tahu kan peraturan ICU… Jadi, boleh tak awak tolong bawakan puan ni naik ke atas untuk bertemu dengan anak saudaranya. Malam ini sahaja dia boleh berjumpa dengan anak saudaranya tu.... Esok, dia dah nak berangkat ke Rusia.... Ini buktinya....” Lisa menghulurkan tiket tersebut kepada Dr.Haikal.

Dr.Haikal meneliti tiket tersebut. Dia berfikir sebentar.

“Baiklah. Kebetulan malam ini saya bertugas di ICU. Tapi sekejap sahaja ya puan… Dalam 10 minit sahaja. Tak boleh lama.”

“Itu pun sudah dikira baik doktor. Terima kasih sangat-sangat. Terima kasih, cik.” terpancar perasaan lega pada wajah wanita tersebut.

“Kalau macam tu kita naik sekaranglah,” kata Dr.Haikal.

“Lisa, nanti saya turun balik.” senyuman dilemparkan pada Lisa.

“Ok...”

Sementara menunggu Dr.Haikal, Lisa menalefon emaknya di kampung. Berita tentang kepulangannya ke kampung sudah diberitahu semalam. Hari ini dia bercakap sekadar melaporkan jadual perjalanannya esok. Emak dan ayahnya agak berat untuk membenarkan Lisa menaiki kereta bersama Irfan memandangkan mereka tidak mengenali hati budi Irfan lagi. Lisa meyakinkan mereka bahawa Irfan adalah lelaki yang baik ditambah pula dia bekerja sebagai seorang peguam. Jadi, tahap disiplinnya tinggi. Agak sukar bagi seorang peguam untuk melakukan jenayah memandangkan mereka telah dididik berkaitan hukuman undang-undang.

Akhirnya, mereka membenarkan Lisa untuk pulang bersama dengan Irfan. Irfan juga dipelawa untuk berkunjung ke rumah. Kata emak dan ayahnya, mahu berkenalan. Manalah tahu boleh buat menantu… Haish.... Kesitu pula emak dan ayahnya. Nak buat menantu kan tak pasal-pasal jadi hantu.

Pelbagai jenis masakan yang diminta Lisa setibanya Lisa di kampung nanti. Terutamanya ayam masak lemak cili api buatan tangan emaknya. Memang terangkat! Ditambah pula dengan sambal belacan. Fuuhh! Lisa ketawa riang. Rindunya pada kampung akhirnya bakal terubat.

“Kirim salam dekat mak dan ayah awak tu....” tiba-tiba Dr.Haikal bersuara disebelah.

Lisa terkejut dengan sapaan itu. Entah bila Dr.Haikal ada di situ. Kiriman salam Dr.Haikal disampaikan pada emak dan ayahnya sebelum panggilan dimatikan.

“Seronok nampak nak balik ke kampung esok?”

“Eh, mestilah…” Lisa melemparkan senyuman.

“Ada apa nak jumpa saya ni?”

“Haa… Ini, saya belanja awak.... Ini dah makan ke belum?”

“Dah tadi....”

“Tak apalah kalau dah makan. Simpanlah dulu, bila nak makan panaskan balik.... Mana tahu pukul 2 atau 3 pagi nanti awak lapar kan....”

“Macam tahu-tahu sahajakan. Terima kasih....” Dr.Haikal menghidu bau makanan yang diberikan.

“Eh, macam mana dengan pak cik tadi? Yang awak lakukan CPR tu, siang tadi.... Selamat tak?”

“Alhamdulillah… Dia selamat.”

“Alhamdulillah… Awak doktor yang hebat!”

“Bukan saya, tapi Allah yang memanjangkan usianya.... Sekarang ini dia di bawah pantauan ICU.”

Lisa hanya tersenyum.

“Eh, macam mana awak tahu? Bukan ke awak dah balik tadi?”

“Memanglah saya dah balik.... Tapi saya patah balik sebab geram!!”

“Hahahaha… Geram? Kenapa?” Dr.Haikal buat-buat tanya walhal Dr.Haikal sudah dapat mengagak apa yang terbuku di hati Lisa. Pasti pasal cermin tu.

“Selama ni.... Awak intai sayalah yer?”

“Intai?” Dr.Haikal tersengih.

“Pasal cermin dekat bilik awak tulah.... Kan saya selalu tersenyum-senyum dekat cermin tu. Awak nampak semualah?”

“Awaklah yang mengintai. Sebabnya awak yang datang dekat tingkap tu… Hahahaha…”

“Mana saya tahu tu cermin tipu…” Lisa menunduk malu.

“Tak apa… Saya suka senyuman awak tu.”

Senyuman itulah yang membuka hatinya untuk menerima kehadiran wanita setelah hatinya merajuk dengan insan yang pernah menjadi permaisuri hatinya. Namun, Dr.Haikal membiarkan waktu untuk menentukan berputikkah cinta antara dia dan Lisa. Dr.Haikal hanya berserah. Bukan dia tidak mahu berusaha, tetapi pengalaman lalu mengajarnya agar menyerahkan semuanya kepada Yang Maha Esa. Cinta yang disemai ketika di zaman universiti telah pun membeku di bawah timbunan salji.

“Bukannya lawa pun bila saya senyum…” Lisa merendah diri.

“Siapa kata tak lawa? Ini kalau jadi model ni, mesti boleh jadi model iklan ubat gigi tak pun model lipstick....” Dr.Haikal berkata ikhlas. Senyuman inilah yang mampu mengubat hati mana-mana insan yang sedang berduka. Senyuman inilah juga yang dinantikan oleh pesakit-pesakit di wad. Sejuk hati melihat.

“Haa… Pokok bunga apa yang awak bagi tu?” Lisa menukar topik. Terasa malu apabila dipuji.

“Kalau awak nak tahu, jaga pokok tu dengan penuh kasih sayang. Tunggu sampai pokok tu bertunas dan berbunga… Barulah awak dapat tahu jenis pokok tu. Apabila pokok tu dah besar, awak tukarlah pasu. Pasu yang saya tanam tu kecil... Nanti awak tahulah apa rahsia yang saya nak sampaikan. ”

“Main teka-teki pula.... Entah sempat ke tidak pokok tu bertunas. Entah-entah batang yang awak semai tu kering macam tu sahaja.”

“Saya tahu macam mana awak ambil berat tentang pokok. Jadi, saya yakin pokok tu akan sihat dibawah jagaan tuan barunya!” Dr.Haikal berkata yakin.

“Baiklah… Insya-Allah saya akan jaga sebaiknya. Kalau tidak saya tak akan tahu apa rahsianya kan?” Lisa mengangkat keningnya.

“Nampak gayanya macam itulah…” Dr.Haikal ketawa kecil.

“Ermm… Nampaknya malam ini sahajalah kita bertemu. Orang tu dah nak tinggalkan Malaysia.” Lisa bersuara sedih.

“Hahaha… Insya-Allah kita bertemu 1, 2 atau 3 tahun lagi....” Dr.Haikal tersenyum kelat. Pasti rindu akan bertamu dihati untuk melihat senyuman gadis ini.

“Ada facebook tak?” tanya Lisa.

“Tak ada…”

“Apalah doktor ni. Zaman sekarang nenek dekat kampung pun dah ada facebook sendiri. Buatlah satu… Nanti kalau ada, add akaun Lisa Amira ya?”

“Saya tak minatlah nak berfacebook macam tu.... Ok, nanti kalau saya ada akaun sendiri saya add awak... .Oklah Lisa… Maafkan saya. Saya rasa saya perlu naik sekarang. Bimbang kalau ada pesakit memerlukan saya....” masa agak mencemburui mereka. Tugasan sebagai doktor haruslah dilakukan sebaiknya.

“Baiklah doktor.... Selamat bekerja dan selamat berangkat ke luar negara.”

“Terima kasih.... Selamat bertemu kembali… Jaga pokok tu baik-baik ya. Saya tanamkan sepenuh perasaan saya pada pokok tu…” kata Dr.Haikal sambil melangkah beriringan dengan Lisa menuju ke pintu lif.

“Selamat bertemu kembali....” terasa sebak untuk melakukan perpisahan.

“Jaga diri baik-baik… Terima kasih untuk makanan ni. Bila saya pulang nanti saya akan belanja awak!” kata Dr.Haikal.

“Sama-sama... ”

Lisa menghantar Dr.Haikal ke pintu lif. Tembok pintu besi telah pun memisahkan pandangan mereka berdua. Lisa tidak faham dengan perasaan ini. Sepertinya ada sesuatu perkara asing telah meresap ke dalam hatinya… Entahlah… Dia sendiri pun tidak faham. Dia keliru antara Dr.Haikal atau Irfan yang sudah berkali-kali melamar dirinya untuk menjadi teman wanitanya. Bukan itu yang ditunggu Lisa. Lisa menunggu seorang lelaki yang terus melamar dirinya untuk dijadikan isteri bukan sebagai teman wanita atau calon isteri. Lisa tidak mahu membuang masa melayan perasaan yang mungkin dipengaruhi dengan bisikan syaitan. Tetapi hatinya seperti lebih terbuka kepada Dr.Haikal. Namun, itu mungkin hanya perasaan Lisa seorang dan tidak bagi Dr.Haikal.

Previous: BAB 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.